10 tahun lepas, dunia menyaksikan krisis kewangan terburuk yang pernah dihadapi industri kewangan dalam tempoh satu abad. Impak krisis ini amat kuat sehingga hampir-hampir menolak pemain-pemain industri perbankan ke ambang kemusnahan. Sempena ulang tahun ke-10 krisis ini, mari kita lihat fakta, punca, akibat dan solusi yang kita boleh pelajari dari krisis ini.

Ribut taufan industri kewangan

Pada hari Isnin bersamaan 15 September 2008, ia mungkin sekadar hari biasa bagi para pelabur Wall Street terutama yang bekerja dengan Lehman Brothers. Tetapi semua itu berubah apabila bank pelaburan yang terkaya dan paling berkuasa di dunia mengumumkan mereka memfailkan status muflis. Itulah hari di mana krisis ekonomi bermula. Dan ini ditambah dengan pengumuman Presiden Amerika Syarikat ketika itu, George W. Bush berkenaan Lehman Brothers, “Lehman, salah satu bank pelaburan tertua, paling kaya dan paling berkuasa di dunia, tidaklah terlalu besar untuk ia jatuh.” Pengumuman itu sudah memberi petunjuk, Washington tidak akan menyelamatkan Lehman Brothers dari musnah.

Bagaimanapun sebulan selepas itu, Bush dan Perdana Menteri Britain ketika itu, Gordon Brown mengumumkan langkah menyelamatkan industri perbankan masing-masing.  Bush melancarkan pelan penyelamat berjumlah $700 bilion bagi menyelesaikan hutang toksik bank. Manakala Brown pula mengumumkan pada 5 Oktober pelan sama berjumlah $500 bilion untuk menyelamatkan industri perbankan Britain dari musnah. Tapi semua itu tidak boleh mengeluarkan mereka dari situasi ini.

Di Britain, mata wang paun jatuh berbanding mata wang dolar Amerika. Syarikat-syarikat terpaksa menghentikan pekerja, adakalanya bilangan yang diberhentikan mencecah ribuan orang. Harga rumah di Britain pada tahun tersebut jatuh sebanyak 25%. Sementara di Iceland pula, tiga bank utama mereka jatuh menyembah bumi dan mendorong pihak berkuasa memburu pegawai-pegawai bank yang bersikap cuai dalam urusan bank. Malah akibat krisis ini juga, bekas Perdana Menteri Iceland Geir Haarde diheret ke mahkamah untuk menghadapi tuduhan jenayah sebelum dibebaskan dari tuduhan kecuaian. Sementara Malaysia pula walaupun tidaklah terkesan teruk akibat krisis ini seperti yang berlaku pada tahun 1997-1998, ia sedikit sebanyak menyumbang kejatuhan nilai eksport ke Amerika Syarikat. Pertumbuhan GDP negara juga perlahan kepada 0.1% pada suku akhir 2008 dan trend tersebut berterusan dengan menurun kepada -6.2% dan -3.9% pada dua suku pertama 2009.

‘Angkara tamak, aku binasa!’

Krisis kewangan yang berlaku pada 2008 disebabkan oleh banyak faktor tetapi dua faktor utama yang menyumbang kepada krisis ialah peningkatan aktiviti spekulasi dalam pasaran kewangan terutama transaksi hartanah di Amerika Syarikat dan Eropah Barat. Selain itu, kemudahan kredit murah yang disediakan oleh pemain-pemain industri perbankan turut menyumbang kepada krisis ini. Menurut Profesor Emeritus Scott Newton, seorang pakar sejarah antarabangsa dan British moden dari Universiti Cardiff, pinjaman-pinjaman yang diluluskan berada pada skala besar untuk membiayai apa yang dianggap pertaruhan satu hala pada harga hartanah yang semakin meingkat.

Tetapi ia tidak dapat bertahan lama kerana bermula pada tahun 2005, jurang antara hutang dengan pendapatan semakin melebar gara-gara peningkatan harga tenaga di pasaran global. Peningkatan harga tenaga turut menyebabkan kadar inflasi global turut meningkat. Newton menambah, “Pendedahan ini amat menekan para peminjam, kebanyakannya masih bergelut membayar kadar gadai janji ditetapkan. Dengan harga hartanah mula jatuh, ini mengakibatkan kejatuhan harga aset-aset yang dipegang oleh kebanyakan institusi kewangan. Sektor perbankan di Amerika dan United Kingdom hampir-hampir musnah dan perlu diselamatkan menerusi campur tangan kerajaan masing-masing.”

Bagi Profesor Emeritus Martin Daunton, seorang pakar sejarah ekonomi dari Universiti Cambridge, keadaan ini turut ditambah oleh liberalisasi kewangan melampau yang berlaku pada akhir abad ke-20 dan pengurangan peraturan industri. Ini berlaku disebabkan keyakinan terhadap pasaran bahawasanya pasaran masih lagi efisien. Tetapi krisis 2008 bukan saja mencetuskan huru-hara bagi sektor perbankan, ia juga menyebabkan negara-negara luar yang meminjam merasa terbeban dengan hutang luar negara mereka. Ini yang berlaku kepada Greece bila mereka meminjam wang dengan dikenakan syarat sama seperti Jerman dengan keyakinan zon Eropah akan menjamin mereka keluar. Tetapi perkara tersebut tidak berlaku dengan Bank Pusat Eropah enggan menjadualkan semula atau menjadikan bon sesebuah kerajaan ditanggung oleh semua negara zon Eropah berbanding hanya satu negara. Sebaliknya mereka menawarkan pakej bantuan dengan syarat negara terbabit melaksanakan polisi-polisi bersifat penjimatan.

‘Siapa sebenarnya betul?!’

Jika ada merasakan tiada siapa yang melihat perkara ini datang, ketahuilah ianya sudah dinyatakan bukan sekali tetapi beberapa kali sebelum ia berlaku. Antara pakar ekonomi yang bersuara pasal ini ialah pengerusi Roubini Global Economics Nouriel Roubini dan ahli ekonomi British Ann Pettifor. Pettifor pada tahun 2003 sudah menyatakan akan wujud krisis kewangan Anglo-American. Ini disusuli pula dengan buku The Coming First World Debt Crisis yang diterbitkan pada tahun 2006 dan laris di pasaran pasca-krisis kewangan 2008.

Namun menurut Newton, kebanyakan ahli ekonomi terkejut bila krisis ini timbul pada September 2008. Ini kerana mereka sudah dibiasakan dengan model pasaran bebas sebagai satu-satunya model ekonomi yang baik. Keyakinan ini diperkukuhkan lagi dengan keruntuhan Kesatuan Soviet dan hala tuju China menuju ke arah kapitalisme. Malah, Newton berpandangan ciptaan-ciptaan kewangan juga turut menyumbang kepada keyakinan bahawa sistem ketika itu tidak akan mudah jatuh seperti krisis-krisis sebelumnya. Daunton turut menambah kelekaan pemain pasaran yang menyangka ketidakstabilan makroekonomi sudah menurun dan hanya satu kisah lalu turut mengundang kepada keyakinan sebegini.

Daunton turut menyelar Gabenor Rizab Persekutuan dari 2006 hingga 2014, Ben Bernanke kerana tidak mengambil kira ketidakstabilan yang dicetuskan oleh sektor kewangan. Bagaimanapun, kritikan tersebut turut dihalakan kepada individu yang menganggap sesebuah ekonomi itu mudah terdedah kepada kejutan yang tidak disangka-sangka. Bernanke dan rakan-rakannya bagaimanapun tetap dianggap sebagai wira kerana berjaya melaksanakan beberapa polisi yang menyelamatkan negara Uncle Sam itu dari terus terperangkap dengan krisis kewangan yang dihadapi mereka.

Beza Wall Street 1929 dan Krisis Kewangan 2008

Walaupun ada yang menganggap ia hampir sama dengan kejatuhan Wall Street pada tahun 1929, ia tidaklah selaju krisis yang dihadapi dunia pada tahun 2007-2008. Ini kerana kesan kejatuhan Wall Street itu hanya dirasai pada tahun 1930-1931 dan tahun-tahun seterusnya di Eropah, Australia dan Amerika Latin. Bank-bank Amerika mengalami kejatuhan pada tahun 1930-1931 tetapi impak krisis perbankan dunia hanya dirasai pada lewat 1932 hingga 1933. Ini ditambah dengan kenyataan Bernanke sendiri dalam satu dokumen balas kepada saman berkenaan menyelamat gergasi insuran American International Group (AIG) 2008. Beliau berkata, “September dan Oktober 2008 ialah krisis kewangan terburuk dalam sejarah dunia termasuk Great Depression. Daripada 13 institusi kewangan paling penting di Amerika Syarikat, 12 berhadapan risiko kegagalan dalam tempoh seminggu atau dua minggu.” Bila ditanya mengapa penting bagi pihak kerajaan menyelamatkan AIG dari runtuh, Bernanke menyifatkan kemusnahan syarikat bakal memberi impak besar kepada ekonomi dunia dengan implikasi buruk akan dirasai dari segi perkilangan, pekerjaan dan pendapatan.

Bagaimanapun, kedua-duanya mempunyai beberapa ciri berbeza. Antaranya, saiz negara semasa krisis kejatuhan Wall Street ketika itu masih lagi kecil dan tidak sebesar apa yang dihadapi negara Uncle Sam pada tahun 2008. Ini menyukarkan pentadbiran ketika itu campur tangan terutama menyelamatkan institusi kewangan yang terjejas. Begitu juga dengan aliran modal antarabangsa Amerika Syarikat juga masih sedikit ketika itu. Dari segi dasar kewangan pula, tindakan Amerika Syarikat dan Britain mengetepikan polisi piawaian emas pada tahun 1931 dan 1933 membolehkan mereka mendapat autonomi semula dari segi polisi kewangan. Bagaimanapun, memandangkan Perancis dan Jerman masih terikat dengan emas, ia sedikit-sebanyak melambatkan proses pemulihan mereka.

Selain itu, harus diingat penyelesaian pasca-Perang Dunia Pertama turut mengganggu kerjasama antarabangsa negara-negara dalam menghadapi krisis kewangan. Pada tahun 1929, Britain terpaksa menyerahkan hutangnya kepada Amerika Syarikat. Manakala Jerman pula merasa terbeban kerana terpaksa membayar kos ganti rugi pasca-perang. Sementara pengilang-pengilang utama terjejas gara-gara kejatuhan harga makanan dan bahan-bahan mentah serta tindakan Eropah sendiri yang tidak mahu bergantung kepada sesiapa.

Solusi

Menurut Newton, pemikir dan penggubal polisi memilih untuk tidak memotong perbelanjaan awam untuk mengurangkan hutang. Sebaliknya, wujud penyusunan semula hutang yang direka untuk mengekalkan aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan serta menambah lagi pertumbuhan ekonomi negara masing-masing. Ramai memilih idea-idea ahli ekonomi British, John Maynard Keynes yang dilihat masih lagi relevan untuk membantu negara mereka keluar dari belenggu krisis. Langkah ini juga pernah dilakukan Malaysia menerusi dua pakej bantuan ekonomi iaitu Pakej Perangsang Ekonomi Pertama (ESP 1) yang dilancarkan pada November 2008 dengan kos sebanyak RM7 bilion. Ini disusuli pula pelancaran Pakej Perangsang Ekonomi Kedua (ESP 2) dengan kos RM60 bilion pada Mac 2009.

Bagi sesetengah negara yang mendapat pakej bantuan ekonomi dari Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), pakej mereka disokong oleh sumber IMF yang luas. Ini amat membantu mereka mengatasi defisit melampau dan mengurangkan tekanan kepada mereka memotong perbelanjaan yang boleh menyebabkan penurunan nilai dagangan sesebuah negara. Langkah-langkah ini dilihat dapat mengekang kejatuhan dari segi nilai pengeluaran dan peluang pekerjaan.

Tetapi pada tahun 2010, sesetengah negara memilih pendekatan berjimat cermat yang menyebabkan pengurangan dari segi perbelanjaan awam. Ini menyebabkan pertumbuhan ekonomi sesetengah negara menjadi perlahan terutama di zon Eropah. Bagaimanapun, ia tidaklah mencetuskan kejatuhan ekonomi terima kasih kepada perbelanjaan besar-besaran yang dibuat China. Sebagai bukti perbelanjaan mereka, China menggunakan lebih 45% bekalan simen antara 2011 dan 2013 berbanding kegunaan simen Amerika Syarikat untuk keseluruhan abad ke-20. Daunton menambah peranan badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) berjaya mengelakkan situasi perang dagang tercetus yang boleh mengundang kerosakan lebih besar kepada ekonomi sesebuah negara.

Impak

Impak jangka pendek dari krisis ini ialah negara-negara terutama kuasa ekonomi dunia terpaksa membelanjakan bukan sedikit wang untuk menyelamatkan industri kewangan dan perbankan dari runtuh. Sementara impak jangka panjang pula ialah tiada pertambahan gaji, pendekatan jimat cermat dan ketidakstabilan politik. Dan kita masih lagi bergelut dengan situasi ini. Dengan ketidakstabilan politik dan dagangan seperti isu Brexit dan perang tarif membabitkan Amerika dan China, apakah dunia bakal menghadapi satu lagi krisis ekonomi? Dan jika benar, apakah tindakan pihak-pihak berkenaan untuk menanganinya? Apakah dengan memilih pendekatan Keynesian atau memilih pendekatan jimat cermat untuk memulihkan semula kedudukan ekonomi? Kita hanya boleh tunggu dan lihat.

SUMBER

  1. Yueh, Linda, Daunton, Martin dan Newton, Scott. (2018). HistoryExtra. The 2008 financial crisis explained. https://www.historyextra.com/period/modern/financial-crisis-crash-explained-facts-causes/
  2. Zainal Abidin, Mahani dan Rasiah, Rajah. (2009). ISIS Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). The Global Financial Crisis and the Malaysian Economy: Impact and Responses. http://www.isis.org.my/attachments/e-books/The_Global_Financial_Crisis_and_the_Malaysian_Economy.pdf
  3. Farndale, Nigel. (2008). The Telegraph. Lehman Brothers collapse: How the worst economic crisis in living memory began. https://www.telegraph.co.uk/finance/recession/3917584/Lehman-Brothers-collapse-How-the-worst-economic-crisis-in-living-memory-began.html
  4. Worstall, Tim. (2014). Forbes. Ben Bernanke: The 2008 Financial Crisis Was Worse Than The Great Depression. https://www.forbes.com/sites/timworstall/2014/08/27/ben-bernanke-the-2008-financial-crisis-was-worse-than-the-great-depression/#207487377684

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.