Sepanjang era 1990-an, kita melihat ramai penyerang berbisa menempa nama di liga-liga utama Eropah dan ada di antaranya menjadi bintang besar bersama pasukan kebangsaan mereka. Antara nama legenda yang kita sudah biasa dengar ketika itu seperti Alan Shearer dan Ian Wright (England), George Weah (Liberia), Romario dan Ronaldo (Brazil). Dan sebelum Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi meniti bibir nama peminat hari ini, nama Ronaldo inilah yang menjadi igauan ramai penjaga gol di peringkat liga domestik dan kejohanan antarabangsa. Tetapi siapa sebenarnya Ronaldo Luis Nazario de Lima?
Ronaldo merupakan anak ketiga pasangan Nelio Nazario de Lima Snr dan Sonia dos Santos Barata. Semasa kecilnya, beliau mendedahkan pernah mencuba posisi penjaga gol semasa menjalani percubaan di Valquire. Memandangkan ramai menyertai percubaan berkenaan, Ronaldo mahu mencuba posisi sayap kanan tetapi akhirnya memilih posisi penjaga gol. Walaupun lulus sebagai penjaga gol, selepas menukar posisi kepada penyerang semasa sesi latihan, beliau tidak lagi menoleh ke belakang dan mula menempa nama di peringkat remaja.
Selepas memulakan karier sebagai pemain remaja di Sao Cristavao dan pada tahun kedua, beliau menjadi pemain utama skuad berkenaan tatkala pemenang Piala Dunia 1970, Jairzinho merupakan jurulatih pasukan pertama. Semasa bergelar pemain remaja, Ronaldo mahu menyertai kelab pujaannya, Flamengo tetapi ditolak. Jairzinho tidak mahu membiarkan bakat O Fenomeno (The Phenomenon) disia-siakan dan membantu beliau menyertai kelab Cruzeiro. Di Cruzeiro inilah, Ronaldo membuat penampilan pertama pada usia 16 tahun dan menjaringkan 44 gol dalam 47 perlawanan. Antara tahun 1993 hingga 1994, beliau membantu Cruzeiro memenangi Copa do Brasil (1993) dan Minas Gerais State Championship (1994).
Rekod luar biasanya menarik perhatian ramai peninjau bakat termasuk peninjau bakat Belanda terkenal, Piet de Visser. de Visser yang bertanggungjawab membantu kelab PSV Eindhoven mendapatkan khidmat Romario berjaya mendapatkan Ronaldo untuk kelab sama selepas Piala Dunia 1994. Pada kejohanan itu, walaupun merupakan anggota termuda pasukan Brazil memenangi edisi kejohanan berkenaan, beliau tidak diberi peluang bermain. Ramai tertanya-tanya mengapa penyerang sensasi baru Brazil ini memilih Eredivisie berbanding liga-liga Eropah lain. Bagi Ronaldo, beliau memilih PSV dan Eredivisie atas nasihat Romario yang melihat kelab berkenaan sebagai batu loncatan karier bola sepak di Eropah. Antara tahun 1994 hingga 1996, beliau berjaya menjaringkan 54 gol dan membantu kelab berkenaan menjuarai Piala Belanda (1996). Dan ini menarik perhatian kelab yang mendapat jolokan Blaugrana, Barcelona dan pengurus legenda British, mendiang Sir Bobby Robson.
Pada musim 1996-1997, reputasinya sebagai penjaring berbisa Eredivise menarik perhatian Barca dan gergasi Itali, Inter Milan. Selepas perang bidaan tercetus, Ronaldo berpindah ke Nou Camp dengan rekod perpindahan dunia ketika itu dan mencetuskan fenomena dalam La Liga. Walaupun kekal di Barca selama semusim, beliau merupakan penjaring terbanyak liga dengan 34 gol dan membantu pasukan bimbingan Robson memenangi Piala Raja Sepanyol (Copa del Rey), Piala Super Sepanyol dan Piala Pemenang Piala UEFA. Ada satu gol yang menarik perhatian semua semasa perlawanan menentang SD Compostela di mana selepas mendapat bola dari kawasan sendiri, beliau berjaya mengelak terjahan sinis pemain lawan sebelum mula berlari ke arah gol Compostela. Beberapa pemain cuba menghalang tetapi berjaya dielak Ronaldo dengan bola sentiasa dalam kawalannya sebelum menolak bola ke penjuru bawah gawang. Gol berkenaan sangat menakjubkan sehinggakan Robson sendiri merasa tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Keesokan harinya, akhbar Sepanyol AS melabel tajuk utama gol itu ‘Pele kembali’ dan ia digunakan untuk satu iklan produk Nike. Pada musim itu juga, Ronaldo memecahkan rekod sebagai pemenang termuda Pemain Terbaik Dunia FIFA.
Selepas membantu Brazil menjuarai Copa Amerika 1997 dan dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan edisi berkenaan, sekali lagi Ronaldo berkelana dengan Itali sebagai destinasi terbaru. Inter Milan akhirnya berjaya mendapatkan khidmat Ronaldo dengan sekali lagi memecah rekod perpindahan dunia sekaligus menyamai rekod perpindahan yang dibuat legenda Argentina, Diego Maradona. Bagaimanapun masanya bersama Nerazzurri bukanlah sesuatu yang mahu dikenang penyerang berbisa Brazil itu. Di San Siro, beliau mengalami dua kecederaan lutut yang serius sehingga terpaksa menjalani dua pembedahan dan proses pemulihan yang mengambil masa berbulan-bulan. Jika tidak kerana masalah kecederaan menurut Robson, Ronaldo boleh saja memenuhi potensinya sebagai pemain terbaik dunia dan mengikut jejak langkah Pele dan Maradona. Walaupun hanya menjaringkan 59 gol dalam 99 perlawanan, kesungguhannya untuk bangkit dari kecederaan sehingga dapat mewakili semula Inter dan Brazil pada edisi Piala Dunia 2002 serta bakat luar biasanya menyebabkan media Itali menggelar Ronaldo Il Fenomeno (The Phenomenon).
Selepas membantu Brazil memenangi Piala Konfederasi 1997, ramai melihat Selecao pilihan utama menjuarai Piala Dunia 1998 di Perancis. Walaupun kejohanan berkenaan menampilkan ramai pemain terkenal seperti David Beckham (England), Zinedine Zidane (Perancis), Dennis Bergkamp (Belanda) dan Davor Suker (Croatia), tumpuan masih tertumpu pada Ronaldo dengan ramai menggelarnya pemain terbaik dunia ketika itu. Pada kejohanan berkenaan, beliau menjaringkan empat gol dan membentuk kombinasi mantap bersama Romario sehingga membantu Selecao layak ke final.
Bagaimanapun beberapa jam sebelum perlawanan, Ronaldo tidak sedarkan diri selepas makan tengah hari dan ini mengejutkan semua rakan sepasukannya. Pemenang Piala Dunia 1998 Perancis merangkap legenda Real Madrid, Christian Karembeu menceritakan ketika insiden itu berlaku, beliau sedang berbual melalui telefon dengan rakan sepasukan kelab dan bek kiri legenda Selecao, Roberto Carlos. Sebaik insiden itu berlaku, Carlos segera menamatkan perbualan dan menyangka beliau hanya bergurau tetapi bertukar serius selepas Ronaldo tidak sedar selama tiga atau empat minit. Untuk melihat sejauh mana keseriusan keadaannya, Ronaldo dibawa doktor pasukan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Melihat ketidakcergasan beliau menghadapi perlawanan, jurulatih Brazil ketika itu Dr Mario Zagallo memilih menggugurkan Ronaldo dan memilih Edmundo mengetuai bahagian serangan. Tetapi selepas kesihatannya disahkan baik oleh pasukan perubatan, beliau bertegas mahu bermain dan selepas beberapa lama, Zagallo mengalah dan menyenaraikan semula Ronaldo. Tetapi apa yang berlaku ke atasnya memberi impak negatif kepada pasukan kerana ramai bimbangkan kesihatan beliau. Walaupun bermain di final, Ronaldo gagal membantu Selecao mengatasi Les Bleus yang menang dengan keputusan 3-0.
Menjelang edisi Piala Dunia 2002 di Jepun dan Korea Selatan, doktor hanya memberi peluang sebanyak 50% kepada Ronaldo kembali bermain atau tidak bermain langsung. Semasa ketiadaan beliau, Brazil bergelut dan hanya berjaya layak di tempat keempat serta dimalukan pasukan Amerika Tengah, Honduras pada Copa America setahun sebelumnya. Ramai melihat Selecao yang dibimbing bakal pengurus Portugal dan Chelsea, Luiz Felipe Scolari tiada harapan untuk mendapatkan kejuaraan kelima Piala Dunia. Tetapi satu keajaiban berlaku di mana Ronaldo bersama Rivaldo dan Ronaldinho Gaucho mengetuai Brazil menjuarai Piala Dunia 2002 mengatasi Jerman yang dibimbing pemenang Piala Dunia 1990, Rudi Voller. Beliau turut mencipta rekod sebagai penjaring terbanyak kejohanan sebanyak lapan gol mengatasi penyerang berbisa Jerman, Miroslav Klose. Atas pencapaiannya itu, Ronaldo memenangi Pemain Terbaik Dunia FIFA 2002 dan mendedikasikan kemenangannya itu terhadap pasukan perubatan yang merawat masalah lututnya.
Selepas tamat musim 2001-2002, Ronaldo menjadi tumpuan beberapa kelab gergasi seperti Manchester United dan Real Madrid. Tetapi tertulis sudah takdir baginya untuk kembali mengganas di La Liga dengan menyertai Los Blancos dengan yuran perpindahan 46 juta euro dan menyertai generasi pertama Galacticos diketuai Zinedine Zidane, Luis Figo, Raul Gonzalez dan rakan senegaranya, Carlos. Pada musim pertamanya bersama Real, beliau membantu menjulang kejuaraan liga, Piala Antara Benua (Intercontinental) dan Piala Super Sepanyol. Malah Ronaldo turut melakar sejarah sebagai sebahagian daripada kelab hatrik Liga Juara-Juara Eropah dengan menjaringkan tiga gol untuk menyingkirkan United dari pusingan suku akhir kejohanan berkenaan. Dalam sejarah kariernya, kejuaraan La Liga bersama Real merupakan satu-satunya kejuaraan liga yang diraih Ronaldo.
Untuk beberapa musim berikutnya, generasi Galacticos ini terus mengalami kemarau kejuaraan dengan Ronaldo semakin tersisih akibat masalah kecederaan dan isu berat badan. Dan selepas Real mendapatkan khidmat penyerang Belanda dan Red Devils, Ruud van Nistelrooy pada tahun 2006, Ronaldo sedar masanya di Bernabeu sudah berakhir. Sepanjang empat setengah musim bersama Real, 100 gol dijaringkan beliau melayakkannya menyertai kelab eksklusif pemain asing Real yang mencapai sasaran gol berkenaan. Ahli lain selain Ronaldo ialah mendiang Ferenc Puskas, mendiang Alfredo di Stefano, Ivan Zamorano dan Hugo Sanchez. Persoalan sama turut dibangkitkan peminat Brazil yang turut mempersoal kelogikan Carlos Alberto Pareira memilih beliau sebagai penyerang utama Selecao bersama Kaka dan Adriano untuk kempen Piala Dunia 2006. Brazil mara ke suku akhir tetapi tewas di tangan finalis edisi itu, Perancis 1-0 hasil jaringan legenda Arsenal, Thierry Henry.
Selepas Bernabeu, Ronaldo memilih berkelana semula ke Itali dan menyertai musuh ketat Inter, A.C Milan pada tahun 2007. Dan Ronaldo mencipta sejarah sebagai antara beberapa pemain yang menyarung jersi kedua-dua kelab yang bermain dalam Derby di Milano dan mengikut jejak langkah Zlatan Ibrahimovic menjaringkan gol dalam perlawanan setempat bagi kedua-dua kelab. Bagaimanapun, tempohnya bersama Milan tidak bertahan lama akibat mengalami kecederaan lutut sama yang dihadapi pada tahun 1999 dan 2000.
Semasa menjalani proses pemulihan, Ronaldo berlatih bersama kelab pujaannya, Flamengo dan ramai melihat beliau akan menyarung jersi pasukan kesayangannya itu. Tetapi beliau memilih mengikat kontrak setahun dengan pesaing Flamengo, Corinthians. Ronaldo membantu kelab barunya menjulang kejuaraan liga pada tahun 2009 dan Copa do Brasil (2009). Selepas memeterai lanjutan kontrak selama setahun, Ronaldo mengumumkan tahun 2011 merupakan tahun terakhirnya sebagai pemain bola sepak. Pada Februari 2011, beliau mengumumkan persaraannya dari dunia bola sepak selepas bermain selama 18 tahun. Antara sebab pengumuman ini dibuat awal kerana badannya sudah tidak mampu lagi menahan beban kecederaan yang dialami selama ini. Sebagai mengiktiraf jasanya pada bola sepak, Brazil mengadakan satu perlawanan perpisahan membabitkan Ronaldo bagi memberi peluang menamatkan kariernya bersama pasukan kebangsaan pada musim panas 2011.
Selepas bersara, Ronaldo membuat kemunculan sekali-sekala dalam perlawanan-perlawanan kebajikan dan turut melibatkan diri dalam bidang perniagaan. Selain pernah menjadi pemilik bersama pasukan AI GP Brazil bersama pemandu legenda Formula Satu, Emerson Fittipaldi, beliau juga merupakan pemilik bersama syarikat pemasaran sukan 9INE dan pemilik saham minoriti kelab Liga Bola Sepak Amerika Utara (NASL), Fort Lauderdale Strikers. Dari segi kehidupan peribadinya, Ronaldo pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan dikurniakan empat cahaya mata.
SUMBER
1. Maul, Rob. (2014). Daily Mirror. World Cup: I was unconscious for minutes ahead of nightmare 1998 final, reveals Brazil icon Ronaldo. https://www.mirror.co.uk/sport/football/world-cup-2014/world-cup-unconscious-minutes-ahead-3667198
2. Fryer, Rupert. (2016). Goal.com. O Fenomeno – How Ronaldo won three Ballons d’Or. http://www.goal.com/brasilglobaltour/en/news/5457/brasil-global-tour/2016/12/12/19009622/o-fenomeno-how-ronaldo-won-three-ballons-dor
3. Jones, Mark. (2018). Daily Mirror. Real Madrid legend Ronaldo reveals how he could have carved out a career as a goalkeeper. https://www.mirror.co.uk/sport/football/news/real-madrid-legend-ronaldo-reveals-11827408
4. Football’s Greatest Moment Episode 3. (2018). History.com.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih