Malawi adalah sebuah negara kecil di Afrika, dengan saiz dan populasinya hampir dua kali lebih kecil berbanding Malaysia. Ia bersempadan dengan Tanzania di utara, Mozambique di selatan, dan Zambia di barat. Di antara lima buah negara yang disebutkan tadi, Malawi menduduki Indeks Kebahagiaan paling rendah iaitu pada tangga ke-144. Ini menjadikannya negara keenam paling tidak bahagia di dunia.
Antara penyumbang utamanya adalah kri.sis makanan, terutama yang melanda pada tahun 2001-2002 dan 2005-2006. Seperti jiran di kiri dan kanannya, Malawi adalah negara pertanian. Pada 2010, sektor tersebut mewakili 30% dari GDP negara. Ia juga menjadi lubuk kehidupan buat empat dari lima rakyat Malawi, dengan jagung menjadi makanan ruji.
Pergantungan penuh terhadap sektor pertanian bagaimana pun membuatkan mereka terdedah kepada sebarang perubahan cuaca dan harga. Tambahan, petani-petani di Malawi tidak mempunyai akses pengairan yang baik – walaupun negara itu memiliki tasik ketiga terbesar di benua Afrika, iaitu Tasik Malawi.
Jadi, jika berlaku aral, mereka hanya boleh bergantung pada jagung-jagung dalam simpanan sambil berharap agar keadaan segera pulih. Namun, ben.cana yang menimpa pada 2001 adalah di luar kebiasaan mereka.
Lebih 335,000 petani terjejas akibat banjir pada awal tahun. Hasil tuaian pula jatuh sebanyak 200,000 MT. Ini memaksa petani mengikat perut. Menjelang akhir Disember, sebanyak 59% populasi Malawi kehabisan makanan. Peratusan itu meningkat sehingga 70% pada Februari tahun berikutnya, menjadikan kri.sis tersebut adalah yang paling buruk dalam tempoh 50 tahun.
Ini memaksa Presiden Bakili Muluzi mengisytiharkan daru.rat, walaupun sebenarnya ia agak terlambat. Sejak April, kor.ban kebu.luran sudah pun mencecah 500 orang. Taun yang melanda pada September 2001 pula mera.gut seramai 1,000 nyawa. Jadi, tindak-balas kerajaan yang hanya berlaku pada Februari 2002 boleh dikatakan ibarat sudah terhantuk baru tengadah.
Namun, ia satu perkara yang munasabah. Malawi hanya sebuah negara kecil dan miskin. Bahunya menanggung terlalu banyak masalah sementara tangannya pula menggenggam terlalu sedikit sumber.
Pada 2001 pula, tumpuan dunia terletak pada Afghanistan, terutama rentetan peristiwa sembilan sebelas. Jadi, wajar bila suara badan-badan bukan kerajaan (NGO) Malawi tidak didengari baik di telinga kerajaan mahupun badan kebajikan dunia kecuali setelah daru.rat diisytiharkan.
Semenjak itu, barulah bantuan mula dihantar. Misalnya, daripada 1.4 juta kanak-kanak Malawi yang mengalami masalah bantut akibat malnutrisi, dua pertiganya ditanggung rapi oleh badan WFP (Program Makanan Sedunia). Ini tidak termasuk dua juta rakyat yang menerima bantuan makanan kecemasan dari Bill and Melinda Gates Foundation, dan 37,500 buah keluarga petani yang dibekali oleh Church World Service (CWS).
Laporan bantuan sebegini boleh sahaja diperpanjang dengan rujukan dari media-media antarabangsa. Cuma, bagaimana dengan rakyat Malawi sendiri? Adakah mereka hanya berpeluk tubuh dan menanti tongkat diberi?
Nah, di sinilah bermula kisah inspirasi seorang anak petani yang mengubah kehidupan di kampung-kampung Malawi. Nama anak ini William Kamkwamba. Ketika kri.sis melanda, William berusia empat belas tahun. Ketika itu, beliau baru sahaja diterima masuk ke Sekolah Menengah Kachokolo, setelah menamatkan gred lapan di Sekolah Rendah Wimbe.
Namun, lantaran kekangan keadaan, William diberhentikan. Yuran berjumlah $80 (sekitar RM240) terlalu besar untuk dibayar oleh Trywell dan Agnes yang menanggung tujuh orang anak. William adalah anak kedua dan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga.
Kalau diikutkan, keluarga beliau tidaklah terlalu miskin jika dibandingkan dengan keluarga lain di Kampung Masitala. Kebun jagung milik Trywell cukup berjaya. William sendiri membantu keluarganya dengan membuat perkhidmatan membaiki radio milik jiran tetangga. Jadi, hidup mereka tidaklah terlalu papa.
Cuma, rentetan banjir yang berlaku pada 2001, hasil tuaian jadi kurang memberangsangkan. Bukan kebun Trywell sahaja yang terjejas. Kebun milik jiran-jirannya juga sama. Tambahan, selepas berlaku mu.sibah banjir, cuaca kering pula menyusul.
Jadi, fikir Trywell, dalam saat-saat sukar begini, kudrat jantan William lebih diperlukan berbanding otaknya yang ligat. Sebab itu, William diberhentikan sekolah. Wang yang ada pula disimpan untuk kegunaan di waktu kecemasan.
Namun, sebagai seorang yang gemarkan ilmu, William enggan meninggalkan dunia pembelajaran. Sambil membantu bapanya di kebun, William juga rajin untuk cu.ri-cu.ri masuk ke perpustakaan kecil di kampung. Suatu ketika, beliau terjumpa sebuah buku tentang kincir angin. Dalam buku itu, diceritakan tentang cara membinanya dan apa pula kegunaannya.
Ia kemudian memberikan William satu idea: apa kata kita bina kincir angin? Malawi memang kekurangan banyak sumber tetapi tidak angin. Jadi, mengapa tidak manfaatkannya untuk selesaikan dua perkara utama, iaitu elektrik dan air?
Dengan adanya elektrik, keluarganya tidak perlu lagi membeli minyak tanah. Wang jadi jimat. Badan pun jadi sihat. William sendiri dapat berjaga malam untuk membaca, tanpa perlu lagi tidur seawal jam tujuh. Dengan adanya bekalan air yang dipam dari perigi pula, bapanya tidak perlu lagi risau pada basah-kering cuaca. Kakak dan adik-adik perempuannya juga tidak perlu bersusah-payah menimba air dari perigi.
Jadi, William pun pasang tekad. Kincir angin mesti dibina. Dengan bantuan beberapa orang rakan, William mengutip barangan yang diperlukan di tempat bu.angan – basikal ro.sak, bilah besi, penyerap hen.takan, dan beberapa lagi yang lain. William juga memo.tong paip PVC di bilik airnya untuk dijadikan bilah kapas yang panjang.
Setelah meluangkan masa selama berminggu-minggu, kincir angin setinggi 15 kaki dan dikuasai oleh dinamo basikal pun selesai dibina. Ia cukup bagi menyalurkan tenaga untuk lampu kecil di bilik tidurnya.
Prototaip tersebut kemudian ditambah baik dengan menara yang lebih kukuh setinggi 39 kaki. Bateri kereta juga digunakan sebagai penyimpan tenaga. Kincir angin ini berupaya menjana tenaga bagi empat biji mentol, sebuah radio dan sebuah televisyen di rumah Kamkwamba di samping mengecas telefon bimbit milik jiran-jiran. Kincir ketiga yang dibina William pula berupaya mengepam air untuk kegunaan pertanian dan harian.
Kejayaan ini membuatkan nama William dikenali. Ramai mengunjungi Kampung Masitala untuk menyaksikan kincir angin tersebut dengan mata sendiri. Antara mereka ialah Dr. Harford Mchazime, wakil pengarah MTTA (Malawi Teacher Training Activity) yang bertanggungjawab menubuhkan perpustakaan kampung di kawasan-kawasan pinggir bandar.
Menerusi kunjungannya pada tahun 2006, Mchazime dapat tahu yang William telah pun keciciran sekolah selama lima tahun. Justeru melalui surat sokongannya, Willian menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Madisi lalu berpindah ke African Bible College. Kemudian, William meneruskan pula pengajian dalam bidang Alam Sekitar di Dartmouth College, New Hampshire dan bergraduasi pada tahun 2014. Ini, cerita bagaimana membina kincir angin memberi William peluang untuk menyambung pendidikan.
Dalam kunjungan yang sama, Mchazime turut membawa jurnalis dari The Malawi Daily Times untuk membuat liputan akhbar. Liputan tersebut tersiar pada November 2006 dan ia menggamit perhatian ramai pengamal media, terutama pengarah program TEDGlobal 2007, Emeka Okafor.
Emeka lantas menjemput William untuk menghadiri acara tersebut yang berlangsung di Arusha, Tanzania. Walaupun sesinya cuma berlangsung enam minit, ia memadai untuk melekatkan lagi Malawi di peta mental masyarakat dunia. Ia menceritakan tentang kri.sis makanan yang melanda, tentang kincir angin yang dibina, dan tentang kegeniusan William walau umurnya masih muda.
Menerusi acara tersebut juga, sejumlah dana dapat dihimpunkan dan ia digunakan oleh William untuk menyekolahkan adik-beradik dan beberapa orang rakannya, membiayai belanja perubatan keluarganya, dan juga mengerjakan beberapa projek pertanian dan pemasangan panel solar di kampungnya.
Dua tahun kemudian, William dijemput lagi untuk berucap di pentas antarabangsa. Antaranya di International CES dan African Economic Forum yang masing-masing berlangsung pada Januari dan Mac. Pada September pula, beliau menerbitkan autobiografinya yang ditulis bersama Bryan Miealer, berjudul The Boy Who Harnessed The Wind yang kemudian diadaptasi menjadi filem Netflix di bawah tajuk sama pada tahun 2019.
Aktivisme William tidak terhenti setelah beliau bergraduasi. Menerusi penglibatannya dalam pertubuhan Ideo.org, William menggerakkan kempen kebersihan di India dan anti-kega.nasan di Kenya. Ketika bekerja di WiderNet pula, William terlibat dalam membekalkan pendidikan digital kepada populasi Malawi dengan membangunkan eGranaries yang berfungsi seperti perpustakaan atas talian.
William juga mempunyai pertubuhannya sendiri, iaitu Moving Windmills Project yang diasaskan ketika beliau berusia 22 tahun (2009). Menerusi pertubuhan tersebut, William sempat berbakti kepada sekolah lamanya iaitu Sekolah Rendah Wimbe dan Sekolah Menengah Kachokolo yang masing-masing menerima blok bangunan baru yang diperlengkap dengan panel solar dan bekalan komputer riba untuk setiap pelajar.
Ini menjadikan William Kamkwamba sebagai salah satu ikon inspirasi terutama buat golongan belia di Malawi – sebuah negara yang walaupun merupakan antara negara paling miskin dan kurang membangun di dunia, ia menyimpan harapan di masa hadapan di mana ia dijangka mencapai akses 100% terhadap elektrik menjelang 2030.
RUJUKAN
Humanitarian, The New. (2002). Donors slow to respond to (ditapiskan), NGO.
King, Sarah. (n.d). Malawi food shortage: How did it happen and could it have been prevented? Field Exchange.
Menon, Roshni. (2013). (Ditapiskan) in Malawi: Causes and Consequences. Human Development Reports.
Nations, United. (2019). Malawi Has an Opportunity to Achieve 100% Sustainable Energy Access by 2030.
Tenreyo, Tatiana. (2019). The Inventor From ‘The Boy Who Harnessed The Wind’ Is Grown Up & Making A Difference Globally. Bustle.
Zetter, Kim. (2009). Teen’s DIY Energy Hacking Gives African Village New Hope. Wired.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih