The Wasteland, iaitu puisi terkenal karya T.S. Eliot telah dimulakan dengan suatu frasa yang berbunyi begini, iaitu ‘April is the cruelest month’, di mana beliau menggambarkan perasaan sayu yang diliputi dengan kenangan serta keinginan seseorang, seiring dengan bermulanya musim bunga yang turut menunjukkan bermulanya sebuah harapan yang baru, setelah mengalami pelbagai keperitan dan kekecewaan. Namun, bagi masyarakat di Korea Selatan, April pastinya diingati sebagai suatu bulan yang pernah mencetuskan kekecohan sehingga runtuhnya sebuah rejim pemerintahan.

19 April 1960. Tarikh yang pastinya diingati oleh kebanyakan masyarakat di Korea Selatan sehingga ke hari ini. Tarikh di mana tercetusnya suatu protes atau dikenali sebagai Kebangkitan April atau Revolusi April yang dinaungi oleh para pekerja serta pelajar universiti di Korea Selatan. Revolusi April ini yang turut dikenali sebagai ‘Sa-il-gu’ adalah suatu kebangkitan orang muda dalam perjuangan mereka menentang pemerintahan yang tidak adil pada waktu itu.

Artikel ini akan membawa kita semua kembali ke 59 tahun yang lalu bagi mengenang semula apakah punca serta kronologi yang membawa kepada berlakunya protes besar-besaran daripada para pelajar universiti tersebut ke atas pemerintahan kerajaan di Korea Selatan.

Punca berlakunya Revolusi April

Syngman Rhee, presiden Korea Selatan yang telah dipilih dan diundi berdasarkan kaedah demokrasi merupakan seorang pemerintah yang tidak efisien dan begitu lemah dalam aspek pentadbirannya. Kegagalannya dalam mempertahankan negara daripada pencerobohan pihak utara pada tahun 1950 telah mencetuskan Perang Korea yang berlanjutan sehingga tiga tahun lamanya.

Para pejuang yang terlibat dan terselamat dalam peperangan terpaksa melalui kehidupan yang perit dengan keadaan pengangguran serta keadaan ekonomi negara yang lemah, meskipun para ahli dalam parti pemerintah (Parti Liberal) hidup dengan penuh kemewahan dan harta yang melimpah ruah.

Rejim pemerintahan Syngman Rhee yang ingin mengekalkan kuasanya telah mengubah Perlembagaan pada 1954, tanpa melalui prosedur dan proses yang sepatutnya. Segalanya dilakukan semata-mata kerana kemahuan Presiden Rhee yang masih ingin memegang tampuk pemerintahan untuk penggal yang ketiga. Presiden Rhee sekali lagi menjadi calon Presiden buat kali ketiga manakala rakan sejawatan yang dipercayainya, iaitu Yi Ki-bung, menjadi calon Naib Presiden. Rhee menang tipis dalam pilihanraya tersebut, manakala 80% undi yang diperoleh oleh Yi Ki-bung dalam pilihanraya itu dikatakan suatu penipuan undi.

Laporan menyatakan bahawa kemenangan ini berpunca daripada beratus-ratus kertas undi yang telah ditanda dan telah dimasukkan ke dalam peti undi pada hari pengundian tersebut. Protes yang dilakukan rakyat ke atas kempen parti kerajaan telah bermula sejak sebelum pilihanraya bermula lagi dan kemuncak kepada protes para pelajar ini bermula pada penghujung hari pengundian, iaitu petang 15 Mac 1960.

Para pelajar, sama ada yang berada di kolej mahupun pelajar sekolah tinggi telah memulakan protes di bandar Masan pada hari tersebut. Ribuan penduduk di bandar Masan juga turut terlibat dalam protes ini yang berkumpul di hadapan ibu pejabat Parti Demokratik (parti lawan) pada jam 7.30 petang 15 Mac 1960.

Sebaik sahaja para penduduk dan pelajar ini mula bertempur dengan pihak polis, seluruh bandar berkenaan diselubungi kegelapan tanpa sebarang bekalan elektrik. Pihak polis mengambil kesempatan dan mula bertindak ganas dengan menembak gas pemedih mata ke arah para penduduk, manakala mereka hanya bersenjatakan batu sahaja.

Hampir sebulan selepas peristiwa protes tersebut, mayat seorang pelajar yang bernama Kim Ju-yul telah ditemui oleh sekumpulan nelayan di bandar Masan pada 11 April 1960. Kim Ju-yul merupakan seorang pelajar sekolah tinggi di Masan yang dilaporkan hilang sewaktu kekecohan protes pada 15 Mac. Pihak hospital dan polis menyatakan bahawa punca kematian Kim adalah akibat lemas, namun orang ramai menolak penjelasan ini.

Kebanyakan penduduk percaya bahawa Kim sebenarnya telah dibunuh oleh pihak polis. Sebahagian daripada ahli kumpulan protes ini telah menceroboh ke dalam hospital bagi mencari bukti sebenar. Akhirnya mereka telah menemui mayat Kim, dengan keadaan tengkoraknya yang terbelah akibat pendedahan terhadap gas grenade, yang menunjukkan bahawa pihak polis telah menembak gas pemedih mata pada jarak yang sangat dekat yang membawa kepada kematiannya.  

Insiden kematian Kim Ju-yul ini cuba untuk diselindungi oleh rejim pemerintahan Presiden Rhee, namun kisah sebenar kematian Kim beserta gambar mayatnya telah didedahkan oleh media Korea dan disebarkan ke seluruh dunia. Berita ini telah mengejutkan seluruh negara, dan menjadi titik permulaan sebelum tercetusnya Revolusi April.

Kronologi Revolusi April

Para pelajar universiti mula berkumpul dan mengatur strategi bagi melancarkan protes mereka terhadap pemerintahan Rhee. Pada 18 April 1960, para pelajar di Universiti Korea telah melancarkan perhimpunan protes mereka yang pertama selepas pilihanraya, bagi memprotes keputusan serta penipuan yang berlaku dalam pilihanraya berkenaan. Perhimpunan ini telah membangkitkan semangat buat para pelajar universiti lain serta pelajar sekolah tinggi bagi melancarkan perhimpunan protes mereka yang seterusnya pada hari berikutnya.

Pada pagi 19 April 1960, para pelajar dari Seoul National University, salah satu universiti berprestij di Korea Selatan telah berkumpul dan mula bergerak ke arah pusat bandar. Pergerakan mereka ini kemudiannya turut disertai oleh ribuan penduduk setempat di Seoul. Perhimpunan dan pergerakan protes ini bukan sahaja berlangsung di Seoul, laha turut diadakan di bandar-bandar yang lain, yang mana ia turut dinaungi oleh para pelajar universiti serta para penduduk yang lain.

Namun, perhimpunan yang diadakan di Seoul ini adalah sangat penting dalam strategi protes tersebut. Bandar Seoul sebagai sebuah pusat pentadbiran, bukan sahaja menempatkan banyak institusi pendidikan, malah ia juga memudahkan para pelajar untuk bergerak ke arah Rumah Biru (penempatan Presiden).

Berita mengenai pergerakan dan perhimpunan protes pelajar di Seoul ini tersebar dengan cepat melalui radio yang mana satu kumpulan protes telah berkumpul di National Assembly Building, manakala satu lagi kumpulan ke arah penempatan Presiden. Pihak polis cuba untuk menghalang pergerakan para pelajar dan kumpulan protes ini, namun, dengan jumlah mereka yang ramai telah berjaya mengatasi kuasa pihak polis.

Keadaan ini telah menyebabkan pihak polis menggunakan kekerasan dengan menembak ke arah kumpulan protes. Lima butir peluru telah dilepaskan ke arah penduduk, yang ketika itu berada berhampiran dengan penempatan Presiden. Keadaan kekecohan pada 19 April 1960 ini diakhiri dengan pengumuman perlaksanaan undang-undang ketenteraan (martial law) di Seoul serta bandar-bandar lain pada tengah hari tersebut. Protes itu berakhir pada bandar-bandar yang dilaksanakan undang-undang ketenteraan, namun bagi bandar-bandar lain yang tidak terlibat dengan undang-undang ketenteraan, protes masih dijalankan.

Pada 23 April 1960, Yi Ki-bung telah meletakkan jawatan beliau sebagai Naib Presiden. Pada 25 April 1960, sebahagian daripada profesor telah melancarkan pergerakan mereka sendiri dan menuju ke arah National Assembly Building bagi mendesak Rhee untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden. Sebagai sebuah ahli akademik yang dihormati dalam kalangan masyarakat, tindakan para profesor ini secara moralnya telah memberi sokongan terhadap protes yang dilakukan oleh para pelajar pada 19 April.

Akhirnya, pada 26 April 1960, Rhee telah mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Presiden sekaligus mengakhiri rejim pemerintahan yang penuh dengan korupsi dan penipuan. Akibat daripada Revolusi April ini, kira-kira 186 orang penduduk teah terbunuh, manakala 1600 orang lagi telah tercedera dalam protes besar-besaran yang berlaku di seluruh bandar di Korea Selatan.

Tanah perkuburan negara bagi para revoulusioner.

Impak Revolusi April

Revolusi April ini secara asasnya tercetus dan digerakkan tanpa sebarang pertubuhan atau persatuan rasmi yang mendokongnya. Demonstrasi dan protes yang dijalankan melalui institusi yang sedia ada dan hanya melalui perancangan yang singkat.

Apa yang dilakukan oleh para pelajar universiti ini hanyalah menyatakan ketidakpuasan hati serta rasa marah mereka terhadap pemerintahan yang tidak pernah mengambil peduli akan nasib rakyat yang melalui keperitan akibat pasca-perang.

Meskipun penggerak utama protes ini adalah para pelajar, namun semangat yang dibawa oleh para pelajar ini akhirnya turut disertai oleh pelbagai golongan masyarakat yang sama-sama bangkit dalam Revolusi April ini.

Kemuncak kepada protes ini yang membawa kepada pengunduran Rhee sebagai Presiden, seolah-olah telah memberi kemenangan buat mereka, yang mahukan sebuah pemerintahan yang dibarisi oleh ahli politik yang lebih profesional dalam mentadbir negara. Setelah pengunduran Rhee, para pelajar serta penduduk setempat telah sama-sama berganding bahu membersihkan kawasan bandar yang terjejas akibat protes dan kekecohan dan akhirnya kembali kepada kehidupan seharian mereka yang biasa. 

Revolusi April ini adalah pencetus kepada kebangkitan anak muda dalam memperjuangkan suara mereka demi sebuah pemerintahan yang lebih adil dan telus. Parti politik progresif dan ideologi kiri mula muncul di Korea Selatan dan para pelajar mula lantang bersuara.

Ironinya, pada tahun-tahun berikutnya, iaitu 16 Mei 1961, suara revolusi ini mula dilenyapkan dengan kemunculan kumpulan tentera yang diketuai oleh Jeneral Park Chung-Hee. Puak junta ini akhirnya telah mengambil alih kesemua media dan parti politik yang ada dan kemudiannya memulakan pemerintahan diktator tentera di Korea Selatan.

Rujukan

Hwang, K. M. (2014). Remembering April 19, 1960 Student Revolution. Retrieved April 17, 2019, from https://www.koreatimes.co.kr/www/news/nation/2016/05/633_155532.html

Sonn, J. (2013). April Revolution ( Korea ). Encyclopedia of Social and Political Movements, 1–2. https://doi.org/10.1002/9781405198431.wbespm249


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.