Satu masa dahulu, India menyaksikan kemunculan seorang figura keagamaan yang mendakwa dirinya mempunyai kuasa luar biasa dan mampu membuat pelbagai ramalan termasuk bila dia akan mati. Tetapi 11 tahun sebelum umurnya mencecah 96 tahun, Sathya Sai Baba kembali ke negeri cacing pada 2011. Dan jika diselidiki kisahnya, ia dipenuhi dengan kain kotor di sebalik lagaknya sebagai figura berstatus pendeta.

Lahir pada November 1926, Sathya atau nama sebenarnya Ratnakaram Sathyanarayana Raju dikatakan sudah mempunyai bakat menghasilkan objek secara tiba-tiba dan mempunyai minat mendalam terhadap dunia spiritual. Menjelang usia 14 tahun, dia disengat oleh seekor kala jengking dan mula menunjukkan tanda-tanda halusinasi. Bukan sekali Sathya dibawa berubat sama ada melalui kaedah moden mahupun tradisional tetapi tidak berhasil.

Sathya semasa berusia 14 tahun, tidak lama selepas mengisytiharkan dirinya jelmaan Sai Baba.

Pada Mei 1940, dia memanggil semua ahli keluarganya berkumpul dan berupaya menghasilkan bunga dan gula-gula di hadapan mereka. Bapanya yang semakin risau mengancam akan memukulnya dengan kayu sekiranya syaitan yang merasuk anaknya itu tidak mendedahkan siapa dirinya. Lalu Sathya mendedahkan bahawa dirinya ialah jelmaan Sai Baba – orang suci era abad ke-19 yang menjadi sanjungan golongan Hindu dan Muslim India. Sejak itulah, dia selalu memperkenalkan dirinya sebagai Sathya Sai Baba.

Sejak itu, Sathya membina reputasinya sebagai seorang pengubat dan ada kelebihan mistik termasuk sebagai peramal nasib. Walaupun kebanyakan helahnya didedahkan sebagai silap mata ringkas oleh pelbagai pakar, itu langsung tidak melunturkan sokongan orang ramai terhadapnya. Malah, ada yang bertindak menyamakan Sathya sebagai gambaran Tuhan di muka bumi.

Salah seorang yang membuat dakwaan ini ialah bekas rahib Vatican, Don Mario Mazzoleni. Mazzoleni menerusi bukunya A Catholic Priest Meets Sai Baba menyamakan Sathya dan Jesus sebagai gambaran Tuhan sama di atas muka bumi.

Don Mario Mazzoleni

Bagaimanapun, dakwaan ini mengundang kemarahan Vatican di mana mereka kemudiannya memintanya keluar dari kawasan perkampungan Puttaparthi (kawasan perkampungan dihuni Sathya) tetapi tidak dilayan. Sebagai tindak balas, Vatican mengarahkan semua hubungan antara mereka dengan Mazzoleni diputuskan serta-merta.

Salah satu keajaiban yang didakwa dilakukan Sathya ialah mengeluarkan abu suci daripada tangannya. Bagaimanapun, ahli silap mata P.C. Sorcar mendedahkan ia dihasilkan dengan cara meletakkan kapsul berisi abu pada tangan sebelum ia ditekan dengan ibu jari. Bila Sathya berbuat demikian, ia seolah-olah menunjukkan abu suci keluar daripada tangannya.

Selain itu, para pembaca juga pasti sudah biasa mendengar kisah seorang pengikutnya bernama Walter Cowan dihidupkan semula oleh Sathya. Mengikut kisahnya, Cowan dan isterinya Kelsie baru menghadiri satu perhimpunan figura itu di Hotel Connemara, Madras. Tiba-tiba warga emas dari Amerika Syarikat itu tidak sedarkan diri dan mati di pangkuan isterinya. Para doktor yang memeriksa Cowan di hospital turut mengesahkan bahawa dia telah mati.

Sedih dengan apa yang berlaku, Kelsie berjumpa dengan Sathya yang ketika itu menginap di sebuah rumah milik seorang pengikutnya. Apabila diberitahu apa yang berlaku, dia berjanji akan membuat lawatan di hospital tempat Cowan dibawa. Keesokan harinya, Kelsie pergi ke hospital tetapi diberitahu figura itu telah meninggalkan hospital lebih awal.

Alangkah terkejutnya dia apabila melihat suaminya masih bernyawa dan mendapat rawatan rapi oleh pasukan perubatan. Cowan berada di hospital selama tiga minggu sebelum dibenarkan pulang. Dakwaan ini merupakan dakwaan keajaiban paling kerap dicanang para pengikut Sathya termasuk di Malaysia.

Begitupun, kisah ini juga diragui kesahihannya oleh ramai pakar perubatan. Ini kerana menerusi siasatan yang dibuat Professor Erlendur Haraldsson pada 1977, Cowan sememangnya sakit teruk dan dirawat dari 25 Disember hingga 15 Januari 1972. Tetapi bila ditanya tentang peristiwa itu, semua doktor yang merawatnya menafikan pesakit mereka itu mati dari segi perubatan.

Seterusnya, Prof Haraldsson mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku bila Sathya datang melawat Cowan. Tidak seperti dakwaan mengatakan dia bertanggungjawab memulihkan kembali nyawanya, hakikatnya berbeza sama sekali. Sathya melawat Cowan selepas warga emas AS itu sudah sedar di mana mereka berdua berbual sebelum dia memberinya vibhuti sebelum pulang.

Menurut dua doktor yang merawat Cowan iaitu Dr O. G. C. Vaz dan Dr R. B. Krishna Rao, Cowan boleh saja pulih tanpa kehadiran figura pergerakan Sai Baba itu. Menariknya, penafian yang dibuat Prof Haraldsson itu langsung tidak dijawab oleh Sathya selama bertahun-tahun.

Tetapi tahun 90-an merupakan tahun kemuncak orang mengenali Sathya. Pada ketika itu, semua figura terkenal dari dunia politik hingga dunia sukan berlumba-lumba untuk berjumpa dengannya. Ini termasuk legenda kriket India terkenal, Sachin Tendulkar. Hubungan yang dibina oleh Sathya dengan figura-figura ini kemudiannya menjadi jaring keselamatan daripada pelbagai tuduhan yang dikenakan terhadapnya di kemudian hari.

Sachin Tendulkar

Disebabkan pendiriannya yang berusaha membasmi kemiskinan, dana kebajikan yang dianjurkannya sentiasa mendapat sumbangan derma yang banyak. Mengikut satu laporan Time pada 2011, tabung amanah kebajikan Sathya dianggarkan bernilai AS$8.9 bilion. Ini termasuk derma dari negara asing berjumlah AS$19.5 juta sejak tahun 2009 mengikut data Kementerian Dalam Negeri India.

Tidak dinafikan Sathya membiayai banyak projek kebajikan menerusi derma yang diterimanya. Tetapi dengan sejumlah wang yang besar dalam tangan, ia juga berpotensi untuk disalahguna. Buktinya, dua bulan selepas kematian Sathya, pengaudit tabung merasa terkejut melihat 98 kg emas, 30.7 kg perak dan wang tunai berjumlah AS$2.5 juta yang disimpan dalam peti simpanan peribadi miliknya.

Aktiviti penyelewengan dana kebajikan ini tidak dapat mengatasi satu lagi tuduhan ke atasnya: pemangsa seksual. Selama bertahun-tahun, wujud dakwaan Sathya telah menodai ramai budak dan remaja lelaki termasuk subjek temubual dokumentari Danmarks Radio dan BBC, Alaya Rahm. Rahm yang sebelum ini merupakan pengikut setianya memberitahu dua pembikin dokumentari itu tentang perlakuan jijik Sathya terhadapnya.

Sai Baba dan pengikutnya.

Selain Rahm, seorang lagi mangsa yang tampil dalam dokumentari BBC bersamanya ialah Mark Roche. Roche menyertai pergerakan Sathya pada tahun 1969 dan mengikutnya selama 25 tahun sebelum memilih menarik diri turut mendedahkan perkara sama. Pendedahan ini sebelum itu telah dibawa ke Parlimen Britain dan menjadi usul perbahasan oleh ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang pada tahun 2002.

Pendedahan ini sedikit sebanyak menjelaskan peristiwa dramatik yang hampir-hampir meragut nyawa Sathya pada 1993. Pada 6 Jun, sekumpulan empat orang lelaki menceroboh bilik tidurnya dengan niat mengakhiri riwayat Sathya tetapi dia berjaya melepaskan diri. Polis yang tiba di tempat kejadian kemudiannya menembak mati semua suspek selepas mereka cuba menyerang polis dengan pisau.

Bagaimanapun, siasatan Biro Siasatan Pusat India (CBI) mendedahkan terdapat banyak perkara yang tidak kena pada malam 6 Jun itu. CBI dalam laporan mereka percaya pihak berkuasa cuba menutup kes dengan memusnahkan bukti dan memalsukan laporan dengan harapan ia tidak dikaitkan kembali dengan Sathya.

Cubaan Kementerian Dalam Negeri India untuk membuka semula siasatan turut menemui kegagalan. Laporan CBI ini kemudiannya menjadi asas buku Basava Premanand bertajuk Murders in Sai Baba’s Bedroom.

Cubaan bunuh ini juga turut menjelaskan mengapa Sathya hanya membuat satu perjalanan ke luar negara iaitu ke Uganda dan Kenya pada 1968. Tidak diketahui mengapa dia enggan melakukan sebarang lawatan ke luar negara susulan lawatan ke dua negara berkenaan.

Mungkinkah Sathya telah melakukan perkara sama semasa di sana sehingga mengundang rasa kurang senang tuan rumahnya, salah seorang daripadanya ialah diktator Uganda ketika itu Idi Amin? Kita hanya mampu berspekulasi sama ada ia benar atau tidak.

Apabila tajuk dokumentari itu dikemukakan kepada Sathya, dia menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan dan menyifatkan semua penuduhnya sama seperti burung gagak. Dia berani berbuat demikian kerana tahu ramai pengikutnya terutama pemimpin Parti Kongres dan BJP tidak akan menyiasat dan mendakwa atas semua tuduhan yang dinyatakan.

Kerana itulah, Sathya berani membuat satu dakwaan selanjutnya lebih 50 tahun lepas iaitu dia akan hidup sehingga 96 tahun dan akan dilahirkan semula sebagai Prema Sai Baba. Dalam ramalannya itu, Prema Sai Baba akan lahir di Karnataka, satu tempat antara Bangalore dan Mysore, India. Dan dia akan dikenali sebagai penerus ajaran yang dibawa oleh Sai Baba iaitu untuk mendamaikan dunia.

Tetapi Tuhan itu Maha Kaya lagi Maha Adil. Pada Mac 2011, Sathya segera dibawa ke Hospital Pakar Super Sri Sathya Rai di Prashantigram, Puttaparthi selepas mengadu mengalami masalah sukar bernafas. Sejak itu, keadaan kesihatannya semakin merosot sebelum dia kembali menghadap Ilahi pada 24 April 2011. Ketika itu, Sathya baru berusia 84 tahun.

Dia diberi upacara pemakaman negara dengan upacara berlangsung tiga hari kemudian. Ia dihadiri oleh 500,000 orang termasuk pemimpin politik dan figura terkenal. Antara yang hadir Ketua Menteri Gujarat ketika itu (bakal Perdana Menteri India), Narendra Modi, Perdana Menteri India Manmohan Singh dan Tendulkar.

Disebabkan sambutan hari lahirnya jatuh pada hari upacara pemakaman, legenda kriket India itu membatalkan terus sambutan hari lahirnya yang diadakan pada hari sama. Di samping itu, Presiden Sri Lanka Mahinda Rajapaksa dan figura Tibet terkenal Dalai Lama turut mengucapkan takziah kepada India atas pemergian Sathya.

RUJUKAN:

Steel, Brian. (2009). Sathya Sai Baba, Elsie and Walter Cowan, and John Hislop. A Discredited 1971 Resurrection Claim. Diambil dari https://bdsteel.tripod.com/More/cowan-resurrection-myth.htm

Facts and Details. SATHYA SAI BABA: HIS LIFE, CHARITIES, ASSASSINATION ATTEMPT AND CHARGES OF FRAUD AND SEX ABUSE. Diambil dari https://factsanddetails.com/india/Religion_Caste_Folk_Beliefs_Death/sub7_2d/entry-5647.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.