Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga mengumumkan bahawa era baharu Jepun atau gengō akan dinamakan sebagai Reiwa (令和) sempena dekatnya penggantian takhta Maharaja Jepun. Maharaja Akihito dijangka akan turun takhta pada 30 April ini dan akan melepaskan tanggungjawabnya kepada Putera Mahkota Naruhito.

Apa maksudnya Reiwa (令和)?

Aksara 令 (Rei) dikatakan membawa maksud “tuah” tetapi boleh juga membawa maksud “perintah” atau “orde”, manakala aksara 和 (Wa) membawa maksud “keamanan” atau “harmoni” walaupun harmoni dalam Bahasa Jepun adalah 平和 (hei-wa) (Osaki dan Murakami 2019, BBC 2019).

Apa yang unik tentang Reiwa (令和) berbanding gengō yang lain?

Berbeza dengan gengō lain seperti Meiji (明治) Shōwa (昭和) dan Heisei (平成), Reiwa (令和) diambil daripada antologi lama Jepun yang berjudul Manyoshu dari abad ke-8 Masihi dan bukannya daripada sastera atau antologi lama Cina. Insiden ini merupakan kali pertama dalam sejarah di mana nama gengō diambil daripada antologi lama Jepun (BBC 2019).

Hal ini demikian kerana, karya Manyoshu merupakan salah satu simbol kebudayaan dan tradisi Jepun yang mengandungi puisi-puisi yang ditulis oleh rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuklah Maharaja, golongan bangsawan, pahlawan, dan para petani (Osaki dan Murakami 2019).

Apakah kepentingan Reiwa dan era-era Jepun lain?

Sesuatu era atau gengō digunakan untuk menandai tempoh pemerintahan seorang Maharaja. Bagi rakyat Jepun, gengō merupakan satu perkataan yang sedia ada dalam kehidupan seharian mereka. Gengō boleh didapati di duit syiling, surat khabar, lesen memandu, dan surat-surat atau dokumen rasmi Jepun (BBC 2019).

Walau bagaimanapun, kebanyakan rakyat Jepun didapati menggunakan kalender Barat juga. Bancian terbaru oleh Mainichi Shimbun (Akhbar Harian) menunjukkan bahawa 34 peratus pembaca mereka menggunakan gengō, 25 peratus lagi menggunakan kalender Barat, dan 34 peratus pembaca mereka menggunakan kedua-dua gengō dan kalender Barat (Foster 2019). Situasi ini adalah seperti rakyat Malaysia yang menggunakan kalender Hijrah di samping kalender Barat.

Sejurus tamatnya Perang Dunia Kedua, penggunaan sistem kalender gengō dilarang oleh Tentera Berikat kerana menganggap pengunaan kalender gengō merupakan satu kenderaan untuk menguatkan atau mengembalikan autoriti Maharaja Jepun.

Namun begitu, pada tahun 1978, parti-parti politik dan organisasi-organisasi konservatif seperti Jinja Honchō telah berkerjasama untuk mengembalikan sistem kalender gengō. Objektif mereka akhirnya tercapai apabila pada tahun 1979, kerajaan Jepun yang dipimpin parti konservatif pada masa itu telah membenarkan dan mewajibkan pengunaan kalender gengō (Mizohata 2016).

“In 1979, Japan’s conservative government ensured that the emperor-centered calendar would continue by passing legislation that mandated continued use of the gengō practice. To date the gengō has been continuously used by public agencies.” (John, dipetik Mizohata 2016: 10).

Selain kegunaannya untuk menentukan tarikh, gengō juga memberikan dan menunjukkan national mood atau suasana nasional sesebuah era. Foster (2019) mencadangkan bahawa gengō ini membangkitkan sesuatu perasaan atau imej sepertimana para sejarawan British menggunakan terma “Victorian” atau “Edwardian” untuk mengikat politik dan kebudayaan sesebuah era atau zaman dan merujuknya kepada seorang raja.

Contoh lain termasuklah era Shōwa (昭和) (1926-1989) yang sering diidentifikasikan atau dikaitkan dengan pemulihan Jepun daripada Perang Dunia Kedua dan kebangkitan semula Jepun. Contoh seterusnya dicadangkan oleh Ayman Rashdan Wong, di mana Heisei (平成) sering dikaitkan dengan ekonomi merosot, ketidakstabilan politik, dan bencana alam walaupun Heisei (平成) membawa maksud “mencapai keamanan”.

Menariknya, cadangan oleh Ayman boleh disokong dengan beberapa pemerhatian bermula dengan Kanji Of The Year bagi tahun 2018 yang kebetulannya ialah Wazawai (災) atau sai yang bermaksud bencana atau nasib malang (Nippon 2018). Wazawai diundi sebagai Kanji Of The Year untuk merujuk kepada bencana-bencana alam yang melanda Jepun sepanjang tahun 2018. Bagi tahun 2017 pula, Kanji Of The Year adalah kita (北) yang boleh juga dibaca sebagai hoku dan bermaksud utara. Kali ini, kita (北) merujuk kepada insiden misil ballistik yang dilancarkan oleh Korea Utara ke arah Jepun dan bencana alam yang terjadi di wilayah Kyūshū (Nippon 2017).

Malangnya, akibat kebangkitan China dan sikap agresif Korea Utara serta genangan dan deflasi ekonomi Jepun, maknawi  dan symbol Heisei (平成) telah tercalar (Foster 2019).

Reiwa (令和), harapan baru untuk Jepun?

Ayman mencadangkan bahawa gengō Reiwa (令和) memberikan konotasi “nativis” iaitu “permurniaan budaya negara berdasarkan warisan tempatan bukan tamadun luar”. Namun begitu, Reiwa (令和) juga memberikan nafas baru atau membawa falsafah sosial baru yang diinspirasikan oleh alam. Falsafah ini ingin mewujudkan harmoni antara individu sepertimana harmoni dan keimbangan boleh ditemui dalam fenomena alam semula jad (Osaki dan Murakami 2019).

Reiwa (令和) juga, menurut sarjana bernama Asao Kure, sejajar dengan pemikiran modern kerana menekankan hubungan harmoni antara individu untuk mencipta masyarakat yang berpelbagai berbanding membawa prinsip yang spesifik. Memetik kata-kata beliau:

“I do feel that the new gengō is aligned with modern ways of thinking, in that it focuses more on harmonious relationships between individuals to create a diverse society, rather than putting forward a specific principle.” – (Kure, dipetik Osaki dan Murakmi 2019).

Penggunaan gengō walaupun dianggap “antik”, merupakan cerminan kebangaan nasional Jepun dan agenda politik Shinzo Abe yang dikatakan sebagai konservatif. Foster (2019) contohnya, melaporkan bahawa penggunaan gengō juga adalah satu bentuk soft nationalism.

Kesimpulan

Reiwa (令和) merupakan gengō yang unik, bukan hanya kerana asal-usulnya atau maksudnya tetapi untuk juga falsafahnya serta mesej harapannya untuk era ini. Walaupun secara umumnya gengō digunakan untuk menentukan tarikh, ia juga digunakan untuk memisahkan satu era yang baru daripada era yang sebelumnya serta menunjukkan suasana nasional Jepun.

Senarai rujukan

BBC (2019) ‘Japan reveals name of new imperial era will be Reiwa’. BBC [online] 1 April. available from <https://www.bbc.com/news/world-asia-47769566> [1 April 2019]

Foster, M. (2019) ‘New Japanese imperial era ‘Reiwa’ takes name from ancient poetry’. Reuters [online] 1 April. available from <https://www.reuters.com/article/us-japan-emperor/new-japanese-imperial-era-reiwa-takes-name-from-ancient-poetry-idUSKCN1RD13X> [1 April 2019]

Mizohata, S. (2016) ‘Nippon Kaigi: Empire, Contradiction, and Japan’s Future’ The Asia-Pacific Journal [online] 14 (21), 1–21. Available at: <https://apjjf.org> [1 April 2019]

Nippon.com (2018) ‘A Disastrous Kanji of the Year? “Wazawai” Picked as Top Character for 2018’. Nippon.com [online] 12 December 2018. available from <https://www.nippon.com/en/features/c03814/a-disastrous-kanji-of-the-year-wazawai-picked-as-top-character-for-2018.html#> [1 April 2019].

Nippon.com (2017) ‘Kanji of the Year: “Kita” the Northern Winner for 2017’. Nippon.com [online] 12 December 2017. available from <https://www.nippon.com/en/features/c03809/kanji-of-the-year-kita-the-northern-winner-for-2017.html> [1 April 2019].

Osaki, T. and Murakami, S. (2019) ‘Reiwa: Japan reveals name of new era ahead of Emperor’s abdication’. The Japan Times [online] 1 April. available from <https://www.japantimes.co.jp/news/2019/04/01/national/politics-diplomacy/japan-readies-announce-name-new-era/#.XKJla5gzY2x> [1 April 2019]

Sumber gambar

Yamaguichi, M. (2019) ‘New Japan era to be called ‘Reiwa,’ or pursuing harmony’. ABC News [online] 1 April. available from <https://abcnews.go.com/International/wireStory/japan-era-emperor-naruhito-62079967> [1 April 2019]


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.