Tablet-tablet batu Assyria di zaman purba mendedahkan laporan tertua tentang aurora yang pernah ditemui, berusia lebih 2500 tahun lalu.
Perincian-perincian yang ditulis menggunakan sistem tulisan kuneiform ini ditemui pada tiga buah tablet batu yang dianggarkan bertarikh antara 655SM hingga 679SM. Tarikh ini melangkaui usia bukti sejarah terawal lain berkenaan penampakan aurora dengan seratus tahun lebih awal, lapor para penyelidik dalam kertas kajian terbaharu.

Aurora adalah fenomena cahaya yang berlaku apabila gelombang partikel dari matahari bertembung dengan medan magnet bumi. Dilaporkan bahawa bumi pernah menerima ribut solar yang besar sekitar kurun ke-7SM dan aurora yang diperincikan di dalam tablet Assyria ini berkemungkinan adalah kesan daripada aktiviti solar berkenaan, tulis para penyelidik dalam laporan atas talian pada 7 Oktober lalu dalam The Astrophysical Journal Letters.

Catatan tentang aktiviti pencerapan langit di zaman purba seperti tablet-tablet Assyria ini membantu para saintis untuk mencantumkan kepingan-kepingan maklumat tentang perkaitan antara komsik bumi dan solar. Memandangkan aktiviti mencerap dengan menggunakan teleskop maju hanya berlaku pada sekitar 400 tahun lalu, maka pencerapan tersebut masih lagi membekalkan gambaran yang sangat kencil tentang sifat-sifat atau kelakuan matahari kita, ujar ketua penyelidik yang bernama Hisashi Hayakawa, seorang ahli astrofizik di Universiti Osaka, Jepun merangkap penyelidik sementara di Makmal Rutherford Appleton di United Kingdom.

Pada awal tahun ini, sekumpulan penyelidik lain berjaya menemukan kejadian ribut solar besar pada 2600 tahun yang lalu, di mana ia berskala 10 kali ganda lebih kuat berbanding kejadian di zaman moden. Kesan ledakan geomagnetik ribut berkenaan meninggalkan atom radioaktif yang terperangkap pada ais-ais di Greenland, lapor Live Science sebelum ini.
Para penyelidik masih tertanya-tanya andai ahli-ahli astrologi Assyria di zaman purba ada merekodkan sebarang perkara yang tidak biasa yang mungkin boleh dikaitkan dengan kejadian ribut solar.

Para penyelidik melakukan penelitian ke atas 389 buah laporan pada tablet kuneiform yang terdapat dalam koleksi Muzium British. Kebanyakannya merincikan tentang aktiviti planet dan bulan. Namun, terdapat tiga buah catatan yang merekodkan tentang fenomena yang mungkin mempunyai kaitan dengan aurora menerusi perincian seperti ‘sinar merah’, ‘awan merah’ dan ‘langit merah’.

“Perincian-perincian ini sendiri agak konsisten dengan perincian-perincian di zaman moden awal tentang fenomena aurora,” maklum Hayakawa kepada Live Science dalam sebuah emel. Sememangnya, merah adalah warna lazim yang didapati pada aurora beraltitud rendah dan juga pada aurora-aurora yang terhasil daripada elektron bertenaga rendah.

Pada hari ini, aurora di Hemisfera Utara lazimnya dikaitkan dengan daerah-daerah yang hampir dengan Kutub Utara. Namun, medan magnet bumi bersifat dinamik dan berubah-ubah, dan pada ribuan tahun lalu, magnetik utara terletak kira-kira 10 darjah lebih hampir dengan Timur Tengah berbanding pada hari ini sekaligus meningkatkan lagi kebarangkalian untuk berlakunya fenomena aurora di rantau tersebut.
Bahkan pada lewat kurun ke-19, fenomena aurora pernah berlaku di Kaherah, Baghdad dan Iskandariah (Alexandria), tambah Hayakawa.
“Apabila ada ribut magnet yang besar, bukanlah suatu perkara yang mengejutkan untuk dapat melihat aurora di Timur Tengah, atau bahkan di zaman moden awal,” kata Hayakawa.

Memandangkan perincian sebegini jarang-jarang ada dalam rekod Assyria, penyelidik berpendapat bahawa penulis rekod berkenaan menyaksikan sesuatu yang luar dari kebiasaan hidupnya dan bukannya fenomena lazim seperti langit merah (mega merah) yang mengiringi tenggelam matahari.
Sebelum penemuan ini dilakukan, rekod terawal tentang aurora terkandung dalam tablet Babylon yang dikenali sebagai ‘Catatan-Catatan Astronomi’ yang bertarikh 567SM. Rekod-rekod dari Assyria ini membolehkan kita menjejak sejarah aktiviti solar seratus lebih awal berbanding rekod yang dimiliki sebelum ini.

SUMBER:

Mindy Weisberger. (25 Oktober 2019). Assyrian Tablets Contain Earliest Written Record of Aurora’s Sky Glow. Live Science. https://www.livescience.com/earliest-written-aurora-records.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.