70 tahun selepas Perang Dunia Kedua (WWII), Jepun dan Rusia masih bertelagah mengenai status Pulau Kuril. Dan dalam tempoh itu juga, Moscow dan Tokyo gagal memeterai perjanjian damai yang menamatkan semua bentuk permusuhan gara-gara status pulau tersebut. Persoalannya, mengapa ia masih berlaku dan apa kepentingan pulau tersebut kepada kedua-dua belah pihak?

Pulau Kuril atau dikenali juga sebagai Chishima atau Wilayah Utara di Jepun ialah rantaian 56 pulau gunung berapi yang menjangkau jarak 810 batu dari Pulau Hokkaido hinggalah Semenanjung Kamchatka di Rusia. Pada mulanya, pulau ini dihuni oleh masyarakat Ainu iaitu masyarakat orang asli Jepun. Kemudian pada abad ke-17 Masihi, pulau tersebut diletakkan di bawah pentadbiran Jepun semasa era Keshogunan Tokugawa. Satu abad selepas itu, masyarakat Jepun yang menghuni pulau tersebut mula terserempak dengan peneroka-peneroka Rusia yang mengembara ke selatan selepas penubuhan petempatan mereka di Semenanjung Kamchatka.

Untuk mengelak berlakunya pertikaian wilayah, kerajaan Edo di Tokyo dan Moscow memeterai perjanjian pembahagian wilayah 1855 di mana bahagian selatan Kuril iaitu Pulau Kunashir, Pulau Iturup, Pulau Shikotan dan Pulau Habomai kekal di bawah penguasaan Jepun. Sementara Pulau Urup dan selebihnya di sebelah utara diletakkan di bawah kawalan Rusia. 20 tahun selepas itu, kedua-dua belah pihak turut memeterai satu lagi perjanjian di mana Jepun menguasai Pulau Kuril dengan Rusia mengambil alih Pulau Sakhalin di sebelah barat. Selepas Jepun memalukan Tsar dengan mengalahkan mereka pada Perang Rusia-Jepun 1905, Tokyo menguasai keseluruhan Pulau Kuril dan bahagian selatan Pulau Sakhalin. Untuk dekad-dekad berikutnya, mereka membina petempatan, bandar, perkhidmatan awam dan infrastruktur di pulau tersebut. Penduduk Jepun yang berpindah ke situ menjalankan kegiatan perikanan dan aktiviti perlombongan.

Selepas WWII meletus terutama selepas serangan Pearl Harbor, kapal-kapal pengangkut pesawat yang bertanggungjawab atas serangan itu dikumpulkan di Pulau Iturup. Mereka berbuat demikian kerana keadaan kabus di situ dapat menutup kehadiran mereka. Namun itu tidak bertahan lama apabila pihak Amerika Syarikat mula mengebom pulau-pulau ini. Ini memaksa Tokyo menghantar pesawat dan dua divisyen infantri untuk melindungi pertahanan mereka di sebelah utara. Dan kempen Washington semakin dipergiatkan selepas mereka berjaya menghalau keluar tentera Jepun dari Alaska dengan menghantar pesawat pengebom B-24 dan B-25 mengebom Pulau Kuril pada tahun 1943 dan 1944. Namun kempen tersebut hanya memberi kesan sedikit saja pada pertahanan Jepun. Dan adakalanya, sekiranya krew-krew pengebom ini kehabisan minyak, mereka terpaksa mendarat di wilayah Soviet dengan harapan mendapatkan bantuan. Namun itu tidak berlaku di mana kebanyakan mereka ini ditahan dan dipenjarakan berikutan perjanjian keneutralan Tokyo-Moscow yang dimeterai pada tahun 1938.

Washington yang sudah berkira-kira mahu melancarkan serangan ke atas pulau-pulau besar Jepun sedar keadaan ini perlu diubah lebih-lebih lagi dengan melihat anggaran angka korban jika kempen tersebut dilaksanakan. Atas sebab itulah, walaupun dalam keadaan kurang sihat, Presiden Franklin Delano Roosevelt bertolak ke Yalta untuk Persidangan Yalta yang berlaku pada Februari 1945. Semasa persidangan tersebut, Roosevelt berjaya menyakinkan pemimpin Kesatuan Soviet, Josef Stalin untuk membantu kempen Amerika dengan melanggar perjanjian keneutralan Tokyo-Moscow selepas rejim Nazi Jerman tewas dalam WWII. Bagaimanapun, Stalin menyatakan beliau memerlukan bantuan ketenteraan Amerika dan tempoh tiga bulan untuk memindahkan bilangan tentera diperlukan di sebelah Timur Jauh. Hasil dari persidangan itu juga menyaksikan Pulau Kuril akan diserahkan kepada Kesatuan Soviet, sekaligus berperanan sebagai tempat pelancaran serangan ke atas Hokkaido.

Maka tidak hairanlah tiga bulan rejim Nazi Jerman yang dipimpin Karl Donitz menyerah kalah pada 8 Mei 1945, Tentera Merah melancarkan serangan mengejut di Manchuria yang memusnahkan terus Tentera Kwantung Jepun dan menguasai bahagian selatan Pulau Sakhalin. Jepun yang tertekan dengan serangan ini dan serangan bom atom Amerika ke atas Nagasaki dan Hiroshima, mengumumkan mereka bersedia menyerah kalah pada 15 Ogos dan mengarahkan pihak tentera untuk menghentikan semua bentuk operasi ketenteraan. Jika mereka perlu berlawan sekalipun, ianya atas tujuan mempertahankan diri sahaja. Namun pihak tentera Soviet di Timur Jauh mendapat arahan untuk menyerang bahagian utara Pulau Kuril iaitu Shumshu dan Paramushiro sebelum pihak Amerika mendarat.

Tidak seperti rakan sekutunya di sebelah Barat, pihak Soviet kekurangan bot khusus untuk pendaratan amfibia di kawasan pantai. Namun, pihak Amerika secara rahsia memindahkan 149 kapal kepada pihak tentera laut Soviet melalui Cold Bay, Alaska dan melatih 12,000 kakitangan diperlukan untuk mengendalikan kapal-kapal ini melalui Projek Hula. Ini termasuklah Kapal Pendaratan Infantri (LCI), sebuah kapal yang berukuran 48 meter panjang dan berupaya membawa 200 orang askar ke pantai. Angkatan amfibia Soviet akhirnya dapat membawa 62 kapal termasuk 16 LCI untuk membawa 8,821 askar Divisyen Raifal 101 dan batalion infantri tentera laut. Pasukan yang mendarat ini tidak disokong oleh kereta-kereta kebal dan hanya mendapat sokongan kapal penyapu periuk api, Okhost dengan meriam 130 milimeter mereka. Namun mereka mendapat sokongan artileri dari Semenanjung Kamchatka dan Divisyen Penerbangan Komposit 128 dengan 78 pesawat termasuk dua rejimen pesawat P-63 Kingcobra buatan Amerika serta gabungan rejimen pesawat pengebom SB-2, Il-4 dan A-20 Havoc.

Berikutan keadaan pulau yang berkabus, sukar bagi pihak Soviet melancarkan sebarang aktiviti pengintipan. Angkatan amfibia mereka mula berlayar pada 17 Ogos dan pada pukul 2.30 pagi keesokkan harinya, kumpulan pertama angkatan ini berjaya mendarat di Pantai Takeda. Pihak Jepun ternyata terkejut dengan serangan ini berikutan keadaan pulau yang berkabus dan tidak dapat menentukan siapa yang menyerang mereka. Bagaimanapun pihak Soviet gagal menawan kedudukan mereka berikutan Shumshu dan Paramashiro dikawal 8,500 tentera Divisyen Infantri 91, 64 kereta kebal dari Rejimen Ke-11 Kereta Kebal dan meriam artileri 149 dan 105 milimeter. Kumpulan seterusnya yang mendarat di Takeda dihujani dengan peluru mesingan dan serangan artileri. Bagi menambah kesukaran, pesawat-pesawat pejuang Ki-43 Hayabusa dan pesawat pengebom torpedo B5N Tenzan menyerang kapal-kapal Soviet tetapi berjaya dipatahkan oleh meriam-meriam kapal. Menjelang 9.00 pagi, lima LCI tenggelam dibom di mana salah satunya membawa pangkalan sementara rejimen. Kumpulan yang menyertai serangan kedua gagal mendarat untuk menyerahkan sokongan senjata berat. Sementara tentera yang masih terperangkap tidak dapat meminta bantuan serangan udara atau artileri kerana kehilangan radio.

Sementara itu, Rejimen Ke-11 Kereta Kebal dipimpin Kolonel Takeda Sueo cuba melancarkan serangan balas ke atas tentera Soviet yang terperangkap di pantai. Pada mulanya, kompeni terdiri daripada 11 kereta perisai Jenis 95 Ha-Go dilengkapi dengan meriam 37 milimeter segera masuk ke medan pertempuran. Pihak Soviet hanya memiliki empat meriam 45 milimeter untuk membalas tetapi mempunyai banyak raifal anti-kereta kebal 14.5 milimeter. Mereka banyak memusnahkan tujuh kereta kebal tetapi rejimen tersebut berjaya memaksa pihak Soviet berundur ke Bukit Severnaya di mana mereka berlindung dalam kubu-kubu pertahanan yang ditinggalkan pihak Jepun. Takeda kemudian tiba dengan 20-30 kereta kebal lebih kuat perisainya iaitu Jenis 97 Chi-Ha dan menyerang kedudukan mereka. Namun serangan pihak Jepun berjaya dipatahkan dengan Takeda sendiri terbunuh apabila kereta kebalnya terkena peluru anti-kereta kebal. Selain raifal 14.5 milimeter, sesetengah tentera Soviet yang terdesak turut meletupkan diri mereka untuk memusnahkan kenderaan perisai Jepun.

Pada tengah hari 18 Ogos, tentera Soviet berjaya mewujudkan komunikasi radio, sekaligus membenarkan pihak Soviet membedil kedudukan tentera Jepun dengan artileri dan pesawat pengebom. Pasukan infantri laut Soviet turut mewujudkan sebuah pelabuhan sementara untuk menurunkan artileri berat dan menggunakannya di medan perang. Menjelang malam, mereka mengambil kesempatan dari kegelapan tersebut untuk memusnahkan kubu-kubu kecil yang melindungi pantai tersebut. Pada hari berikutnya, serangan artileri terus berlaku untuk membantu kemaraan pihak Soviet. Namun, pihak Jepun terus bertahan dan salah satu daripada pesawat mereka berjaya memusnahkan kapal penyapu periuk api KT-152. Jeneral Fusaki, pegawai pemerintah tentera Jepun di Kuril sedar akan arahan dari Tokyo untuk menghentikan pertempuran lalu menghantar seorang wakil untuk mengumumkan hasrat mereka menyerah kalah. Tawaran tersebut diterima dan pertempuran berakhir pada jam 6.00 petang.

Namun apabila angkatan amfibia Soviet cuba menghampiri padang udara Kataoka, mereka dihujani dengan serangan artileri 75 milimeter ke atas kapal Okhotsk dan bot peronda Kirov. Sebagai tindak balas, Soviet secara berkala melancarkan pengeboman udara dan artileri sehingga 23 Ogos di mana barisan pertahanan pulau tersebut menyerah kalah. Pada 1 September, pihak Soviet mendarat di selatan Pulau Kuril dengan sesetengah operasi pendaratan menggunakan bot terbang Catalina. Kebanyakan tentera Jepun yang berada di situ menyerah kalah secara aman. Dalam Pertempuran Shumshu, pihak Soviet kehilangan 800 tentera dan 1400 tentera cedera. Sementara pihak Jepun pula kehilangan 370 orang dan 700 anggota tentera cedera. 17,000 penduduk Jepun di Kuril dihalau keluar sementara tentera Jepun yang ditawan ditahan di Siberia dan dipaksa bekerja di kem buruh paksa. Tentera terakhir yang kembali ke Jepun dari Rusia pada tahun 1950.

Selepas perang dan sehingga ke hari ini, kedua-dua pihak masih bertelagah berkenaan status Pulau Kuril. Jepun menyifatkan Kuril sebahagian daripada wilayahnya berdasarkan perjanjian 1855 dan Deklarasi Kaherah 1943 yang menyatakan Jepun perlu berundur dari mana-mana wilayah yang dirampas atas sebab pertumpahan darah atau tujuan ekonomi. Dan pihak Soviet sendiri mengakui Jepun menguasai Pulau Kuril dalam persidangan tersebut. Namun, Moscow bertegas pulau tersebut kini di bawah kawalannya berdasarkan deklarasi dalam Persidangan Yalta. Hari ini, 19,000 penduduk Rusia menduduki gugusan pulau tersebut dengan kebanyakan daripada mereka menyokong garison pertahanan terdiri daripada peluru berpandu darat ke udara (SAM) S-400, pesawat-pesawat pejuang SU-27, sebuah kapal selam kelas Kilo, peluru berpandu darat anti-kapal perang dan helikopter-helikopter tempur Ka-52.

Sentimen masyarakat kedua-dua negara menyokong usaha kedua-dua kerajaan terhadap tuntutan mereka. Walaupun satu lagi usaha diplomatik dilancarkan untuk menamatkan pertelingkahan selama 70 tahun ini dan memberi faedah kepada mereka jangka panjang, kompromi masih lagi sukar dicapai. Ini kerana kedua-dua negara ini mempunyai kepentingan strategik berbeza dan sentimen terhadap pulau ini.

SUMBER

Roblin, Sebastien. (2017). Russia Battled Japan Using American Landing Ships—After Japan Surrendered. http://nationalinterest.org/blog/the-buzz/russia-battled-japan-using-american-landing-ships—after-23768?page=show


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.