IBN KHALDUN menyatakan bahawa kehebatan Tamadun Islam 1400 tahun yang lepas dalam menangani kejahilan dalam kalangan masyarakat Arab jahiliyyah. Di mana telah menyaksikan kehebatan Nabi Muhammad S.A.W membentuk umat Islam kalangan para Sahabat R.A.

Ketika itu, Nabi S.A.W telah berupaya dengan izin Allah S.W.T mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya sehingga melahirkan satu generasi berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Mereka itu mendapat pengiktirafan dari Allah S.W.T. sebagai khair al-ummah.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam surah Ali Imran ayat 110:

“Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia. Suruhlah kepada kebaikan dan cegahlah kemungkaran dan beriman kepada Allah S.W.T.”

Menjadi satu tanggungjawab dan kewajipan ke atas setiap ibu bapa yang beragama Islam untuk mendidik anak-anak mereka. Pendidikan kepada anak-anak itu berlaku dalam erti kata menyuruh ke arah kebaikan dan melarang daripada melakukan keburukan.

Dalam kaedah mendidik anak-anak, salah satu cara yang disarankan oleh Rasulullah S.A.W ialah kaedah rotan (Abdullah Nasih Ulwan). Kaedah ini diekstrak daripada Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amru bin Al- ‘Ash R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرِ سِنِينَ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ
“Perintahkanlah kepada anak-anak kamu untuk mengerjakan solat semasa mereka berumur tujuh tahun. Dan pukullah mereka untuk sekiranya mereka solat ketika mereka berumur sepuluh tahun dan asingkanlah mereka daripada tempat tidur kamu. (Riwayat Abu Daud)

Selain itu, hadis ini juga menunjukkan bahawa dalam aspek pendidikan, kaedah rotan adalah dibenarkan. Hukuman rotan boleh dilaksanakan atas dasar untuk mendidik dan merupakan pilihan terakhir. Hukuman dengan cara merotan ini tidak boleh dilaksanakan pada kali pertama kesalahan anak atau murid.

Setiap kesalahan itu haruslah terlebih dahulu dijelaskan kedudukannya. Kemudian, penekanan kepada tindakan atau tingkah laku yang betul perlu diberikan. Peluang untuk memperbaiki kesalahan juga perlu diberikan.

Pendekatan untuk menggunakan rotan ini dapat diambil daripada hadis Nabi S.A.W yang disebut di atas tadi. Tempoh tiga tahun ditetapkan dalam hadis tadi sebagai tempoh tarbiyyah atau tempoh mendidik bagi ibadat solat (Abdullah Nasih Ulwan).

Dalam pada melaksanakan hukuman rotan, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh ibu-bapa atau para guru. Antaranya ialah:

  1. Ibu bapa atau pendidik mestilah meletakkan niat sebelum merotan itu, untuk mendidik jiwa anak/pelajar tersebut dan bukannya untuk menghukum fizikal yang melakukan kesalahan. Dengan ini ia dapat mengelakkan ibu-bapa atau guru daripada merotan mengikut hawa nafsu sehingga cedera.
  2. Selain itu, hukuman ini perlulah dilakukan secara berperingkat-peringkat. Pada peringkat awal hukuman dari aspek emosi boleh dilakukan, seperti mengasingkan anak atau murid tersebut daripada rakan-rakannya. Sekiranya cara ini tidak berkesan, barulah ibu-bapa atau guru menggunakan hukuman fizikal.
  3. Hukuman rotan tersebut hendaklah merupakan alternatif terakhir, setelah cara-cara didikan lain digunakan.
  4. Elakkan merotan ketika sedang marah. Hendaklah ibu-bapa atau para guru dalam keadaan waras dan tenangkan diri seketika sebelum mengambil tindakan untuk merotan.
  5. Dilarang sama sekali untuk merotan anak-anak di bahagian muka dan bahagian-bahagian yang merbahaya seperti dekat dengan kepala, perut, dada dan kemaluan. Merotan bukannya bertujuan untuk mendera sampai tinggal lebam pada badan dan sebagainya. Ini kerana, terdapat larangan daripada Nabi S.A.W dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa baginda bersabda:
    إِذَا قَاتَلَ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ فَلْيَجْتَنِبِ الْوَجْهَ

    “Apabila salah seorang daripada kamu bergaduh maka hendaklah dia menjauhi (dari memukul) muka.” (Riwayat Muslim)
    Hal yang demikian itu kerana, muka seseorang itu adalah tempat yang lembut dan menghimpunkan keseluruhan keindahan. Bahagian anggota padanya juga lembut dan boleh rosak apabila dipukul.
  6. Memukul juga tidak boleh menyebabkan kerosakan dan kemudaratan pada tubuh badan anak-anak/pelajar seperti luka atau patah tulang. Ini sebagaimana yang telah dinyatakan, tujuan dipukul adalah bersifat ta’dibi (memberi pendidikan) dan bukannya ta’qibi (memberi hukuman dan seksaan).
  7. Dalam merotan anak-anak, sebatan tidak boleh dilakukan dengan melebihi 10 kali. Ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Burdah al-Ansari R.anh bahawa Nabi S.A.W bersabda:
    لَا يُجْلَدُ فَوْقَ عَشَرَةِ أَسْوَاطٍ إِلَّا فِي حَدِّ مِنْ حُدُودِ اَللَّهِ
    “Tidak disebat seseorang itu melebihi sepuluh kali sebatan kecuali pada (hukuman) had daripada hudud-hudud Allah S.W.T.” (Riwayat al-Bukhari)
  8. Hendaklah ibu-bapa atau guru itu sendiri yang merotan dan tidak mewakilkan hukuman tersebut kepada anak atau murid yang lain.

Sebagai pendidik, saya menyarankan agar melengkapkan diri kita dengan kemahiran pedagogi yang sesuai dengan generasi anak muda kini bagi membantu proses pendidikan dan pembinaan insan. Disamping itu, sistem dan falsafah pendidikan juga perlu ditambahbaik agar penekanan dapat diberikan kepada aspek nilai dan akhlak selain akademik dan pemikiran kritis.

Subjek seperti moral dan sivik yang pernah ada suatu ketika perlu diwujudkan semula. Subjek sejarah juga perlu diberikan nafas baru agar ia mampu membentuk jati diri generasi muda serta meningkatkan rasa milik (self belonging) kepada negara dan memperkukuh perpaduan serta rasa hormat antara satu sama lain.

Sebagai penutup, ingin saya tegaskan bahawa merotan anak/pelajar dengan cara yang melampau dan menyebabkan kecederaan yang serius sehingga pengsan atau patah tulang adalah haram. Ini kerana Islam menolak sebarang bentuk kekerasan sekalipun dalam perkara kebaikan dan melarang kepada perbuatan yang memberi mudharat.

Anak-anak merupakan satu amanah daripada Allah S.W.T untuk dipelihara dan diberi didikan sebaik mungkin oleh ibubapa/guru. Malah mereka akan dipersoal di akhirat kelak terhadap apa yang telah mereka lakukan kepada anak-anak di bawah tanggungan mereka. Dalam memberi didikan, ia bukanlah sekadar dengan merotan atau memukul.

Sebaliknya, lakukanlah gabungan di antara al-Targhib (memberi ransangan atau anjuran) dan juga al-Tarhib (memberikan amaran dan ancaman) dalam membentuk peribadi anak-anak/pelajar.

Artikel ialah kiriman Ketua Pemuda PAS, IR Haji Khairil Nizam Khirudin untuk The Patriots


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.