Empayar Akkadia merupakan sebuah empayar purba yang wujud pada penghujung milenia ketiga Sebelum Masehi. Ia merupakan empayar pertama di Mesopotamia dan sebilangan ilmuwan menganggapnya sebagai empayar sebenar yang pertama dalam sejarah dunia. Empayar Akkadia diasaskan oleh Raja Sargon yang dianggap sebagai pemerintah Empayar Akkadia yang paling masyhur.

Beliau menguasai Mesopotamia dan memusatkan pemerintahannya di ibu kotanya, Akkad. Pengaruh Empayar Akkadia tersebar jauh melangkaui batas sempadannya. Walau bagaimanapun, empayar agung ini tidak bertahan lama dan tumbang pada sekurun setengah setelah penubuhannya.

Zaman Mesopotamia yang mendahului masa penubuhan Empayar Akkadia dipanggil oleh ahli-ahli arkeologi sebagai zaman Dinasti Awal yang berlangsung dari tahun 2900 hingga 2350SM. Zaman Dinasti Awal ini menyaksikan munculnya negara-negara kota di selatan Mesopotamia seperti Ur, Uruk, Lagash dan Kish.

Lanskap politik di rantau berkenaan bersifat berpecah-belah dan negara-negara kota terbabit sering berperang antara satu sama lain. Namun begitu, tinggalan-tinggalan kebudayaan daripada pelbagai masyarakat di sana menunjukkan bahawa mereka sebenarnya adalah serumpun.

Ketika mana bahagian selatan Mesopotamia diperintah oleh bangsa Sumeria, bahagian utaranya pula didominasi oleh bangsa Akkadia. Sama seperti Sumeria, Akkadia juga menubuhkan negara-negara kota mereka yang tersendiri dan mereka saling berperang antara satu sama lain.
Situasi di Mesopotamia mula berubah pada kurun ke-24SM dengan kebangkitan Empayar Akkadia.

Dengan terbangunnya empayar ini, bangsa Sumeria di bahagian selatan Mesopotamia dan bangsa Akkadia di bahagian utara disatukan di bawah satu pemerintahan buat pertama kalinya dalam sejarah rantau berkenaan. Individu yang bertanggungjawab ke atas penyatuan ini adalah Sargon, yang dianggap sebagai pembina empayar terawal di dunia.

Gambaran moden terhadap Sargon berbicara dengan salah seorang rakyatnya

PEMERINTAH PERTAMA EMPAYAR AKKADIA

Dari sudut pandang sejarah, tidak banyak maklumat yang dimiliki tentang riwayat hidup Sargon. Hal ini kerana ibu kota Empayar Akkadia, iaitu Akkad masih lagi belum dikenal pasti lokasinya dan justeru, apa sahaja rekod atau dokumen yang ditulis dan disimpan di kota berkenaan masih lagi belum ditemukan.

Tambahan lagi, ilmuwan banyak bergantung kepada sumber-sumber bertulis di zaman terkemudian untuk mengetahui tentang kehidupan Sargon. Sumber-sumber tersebut hadir dalam pelbagai bentuk seperti legenda mahupun kisah rakyat. Wujudnya sumber-sumber sebegini bukanlah suatu perkara yang mengejutkan jika kita mengamnbil kira reputasi yang ditinggalkan oleh Sargon si pemerintah ulung.

Legenda menyatakan bahawa ketika beliau masih bayi, Sargon ditemui di dalam sebuah bakul yang dihanyutkan ke dalam sungai. Beliau ditemui oleh seorang pekebun yang langsung sahaja mengambilnya sebagai anak angkat dan mengasuhnya sebagai anak sendiri. Identiti bapa sebenar Sargon tidak diketahui.

Ibunya pula dipercayai merupakan seorang paderi wanita di sebuah kota yang terletak di bahagian tengah Sungai Furat. Walaupun Sargon hanyalah seorang pekebun kecil dan tidak mempunyai sebarang latar belakang yang berpengaruh seperti bapa angkatnya, beliau tetap berjaya meraih kedudukan sebagai pemikul cawan peribadi pemerintah negara kota Kish.

Tablet tanah liat berkaitan kelahiran Sargon, pemerintah pertama Empayar Akkadia dan persengketaannya dengan raja Ur-Zababa

Menurut legenda yang dikenali sebagai Legenda Sargon, nama pemerintah Kish ini adalah Ur-Zababa. Beliau melantik Sargon sebagai pembawa cawan peribadinya atas sebab yang tidak dapat dipastikan. Pembawa cawan peribadi diraja merupakan satu kedudukan yang sangat penting pada waktu itu memandangkan ia membolehkan penjawatnya berada sangat hampir dengan pemerintah sekaligus membolehkannya menjadi penasihat paling akrab dan dipercayai oleh pemerintah.

Dalam Legenda Sargon, dikisahkan bahawa beliau mengalami mimpi di mana Ur-Zababa dilemaskan oleh seorang gadis di sungai berdarah yang besar. Mimpi ini dibincangkan antara raja dan Sargon, sekaligus membuatkan Ur-Zababa berasa amat takut. Lantas, beliau mengatur perancangan untuk menyingkirkan Sargon.

Beliau memberikan cermin-tangan yang diperbuat daripada gangsa kepada Sargon untuk dihantar kepada Belic-tikal, ketua tukang besi diraja yang berada di E-sikil. Sebaik sahaja barang itu dihantar, tukang besi itu diperintahkan agar melontarnya dan Sargon ke dalam acuan dengan maksud untuk membunuhnya. Sargon mentaati perintah Ur-Zababa dan pergi ke E-sikil tanpa langsung mengetahui tentang rancangan jahat Ur-Zababa itu.

Namun, sebelum sempat tiba di tempat tersebut, Sargon dihentikan oleh Dewi Inanna yang memaklumkan kepadanya bahawa E-sikil adalah sebuah tempat suci dan tiada siapa yang dicemari dengan darah boleh memasukinya. Lantaran itu, Sargon pun bertemu dengan tukang besi di luar bangunan dan menyerahkan cermin berkenaan tanpa dibunuh.

Beberapa hari kemudian, Sargon kembali menghadap raja dan tatkala melihat Sargon masih hidup, Ur-Zababa langsung sahaja disapa ketakutan sekali lagi. Kali ini, beliau memutuskan untuk menghantar Sargon kepada Lugal-zage-si, raja Uruk dengan membawa satu pesanan yang meminta raja itu untuk membunuh utusan yang dihantar. Baki legenda ini hilang dari simpanan dan makanya, penamat bagi kisah tersebut tidak diketahui. Walau bagaimanapun, sudah tentulah ia berlangsung dan berakhir dengan keadaan yang membawa kepada kenaikan takhta Sargon.

Menurut sumber-sumber yang dimiliki, ilmuwan sedia maklum bahawa Lugal-zage-si merupakan seorang pemerintah berpengaruh yang menyatukan negara-negara kota Sumer. Ilmuwan tuut mengetahui bahawa sebaik sahaja Sargon meraih kuasa, beliau menyerang Lugal-zage-si dan menewaskannya.

Selepas negara-negara kota di bahagian selatan Mesopotamia ditundukkan, Sargon membersihkan tangannya di ‘lautan rendah’ (Teluk) di mana hal ini menjadi satu simbolik untuk menunjukkan bahawa seluruh Sumer kini berada di bawah pemerintahannya.

Namun, penaklukan ke atas bahagian selatan Mesopotamia masih belum cukup bagi Sargon. Beliau terus melanjutkan usaha meluaskan empayarnya. Beliau melancarkan kempen ketenteraan ke timur, di mana beliau menewaskan Elam dan menerima penyerahan diri para pemerintah lain di rantau berkenaan. Sargon juga bergerak ke sempadan barat Empayar Akkadia dan menundukkan Mari dan Ebla, dua buah negara kota di Syria moden yang sentiasa saling berperang.

Empayar Agung Akkadia

Salah satu kesan susulan daripada penaklukan-penaklukan yang dilakukan oleh Sargon ini adalah tertubuhnya laluan-laluan perdagangan. Memandangkan seluruh Mesopotamia kini berada di bawah pemerintahan Akkadia, maka barangan dagang dapat dibawa dengan selamat dari utara ke selatan dengan melalui Sungai Furat.

Kayu cedar dibawa masuk dari hutan-hutan Lebanon, manakala logam-logam berharga pula diperoleh dari lombong-lombong yang terletak di Pergunungan Taurus. Akkadia menggiatkan perdagangannya ke wilayah yang jauh, sehingga ke Anatolia, Magan (mungkin Oman moden) dan bahkan India.

Dalam Hikayat Raja Perang (Epic of the King of the Battle), disebutkan bahawa Sargon melancarkan kempen ketenteraan jauh ke wilayah pusat Antaolia. Kempen ini dilancarkan dengan tujuan untuk melindungi para pedagang Akkadia dari ancaman pemerintah Burushanda. Lebih daripada itu, teks ini juga mendakwa bahawa Sargon pernah merentasi Laut Mediterranean dan berlabuh di Cyprus.

Peta Empayar Akkadia dan arah pelancaran kempen ketenteraan

PEWARISAN TAMPUK KUASA EMPAYAR AKKADIA

Pemerintahan Sargon berlangsung dari tahun 2334SM sehingga kemangkatannya pada tahun 2279SM. Kedudukannya digantikan oleh Rimush, salah seorang putera beliau. Pemerintah kedua Empayar Akkadia ini berkuasa selama hampir 9 tahun dan mempamerkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam mengekalkan kesejahteraan empayar. Sejumlah pemberontakan tercetus semasa pemerintahannya, namuN Rimush berupaya menanganinya dengan jaya.

Menurut sumber tradisi, Rimush dibunuh oleh pegawai-pegawainya sendiri. Kedudukannya digantikan oleh abangnya, Manishtushu. Memandangkan adiknya meraih kejayaan dalam menstabilkan urusan dalam empayar, maka Manishtushu berpeluang untuk menumpukan sumber kekuatannya pada urusan luar. Selain melancarkan kempen ketenteaan, Manishtushu juga meningkatkan hubungan perdagangan antara Empayar Akkadia dan kuasa-kuasa asing. Seperti pendahulunya, Manishtushu juga dibunuh oleh pegawai-pegawainya sendiri.
Pemerintahan Rimush dan Manishtushu sering dilupakan oleh sejarah lantaran mereka diapit oleh dua orang pemerintah terulung Empayar Akkadia, iaitu Sargon dan Naram-sin.

Naram-sim merupakan pemerintah keempat Empayar Akkadia. Beliau adalah cucu kepada Sargon dan putera kepada Manishtushu. Pada zaman pemerintahannya yang berlangsung dari tahun 2254SM hingga 2218SM, Empayar AKkadia mengecap masa kemuncaknya. Naram-sim menyambung usaha penaklukan bapa dan datuknya dengan melancarkan serangan ke atas wilayah-wilayah di bahagian barat Iran dan bahagian utara Syria.
Berikutan kejayaan yang diperolehi dalam ekspedisi-ekspedisi ketenteraan yang dilancarkan olehnya, maka Naram-sim mengambil gelaran ‘Raja Empat Penjuru Alam’. Lebih daripada itu, Naram-sin turut meraih status sebagai ‘dewa hidup’ (living god) dan sebuah upacara yang mengisytiharkan status kedewataannya ini dilangsungkan atas permintaan rakyat jelata sendiri, jika menurut satu inskripsi.

Sebuah stele, yang dikenali sebagai Stele Kemenangan Naram-sin (kini disimpan di Muzium Louvre, Perancis) ada mengambarkan Naram-sin sebagai seorang yang tubuhnya lebih besar berbanding figura-figura lain di sekelilingnya. Turut dirincikan bahawa beliau memakai sebuah topi bertanduk. Kedua-dua ciri ini cenderung mewakili statusnya sebagai ‘dewa hidup’.

Selain kejayaannya dalam lapangan ketenteraan, Naram-sin juga direkodkan telah menyelaraskan rekod-rekod penyata empayar. Tambahan lagi, dengan melantik beberapa orang puterinya sebagai paderi tertinggi bagi kultus-kultus penting yang terdapat di negara-negara kota Mesopotamia, Naram-sin berupaya meningkatkan prestij dan signifikasi keagamaan Empayar Akkadia dengan lebih jauh.

Stele raja Naram-sin, pemerintah Empayar Akkadia

Selepas pemerintahan agung Naram-sin berakhir, Empayar Akkadia mula mengalami keruduman. Putera merangkap pewaris Naram-sin iaitu Shar-Kali-Sharri terpaksa berhadapan dengan ancaman-ancaman luar, justeru Akkadia menumpukan seluruh sumbernya untuk meningkatkan pertahanan sempadan. Walau bagaimanapun, beliau masih berupaya mengekalkan kekuasaan empayar dan menghindarkannya dari terus melemah.

Namun setelah kemangkatan Shar-Kali-Sharri, perebutan takhta mula tercetus. Beberapa buah negara kota di selatan Mesopotamia mengambil kesempatan tersebut untuk meraih kemerdekaan sekaligus mengakibatkan Empayar Akkadia kehilangan kuasa dan autoriti ke atas wilayah berkenaan. Dua orang pemerintah terakhir Empayar Akkadia adalah Dudu dan Shu-Turul. Menjelang masa-masa pemerintahan mereka, bangsa Akkadia tidak lagi berdiri sebagai sebuah empayar. Sebaliknya, ia hanya berkuasa ke atas wilayah-wilayah di sekeliling ibu kotanya sahaja.

ADAKAH PENAMAT EMPAYAR AKKADIA DILANJUTKAN LAGI DENGAN PERUBAHAN IKLIM?


Pengakhiran buat Empayar Akkadia tiba sekitar tahun 2150SM. Menurut catatan-catatan tradisi, keruntuhan Empayar Akkadia diakibatkan oleh pembalasan yang diturunkan oleh para dewa. Seperti yang disebutkan sebelum ini, Naram-sin telah mengisytiharkan dirinya sebagai ‘dewa hidup’ dan hal ini dianggap sebagai suatu perbuatan megah diri yang melampau.
Sejarahwan-sejarahwan purba menganggap sifat tersebut sebagai penyebab kemurkaan para dewa, yang mana kemurkaan tersebut dilampiaskan ke atas para pewarisnya. Kemurkaan ini dihadirkan dalam bentuk serangan bangsa Gutia, sebuah bangsa gasar dari Pergunungan Zaros yang bertanggungjawab menggempur dan menghancurkan Empayar Akkadia.

Bangsa Gutia menyerang bangsa Akkadia yang mempertahankan empayar mereka

Ilmuwan moden pula menghadirkan sejumlah hipotesis lain dalam cubaan untuk memunasabahkan lagi ketumbangan empayar pertama di dunia itu. Antara lain yang dikemukakan adalah ketidakcekapan pentadbiran, hasil tuaian yang tidak memberangsangkan, pemberontakan negara-negara kota, dan hentaman meteor gergasi. Kebelakangan ini, ilmuwan menumpukan kepada pendapat yang menyebutkan bahawa perubahan cuaca sebagai punca ketumbangan Empayar Akkadia dan sejumlah bukti dilampirkan bagi menyokong hipotesis berkenaan.

Pada tahun 1993, dilaporkan bahawa Empayar Akkadia mengalami kemarau panjang dan bencana ini dianggap sebagai punca keruntuhannya. Analisa-analisa mikroskopik ke atas kelembapan tanah yang dikumpulkan dari tapak-tapak arkeologi Akkadia di utara mengemukakan bukti bahawa pernah berlaku kemarau yang teruk pada sekitar 2200SM.

Petanda-petanda berlakunya kemarau ini juga boleh dilihat menerusi rekod arkeologi, di mana beberapa buah kota Akkadia di dataran utara ditemui dengan keadaan yang mengisyaratkan bahawa ia ditinggalkan secara tiba-tiba. Perpindahan penduduk di situ ke wilayah selatan turut dilaporkan di dalam tablet-tablet tanah liat.

Apapun, para penyelidik masih tidak dapat menemukan pemahaman yang jelas tentang penyebab berlakunya kemarau. Faktor-faktor seperti perubahan corak angin dan arus laut, serta letusan gunung berapi besar-besaran di Anatolia antara yang dicadangkan.Hipotesis berkenaan berlakunya kemarau yang diusulkan oleh Dr. Harvey Weiss dari Universiti Yale ini mempunyai penyokong dan pengkritik yang tersendiri. Salah satu kritikan yang dilontarkan terhadap hipotesis ini adalah dapatan data, termasuklah data berkenaan teras-teras laut dari Laut Merah dan Teluk Oman yang dikumpulkan, tidak cukup tepat untuk mewujudkan perkaitan antara kemarau dan perubahan yang berlaku dalam Empayar Akkadia.

Walau bagaimapun, kebelakangan ini, sejumlah staglamit dari sebuah gua di Iran telah dikumpulkan dan diselidik oleh sepasukan pakar yang diketuai oleh Dr. Stacy Carolin. Walaupun gua ini terletak di bahagian timur Empayar Akkadia yang kedudukannya jauh melangkaui sempadan empayar berkenaan, ia secara langsung berlokasi menentang arah tiupan angin. Dalam erti kata lain, kebanyakan debu yang ada di sana berasal dari padang pasir Syria dan Iraq.

Berdasarkan hakikat bahawa debu dari padang pasir mengandungi amaun magnesium yang lebih tinggi berbanding batu kapur tempatan yang membentuk staglamit gua, maka para penyelidik berupaya mengenal pasti debuan pada lantai gua pada zaman tertentu. Semakin tinggi ketumpatan magnesium, maka semakin berdeu lantai gua dan seterusnya, ia mengisyaratkan bahawa semakin kering keadaan padang pasir tempat ia berasal.

Tambahan lagi, staglamit boleh dikenal pasti usianya secara tepat dengan menggunakan kronologi uranium-thorium. Hasil daripada ujian yang dilakukan, didapati bahawa terdapat dua zaman kemarau panjang, yang salah satunya berlaku pada zaman ketumbangan Empayar Akkadia dan berpanjangan selama 290 tahun.

Staglamit gua yang ditemui di Syria dan Iran membantu pakar mengkaji tentang Empayar Akkadia

Setelah tumbangnya Empayar Akkadia, Mesopotamia dikuasai oleh bangsa Gutia, walaupun tidak banyak maklumat yang dimiliki tentang zaman ini. Menjelang tahun 2100SM, Dinasti Ketiga Ur muncul sebagai kuasa besar sekaligus menandakan kembalinya kuasa ke tangan bangsa Sumeria setelah mereka tunduk di bawah pemerintahan bangsa Akkadia selama beberapa tempoh.

Walaupun dokumen-dokumen pada masa itu sekali lagi ditulis dalam bahasa Sumeria, bahasa itu sendiri kemudiannya mengalami kepupusan. Sememangnya, pada zaman Akkadia, penggunaan bahasa Sumeria digantikan dengan bahasa Akkadia. Berikutan besarnya pengaruh yang dimiliki oleh Empayar Akkadia, maka bahasa Akkadia menjadi lingua franca di rantau berkenaan dan ia terus digunakan oleh tamadun-tamadun Mesopotamia berikutnya, seperti Assyria dan Babylonia walaupun dalam bentuk yang telah diubahsuai.

TERJEMAHAN DARI:

Wu Mingren. (7 Mei 2019). Explaining the Fall of the Great Akkadian Empire. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/akkadian-empire-0011871


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.