Bagi yang biasa membaca Romance of the Three Kingdoms atau menonton filem-filem yang berdasarkan kisah berkenaan, pasti sudah biasa dengan Pertempuran Chi Bi atau Pertempuran Red Cliff. Kisah pertempuran ini pernah diadaptasi oleh John Woo menerusi filem Red Cliff yang menampilkan Tony Leung Chiu-wai sebagai Zhou Yu, Takeshi Kaneshiro (Zhuge Liang) dan Zhang Fengyi (Cao Cao). Pertempuran ini merupakan pertempuran tentera laut terbesar dalam sejarah berdasarkan bilangan individu yang terlibat.

Keruntuhan Dinasti Han

Pada awal abad ketiga Masihi, Dinasti Han yang memerintah China ketika itu mengalami keruntuhan dengan maharaja ketika itu hanya setakat figura sahaja. Kuasa sebenar kerajaan terletak di tangan panglima-panglima perang di mana mereka saling berperang antara satu sama lain sama ada untuk meluaskan jajahan mereka atau mempertahankan wilayah mereka. Antara panglima perang yang terkenal ketika itu ialah Cao Cao di mana menjelang tahun 207 Masihi, berjaya menyatukan utara China di bawah penguasaannya dan mengekalkan kekuasaan di Lembah Utara China.

Sekiranya beliau mahu meneruskan aspirasi menyatukan semula Empayar Han yang berpecah, Cao Cao perlu mendapatkan akses ke tengah Yangtze atau lebih tepat pangkalan tentera laut di Jiangling bagi mendapatkan akses ke wilayah selatan. Usaha beliau ini disokong menerusi perlantikannya sebagai Canselor Diraja sekaligus memberikannya akses kepada semua aset Dinasti Han. Dan pada tahun 208, ia digunakan sebaik-baiknya untuk mendapatkan akses ke wilayah selatan. Dua individu yang dianggap halangan utama cita-citanya ialah Liu Biao, Gabenor Wilayah Jing dan Sun Quan yang menguasai Wu Timur. Seorang lagi pemain penting dalam konflik ini ialah Liu Bei yang ketika itu mendapat perlindungan dari Liu Biao. Liu Bei tidak seharusnya dipandang remeh kerana walaupun dianggap pelarian politik, beliau juga merupakan seorang yang bijak terutama dalam strategi peperangan.

Situasi perang yang tercetus antara Jing dan Wu sejak sekian lama bukan saja melemahkan kekuatan tentera Jing tetapi juga memudahkan usaha Cao Cao menawan wilayah berkenaan tanpa sebarang pertumpahan darah. Liu Biao mati semasa kempen itu dan saki-baki tenteranya mengikut Liu Bei melarikan diri ke Xiakou. Di sinilah, Liu Bei mula berunding dengan Sun Quan untuk membentuk pakatan Jing-Wu yang anti-Cao Cao. Pada masa sama, Cao Cao turut mengirim satu surat kepada Sun Quan bahawa beliau mempunyai angkatan seramai 800,000 orang yang berperang atas nama maharaja. Dakwaan ini berkemungkinan diada-adakan untuk menakutkan Sun Quan untuk menyerah diri. Bagaimanapun, Sun Quan yang mempunyai tentera seramai 200,000 hingga 300,000 orang tidak termakan dengan desakan Cao Cao dan memilih bergabung dengan Liu Bei. Menerusi kerjasama ini juga, mereka dapat menambah bilangan tentera antara 50,000 hingga 80,000 orang ke dalam pakatan mereka.

‘Jangan pandangku sebelah mata!’

Cao Cao mungkin merasa selesa dengan bilangan tenteranya yang ramai tetapi majoriti daripadanya kali pertama terlibat dalam kempen pertempuran laut. Ini tidak berlaku pada pakatan Liu Bei-Sun Quan kerana separuh dari angkatan Sun Quan menganggap laut sebagai taman permainan mereka. Selain itu, tentera selatan juga mempunyai imuniti terhadap penyakit berjangkit di wilayah berkenaan tetapi menjadi mimpi ngeri kepada tentera dari sebelah utara. Satu lagi kesilapan Cao Cao ialah gagal memastikan bekalan sentiasa ada untuk memenuhi keperluan pasukan tenteranya yang ramai. Jika ini saja sudah memeningkan kepala Cao Cao, minggu-minggu yang membawa kepada Pertempuran Chi Bi menyaksikan cuaca hujan dan iklim lembap yang nyata merendahkan moral tenteranya.

Dan seperti dinyatakan di atas, antara penyakit yang menjadi mimpi ngeri angkatan Cao Cao ialah mabuk laut. Disebabkan terlalu ramai yang mengalami mabuk laut, komander-komander mereka terpaksa mengikat kapal-kapal dengan rantai bagi menangani masalah itu. Walaupun ia berhasil menyelesaikan masalah mabuk laut dalam kalangan tenteranya, ia mengakibatkan kapal-kapalnya sukar dikemudi. Sebahagian daripada angkatannya terus kekal di kapal manakala sebahagian lagi turun dan berkhemah di tebing utara Sungai Yangtze. Manakala angkatan Liu Bei-Sun Quan pula berkhemah di tebing selatan sungai berkenaan yang turut dikenali dengan nama Chi Bi (Red Cliff).

Melihat keadaan kapal yang diikat dengan rantai, ia memberi idea kepada para jeneral untuk menggunakan taktik kapal api iaitu kapal yang diisi dengan minyak dan bahan kering yang mudah terbakar. Bagi memperdaya Cao Cao, seorang jeneral (sama ada Huang Gai atau Zhou Yu) menghantar surat kepadanya dengan niat mahu berpaling tadah. Bagi menyakinkan lagi Canselor Diraja itu, mereka akan datang dengan sekumpulan kapal sebagai tanda niat baik. Tanpa pengetahuan pihak musuh, kapal-kapal yang dihantar pada waktu malam itu sudah diisi dengan minyak lemak dan bahan kering mudah terbakar. Sebaik menghampiri titik pertengahan sungai, Huang Gai/Zhou Yu mengarahkan tenteranya menyalakan api sebelum bertolak pulang menggunakan perahu kecil. Kapal-kapal tanpa pemandu ini berlayar mengikut angin tenggara dan meletup sebaik menghampiri angkatan laut Cao Cao.

Taktik sebegini mencetuskan keributan dalam kalangan tentera Cao Cao di mana ramai mati terbakar atau mati lemas semasa hendak cuba menyelamatkan diri. Dalam pada itu, tentera Liu Bei pula menyerang kedudukan mereka. Tanpa pengetahuan mereka, hanya sebahagian saja yang menyertai serangan Liu Bei tetapi ramai menganggap ini serangan pihak selatan ke atas mereka. Keadaan ini melemahkan lagi moral tentera Cao Cao di mana ramai melarikan diri ke kawasan paya dan mati lemas di situ. Ada yang cuba melarikan diri dalam kegelapan malam tetapi berjaya ditawan atau dibunuh oleh tentera Liu Bei.

Tentera Cao Cao yang ketakutan cuba melarikan diri menggunakan laluan Huarong yang ketika itu laluan panjang yang merentasi kawasan paya di utara Tasik Dongting. Bagi membolehkan kuda-kuda dapat melaluinya, mereka terpaksa meletakkan rumput di sepanjang laluan. Ramai yang mati lemas atau mati dipijak semasa melakukan perkara tersebut. Bagaimanapun, angkatan Zhou Yu dan Liu Bei terus mengejar mereka sehinggalah ke Jiangling. Jiangling menjadi saksi kemusnahan tentera Cao Cao di mana ramai bukan saja mati dalam pertempuran tetapi juga mati akibat kebuluran dan penyakit berjangkit. Akibat kekalahan ini, beliau kehilangan wilayah seluas 160 kilometer tetapi itu masih menjadikannya panglima perang yang digeruni di seluruh China.

Pada tahun 220, Maharaja Han turun takhta secara rasmi dan ini memberi peluang kepada Cao Cao membentuk wilayahnya kepada sebuah kerajaan yang dipanggil Wei. Liu Bei pula mengambil alih wilayah Jing dan wilayah yang dirampas dari Cao Cao untuk membentuk negeri Shu. Digabungkan dengan negeri Wu yang masih dikawal Sun Quan, ini mewujudkan tempoh Three Kingdoms di China ketika itu. Lokasi sebenar pertempuran masih menjadi perbahasan para cendekiawan kerana ia tidak ditanda dan nama tempatannya juga sudah pasti berubah mengikut perubahan zaman.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.