Sesebuah negara yang merdeka pastinya
mempunyai bendera dan lagu kebangsaan mereka yang tersendiri. Ia melambangkan
identiti dan jati diri buat rakyat di sesebuah negara tersebut. Ini tidak
terkecuali bagi negara Malaysia yang kita cintai ini. Jika sebelum ini kita
telah berkenalan dengan tokoh yang mencipta bendera kebangsaan kita iaitu Jalur
Gemilang, kali ini kita akan mengenali tokoh yang menggubah lagu kebangsaan
kita iaitu Negaraku.
Nyanyian Lagu
Negaraku yang sering kali berkumandang pada setiap hari di serata pelusuk
negara melambangkan bahawa negara kita merdeka dan tidak dikongkong oleh
mana-mana pihak lain. Kita perlu bersyukur pada setiap hari jika kita masih
dapat mendengar alunan lagu kebangsaan ini. Jika kita imbau kembali ketika mana
Jepun menduduki negara kita, rakyat dipaksa untuk menyanyikan lagu kebangsaan
Jepun. Ia menunjukkan bahawa rakyat negara kita memberikan sepenuh taat setia
kepada pemerintah negara matahari terbit tersebut.
Kita sering kali mendengar bahawa lagu Negaraku mengambil melodi dan rentak daripada lagu negeri Perak. Akan tetapi kita jarang sekali ataupun mungkin tidak pernah mendengar nama Allahyarham Saiful Bahri yang merupakan individu bertanggungjawab dalam mencipta lagu tersebut. Gerangan ini lah yang telah menyusun bait-bait kata yang menjadi lambang perpaduan rakyat negara kita yang berbilang kaum ini. Susun kata tersebut juga menjadi bukti taat setia rakyat terhadap raja dan negara ini.
Pada tahun 1957, sebelum mencapai kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman telah mengetuai barisan kehakiman untuk menentukan lagu kebangsaan Tanah Melayu pada ketika itu. Dalam pertandingan itu, terdapat sebanyak 514 penyertaan yang telah diterima tetapi malangnya tidak ada satu pun yang berjaya menambat hati juri.
Pada ketika itu, kebanyakkan negeri yang berada di bawah Tanah Malaya sudah pun mempunyai lagu kebangsaan mereka yang tersendiri. Panel telah bersetuju untuk memperdengarkan setiap lagu negeri dan telah memilih lagu Negeri Perak untuk dijadikan sebagai lagu kebangsaan. Keputusan jemaah hakim ini kemudian telah dikemukakan kepada Majlis Raja-raja Melayu. Setelah dipersetujui, kerajaan telah mengeluarkan tawaran RM1,000 kepada pengubah untuk mencipta seni katanya. Tawaran ini telah dimenangi oleh Encik Saiful Bahri dan lagu kebangsaan Negaraku gubahan beliau terdapat dalam 3 versi.
Saiful Bahri telah dilahirkan pada 19 September 1924 . Beliau merupakan seorang yang berasal dari negara seberang iaitu Payakumbuh, Sumatera Barat, Indonesia. Saiful Bahri memulakan kerjaya awalnya sebagai seorang konduktor bagi pasukan orkestra dan turut menjadi penulis lagu di Indonesia. Setelah berhijrah ke Tanah Melayu, beliau terus menabur bakti dengan menggunakan kebolehannya di dalam bidang muzik di Filem Negara Malaysia yang sekarangnya lebih dikenali sebagai Finas. Sebelumnya, beliau telah berkhidmat sebagai seorang Pegawai Khas kepada Menteri Penerangan pada ketika itu iaitu Senu Abdul Rahman
Figura hebat ini bukan sahaja hanya menulis lirik lagu Negaraku, beliau turut menjadi penggubah lagu bagi beberapa buah negeri di Malaysia seperti Selangor dan Melaka. Pada tahun 1966, Sultan Selangor telah memberi perkenan untuk menjadikan lagu yang bertajuk “Duli Yang Maha Mulia” sebagai lagu rasmi bagi negeri Selangor. Pertukaran ini berlaku selepas baginda sultan mendengar lagu yang ditulis oleh Encik Saiful Bahri yang merupakan Pengarah Orkestra Filem Negara Malaysia ketika baginda dalam rangka lawatan ke studio Filem Negara Malaysia.
Bukan itu sahaja, Saiful Bahri turut menjadi penulis buat beberapa lagu patriotik yang sering kali meniti di bibir dan halwa telinga rakyat negara ini. Antara lagu karangan beliau yang mampu menusuk kalbu setiap pendengarnya ialah ‘Inilah Barisan Kita’ serta ‘Malaysia Berjaya’. Lagu-lagu seperti ini mempunyai nilai patriotik yang sangat tinggi dan menjadi pilihan utama ketika bulan kemerdekaan. Sentuhan magis yang dilakukan oleh Saiful ini seakan akan mampu meruntunkan jiwa para pendengar dan membina sebuah semangat patriotik untuk berjuang buat negara tercinta ini.
Disebalik kehebatan Saiful Bahri ini, penulis amat kesal dengan penghargaan yang diberikan kepada komposer ini. Jika ditanya kepada masyarakat umum, penulis disini yakin dan percaya tidak ramai yang arif dengan nama figura ini. Kita amat arif dengan lagu penulisannya tetapi kita tidak kenal dengan pencipta lagu tersebut. Pengiktirafan juga amatlah kurang diberikan kepada beliau yang sudah menabur banyak bakti kepada industri muzik di negara kita. Lagu karangan beliau bukan bersifat melalaikan tetapi lebih bersifat menyemarakkan semangat patriotik dan membela negara.
Difahamkan, waris Allahyarham
Saiful Bahri sehingga harini masih menuntut pembelaan yang sepatutnya buat
ayahnya ini. Warisnya, Qus Nafiah berkata penggubah lagu Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP), lagu negeri Selangor dan Melaka ini tidak pernah mendapat
royalti serta penghargaan yang sepatutnya. Seperti terdapat usaha daripada
pihak tertentu yang cuba menidakkan hasil karya penulis hebat ini yang
sememangnya mampu menyatupadukan rakyat negara ini.
Sebagai penutup, tahun ini, 62 tahun negara Malaysia sudah merdeka turut membawa maksud bahawa sudah 62 tahun juga lagu Negaraku berkumandang di negara kita. Penulis amat berharap agar figura hebat ini diangkat sebagai seorang pejuang negara. Angkatlah beliau sebaris dan sama taraf seperti seniman agung negara iaitu Tan Sri P. Ramlee. Ya, tidak dinafikan beliau tidak berjuang mengangkat senjata membunuh musuh tetapi beliau lah yang menjadi penyebab yang menaikkan semangat pejuang yang membunuh musuh tersebut.
Saiful Bahri telah menghembuskan nafas beliau yang terakhir ketika berada di Tokyo pada tahun 1976. Semoga ada pihak yang melakukan langkah drastik dalam mengangkat pejuang negara ini. Semoga juga jasa dan pengorbanan wira negara ini tak lapuk dek panas tak lekang dek hujan serta tidak tenggelam dalam arus kemodenan masa pada harini. Ingatlah, bangsa yang bermaruah adalah bangsa yang menghargai jasa pahlawannya. Semoga roh pejuang negara ini dicucuri rahmat oleh tuhan yang Maha Esa. Al- Fatihah
RUJUKAN:
I- Kenanglah jasa
Saiful Bahri, Mohamed Hamzah. https://www.hmetro.com.my/node/161381
II- Sejarah Dan Kaitan Irama Lagu Negeri Perak Dan
Negaraku.
.https://www.orangperak.com/sejarah-dan-kaitan-irama-lagu-negeri-perak-dan-negaraku.html
III- Waris tuntut royalti lagu Negaraku.
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/waris-tuntut-royalti-lagu-negaraku-185787
IV- Saiful Bahri, Pencipta Lagu Kebangsaan Malaysia
https://www.sejarah.my/saiful-bahri-pencipta-lagu-kebangsaan-malaysia/
V- ‘Dah berpuluh tahun
menunggu’
https://www.hmetro.com.my/rap/2018/09/374852/dah-berpuluh-tahun-menunggu
VI- Sejarah awal penciptaan lagu rasmi beberapa negeri di Malaysia.
http://harithsidek.blogspot.com/2013/06/sejarah-awal-penciptaan-lagu-lagu-rasmi.html
VII- Antara Saiful Bahari dan Suria Buana
http://www.maarofkassim.com/2013/03/antara-saiful-bahari-dan-suria-buana.html




No comments yet