Sebut saja Isle of Wight, peminat sukan permotoran sudah membayangkan acara tahunan Diamond Race yang merupakan acara kebanggaan pulau berkenaan. Tetapi baru-baru ini, pulau ini mendapat perhatian kerana menjadi lokasi penemuan dua jenis baru dinosaur spesies spinosaurus oleh pasukan pengkaji paleontologi UK diketuai Chris Barker.

Spinosaur merupakan kumpulan dinosaur pemangsa berbadan besar yang terkenal dengan penampilan fizikalnya menyerupai buaya. Berdasarkan ukuran dan analisis yang dibuat, dua fosil spinosaurus ini sudah pasti mampu menakutkan sesiapa yang melihatnya. Kedua-duanya berukuran 26 kaki panjang dari hidung ke ekor dan 6.6 kaki tinggi pada paras pinggul.

Dua fosil yang ditemui bersifat fragmen tetapi diharap dapat menambah maklumat baru tentang spinosaurus itu sendiri. Ini termasuk menerangkan asal-usul evolusi dinosaur berkenaan dengan mengenalpasti carta keluarga kumpulan spinosaurus. Maklumat ini amat membantu pakar-pakar paleontologi yang mengkaji spinosaurus muncul di sungai-sungai sekitar Afrika Utara kira-kira 95 juta tahun yang lalu.

Penemuan dua fosil ini turut memberi harapan kepada komuniti saintifik Eropah dan UK bahawa masih banyak lagi fosil menanti masa untuk ditemui. Kedua-dua fosil yang diberi nama Ceratosuchops inferodios dan Riparovenator milnerae ditemui di kawasan formasi set batuan lebih meluas yang dikenali sebagai Formasi Wessex. Sejak awal abad ke-19, ia menjadi tumpuan para pengkaji untuk aktiviti penggalian fosil dinosaur.

Di sebalik fakta spinosaurus sudah dikaji oleh komuniti saintifik selama lebih seabad, usaha membina semula gambaran fizikal haiwan ini memakan masa yang lama. Menariknya, fosil terawal dinosaur ini merupakan fragmen tu.la.ng yang mu.sn.ah semasa Pe.ra.ng Dunia Kedua (WWII) sekaligus menyukarkan saintis mengetahui gambaran sebenar haiwan berkenaan.

Tetapi semua itu berubah pada 1986 apabila dua ahli paleontologi British, Alan Charig dan Angela Milner menemui fosil spinosaurus yang hampir lengkap di satu kawasan batuan di Surrey, England. Fosil spinosaurus ini dikatakan hidup sekitar 129 hingga 125 juta tahun yang lalu. Fosil yang diberi nama Baryonyx walkeri ini menjadi petunjuk ciri fizikal spinosaurus untuk fosil-fosil yang ditemui di negara-negara lain seperti Sepanyol, Australia dan Thailand.

Antara ciri fizikal dinosaur ini ialah mempunyai teng.ko.rak persis seekor buaya, kuku di bahagian hadapan yang ta.j.am dan leher yang langsing dan panjang. Tetapi Baryonyx bukan satu-satunya spinosaurus yang dijumpai di situ. Ini kerana penemuan fosil-fosil lain seperti gigi menunjukkan terdapat kepelbagaian spesies dinosaur ini wujud di kawasan berkenaan.

Untuk menjawab misteri ini, Barker yang merupakan calon PhD dari Universiti Southampton menghubungi mentornya bernama Neil Gostling untuk kajian tesis kedoktorannya. Dalam tempoh beberapa tahun, beliau dan rakan-rakan penyelidiknya merasa pelik dengan ciri fizikal berbeza pada kedua-dua fosil. Apabila data kedua-dua fosil diterjemah dalam bentuk model komputer, kedua-dua fosil spinosaurus ini mewakili dua jenis spinosaurus yang berbeza. Dua fosil dari Isle of Wight ini mempunyai kaitan dengan Baryonyx dan sejenis spinosaurus yang ditemui di Niger iaitu Suchomimus.

Yang pasti, dua fosil ini tidak menjawab persoalan sama ada kedua-duanya saling bertindih antara satu sama lain dan kaitan dengan Baryonyx. Disebabkan kedua-dua fosil dijumpai di kawasan tebing tinggi yang terdedah, amat sukar untuk mengetahui lapisan batu mana yang menutup kedua-dua fosil. Anggaran terbaik yang diberi ialah 129 hingga 125 juta tahun lalu semasa era awal Cretaceous.

Kajian yang dijalankan Barker turut mendapati spinosaurus sebenarnya berasal dari hemisfera utara atau Eropah. Ini bermakna pada satu ketika, dinosaur berkenaan berkelana ke Afrika sebanyak dua kali. Gelombang pertama membawa kepada kewujudan Suchomimus di Niger. Sementara gelombang kedua pula membawa kepada kemunculan Spinosaurus dan keturunannya di Afrika Utara.

Cuma yang menimbulkan persoalan ialah ketiadaan fosil spinosaurus di Amerika Utara. Pada satu ketika semasa era pra-sejarah, Amerika Utara dan benua Asia bersambung sekaligus membolehkan pelbagai spesies dinosaur bergerak antara dua kawasan berkenaan. Dan Amerika Utara turut mempunyai habitat kegemarannya dengan lapisan pembentukan batu di Montana, Wyoming, Utah, Texas dan Maryland wujud dalam era sama dengan dinosaur berkenaan.

Mungkin ada yang membuat kesimpulan spinosaurus tidak wujud di situ. Tetapi bagi ahli paleontologi dari Universiti Maryland, Tom Holtz, tiada yang mustahil. Apa yang diperlukan ialah penemuan satu fosil spinosaurus termasuk tu.la.ng atau gigi.

Yang pasti, penemuan dua fosil spinosaurus ini menggembirakan komuniti Isle of Wight. Dengan kedua-duanya ditempatkan di Muzium Dinosaur Isle of Wight, ia berpotensi sebagai mercu tanda kebudayaan dan tarikan pelancong baru pulau berkenaan.

RUJUKAN

Greshko, Michael. (2021, 2 Oktober). Fierce ‘hell heron’ dinosaur puts new wrinkles in Spinosaurus origin story. National Geographic.

Gambar ilustrasi: Anthony Hutchings.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.