Baru-baru ini, sebuah kompleks rumah mandi Rom berusia 2,000 tahun ditemui di wilayah Andalusia, barat daya Sepanyol. Semasa ditemui, sebahagian struktur bangunan masih dalam keadaan baik termasuk mengekalkan bahagian pintu, tingkap dan dinding. Rumah mandi awam ini ditemui di bawah timbunan gumuk pasir di pantai Canos de Meca, Cadiz.
Timbunan gumuk pasir melindungi kompleks rumah mandi Rom dari dimamah masa.
Kebiasaannya, mana-mana bangunan era Rom yang ditemui dan diekskavasi hanya tinggal runtuhan termasuk tiang-tiang bangunan. Tetapi dalam kes rumah mandi awam ini, ia masih terpelihara kerana diliputi gumuk pasir selama beberapa alaf. Mengikut keterangan pasukan pengkaji arkeologi dari Universiti Cadiz, kompleks rumah mandi awam ini berkeluasan 2.5 ekar tetapi hanya dua buah bilik sahaja yang berjaya diekskavasi setakat ini.
Pengkaji arkeologi dari Universiti Cadiz percaya kompleks ini berkeluasan 2.5 ekar tetapi hanya dua ruang mandi saja ditemui.
Tidak seperti sesetengah rumah mandi awam yang dikhaskan kepada golongan pemerintah dan bangsawan, rumah mandi ini dikhaskan untuk golongan marhaen di Cadiz. Cadiz amat terkenal pada era Rom sebagai pembekal produk perikanan dan pertanian. Lantas, tidak hairanlah mengapa rumah mandian ini menjadi tumpuan kerana ini membolehkan golongan petani dan nelayan melepaskan lelah selepas seharian bekerja.
Sejarawan Dario Bernal berpandangan rumah mandi ini dianggap ke hadapan pada zamannya. Air akan dipanaskan dalam ketuhar-ketuhar gergasi sebelum disalurkan ke kolam-kolam mandian. Sementara ruang-ruang mandian dipanaskan dengan hipokos, sebuah unit pemanas pusat di bawah ruang lantai rumah mandi yang dinaikkan. Sebelum ini, ramai menyangka kompleks rumah mandi ini sebagai ladang perikanan era Rom.
Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)
Selain sebahagian kompleks rumah mandian, pasukan pengkaji turut menemui artifak seramik abad ke-12 dan ke-13 di situ. Di satu lagi tapak tidak jauh dari Tanjung Trafalgar, enam buah kolam ditemui hasil kerja ekskavasi. Bagaimanapun, kolam yang berkedalaman lima hingga 6.5 kaki itu bukan digunakan sebagai rumah mandi tetapi sebagai kolam mengawet ikan. Di samping itu, sebuah makam berusia 4,000 tahun turut ditemui berhampiran tapak berkenaan.
Enam kolam pengawetan ikan berhampiran Tanjung Trafalgar.
Bagi menteri kebudayaan Andalusia, Patricia del Pozo, pelbagai penemuan arkeologi yang dilaporkan merupakan satu berita baik kepada wilayah berkenaan. Ini menunjukkan wilayah tersebut kaya dengan pelbagai nilai sejarah. Menariknya, Tanjung Trafalgar turut menjadi saksi pertempuran hebat angkatan laut British dengan angkatan laut Napoleon pada 1805.
RUJUKAN:
Avery, D. (2021). Ancient Roman baths that were ‘spas’ for farmers and fishermen 2,000 years ago are discovered amazingly well-preserved in Spain. Daily Mail.




No comments yet