Rock kapak ataupun rock kangkang merupakan sebuah aliran muzik yang agak masyhur pada era 1980-an sehinggalah 1990-an. Rock kapak dikatakan mendapat nama daripada perkataan “rock car-park” yang melalui persembahan rock “fun fair” di tempat letak kereta.
Sebelum kehadiran rock kapak, aliran muzik rock and roll atau lebih dikenali sebagai pop yeh yeh telah menjengah pada tahun 1950-an sehinggalah kematiannya pada tahun 1970-an
Tahukah anda, sebelum kemasukan aliran muzik rock ‘n’ roll barat pada sekitar tahun 1950-an, rakyat Malaysia yang terdiri daripada tiga bangsa utama iaitu Melayu, Cina dan India lebih selesa mendengar muzik berkaitan dengan identiti bangsa. Buktinya, orang Melayu lebih menggemari muzik Melayu, Indonesia dan Timur Tengah.
Manakala orang Cina lebih suka mendengar muzik daripada Taiwan, Hong Kong dan Singapura. Orang India pula sangat gemar kepada budaya popular yang diimport daripada benua kecil India. Walaubagaimanapun, muzik rock ‘n’ roll secara perlahan-lahan berjaya merampas populariti muzik tempatan yang beridentitikan bangsa.
Menjelang awal era 1960-an, gabungan muzik tempatan dan muzik rock ‘n’ roll barat telah melahirkan irama pop yeh yeh. Petikan gitar pada era itu banyak dipengaruhi oleh kumpulan muzik yang berasal daripada Britain seperti The Beatles dan The Rolling Stone.
Hal ini telah membuka jalan untuk muzik rock bertapak di Malaysia. Kumpulan muzik yang mempelopori muzik pop yeh yeh pada ketika itu juga dikenali sebagai kugiran yang berasal daripada perkataan kumpulan gitar rancak.
Pada akhir 1970-an iaitu merupakan juga era kelahiran muzik punk di Britain, Malaysia kembali kepada muzik rock ‘n’ roll barat. Muzik rock kapak berjaya muncul apabila kumpulan Sweet Charity dan Kingdom In Rock berjaya mengadaptasi muzik serta imej rock barat ke dalam budaya tempatan.
Kumpulan Sweet Charity yang diketuai oleh papa rock iaitu Ramli Sarip berjaya mendaki puncak kegemilangan dan muziknya dipengaruhi oleh Led Zeppelin serta Deep Purple. Namun kumpulan ini hanya berjaya hasilkan album pertama 1979 iaitu lebih 10 tahun selepas penubuhannya.
Pada tahun 1981 hingga 1984, pelbagai kumpulan baru muncul bak cendawan lepas hujan apabila kumpulan Sweet Charity berjaya memperkenalkan muzik rock ke arus perdana dan terus mendapat tempat dalam hati masyarakat.
Kumpulan Lefthanded, The Burnmarks dan D’Febians adalah antara kumpulan awal yang berjaya muncul dengan imej rambut panjang dan seluar ketat. Sebelum itu, kumpulan tersebut sudah sangat terkenal dalam arena bawah tanah di sekitar Johor Bahru. Kumpulan-kumpulan ini juga tampil pada di Battle of The Band pada tahun 1983 dan 1984 di Jubli Intan Hall Johor Bahru yang menyaksikan tiga kumpulan tersebut berjaya menjadi juara.
Memasuki tahun 1985, album Cinta Buatan Malaysia daripada Search berjaya membawa demam rock di Malaysia. Kemunculan program televisyen seperti Muzik-Muzik berjaya menjadikan rock kapak sebagai muzik arus perdana pada ketika itu.
Bukan itu sahaja, semakin banyak kumpulan rock yang berjaya dilahirkan seperti May, SYJ, Desire, Rusty Blade, Junction, Bloodshed, Handy Black, XPDC, Ekamatra, Ella & The Boys dan bermacam lagi sehinggalah era 1990-an.
Setelah detik itu, demam rock terus melanda Malaysia sehinggakan ia berjaya menjadi fenomena dalam kalangan rakyat jelata. Bahkan demam rock ini telah membuatkan anak muda berubah penampilan kepada imej rock dan ramai remaja berlumba untuk menubuhkan kuimpulan rock sendiri.
Mereka juga berimpian untuk menjadi gagah seperti Metallica dan Scorpions dalam arena rock. Demam rock ini juga dibantu oleh penulis lirik dan komposer yang berjaya menghasilkan lagu berkualiti tinggi. Sebut sahaja nama M.Nasir, Loloq, S.Amin Shahab dan JS Kevin pasti ramai peminat rock sejati mengenalinya.
Srikandi Cintaku adalah mahakarya M.Nasir yang sehingga kini masih lagi menjadi kegemaran rakyat Malaysia. S.Amin Shahab pula berjaya menjadikan mahakaryanya iaitu Suci Dalam Debu terus relevan sepanjang zaman malahan turut diminati oleh rakyat Indonesia.
Bukan itu sahaja, JS Kevin juga berjaya mencipta lirik yang agak “makan dalam” seperti Aku Dan Sesuatu serta Hentian ini yang membicarakan tentang perjalanan kita sebagai seorang manusia. Diambang Wati adalah karya Loloq yang memilik makna mengenai kematian tetapi dikaburkan dengan nama seorang wanita agar kita dapat mencari mesej sebenar.
Bukan itu sahaja, pelbagai lagi lagu berkualiti yang berjaya dihasilkan seperli lagu daripada kumpulan Damasutra dan Ekamatra. Kumpulan Damasutra sangat popular dengan lagu yang berunsurkan sufisme seperti Asyik dan Umpama Mimpi Dalam Mimpi.
Sayangnya pada ketika itu tidak banyak kumpulan rock yang mampu menghasilkan lagu sendiri tetapi tidak bagi kumpulan MAY. Hal ini demikian kerana kebanyakkan lagu kumpulan MAY dihasilkan oleh mereka sendiri. Tiada siapa yang boleh lupa melodi dan lirik lagu Sendiri yang begitu melankolik tapi masih dipenuhi dengan unsur-unsur rock
Kemuncak kepada muzik rock tanah air apabila lagu Isabella nyanyian kumpulan Search berjaya memenangi Anugerah Juara Lagu 1989. Kumpulan rock juga berjaya menguasai pentas Anugerah Juara Lagu 1991 yang menyaksikan lagu Takdir dan Waktu berjaya menggondol tempat pertama. Hal ini adalah pencapaian terbaik bagi aliran muzik rock tanah air.
Muzik rock tanah air juga berjaya merebak ke negara jiran terutamanya Indonesia. Pada ketika itu lagu-lagu rock menjadi siulan rakyat Indonesia malahan album kumpulan rock berjaya dijual dengan rekod berjuta-juta melebihi pasaran di Malaysia. Hal seumpama ini sudah semakin mustahil untuk terjadi hatta dalam mimpi sekalipun. Arena muzik rock tanah air terus mendakap zaman kegemilangannya sehinggalah perkara yang tidak disangka-sangka terjadi.
Muzik rock telah dikaitkan dengan keruntuhan akhlak generasi muda pada ketika itu. Malahan penganjuran konsert rock dikatakan sebagai sarang menghisap dadah. Aliran muzik rock juga dikaitkan dengan agenda yahudi dan syaitan untuk melekan anak muda. Isu rambut panjang kumpulan rock juga diperbesarkan sehingga mendapat perhatian parlimen dan menteri.
Pengakhiran kepada pejuangan rock apabila rambut dua orang ikon rock tanah air telah dipotong secara langsung di televisyen. Selepas itu, muzik rock terus malap dan gelap gelita. Walaupun kemunculan Ukays, Spring dan Slam dianggap sebagai penerus kepada perjuangan rock, namun mereka sudah kelihatan lebih sopan berbanding kumpulan rock era 1980-an.
Bukan itu sahaja, peralihan dari muzik rock kapak yang agak keras kepada rock jiwang atau dipanggil sebagai post-rock kapak bikin muzik semakin malap. Bayangkan, kumpulan heavymetal seperti Spring terpaksa menukar muzik mereka demi kehendak pasaran.
Penulis pasti pembaca tidak pernah mendengar lagu Kawah Berapi dan Harimau Malaya nyanyian kumpulan Spring pada dua album awal mereka. Perkara ini juga terjadi kepada kumpulan Lestari yang sangat terkenal dengan lagu Sekelip Mata Kau Berubah.
Kalau pembaca pernah mendengar lagu Hukum Alam nyanyian Lestari pasti akan terkejut dengan kumpulan ini. Boleh disimpulkan, perubahan muzik juga menjadi faktor kepada kejatuhan muzik rock kapak tanah air.
Seterusnya kita menyaksikan kemunculan kumpulan-kumpulan baru seperti Spin, Scoin, Spoon dan bermacam lagi sebagai legasi pewaris muzik rock. Menjelang tahun 2000, kelahiran kumpulan seperti Newboys, Boboy dan Q-Face sebagai pengganti dan selepas itu arena muzik Malaysia terus gelap sebelum disambut oleh gelombang kebangkitan indie.
Oleh itu, tamatlah sebuah perjuangan dan aliran muzik yang sangat terkesan dalam hati rakyat Malaysia. Muzik rock mungkin sedikit terpinggir tetapi masih ada lagi yang kekal dalam perjuangan ini. Mungkin juga muzik rock akan terus terkubur selama-lamanya tetapi hasil karyanya tetap mekar di hati.
Kita tidak boleh nafikan, keberanian kumpulan Rock Kapak membawa muzik ini ke arus perdana sangat memberi kesan dengan kemunculan pelbagai sub-genre rock selepas itu. Rock Never Daiii.
RUJUKAN:
Ferrase, M. (2016). Southeast Asian Glamour: The Strange Case of Rock Kapak in Malaysia. In Chapman, I., & Johnson, H., (Ed.), Global Glam and Popular Music: Style and Spectacle from the 1970s to the 2000s. London: Routledge.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih