Turki merupakan sebuah negara yang kaya dengan sejarah peradaban dunia dari tamadun Rom dan Rom Timur (Byzantine) hinggalah bumi kisah para anbia. Ia mungkin sinonim dengan figura sekular terkenal dan Bapa Turki Moden, Mustafa Kamal Ataturk tetapi ia juga sinonim dengan ulama terkenal pasca-era Ataturk iaitu Bediuzzaman Said Nursi.
Nursi bukan saja bertanggungjawab mengembalikan sinar Islam di bumi Turki tetapi juga bertanggungjawab memperkenalkan pembaharuan pendidikan dalam kitabnya Rasail An-Nur.
Said Nursi atau nama sebenarnya Said Nursi bin Mirza dilahirkan di Nurs, Bitlis. Para sejarawan dan cendekiawan berbeza pendapat tentang tahun sebenar kelahirannya. Ini kerana ada yang berpandangan beliau lahir pada tahun 1873 Masihi/1290 Hijrah sementara sekumpulan lagi bersepakat meletakkan tahun 1877 Masihi/1293 Hijrah.
Namun, majoriti penulis dan sejarawan meletakkan 1877 Masihi/1294 Hijrah sebagai tahun kelahirannya. Kedua-dua ibu bapanya, Mirza dan Nuriyyah dikatakan mempunyai susur-galur ahlul bayt (keluarga Rasulullah s.a.w) dengan Mirza berasal dari keturunan Hasan bin Ali r.a sementara Nuriyyah pula dari keturunan Husin bin Ali r.a.
Sejak dari kecil lagi, Nursi dikenali sebagai individu yang terang hati dan mendapat pendidikan dari golongan ulama di kampung halamannya. Dan dari tahun 1891 hingga 1894, beliau menggunakan tahun-tahun tersebut bukan saja untuk mempelajari ilmu agama bahkan ilmu-ilmu duniawi seperti kimia, geologi, matematik, falsafah dan sejarah.
Selepas menginjak usia dewasa, Nursi memperuntukkan tahun-tahun terakhir Empayar Turki Uthmaniyyah sebagai pereformasi sistem pendidikan dan figura penyatuan ummah. Malah pada tahun-tahun itu juga, dengan berpandukan pengalaman pembelajarannya terdahulu, beliau turut mencadangkan penubuhan sebuah universiti yang menggabungkan pengajaran agama dan ilmu duniawi sebagai sebahagian daripada agenda reformasi pendidikannya. Namun, hasratnya itu tidak tercapai apabila Perang Dunia Pertama meletus dan kejatuhan empayar tersebut pada tahun 1922.
Selepas kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyyah dan kebangkitan Ataturk sebagai figura utama rejim sekular Turki, kelibat Nursi amat popular dalam kalangan orang ramai hingga menimbulkan kebimbangan rejim. Bagi menyekat pengaruhnya dari tersebar dan pada masa sama memberi kesahihan kepada rejimnya,
Ataturk menawarkan jawatan Menteri Hal Ehwal Agama kepadanya tetapi ditolak. Dan itu juga merupakan permulaan kepada perpecahan antara beliau dengan kelompok Kemalis (penyokong Ataturk) berikutan keinginannya memperbaharui pendekatan tradisional Islam berbanding mengikut kaedah asimilasi tak bertempat mereka. Akibatnya, Nursi kemudiannya dibuang daerah ke Isparta atas pelbagai kesalahan termasuk melaungkan azan dalam Bahasa Arab.
Semasa di Isparta, beliau meneruskan peranannya sebagai guru dan dai’e kepada penduduk tempatan sehingga menggusarkan gabenor wilayah tersebut. Akibatnya, Said sekali lagi dibuang ke sebuah perkampungan bernama Barla. Di Barlalah, sebahagian besar daripada karya ulungnya Rasail An-Nur dihasilkan. Kitab ini terdiri daripada 130 buah risalah yang dihimpunkan dalam 14 jilid besar.
Risalah-risalah ini dikumpulkan dalam bentuk buku-buku di bawah tajuk-tajuk seperti Sozler, Shualer, Lemalar, Mektubaat dan lain-lain lagi. Rasail an-Nur juga merupakan nama panggilan umum yang diberikan untuk kesemua tajuk-tajuk ini. Ini bermakna setiap penulisan dan pemikiran Nursi yang tercatat digelar sebagai Rasail an-Nur dan berjumlah enam ribu muka surat.
Rasail an-Nur merupakan koleksi kuliah tarbiyah Said sepenuhnya berasaskan al-Quran yang menyentuh soal keimanan. Kerana itulah Rasail an-Nur juga turut dikenali sebagai ’Kulliyatul Rasail al-Nur’. Sumber utamanya adalah al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Kitab ini dikarang sendiri oleh Nursi dan adakalanya turut ditulis oleh anak-anak murid beliau sebelum disemak semula olehnya.
Usaha mengarang kitab ini bukanlah sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi dengan tekanan yang dikenakan rejim sekular ke atas pengamalan agama Islam. Sesiapa yang didapati membantu penghasilan karya ini berpotensi dikenakan tindakan tegas pihak berkuasa termasuk dipenjara dan diseksa.
Tetapi bagi Nursi, semua ini ditempuh dengan tabah. Selain menggunakan masanya di Barla untuk beribadat, beliau juga memperuntukkan masanya untuk mengajar tafsir al-Quran secara rahsia kepada penduduk tempatan. Masa tersebut turut dimanfaatkan untuk menghabiskan baki sepertiga Rasail An-Nur di sebuah pondok yang dibina oleh seorang pelajarnya. Pada awalnya, Rasail An-Nur dikenali sebagai Sozler (Kalimat) sebelum dikenali dengan nama ini hari ini.
Menerusi Rasail An-Nur, Nursi merasakan jika hendak melakukan perubahan pada sesebuah negara, ia harus bermula dengan sistem pendidikan. Ini kerana menurut beliau, mengubah mentaliti dan keperibadian seseorang bukanlah sesuatu yang mudah.
Ia perlu diubah melalui proses pembelajaran dan pendidikan sejak dari kecil lagi iaitu di peringkat sekolah rendah, menengah, dan seterusnya peringkat pengajian tinggi. Keinginan Nursi turut didorong dengan kefahaman bahawa pendidikan Islam adalah milik umat Islam tanpa mengira latar belakang, keturunan, bangsa dan kawasan mereka.
Justeru bagi mencapai matlamat sedemikian, maka umat Islam harus menerima sains sebagai sumber dan ilmu yang bermanfaat. Pemikiran dan nasib umat Islam tidak akan berkembang maju jika terus memisahkan diri dari menerima ilmu-ilmu sains dan segala bidang ilmu yang berkaitan dengannya.
Umat Islam perlu bangkit dan menolak retorik sempit bahawa mempelajari ilmu sains berlawanan dengan Islam. Bagi Nursi, segala ilmu yang wujud pada hari ini termasuk ilmu sains ialah ilmu yang tercatat di dalam lembaran al-Quran.
Tambahnya, kitab Rasail an-Nur sarat dengan pelbagai lapangan ilmu baik ilmu duniawi mahupun ukhrawi. Risalah-risalah dalam himpunan karya tersebut banyak menyentuh tentang ilmu sains dan alam, baik secara umum mahupun secara khusus. Beliau juga selalu mengaitkan ilmu sains dengan al-Quran baik dalam bentuk penulisan, ucapan dan tindakannya. Said turut mengulas kaitan ilmu sains dengan al-Quran dalam kitabnya itu:
“Sesungguhnya, al-Qur’an, alam semesta dan manusia ialah tiga jenis manifestasi dari satu kebenaran. Al-Qur’an, yang berasal dari sifat firman Ilahiyyah, bisa dianggap sebagai alam semesta, yang berasal dari sifat kuasa dan kehendak Ilahiyyah, bisa dianggap sebagai al-Qur’an yang diciptakan.
Jadi, dari sudut pandang ini, alam semesta adalah pasangan dari al-Qur’an yang tidak akan bertentangan dengan Islam. Oleh karena itu, sekarang, saat sains berjaya, dan juga kelak, yang akan menjadi zaman pengetahuan, keimanan yang sejati harus didasarkan pada argumen dan penyelidikan, juga pada pemikiran yang terus-menerus terhadap tanda-tanda Allah di alam semesta, pada fenomena, “alam”, sosial, historis dan psikologis.
Keimanan bukanlah sesuatu yang didasarkan pada taqlid yang membuta. Keimanan harus terjadi atas intelektualitas atau nalar dan kalbu, keimanan menggabungkan penerimaan dan penegasan nalar dan pengalaman serta penyerahan kalbu.” (Petikan dari Risalah An-Nur: Said Nursi: Pemikir dan Sufi Besar Abad 20
(Menjawab yang Tak Terjawab, Menjelaskan yang Tak Terjelaskan), Jakarta: Murai Kencana. Halaman 22. (2003))
Bagi mereformasikan sistem pendidikan, ia seharusnya dimulakan di bangku sekolah dan ia dapat dicapai dengan melaksanakan lima dasar ini:
1. Mengkaji konsep hubungan dan pemahaman terhadap ilmu kemodenan dan agama.
2. Berniat menegakkan kembali Empayar Turki Uthmaniyyah dengan kembali kepada tradisi keilmuan yang bersifat inklusif.
3. Mengadakan kegiatan diskusi dan pembacaan tulisan Rasail an-Nur.
4. Menyebarluaskan ajaran Rasail an-Nur kepada masyarakat.
5. Mendirikan asrama yang menjadi pusat akademik.
Sebagai langkah permulaan, beliau berpandangan keperluan pengharmonian antara tiga cabang utama sistem pendidikan di peringkat sekolah-sekolah rendah dan menengah iaitu medrese atau sekolah agama, mektebs atau sekolah umum (sains), dan teks atau tarekat sufi bersama disiplin ilmu yang berkaitan dengannya.
Penekanaan ketiga-tiga cabang utama sistem pendidikan sekolah ini terjadi berikutan pengalaman yang dilalui sendiri oleh Nursi semasa beliau membesar. Beliau melihat sekolah agama atau medrese harus mengajar mata pelajaran sains dan sekolah umum (Mektabs) harus mengajar mata pelajaran agama.
Kaedah ini dirasakan tepat bagi memenuhi matlamat melahirkan manusia yang ‘hasanah’ dunia dan akhirat. Said pernah berkata, “Dengan cara ini, penuntut-penuntut sekolah moden (sekular) akan dilindungi dari kekufuran dan penuntut-penuntut sekolah agama pula terpelihara dari sikap taksub.”
Selain melakukan perubahan di peringkat sekolah, Said juga mahu melihat reformasi di peringkat universiti. Salah satu idea reformasinya ialah penubuhan sebuah universiti yang dipanggil Universiti Zahra atau Madrasah Az-Zahra. Universiti ini mengambil nama dari dan menggunakan silibus pelajaran Universiti al-Azhar, Mesir.
Namun berbeza dengan universiti-universiti lain ketika itu, beliau mahu menggabungkan pengajian bersepadu membabitkan ilmu sains dan agama pada satu-satu masa. Ini membolehkan pelajar dapat didedahkan dengan dua disiplin ilmu pada satu-satu masa.
Menurut Nursi, bentuk dan silibus pengajian dalam madrasah itu nanti akan memberi perhatian sewajarnya terhadap pengharmonian dua bidang utama ilmu iaitu ilmu agama dan ilmu sains. Proses ini akan terus berjalan seiring dengan kemajuan dan kemodenan dunia pada hari ini.
Selain itu, sukatan pelajaran universiti juga bakal mempunyai program pendidikan yang bermanfaat meliputi pengajian metodologi (kaedah) dan prinsip pendidikan sains (moden). Justeru tidak hairanlah semasa membentangkan rancangannya itu kepada kerajaan Uthmaniyyah ketika itu, beliau turut menggariskan beberapa syarat:
- Tenaga pengajar dipilih dari kalangan golongan berpendidikan berbangsa Kurdis atau berupaya menguasai bahasa tempatan.
- Pembentukan kajian dibuat bagi mengenalpasti tahap keupayaan pelajar supaya pembelajaran mereka akan menghasilkan graduan yang benar-benar menguasai sesuatu bidang yang diminati. Namun pada masa sama, hubungan mereka dengan bidang-bidang lain masih tetap diberi perhatian.
- Graduan yang berjaya diberi peluang adil seperti mana graduan-graduan dari institusi-institusi yang lain.
- Sumber kewangan diraih melalui sumber wakaf, zakat, derma masyarakat atau pinjaman.
- Pendidikan berdasarkan pada sumber dasar Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah
- Kehidupan dunia dan akhirat dianggap sebagai satu kesatuan (dipandang dalam suatu pandangan).
- Ilmu agama dan ilmu pengetahuan umum (Sains) diajarkan bersama-sama.
- Chauvinisme dan nasionalisme (rasa kebangsaan) tidak harus ditonjolkan (dikibarkan), tetapi semangat Islamlah yang menjadi dasar.
- Pendidikan berdasarkan persaudaraan, persatuan dan kesatuan.
- Pendidikan harus mencerminkan al-Quran
- Para pelajar harus memiliki jiwa yang bersemangat, syukur dan harapan.
- Pendidikan Islam harus dimulai dari individu itu sendiri.
- Bakat, kemampuan dan keinginan manusia harus diperhatikan.
- Pendidikan bersifat bebas, terbuka dan bermanfaat bagi masyarakat umum (society).
- Para pelajar dan pihak sekolah tidak terlibat dalam gerakan politik.
- Pendidikan harus memiliki target dan tujuan yang tinggi dan murni.
Walaupun usaha penubuhan universiti ini tidak berjaya, ia kemudian membawa kepada penubuhan Fakulti Ilmu Wahyu di Universiti Irdurum. Pada awalnya, ia terdiri daripada 25 pelajar sahaja sebelum bilangan tersebut semakin bertambah dari semasa ke semasa. Keadaan ini berlaku apabila Nursi menetapkan syarat pelajar yang mengambil jurusan di bawah fakulti tersebut tidak berpindah dari universiti berkenaan atau menarik diri dari kursus yang ditawarkan.
Selain itu, kursus yang ditawarkan dalam fakulti berkenaan menggunakan kitab Rasail an-Nur sebagai sumber utama rujukan pembelajaran. Ini kerana beberapa risalah yang terkandung dalam kitab berkenaan mengandungi pelbagai unsur seperti motivasi pelajar, mendidik keterampilan pelajar, membantu menyelesaikan masalah setiap pelajar, melakukan pemerhatian, melatih diri dengan kewajiban ibadah dan menanamkan perasaan cinta kepada para anbia.
Kerana itulah, silibus pelajaran yang ditawarkan Nursi dalam Rasail an-Nur sering memberi penekanan kepada penanaman nilai-nilai pendidikan dan isi kandungan yang bersifat pembentukan keperibadian Muslim. Idea penggunaan kitab sebegini dianggap sesuatu yang baru kerana kebanyakan ulama Turki ketika itu masih menekankan penggunaan kitab-kitab karangan ulama terdahulu dalam soal pengajaran dan pembelajaran mereka. Sementara Nursi pula menjadikan kitabnya sebagai bahan rujukan utama universiti-universiti termasuk universiti yang dicadangkannya.
Di samping penggunaan kitab Rasail an-Nur, proses pembaharuan pendidikan harus membabitkan tiga bahasa iaitu Bahasa Arab, Bahasa Turki dan Bahasa Kurdis. Ketiga-tiga bahasa ini ditekankan berikutan Bahasa Arab merupakan bahasa al-Quran dan teras kepada kefahaman agama.
Manakala Bahasa Turki dan Bahasa Kurdis diharuskan untuk dituntut dan diperkasakan. Hal ini amat ditekankan Nursi kerana beliau mahu pelajar-pelajarnya bukan saja berkemahiran dalam pelbagai bidang tetapi juga berupaya bertutur dalam pelbagai bahasa sebagai satu cara mengangkat martabat umat Islam di Turki.
Namun di sebalik semua ini, tekanan demi tekanan terus dikenakan terhadap Nursi dan para pengikutnya termasuk hukuman penjara dan buang daerah. Semua tuduhan bagaimanapun ditarik balik dan beliau diberi pengampunan pada tahun 1956.
Pada tahun-tahun terakhir kehidupannya, Said menetap di bandar Isparta dan menyeru para pengikutnya menyokong Adnan Menderes berikutan kesediaannya mengembalikan semula sedikit kebebasan beragama. Pada tahun sama beliau diberi pengampunan, bukunya turut dibenarkan dicetak dengan kebanyakannya dikumpul di bawah Rasail An-Nur.
Empat tahun selepas itu, Nursi kembali ke hadrat Ilahi pada 23 Mac 1960 akibat keletihan selepas mengadakan perjalanan ke Urfa. Beliau dimakamkan di lokasi sama yang menempatkan makam Nabi Ibrahim a.s. Bagaimanapun, kuburnya dibongkar oleh sekumpulan tentera diketuai pengasas Parti Gerakan Nasionalis Alparslan Turkes dan dikebumikan semula di satu kawasan yang tidak diketahui atas alasan mengelak ia menjadi pujaan.
Selepas bertahun-tahun mencari lokasi kuburnya, para pengikut Nursi mengebumikan semula jenazahnya di satu tempat rahsia untuk mengelak dari menjadi mangsa gangguan kelompok sekular.
SUMBER
Abd Latif, Faizuri dan Hj Mohd Noor, Muaz. (2012). TAJDID PENDIDIKAN BADIUZZAMAN SAID NURSI DALAM KITAB RASAIL AN-NUR. Jurnal Al-Tamaddun Bil. 7(1), 135-147. https://umexpert.um.edu.my/file/publication/00007557_81901.pdf
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih