Malaysia sekali lagi menambah satu lagi khazanah unik dalam rekod biodiversiti marin dunia. Para penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menemui seekor spesies ikan yang tidak pernah direkodkan sebelum ini.
Ikan tersebut kini dikenali sebagai Rogadius azizahae, dinamakan sebagai penghormatan kepada Profesor Dr. Siti Azizah Mohd Nor atas sumbangan besar beliau dalam bidang ekologi molekul serta dedikasi terhadap pemahaman biodiversiti dan pemuliharaan ikan di rantau ini.
Penemuan ini berlaku pada tahun 2016 dalam satu ekspedisi bersama Jabatan Perikanan Malaysia di perairan Laut China Selatan. Lokasi spesifik ialah perairan berhampiran pesisir Terengganu dan Johor pada kedalaman antara 53 hingga 58 meter.
Namun kajian dan pengesahan saintifik mengambil masa beberapa tahun sebelum diterbitkan secara rasmi dalam Journal of Fish Biology pada Ogos 2025.
Ikan Rogadius azizahae tergolong dalam keluarga ikan pepatung (Bembridae) yang sangat jarang ditemui. Saiznya kecil iaitu sekitar 10 hingga 11 sentimeter panjang sahaja. Yang menjadikan spesies ini luar biasa ialah keupayaannya dalam menyamar dengan warna pasir dasar laut.
Bentuk badannya leper, dengan muncung sedikit tirus serta mata yang besar dan menonjol. Ciri paling ketara ialah corak gelap halus pada sirip pelvis dan bahagian tengah yang lut sinar keputihan. Warna keseluruhan tubuhnya hampir menyamai pasir atau kelodak dasar laut, menjadikannya hampir mustahil untuk dikesan oleh pemangsa.
Mekanisma penyamaran ini dikenali sebagai kriptis iaitu strategi pertahanan biologi yang membolehkan haiwan menyatu dengan habitat sekeliling. Ia merupakan adaptasi penting bagi spesies dasar laut yang tidak mampu bergerak pantas. Ikan seperti ini biasanya membenamkan separuh tubuhnya didalam pasir sambil menunggu mangsa kecil seperti krustasea atau larva yang lalu di hadapannya.
Kebolehan menyamar bukan sekadar kelebihan survival tetapi menjadikan ikan ini sukar dikesan oleh manusia, sekaligus menjelaskan kenapa ia hanya ditemui sekarang. Dalam dunia sains, penemuan spesies baharu bukan hanya soal taksonomi tetapi boleh memberi petunjuk tentang kesihatan ekosistem dan evolusi marin. Kehadiran Rogadius azizahae menandakan Laut China Selatan masih menyimpan pelbagai rahsia biodiversiti yang belum diterokai.
Menurut laporan Bernama, spesimen ini ditemui dalam dua sesi tangkapan pada 5 dan 30 Jun 2016 menggunakan pukat dasar semasa kajian eksplorasi sumber perikanan. Hanya selepas proses taksonomi terperinci barulah saintis dapat mengesahkan ia tidak tergolong dalam mana-mana spesies yang pernah didaftarkan. Proses ini melibatkan perbandingan morfologi, ukuran tubuh dan struktur sirip dengan rujukan global.
Penamaan azizahae mengikut konvensyen saintifik yang lazim digunakan untuk menghargai sumbangan seseorang terhadap bidang penyelidikan. Dalam kes ini, penganugerahan nama dilakukan secara rasmi sebagai penghargaan kepada Profesor Dr. Siti Azizah Mohd Nor yang telah memainkan peranan penting dalam memperkasakan kajian biodiversiti marin.
Ikan ini dijangka tergolong dalam kategori endemik iaitu hanya wujud dalam kawasan geografi tertentu sahaja. Oleh kerana hanya ditemui di perairan Semenanjung Malaysia, ia menjadikan Rogadius azizahae satu spesies tempatan yang sangat signifikan. Endemisme seperti ini penting untuk pemuliharaan kerana kehilangan habitat bermakna pupuslah keseluruhan spesies tersebut.
Dari sudut ekonomi, penemuan ini tidak membawa nilai komersial langsung kerana saiznya kecil dan habitatnya jauh dari kawasan perikanan biasa. Namun nilainya dalam konteks ilmu, konservasi dan warisan biologi amat tinggi. Setiap spesies baharu ialah puzzle penting dalam memahami rangkaian kehidupan marin dan bagaimana ia saling bergantung.
Malaysia berada dalam kawasan segi tiga terumbu karang dunia, menjadikan perairannya antara paling kaya dengan biodiversiti laut. Namun banyak spesies masih belum dikenal pasti, sama ada kerana terlalu kecil, hidup terlalu dalam atau terlalu menyerupai spesies lain. Penemuan seperti Rogadius azizahae memberi isyarat bahawa masih banyak lagi yang belum diteroka.
Kajian sebegini biasanya dibiayai oleh geran kerajaan dan kerjasama antara universiti, agensi perikanan dan institusi antarabangsa. Tanpa sokongan dana dan tenaga pakar, penemuan spesies baharu akan kekal tertangguh atau tidak diketahui langsung.
Pakar biologi marin menyarankan lebih banyak ekspedisi saintifik dilakukan di perairan Malaysia kerana kawasan ini belum diteroka secara menyeluruh. Kemajuan teknologi seperti penggunaan ROV (remotely operated vehicle) dan sonar beresolusi tinggi juga membolehkan saintis mengenal pasti spesies yang sukar dicapai manusia. Penyelidikan ini turut membuka peluang pelatih muda dan pelajar siswazah untuk terlibat dalam penerokaan sebenar.
Nama Malaysia kini ditulis sekali lagi dalam jurnal biologi antarabangsa hasil penemuan Rogadius azizahae. Ini membuktikan bahawa penyelidikan dari rantau ini mampu menyumbang kepada ilmu sains global dan meletakkan pakar tempatan di persada antarabangsa. Ia bukan sahaja membina reputasi akademik tetapi juga menekankan perlunya melindungi ekosistem marin negara.
Kredit gambar: Bernama
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.