Ramadan datang lagi bertamu pada tahun 2018 ini. Dan seperti biasa, antara perkara yang kita nantikan ialah pasar Ramadan (PARAM), aktiviti berbuka puasa, solat sunat tarawih, membaca Al-Quran dan sahur. Tetapi sayang, masih ada yang memandang ringan sunnah berkenaan sahur ini dan lebih rela mengambil makanan berat sebelum tidur dan berpuasa pada hari berikutnya. Berikut penjelasan mengapa kita dianjurkan bersahur.
Rasulullah s.a.w amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. Sabda baginda s.a.w, “Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan.” (Hadis riwayat al-Bukhari no: 1923) Maksud kerberkatan di sini ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar di dalam ibadah sahur tersebut. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah, “Keberkatan sahur itu diperolehi melalui beberapa segi, iaitu mengikuti sunnah, menyelisihi ahli kitab, menambah kekuatan dan semangat untuk beribadah, menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar, menjadi sebab untuk bersedekah kepada orang yang meminta saat itu, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur.” (Rujuk Kitab Fathul Baari, Jilid 11, muka surat 120.)
Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadah puasa orang Islam dengan ibadah puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab). Sabda Rasulullah s.a.w, “Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur.” (Hadis riwayat al-Tirmizi. no: 643) Ini kerana golongan ahli kitab memulakan puasa selepas bangun dari tidur. Semasa berpuasa, mereka tidak boleh makan dan minum serta tidak boleh bersetubuh. Ini berbeza dengan sunnah Nabi s.a.w yang memulakan ibadah puasa dengan ibadah sahur.
Ibadah sahur adalah ibadah yang begitu agung sehinggakan Allah melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan sahur. Oleh itu, Nabi s.a.w amat menitik beratkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air. Sabda baginda dalam satu hadis yang diriwayatkan Abu Said al-Khudri r.a, “Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur.” (Hadis Riwayat Ahmad. no: 10664) Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.a, baginda bersabda, “Allah dan para malaikat berselawat ke atas orang-orang yang bersahur.”
Sebenarnya, kita dibenarkan bersahur sehingga fajar terbit, iaitu sehingga azan solat Subuh dilaungkan. Sabda Rasulullah s.a.w, “Kamu semua boleh makan dan minum sehingga Ibnu Ummi Maktum melaungkan azan kerana sesungguhnya dia tidak akan melaungkan azan (melainkan) hingga fajar sodiq benar-benar telah terbit.” (Hadis Riwayat Bukhari, no: 1919) Hadis ini secara tidak langsung membantah pendapat sesetengah pihak yang tidak membenarkan makan dan minum apabila telah masuk waktu imsak. Apatah lagi Allah sendiri telah menegaskan bahawa kita dibenarkan makan dan minum sehingga terbit fajar, iaitu apabila azan Subuh dilaungkan. Firman Allah s.w.t dalam ayat 187, Surah Al-Baqarah, “Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).” – Surah al-Baqarah: 187
Adalah disunnahkan juga untuk dilewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa’ad r.a berkata, “Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian akupun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah s.a.w .” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no: 1920.) Apabila diminta mengulas berkenaan hadis ini, Qadi Iyadh r.h berkata: “Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar.” (Dinukil dari Fathul Baari, jilid 11, muka surat 114)
Waktu terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat subuh dikumandangkan. Menurut Anas r.a, Zaid bin Thabit r.a berkata, “Kami makan sahur bersama Nabi s.a.w , kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: Berapa lama antara azan dan sahur?” Beliau menjawab: “Kira-kira (membaca) lima puluh ayat.” (Hadis Riwayat Bukhari no: 1921) Hadis ini telah digunakan oleh mereka yang berpendapat bahawa waktu imsak itu adalah sepuluh minit sebelum terbit fajar. Apabila masuk waktu imsak maka seseorang tidak lagi diperbolehkan makan dan minum. Namun tafsiran yang benar terhadap hadis tersebut adalah Rasulullah s.a.w langsung mendirikan solat subuh setelah baginda makan sahur. Kadar membaca 50 ayat al-Quran antara azan subuh dan sahur bukan waktu imsak seperti yang disangka oleh mereka, tetapi ia adalah kadar waktu Nabi s.a.w memulakan dan mengakhirkan sahur baginda.
Antara hikmah melewatkan sahur adalah:
1. Sekiranya seseorang bangun awal untuk sahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat Subuh, satu permulaan yang tidak dimahukan tatkala mengerjakan rukun Islam yang ketiga ini.
2. Mengakhirkan sahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat merasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya.
Dari segi kesihatan pula, jika anda perasan, pesanan Nabi s.a.w kepada kita untuk melewatkan sahur dan tidak mengabaikannya sebenarnya menyamai konsep sarapan pagi. Menurut Dr Mark Pereira dan rakan-rakannya dari Sekolah Perubatan Harvard, orang yang mengabaikan sarapan pagi sebenarnya meningkatkan peluang mendapat obesiti, diabetis dan masalah jantung. Selain itu, para penyelidik turut mendapati sarapan membantu menstabilkan tahap gula dalam darah dan kurang merasa lapar sepanjang hari, sekaligus mengurangkan risiko terlebih makan. Bagi kanak-kanak pula, pengambilan sarapan membantu mereka fokus kepada pelajaran. Sekiranya mereka tidak mengambil sarapan, kanak-kanak ini berisiko mengalami kekurangan zat besi dalam darah, sekaligus membawa kepada penyakit anemia.
SUMBER
1. BBC. (2003). Breakfast is ‘most important meal’. http://news.bbc.co.uk/2/hi/health/2824987.stm
2. Mohd Yunus, Mohd Yaakub. (2006). Utusan Malaysia. Bersahur cara Rasulullah. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0929&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm
3. Al-Manhaj. (2014). Keberkahan Sahur. https://almanhaj.or.id/3949-keberkahan-sahur.html
4. Zainal Abidin, Danial. (2015). Majalah Sains. Benarkah puasa bermanfaat untuk kesihatan – sains menjelaskan. https://www.majalahsains.com/benarkah-puasa-bermanfaat-untuk-kesihatan-sains-menjelaskan/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih