Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah kebijaksanaan lampau orang Melayu dahuhukala dalam falsafah dan konsep pembinaan rumah yang bertiang itu?
Ini ada kaitan dengan akar budaya dan sejarah orang Melayu yang termasuk dalam kelompok masyarakat Malayo-Polinesia/Austronesia.
Sebenarnya, para pengkaji telah mengenalpasti ciri-ciri kediaman masyarakat Malayo-Polinesia yang antara paling menonjol adalah rumah bertiang banyak sebagai asas tapak dan bumbung berbentuk melengkung.
‘Rumah bertiang seribu’ itulah antara perlambangan yang sering digunakan dalam puisi atau senikata lagu. Ia menyimpan 1001 maksud tersirat merentasi budaya dan sejarah beribu-ribu tahun.
Antara pandangan sarjana mengapa masyarakat Malayo-Polinesia membuat asas tapak rumah bertiang dan bukannya terus terletak di atas tanah adalah kerana mereka selalu bermukim di pesisir pantai, muara sungai, berdekatan sungai atau di kawasan lembah.
Kawasan-kawasan begini mudah dinaiki air ketika banjir. Sebab kedua pula ialah rumah itu memang dibina berdekatan pantai sehingga ke permukaan air sehingga membentuk kampung air. Kampung Ayer di Brunei antara contoh popular.
Maka rumah bertiang itu mampu juga berfungsi sebagai ‘pelabuhan kecil’ di mana ia dibina memang untuk ‘bermain-main dengan air’.
Ini adalah ciri-ciri masyarakat berperadaban maritim seperti orang Melayu yang menjadikan laut dan sungai sebagai perkakas paling berkuasa dalam menjalankan model ekonominya. Pusat entrepot (import-eksport), pengumpulan barangan, perdagangan laut, pelabuhan dan pertukaran barangan dijalankan berdekatan laut dan sungai yang menjadi jalanraya dan lebuhraya masa silam.
Selain ciri rumah bertiang, perahu-perahu juga adalah ‘senjata ekonomi’ yang biasa dilihat di rumah-rumah orang Melayu yang berkemampuan atau terlibat dalam aktiviti ekonomi yang berkaitan. Dengan adanya ciri-ciri rumah bertiang dan perahu di setiap rumah, maka orang Melayu memiliki pertahanan yang ampuh untuk mengatasi masalah banjir, sekaligus sebagai perkakas ekonomi juga. Serampang dua mata. Sambil menyelam minum air. Konsep dan falsafah kehidupan yang terhasil pengalaman mereka berhubung dengan alam dan menangani isu-isu alam.
Inilah rahsia kebijaksaan nenek moyang Melayu dahulukala yang tinggi pengetahuan alamnya dan banyak pengalaman mengurus bencananya.
Maka, anak-anak Melayu kini, yang tinggal di tanahair yang sama, berdepan dengan iklim yang sama, sejak ribuan tahun seharuslah mula mempelajari kebijaksanaan dan pengalaman datuk nenek dan moyang mereka dalam menyelesaikan misteri alam ini. Mungkin tidaklah semuanya secara ‘literally’ namun di sana terdapat pelajaran yang berguna untuk memperbaiki kehidupan di masa akan datang.
Kredit foto: Liu Kang (Life by the River, 1975)




No comments yet