Menurut kepercayaan agama Islam, sebelum kelahiran Muhammad Rasulullah saw di atas muka Bumi ini, Allah swt telah menunjukkan beberapa tanda-tanda kecil dan besarnya diantaranya adalah kedatangan angkatan pasukan tentera bergajah milik Raja Abrahah al-Ashram dari Yaman yang bertujuan untuk menghancurkan Kaabah di Mekah tetapi berakhir dengan kekalahan pasukannya diserang lemparan batuan api dari neraka oleh sekawan burung Ababil yang dikirim oleh Allah swt.
Kemusnahan tentera Abrahah bukan sahaja menunjukkan Allah swt ingin memelihara ‘rumahnya’ Kaabah, tetapi menjaga bumi Mekah yang akan melahirkan seorang utusan yang terakhir.
Muhammad Rasulullah saw dilahirkan di kota Mekah pada tanggal 12 Rabiulawal pada tahun Gajah (digelar tahun gajah kerana peristiwa serangan angkatan tentera Abrahah) dan di dalam hitungan kalendar Masihi, baginda dilahirkan sekitar tahun 570 M.
Ada beberapa peristiwa yang luar biasa berlaku pada malam kelahiran Nabi Muhammad saw, tetapi di sini akan difokuskan hanya kepada tiga peristiwa sahaja iaitu:
1. Runtuhnya 14 buah menara Istana Putih milik Kisra Parsi.
2. Terpadamnya api yang disembah oleh penganut agama Majusi (menyembah api).
3. Keringnya tasik Salwaah, iaitu sebuah tasik yang dianggap suci oleh penganut agama Majusi.
RUNTUHNYA MENARA ISTANA PUTIH AL-MADAIN.
• Empayar Parsi pada waktu ini dipimpin oleh Dinasti Bani Sasan dibawah pemerintahan Kisra Khosrow I atau digelar Anushiruwan (501-579 M).
• Pusat pemerintahannya di kota kuno Ctesiphon (bekas pusat pemerintahan empayar Parthia) yang menaungi tujuh buah kota lainnya. Betapa besar dan kayanya wilayah ini sehingga ianya pernah menjadi rebutan diantara kuasa empayar Rom dan Parthia.
Kawasannya terletak di sebelah timur sungai Tigris.
• Di pusat pemerintahan inilah terletaknya sebuah kediaman pemimpin yang paling gah pada masa itu atau ianya lebih dikenali sebagai panggilan ‘Istana Putih Kisra’.
• Istana Putih dipanggil sebagai Shâhigân-e Sepid dan kemudian hari ianya dikenali sebagai Taq-i Kisra.
• Kemegahan istana ini adalah, ruangan singgahsana pemimpin yang setinggi 110 kaki dan istananya ini mempunyai ruangan penyimpanan yang paling kebal terbesar yang dibina oleh empayar Parsi pada masa itu.
• Bangsa Arab pada masa ini menggelarkan ibukota empayar Parsi dengan nama ‘al-Madain’ (kota segala kota) kerana al-Madain merupakan bandar terbesar sepanjang abad keenam Masihi.
Abad keenam Masihi meliputi tahun sekitar 501 Masihi sehingga 600 Masihi.
• Pada malam kelahiran Rasulullah saw, dikatakan bahawasanya 14 buah menara/tiang Istana Putih runtuh setelah bumi Parsi dilanda gegaran yang kuat.
Balkoni utama Istana Putih juga runtuh terbelah dua bahagian menyembah bumi.
• Kisra Parsi, Khosrow I berjaga semalaman menemui para rahib, ahli agama Majusi untuk memohon petunjuk tentang bencana yang berlaku tersebut. Salah seorang rahibnya mengkhabarkan tentang peristiwa yang berlaku ini ada kaitannya dengan kemunculan seorang manusia dari tanah Arab yang bakal meruntuhkan empayar Parsi.
Keadaan ini membuatkan Kisra Parsi mula mengambil langkah berjaga-jaga untuk mempersiapkan diri menghadapi sesuatu yang bahaya dari tanah Arab.
• Tetapi segala usaha para kisra lain setelah kematian Kisra Khosrow I hanya nihil. Istana Putih yang berada di dalam kekuasaan empayar Parsi selama ribuan tahun jatuh ke tangan bangsa Arab pada tahun 637 M. Bangsa Arab Islam mengambil alih kawasan ini lalu meletakkan di bawah pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin Umar al-Khattab, sekaligus menamatkan pemerintahan Bani Sasan buat selama-lamanya.
TERPADAMNYA API SEMBAHAN AGAMA MAJUSI.
• Di manakah lokasi yang dikatakan apinya menyala selama ribuan tahun dan tidak pernah terpadam? Mengikut beberapa sumber bacaan, api yang dinyalakan ini dipastikan terletak di salah satu kuil api sembahan penganut agama Majusi. Berikutan beberapa maklumat, ‘eternal fire’ yang terpadam dalam peristiwa ini terletak di suatu lokasi bernama Istahrabad. Tetapi sumber lain pula mengatakan, api yang menyala selama ribuan tahun di kesemua kuil di bawah jajahan empayar Parsi terpadam terus pada malam kelahiran baginda.
• Sebenarnya pada zaman pemerintahan Bani Sasan, mereka telah membina banyak benteng yang kukuh serta ratusan mungkin ribuan kuil menyembah api kerana Dinasti Bani Sasan menjadikan agama Majusi sebagai agama rasmi empayarnya. Pada masa kini, hanya ditemui beberapa buah sahaja kuil api yang masih terselamat di sekitar wilayah negara Iran kerana kebanyakan kuil api ini dihancurkan oleh tentera Islam ketika mereka mula memasuki dan membebaskan beberapa kota serta daerah di tanah Parsi.
• Diantara kuil api yang terselamat pada masa itu adalah kuil api Atashgha yang terletak di puncak bukit dalam daerah Isfahan, Iran berketinggian sekitar 210 meter. Mungkin kerana kedudukannya terlalu tinggi pada waktu itu, tentera Islam tidak memusnahkan ia kerana kawasannya yang licin dan berbahaya.
Tanda terpadamnya api ini menunjukkan bahawasanya telah lahir seorang manusia yang bakal memadamkan kepercayaan menyembah api dan akan membawa ajaran baru yang bakal menjadi tentangan kuat ke atas penganut agama Majusi.
KERINGNYA TASIK SALWAAH.
• Peristiwa ketiga yang berlaku di Parsi pada malam itu juga adalah keringnya tasik Salwaah.
• Tasik Salwaah dianggap sebagai tempat suci oleh penduduk sekitarnya.
• Tasik Salwaah yang dikatakan kering itu sekarang terletak di dalam negara Iran iaitu diantara daerah Ray, Tehran dan Hamazan.
• Mengikut catatan Abu Abdullah al-Himyari dalam kitabnya, Ar-Rawdh Al-Miʻtaar fi Khabar Al-Aqtaar mengatakan:
“Saawah adalah sebuah perkampungan yang terletak diantara Ray dan Hamazan”.
• Saad D. AbulDhab dalam bukunya, The Epic of Gilgamesh, beliau mengatakan yang bangsa Arab sebelum Islam mempercayai yang tasik Salwaah penyebab berlakunya bencana banjir yang besar di kawasan gurun Samawah pada sekitar abad keenam Masihi.
Bagaimana mungkin tasik yang dikatakan penyebab banjir yang besar dapat dikeringkan dalam satu malam sahaja.
Hanya Allah swt yang Maha Mengetahui dalam semua ketentuanNya.
__________
Walaupun peristiwa ini diceritakan meluas daripada satu generasi ke generasi yang lain, tetapi para ulama hadis seperti Muslim, Bukhari dan dalam kitab hadis yang lainnya tidak pernah mengulaskan tentang kisah ini. Kami menaikkan kisah-kisah ini kerana mahu membincangkan info-info sejarah Parsi dalam kisah yang diwarisi dari zaman berzaman-zaman, mungkin daripada sumber kisah rakyat masyarakat Arab itu sendiri.
Wallahu’alam.
Sumber Rujukan:
1. Ancient Persia and Iranian Civilization oleh Clement Huart.
2. The Prophet Muhammad: A Biography oleh Barnaby Rogerson.
3. The Beautiful Tale of Amina binti Wahab: Mother of Prophet Muhammad saw oleh Muham Sakura Dragon.
4. Iraq: The Ancient Sites and Iraqi Kurdistan oleh Geoff Hann,Karen Dabrowska dan Tina Townsend.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih