Siapa yang tidak kenal dengan Mr. Bean? Serasanya sesiapa yang membesar pada era 90-an tidak akan lupa dengan gaya komedi yang dipersembahkan dalam sitkom Mr Bean ini. Tapi, adakah anda kenal dengan Rowan Sebastian Atkinson?
Atkinson dilahirkan pada tahun 1955, dalam keluarga kelas pertengahan dan bapanya adalah seorang petani. Selepas cemerlang pada peringkat A Levels, Atkinson melanjutkan pengajiannya dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di Universiti Newcastle. Dan kemudiannya menyambung Master di Queen’s College, Oxford dalam bidang yang sama.
Sewaktu berada di Oxford inilah, beliau mula aktif dalam lakonan dan mendaftar dalam kumpulan komedi. Pada tahun 1979 rancangan satira Not the Nine O’Clock News memperkenalkannya kepada berjuta-juta penonton British, dan pada tahun 1981 dia menjadi ahli paling muda ketika itu yang mengadakan pertunjukan solo di West End London.
Atkinson sebenarnya bermula dengan sitkom Blackadder, yang ditulis sendiri olehnya. Kejayaan siri ni yang menyerlah sisi komedinya telah membuka jalan untuk siri Mr Bean yang disiarkan antara tahun 1990 hingga 1995. Pada saat kemuncaknya, Mr Bean adalah siri komedi televisyen paling popular British dengan jumlah penonton mencecah 18 juta orang. Karakter Mr Bean itu sendiri telah mempopularkan dia di seluruh dunia, malah dijadikan watak filem serta siri animasi.
Apa rahsia di sebalik kejayaan Rowan Sebastian Atkinson sebagai Mr Bean ini?
Perjuangan Rowan Atkinson untuk mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa adalah contoh klasik tentang kesukaran untuk mencapai kejayaan. Ini terutamanya berlaku apabila kita dilahirkan dalam keluarga kelas pertengahan dan mengalami masalah pertuturan yang serius. Ya, Rowan Atkinson mengalami gangguan dalam pertuturan iaitu gagap.
Dia bertahan, walaupun ditolak dalam pelbagai rancangan televisyen sebelum berjaya. Namun, apa yang dilakukan olehnya? Atkinson mengatasi masalah gagapnya dengan lebih banyak melakonkan watak. Ini kerana dia tahu gagapnya akan berhenti apabila dia memainkan watak tertentu.
“Saya dapati apabila saya melakonkan watak yang berbeza daripada diri saya, gagap itu hilang.”
Apa pengajaran yang kita dapat di sini? Kerja keras bukanlah ditakrifkan oleh penampilan fizikal kita, tapi ia ditentukan oleh ketekunan, keazaman dan disiplin diri kita demi merealisasikan impian kita.
Oleh: Farahi Kamaruddin




No comments yet