Negara matahari terbit ini memang terkenal dengan segala macam inovasi dan penciptaan yang tidak terjangka. Contohnya, robot. Namun, tahukah anda bahawa robot terawal sebenarnya sudah wujud di Jepun sejak tahun 1600-an lagi?
Ini adalah kisah robot kuno boleh bergerak Jepun, yang dikenali sebagai karakuri. Perkataan karakuri membawa maksud “mekanisme” atau “helah” dalam bahasa Jepun. Malah, nama karakuri juga berasal daripada perkataan karakuru, yang bermaksud menarik atau meregangkan benang.
Ini menerangkan mekanisme patung kayu ini, yang bergantung pada saiz, sama ada dikendalikan oleh jam atau manusia (tok dalang). Hampir setiap bahagian dalam karakuri ini diperbuat daripada kayu termasuklah gandar dan gear yang menggerakkannya.
Ada tiga jenis karakuri yang berbeza, iaitu Dashi karakuri, sejenis boneka besar yang biasanya digunakan dalam pesta-pesta keagamaan, dan dalam pesta-pesta itu boneka-boneka ini digunakan untuk mempersembahkan kisah legenda. Butai karukuri pula ialah boneka yang digunakan dalam teater.
Zashiki karakuri adalah robot kecil yang biasa dimainkan dalam bilik persendirian. Contoh biasa bagi zashiki ini adalah robot penghidang teh yang mula bergerak ke hadapan apabila cawan teh diletakkan di atas piring yang berada di tangannya. Ia digunakan dalam situasi apabila tuan rumah menghidangkan teh kepada tetamu dalam majlis teh. Ia bergerak lurus bagi jarak tetap dengan menggerakkan kakinya jika ia berjalan dan kemudian ia menundukkan kepalanya.
Seni pertukangan karakuri masih wujud pada hari ini, dan salah seorang daripadanya ialah Tamaya Shobei IX, seorang tukang karakuri generasi kesembilan yang berpangkalan di Bandar Inuyama. Dia adalah daripada keturunan tukang karakuri yang pertama sejak 300 tahun lalu, iaitu Tamaya Shobei yang menetap di Prefektur Aichi pada tahun 1734.
Di Bandar Kariya, boneka perindustrian menggunakan mekanisme berdasarkan karakuri zashiki yang menyajikan teh dan anak patung lain. Inovasi robotik, sama ada secara langsung atau tidak langsung menggunakan rujukan daripada karakuri, yang kini telah dicipta untuk pelbagai tujuan.




No comments yet