Antara teknik rawatan baru yang banyak membantu pesakit kanser ialah terapi sel Chimeric Antigen Receptor-T (CAR-T). Kebiasaannya, terapi sel-T ini digunakan untuk sesetengah kanser darah seperti leukemia lymphocytic akut (ALL) dan limfoma. Tetapi menerusi satu kajian terbaru, sel CAR-T masih ada dalam badan dua pesakit yang menerima rawatan terapi ini tanpa sebarang tanda penyakit kanser kembali.
Ini menunjukkan bahawa sel CAR-T dianggap penawar terbaik bagi sesetengah kanser darah. Begitupun, untuk menggunakannya untuk merawat tumor masih dianggap mencabar dan memerlukan penambahbaikan oleh pakar-pakar perubatan.
Sebelum ini, dalam banyak ujian percubaan terapi CAR-T, terapi ini berjaya membantu pesakit kanser pulih selepas diberi tempoh beberapa bulan untuk hidup. Bagaimanapun, kesan jangka panjang terapi ini tidak pernah dikaji secara mendalam oleh komuniti perubatan. Tetapi semua itu berubah menerusi penerbitan kajian Profesor Carl June dari Universiti Pennsylvania dalam jurnal Nature.
Dalam kajiannya, beliau mendapati sel yang diubahsuai menerusi terapi CAR-T ini masih berupaya mengesan dan membunuh sel kanser walaupun selepas 10 tahun. Sel-sel ini diambil daripada dua orang pesakit limfoma yang menjalani terapi CAR-T pada 2010. Kedua-duanya disahkan pulih daripada kanser dengan semua simptom kanser yang dialami hilang.
Salah seorang pesakit ini ialah Doug Olson. Olson, 75, merasakan dunianya hancur berkecai selepas doktor mendiagnosis dirinya menghidap leukemia limfosit pada 1996. Setelah itu, dia mula menjalani rawatan kemoterapi dan pada satu ketika, doktornya Dr David Potter mencadangkan pemindahan tulang sum-sum untuk membantunya pulih. Dr Potter turut mencadangkan Olson menyertai ujian percubaan terapi sel CAR-T sebagai rawatan alternatif.
Dia melihat terapi sel CAR-T sebagai alternatif terbaik kepada prosedur berkenaan dan melihatnya sebagai cara sains melawan penyakit ini. Beberapa minggu selepas menjalani terapi berkenaan, Olson jatuh sakit selama seminggu dan dimasukkan ke hospital selama tiga hari.
Dia masih ingat pada minggu berikutnya, dia bertemu semula dengan Dr Potter. Dalam pertemuan tersebut, beliau mendedahkan satu berita baik kepada Olson: tiada satu pun sel kanser dikesan dalam badannya. Keputusan sama turut dialami oleh seorang lagi pesakit, pesara Bill Ludwig.
Apabila mereka memeriksa darah kedua-dua bekas pesakit itu, mereka terkejut melihat sel CAR-T masih aktif dan membantu sel lain membentuk tindak balas sistem imun kepada sel kanser. Profesor June merasakan melalui dapatan ini, sel CAR-T tetap meronda memburu sel kanser yang berpotensi. Ini menunjukkan fungsi sel-T yang diubahsuai itu terus aktif walaupun selepas tempoh yang lama.
Bagi Profesor Martin Pule, penerbitan kertas kajian ini dianggap sesuatu yang hebat. Ini kerana ia memberi alternatif pemulihan kepada pesakit yang tidak memberi tindak balas terhadap rawatan kemoterapi. Bagi Profesor David Potter pula yang terlibat dalam kajian ini, melihat pesakit yang pulih dan tidak lagi diganggu dengan kanser memperlihatkan terapi sel CAR-T sebagai penawar untuk sesetengah kanser darah.
Begitupun, tidak semua kanser seperti tumor berkesan dengan terapi sel CAR-T. Ini kerana menurut Prof Pule, tumor kebiasaannya dikelilingi oleh protein dan sel yang melindungi mereka daripada tindak balas sistem imun. Protein dan sel sebegini digelar persekitaran mikro tumor. Selain itu, terapi sebegini memakan kos yang mahal tetapi Prof June percaya kosnya boleh diturunkan seiring dengan perubahan semasa.
Walaupun terapi sel CAR-T terbukti boleh menewaskan tumor kanser seperti neuroblastoma, tetapi ia diatasi oleh persekitaran mikro yang mengelilingi tumor berkenaan. Bagaimanapun, ketika ini, ujian percubaan klinikal terapi sel CAR-T generasi kedua sedang dijalankan. Terapi sel CAR-T ini telah direka bukan saja untuk mengenalpasti tumor tetapi berupaya menangkis tekanan persekitaran mikro.
Menariknya, kedua-dua Olson dan Ludwig menikmati kehidupan normal bertahun-tahun selepas diberitahu mereka hanya mempunyai hayat beberapa bulan akibat kanser. Selepas pulih, Olson menyertai pelbagai acara maraton sehingga 2018. Sementara Ludwig pula mengembara ke seluruh Amerika Syarikat dengan karavan dan meraikan pelbagai keraian bersama keluarga selepas disahkan pulih.
Bagaimanapun, bekas pegawal penjara itu meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 pada awal tahun lepas. Bagi Olson pula, dia sentiasa bersyukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada penemuan sains terkini yang menyelamatkan nyawanya. Baginya, ia merupakan satu harapan yang berupaya mengejutkan semua orang.
RUJUKAN
Geddes, L. (2022, 2 Februari). First patients of pioneering CAR T-cell therapy ‘cured of cancer’. The Guardian.
Ungar, L. (2022, 3 Februari). Doctors: Cancer patients cured a decade after gene therapy. Associated Press.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih