Sebut saja Romeo and Juliet, ramai tahu itulah antara mahakarya sasterawan dan pemain teater Inggeris terkenal William Shakespeare. Ia dianggap sebagai kisah cinta agung yang pernah ditulis sehingga hari ini. Disebabkan ia berbaur tragedi dan romantik, bukan sekali ia diadaptasi di pentas teater dan filem termasuk filem Romeo + Juliet (1996). Tetapi tidak ramai tahu kisah ini sebenarnya berasal dari Itali dan bukan terhasil daripada ilham Shakespeare.

Dengan tema hubungan cinta penuh dengan halangan, tema sebegini bukan asing dalam mana-mana sajak era Yunani dan Rom. Dan drama Shakespeare ini merupakan variasi kepada kisah sebenar yang ditulis pada abad ke-15.

Boleh dapatkan buku terbaru The Patriots di webstore kami: https://bit.ly/pratempahktmktr

Sebelum bercerita lebih lanjut tentang asal-usul drama ini, amati dahulu sinopsis kisah ini. Secara ringkas, Romeo and Juliet berkisar tentang dua keluarga bertelagah iaitu Capulet (keluarga Juliet) dan Montagu (keluarga Romeo) di kota Verona, Itali. Di sebalik pertelagahan ini, kedua-duanya jatuh hati walaupun si perawan telah ditunangkan dengan lelaki pilihan keluarganya, Paris.

Enggan membiarkan perkara itu berlaku, Romeo cuba berkahwin secara senyap-senyap dengan Juliet. Tetapi cubaan dia memadamkan lampu jalan mengakibatkan kema.ti.an sepupu kekasihnya, Tybalt. Akibatnya, Romeo diusir dari kota Verona.

Tidak mahu berpisah dengan cinta sejatinya itu, Juliet bersetuju mengikut rancangan Friar Laurence dengan memalsukan kema.ti.annya. Rancangan ini sepatutnya diketahui oleh Romeo tetapi dia tidak mendapat surat daripada pegawai gereja itu. Akibatnya, apabila dia melihat tubuh Juliet yang disangka tidak bernyawa di gereja, Romeo memilih mengambil nyawanya sendiri.

Juliet yang tersedar mendapati kekasih hatinya itu telah tiada di sisinya. Lantas, dia melakukan perkara sama kerana merasakan tiada gunanya hidup tanpa orang yang dicintai. Selepas keluarga Montagu dan Capulet mengetahui apa yang berlaku,  kedua-dua keluarga memilih untuk menghentikan pertelagahan dan berdamai.

Terdapat beberapa sumber yang menjadi asas kepada mahakarya Shakespeare ini. Pertama, kisah ke-33 karya Il Novellino yang dikarang oleh Masuccio Salernitano. Diterbitkan setahun selepas beliau meninggal dunia pada 1475, bab ke-33 menceritakan kisah cinta Mariotto dan Gianozza dengan kedua-duanya datang dari dua keluarga bertelagah, Maganelli dan Saraceni. Selain itu, kisah cinta mereka berlaku di Siena dan dikatakan berlaku semasa hayat Salernitano.

Seperti versi Shakespeare, kedua-duanya jatuh cinta sebelum berkahwin secara senyap-senyap dengan bantuan Friar Augustine. Tidak lama selepas itu, Mariotto bertelagah dengan seorang bangsawan sehingga mengakibatkan lawannya itu terbunuh. Ini memaksa cinta hati Gianozza itu melarikan diri untuk mengelak dikenakan hukuman ma.ti atas apa yang berlaku.

Walaupun sedih dengan apa yang berlaku, wanita itu tahu Mariotto mempunyai keluarga di Iskandariah, Mesir dan berharap dapat bersatu semula dengan dia di sana. Tetapi ayah Gianozza yang menyangka dirinya masih perawan mahu mengahwinkannya dengan lelaki pilihan keluarga Maganelli. Tidak mahu dipaksa berkahwin, dia mengambil ubat yang menampakkan dirinya ma.ti sebelum diseludup keluar dari Siena dan bersatu semula dengan Mariotto.

Malangnya, rancangan tersebut sepatutnya diketahuinya menerusi surat yang dihantar oleh Friar Augustine tetapi surat tersebut tidak pernah sampai. Sebaik Mariotto mendapat tahu berita kema.ti.an isterinya, dia pulang ke Siena secara rahsia untuk melihat ma.ya.t Gianozza. Tetapi kehadirannya disedari pihak berkuasa sekaligus menyebabkan dia ditahan dan dihukum ma.ti tiga hari sebelum isterinya pulang semula ke Siena.

Rajah 1: Seperti mana Romeo menemui Juliet tidur tetapi disangka ma.ti, itu juga merupakan versi sama yang dimulakan oleh Salernitano.

Sebaik Gianozza pulang, dia patah hati bila mendengar khabar suami yang dicintainya itu. Menurut catatan Salernitano, dia meninggal dunia dalam keadaan menyedihkan sebelum kembali bersatu di syurga.

Sekali pandang, cerita penulis Itali itu berkongsi banyak persamaan dengan drama Romeo and Juliet. Tema pertelagahan keluarga, hubungan cinta terlarang, ubat tidur dan kegagalan komunikasi membawa pengakhiran menyedihkan untuk kedua-dua pasangan yang dilamun asmara. Disebabkan selang masa selama seabad, Shakespeare sudah pasti mendengar kisah Salernitano atau variasi kisahnya sebelum mengarang Romeo and Juliet.

Seterusnya, variasi sumber Romeo and Juliet disumbang oleh penulis Luigi da Porta pada 1530-an. Ia berkisar tentang kisah cinta Romeo Montechhi dan Giuletta Cappeletti dengan latar tempatnya dipindahkan ke Verona. Sama seperti versi Salernitano, kedua-duanya berkahwin dengan rahsia sebelum terpisah akibat Romeo terbu.n.uh sepupu Giuletta dan cara kema.ti.an mereka.

Rajah 2: Perkahwinan rahsia Romeo-Juliet wujud dalam versi Salernitano, da Porta dan Bandello sebelum muncul dalam drama Shakespeare.

Bezanya ialah si lelaki memilih mengakhiri nyawanya dengan minum ubat tidur milik kekasihnya. Sementara Giuletta pula menahan nafas sehingga dia ma.ti di sisi Romeo. Secara perlahan-lahan, versi da Porta menjadi batu asas kepada drama Romeo and Juliet.

Tetapi pengaruh terbesar drama itu ialah kisah yang dibawa Matteo Bandello, seorang pendeta dan penulis Itali. Beliau bertanggungjawab memperkenalkan pelbagai tema yang wujud dalam Romeo and Juliet dan menjadikan ia terkenal sehingga hari ini. Malah, versi Bandello juga bertanggungjawab memperkenalkan dua keluarga bertelagah Montague dan Capulet yang sinonim dengan drama tersebut.

Selain tema dan nama Montague dan Capulet, penulis Itali itu turut memperkenalkan majlis tari-menari kostum, tempat Romeo dan Juliet bertemu dan jatuh cinta. Cuma versi kema.ti.an wanita itu jauh lebih ga.n.as daripada Gianozza di mana dia memilih meni.k.am dirinya agar dapat kembali bersama dengan Romeo.

Rajah 3: Majlis tari-menari yang merupakan tempat Romeo dan Juliet bertemu ditambah dalam versi Bandello.

Kisah versi Bandello ini sudah pasti diketahui oleh penulis Perancis, Pierre Boaistuau dan diterjemah ke Bahasa Perancis. Setelah itu, ia diterjemah ke Bahasa Inggeris menerusi sajak Arthur Brooke bertajuk The Tragicall Historye of Romeus and Juliet pada 1562. Salinan sajak Brooke ini pasti digunakan oleh Shakespeare bagi menghasilkan mahakaryanya itu.

Menariknya, salah seorang penaung Shakespeare iaitu Henry Wriothesley, 3rd Earl of Southampton menjadi inspirasi kepada watak Romeo. Ini kerana ibu tiri Wriothesley merupakan keturunan Viscount Montagu. Seperti Romeo dan Juliet, beliau menjalin hubungan cinta dengan seorang wanita bernama Elizabeth Vernon.

Malangnya, kisah cinta mereka berdua tidak direstui bukan oleh keluarga mereka tetapi oleh Ratu Elizabeth I. Selepas mendapat tahu kedua-duanya berkahwin secara rahsia, baginda mengarahkan Wriothesley dan Vernon dipen.ja.rakan kerana perkahwinan mereka dikhuatiri boleh menjejaskan pemerintahan baginda. Walaupun kedua-duanya dibebaskan dan menjalani kehidupan bahagia selepas itu, unsur ini sudah pasti diambil Shakespeare sebagai penambah rasa Romeo and Juliet.

RUJUKAN

Winters, R. (2020, 11 Jun). Romeo and Juliet: Not a Shakespearean Tale After All. Ancient-Origins


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.