Sebut saja Keajaiban Dunia Purba, ramai membayangkan tujuh monumen era antikuiti iaitu Piramid Agung Giza, Kuil Artemis di Ephesus, Rumah Api Iskandariah, Taman Tergantung Babylon, Patung Zeus di Olympia, Patung Colossus of Rhodes di Pulau Rhodes dan Makam Mausolus di Halicarnassus. Bagi Rumah Api Iskandariah, ia bukan saja satu keajaiban senibina tetapi berperanan menyinari dunia purba selama lebih sealaf.
Selepas tiga tahun memulakan kempen perluasan empayar Macedon dan menewaskan empayar Parsi, Alexander the Great berangkat ke utara Mesir sambil ditemani beberapa orang pengawal. Apabila tiba di satu kawasan di Delta Nil, baginda memutuskan untuk membina sebuah pelabuhan di situ. Ia bukan sekadar berperanan sebagai pengganti pelabuhan orang Phoenician, Tyre tetapi mengukuhkan cengkaman baginda ke atas Laut Mediterranean.
Dalam buku biografi Alexander yang dikarang oleh Plutarch, cendekiawan Yunani itu menceritakan satu anekdot aneh semasa Alexander merancang pembinaan kota Iskandariah. Pada suatu hari, arkitek yang diberi kepercayaan untuk mereka pelan kota berkenaan iaitu Dinocrates mahu membuat garisan yang membentuk jalan-jalan dan saliran-saliran untuk kota baru itu. Disebabkan ketiadaan kapur, beliau menggunakan tepung barli sebagai pengganti.
Tetapi malangnya, tepung barli yang ditabur oleh Dinocrates dimakan oleh kumpulan besar burung. Pada awalnya, Alexander menganggap ini sebagai petanda malang untuk kota barunya itu. Namun begitu, beberapa orang tukang tilik memberitahu baginda ia sebenarnya satu petanda baik. Ini menunjukkan kota Iskandariah bakal menjadi nadi bekalan utama populasi dunia purba ketika itu.
Dari satu segi, pelabuhan Iskandariah amat ideal kepada kapal-kapal besar. Ini kerana ia mempunyai perairan yang dalam dan terlindung daripada tiupan angin di sebelah utara menerusi rantaian pulau yang berperanan sebagai penampan. Tetapi tanpa kompas atau mana-mana peralatan mencari arah, berlabuh di pelabuhan berkenaan bukan satu tugas mudah.
Pertama, kawasan sekeliling Delta Nil ialah paya dan gurun dengan sebahagian kawasan terlalu rendah tetapi bisa memperdaya pelayar yang tidak berpengalaman. Kedua, beting pasir yang boleh memerangkap kapal apabila mereka menghampiri pelabuhan. Ketiga, lapisan berganda batu karang sebelum pelayar tiba di pelabuhan. Kesemua halangan ini menjustifikasikan keperluan pembinaan sebuah rumah api tetapi setaraf dengan status kerajaan Macedon.
Lantas, sebuah pulau kecil bernama Pharos di luar pesisir Iskandariah dipilih sebagai lokasi rumah api itu. Dalam budaya Yunani, pulau ini menjadi saksi terkandasnya Menelaus yang disebut dalam Iliad dan Odyssey semasa cuba pulang ke tanah airnya. Dalam catatan Plutarch, pengarang dua buku tersebut, Homer muncul dalam mimpi Alexander dan meminta baginda memilih Pharos berikutan kedudukannya yang hampir dengan Iskandariah.
Menara rumah api yang dibina bersifat tunggal – antara yang pertama seumpamanya didirikan oleh mana-mana peradaban ketika itu. Nama Pharos turut digunakan bagi mewakili struktur yang dibina dan terus bertahan sehingga hari ini. Pembinaan Rumah Api Iskandariah ini dilaksanakan atas titah Firaun Dinasti Ptolemy, Ptolemy I Soter. Baginda merupakan bangsawan Yunani yang mengambil alih pemerintahan Mesir susulan kemangkatan Alexander pada 323 SM.
Rumah Api Iskandariah hanya siap semasa pemerintahan putera Ptolemy I Soter, Ptolemy II Philadelphus. Mengikut catatan sejarawan Rom Pliny the Elder, salah seorang Firaun dinasti tersebut turut memperkenan nama arkitek rumah api itu, Sostratus of Cnidus diukir pada rumah api berkenaan. Ia menelan belanja satu persepuluh daripada perbendaharaan Dinasti Ptolemy atau lebih tepat 23 tan perak. Ia jauh lebih mahal daripada pembinaan Parthenon yang dibina lebih seabad sebelumnya.
Pada ketinggian melebihi 350 kaki, ia dapat dilihat oleh pelayar sejauh 34 batu atau tempoh sehari pelayaran. Pada waktu pagi, ia menjadi panduan para pelayar. Sementara pada malam hari, ia membantu mereka mengesan pelabuhan dengan selamat. Disebabkan api yang digunakan sebagai sumber cahaya rumah api itu amat terang, ada pelayar menyangkanya sebagai bintang di langit malam. Ramai cendekiawan percaya bahan api untuk api rumah api berkenaan sama ada minyak atau papirus.
Cahaya yang dipantul keluar dari rumah api menggunakan besi berkilat atau kaca sebagai cermin. Disebabkan tempoh kewujudannya yang lama, ramai sasterawa Arab membayangkan ia sebagai seperti cermin pembesar yang besar. Ia lalu memantulkan kuasa cahaya matahari kepada mana-mana kapal musuh yang cuba menghampiri Iskandariah sebelum membakarnya sehingga hangus.
Rumah Api Iskandariah turut dilengkapkan dengan hon di mana apabila ia dibunyikan, ia mengeluarkan bunyi menakutkan menurut catatan Arab. Tidak diketahui apa bentuk mekanisme yang menghasilkan bunyi tersebut. Ada yang berspekulasi cangkerang konc yang meniup triton yang dipasang di tingkat atas rumah api sebagai sumber hon yang dinyatakan.
Yang pasti, ia menjadi tarikan mana-mana pemerintah dalam tempoh lebih sealaf. Julius Caesar amat tertarik dengan ketinggian Rumah Api Iskandariah dan hasil kerja pembinaannya. Di sebalik tarikannya sebagai monumen terkenal lagi bersejarah, ia mula dimamah usia. Semasa pemerintahan Cleopatra, baginda mengarahkan usaha pemulihan dibuat ke atas rumah api itu.
Penulis percaya apabila ekspedisi tentera Islam yang dipimpin Amru bin al-As r.a tiba di Iskandariah sekitar abad ketujuh Masihi, mereka pastinya merasa kagum melihat monumen tersebut. Tetapi sedikit demi sedikit, gempa bumi merosakkan struktur Rumah Api Iskandariah.
Bagi pengembara terkenal Ibnu Battuta, melihat rumah api itu dalam keadaan sedemikian pada abad ke-14 sememangnya menyedihkan. Dalam catatan Rihlahnya, beliau mendedahkan pemerintah Mamluk Sultan al-Nasir Muhammad merancang merobohkan struktur Rumah Api Alexandria dan menggantikannya dengan rumah api baru. Bagaimanapun, impian tersebut tidak terlaksana selepas baginda mangkat pada 1341.
Selepas ia runtuh pada akhir abad ke-14, tapak dan sisa runtuhan dikitar semula untuk dijadikan sebagai Citadel Qaitbay atas titah Sultan Abu Al-Nasr Sayf ad-Din Al-Ashraf Qaitbay pada 1477. Pada 2016, Kementerian Antikuiti dan Pelancongan Mesir merancang menjadikan kawasan tinggalan Rumah Api Iskandariah sebagai muzium bawah air.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih