Richard adalah anak lelaki ketiga kepada Raja England iaitu Henry II dan permaisurinya, Eleanor. Kedua-dua ibu dan bapa Richard adalah personaliti yang tidak kurang warna warninya dalam sejarah England. Eleanor sendiri adalah bekas isteri kepada Raja Perancis ketika itu iaitu Louis VII dan pernah menyertai Perang Salib Kedua bersama baginda.
Apabila perkahwinan Eleanor dan Louis VII dibatalkan, Elenor terus mengambil peluang itu untuk mengahwini Henry II sebelum baginda ditabalkan menjadi Raja England.
Perlu diketahui bahawa pada masa ini terdapat jajahan England yang sangat luas di tanah besar berhampiran dengan Perancis. Bahkan tempat asal usul kerabat diraja England iaitu Normandy, merupakan wilayah yang dinaungi oleh Raja Perancis. Normandy adalah wilayah milik Henry II dan ini menyebabkan Henry II juga merupakan vasal kepada Raja Perancis.
Sebagai vasal, Henry II perlu melakukan persetiaan kepada Louis VII dan sebagai seorang raja yang berdaulat, Henry II keberatan untuk melakukannya kecuali mendapat manfaat atau terdesak. Selain itu terdapat pertikaian antara Richard dan Louis VII mengenai hak milik kawasan-kawasan antara sempadan Normany dan Perancis seperti Vexin.
Pertikaian hak milik jajahan England di Perancis ini selain perkahwinan Henry II dan Eleanor menyebabkan hubungan England dan Perancis sentiasa tegang.
Tetapi Henry II bukan sahaja terpaksa berhadapan ancaman Perancis, anak-anaknya sendiri yang semakin dewasa juga akhirnya menjadi seterunya.
Perang Saudara
Putera sulung baginda iaitu Henry (Henry The Young King) memberontak kerana tidak diberikan lebih banyak kuasa otonomi untuk memerintah dan mendapatkan pendapatan selaku raja bersama England. Sebelum ini Henry The Young King telah ditabalkan menjadi raja muda oleh bapanya sebagai persediaan untuk memerintah England.
Turut serta dalam pemberontakan dengan menyokong Henry The Young King ialah Richard dan adiknya George. Selain itu ramai bangsawan dan pembesar dari England dan Perancis memihak kepada Henry The Young King.
Raja Louis VII dari Perancis juga turut memilih untuk memberi sokongan kepada Henry The Young King.
Perang saudara antara bapa dan anak-anaknya pun bermula.
Walau Henry The Young King mempunyai banyak sokongan, Henry II mempunyai pengalaman yang lebih luas tentang strategi peperangan daripada anak-anaknya. Lagipun, bagindalah yang meluaskan jajahan England sebelum ini. Dengan mudah, baginda menghancurkan pemberontakan itu dan menghukum anak-anaknya dengan mengurangkan pendapatan dan wilayah pemerintahan milik mereka. Permaisuri Eleanor juga ditahan dan dikurung kerana menyokong pemberontakan itu dengan menyebelahi anak-anaknya.
Richard the Lionhearted
Sebagai hukuman, Richard juga ditugaskan oleh bapanya untuk memusnahkan pertahanan-pertahanan yang dibina oleh bangsawan-bangsawan yang telah menyokong pemberontakan tempoh hari. Selama beberapa tahun, Richard melakukan tugas ini dengan efisien dan efektif. Pada masa inilah baginda mula digeruni dan mendapat gelaran Richard The Lionhearted oleh penduduk tempatan.
Beberapa tahun selepas itu, Henry The Young King sekali lagi mengangkat senjata. Walaubagaimanapun, penentangannya kali ini adalah terhadap Richard. Alasan Henry The Young King untuk memerangi Richard adalah kerana adiknya itu telah membina kubu di wilayah miliknya. Sekali lagi perang saudara berlaku di kalangan keluarga diraja England.
Henry II yang sebenarnya tidak mahu memihak kepada sesiapa terpaksa memihak kepada Richard apabila baginda sendiri diserang secara tidak sengaja oleh bala tentera Henry The Young King.
Tetapi kali ini, pemberontakan Henry The Young King tidak bertahan lama apabila baginda sendiri meninggal akibat penyakit disentri. Ini menyebabkan Richard menjadi waris takhta England yang seterusnya.
Perseteruan antara England dan Perancis berterusan. Raja Philip II yang menggantikan Raja Louis VII sebagai Raja Perancis mula mempertikaikan status jajahan England berada di wilayah Perancis. Selain itu Philip II juga tidak berpuas hati dengan perjanjian-perjanjian lain yang dimeterai antara mereka sebelum ini yang masih tidak ditunaikan oleh England.
Apabila England tidak memberi jawapan dan penyelesaian yang memuaskan terhadap isu-isu tersebut, Philip II pun memerangi England. Pertempuran demi pertempuran berlaku di jajahan dan wilayah Perancis dan England.
Semboyan Perang Salib Ketiga
Apabila berita Jerusalem kembali kepada orang Islam sampai kepada kedua-dua musuh ini, mereka menghentikan sengketa seketika untuk mengisytiharkan bahawa mereka akan menyertai perang salib yang akan datang.
Tetapi belum sempat mereka melakukan persediaan, mereka kembali berperang antara satu sama lain.
Persengkataan yang tidak henti-henti ini menyebabkan pembesar-pembesar di kedua-dua pihak meminta pemimpin mereka untuk berdamai. Kedua-dua raja Eropah itu akur dan memeterai perjanjian damai.
Tetapi Richard tidak berpuas hati dengan perjanjian tersebut kerana ada antara syarat dalam perjanjian itu merugikan dirinya. Apabila baginda menyatakan ketidak puasan hatinya kepada Henry II, Raja England itu tidak memperdulikan kata-kata warisnya itu.
Richard semakin tidak berpuas hati apabila mendapati bahawa ayahnya, seolah-olah melebih-lebihkan seorang lagi adik lelakinya iaitu Putera John dalam urusan pembahagian tanah dan jajahan.
Apabila konflik antara Perancis dan England sekali lagi berlaku (walaupun telah berdamai sebelum ini), Richard mengambil tindakan nekad di luar janggkaan ayahnya. Pada persidangan damai seterusnya, Henry II terkejut apabila menyaksikan Richard datang bersama Philip II.
Sebenarnya Philip II telah menghasut Richard dengan menanam tanggapan kepada baginda bahawa Henry II telah tidak lagi berkenan untuk menjadikan Richard sebagai waris takhtanya dan lebih suka supaya John menjadi Raja England yang seterusnya. Ini membuat Richard semakin tidak senang dengan ayahnya. Baginda tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada Henry The Young King berlaku kepadanya.
Dalam persidangan itu, Richard mengumumkan bahawa baginda telah bersekutu dengan Phillip II untuk memerangi Henry II. Sekali lagi Richard memerangi ayahnya dan konflik ketenteraan menyelubungi England.
Ini adalah satu pengkhianatan yang besar pada Henry II. Baginda cuba melawan persepakatan itu tetapi ternyata baginda sudah terlalu tua dan tidak lagi dapat berhadapan dengan dua orang muda yang sangat berbakat dalam strategi dan taktik peperangan. Akhirnya bagindabersetuju untuk berdamai dengan Richard dan Philip II.
Tidak lama selepas itu baginda pun mangkat dan Richard pun menaiki takhta England.
Sebaik sahaja ditabalkan, Raja Richard membuat perubahan pada pentadbiran England. Tetapi baginda masih sangat beria-ia untuk menyertai perang salib. Selain cukai Salahuddin yang bertujuan untuk mendapatkan dana perang, baginda juga melucutkan jawatan pegawai-pegawai dan menjual kembali jawatan tersebut kepada mereka.
Semua ini bertujuan untuk mendapatkan dana untuk menyertai perang salib. Dengan dana yang ada ini, baginda membuat persediaan yang rapi untuk berangkat ke timur. Baginda mengarahkan pembinaan kapal-kapal serta menyediakan bekalan yang secukupnya untuk bala tenteranya.
Apabila tiba masanya, baginda berangkat bersama Philip II ke timur menggunakan jalan laut. Di pertengahan jalan, mereka menggunakan jalan berbeza untuk ke sana. Sebelum tiba di timur, Richard sempat menyelesaikan konflik di Pulau Messina dan menakluk Cyprus.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih