Seorang wanita berusia 72 tahun baring di katil hospital Mass General. Dalam otaknya, ada tumor agresif yang sudah mencengkam nyawa. Glioblastoma. Antara barah paling ganas dan paling sukar dirawat.
Dia bukan pesakit pertama yang datang dengan harapan tipis. Doktor pun tahu rawatan sedia ada jarang beri kelegaan. Kemoterapi, radioterapi, pembedahan. Tapi sel barah ini selalu kembali. Lebih kuat dan lebih cepat.
Tapi kali ini mereka cuba sesuatu berbeza. Satu suntikan. Bukan ubat biasa. Tapi terapi yang diambil dari sel darahnya sendiri. Diubahsuai di makmal. Dilatih untuk memburu barah.
Dalam masa dua hari, imbasan otak wanita itu tunjuk perubahan mengejutkan. Tumor yang selama ini membesar secara tak terkawal, mula mengecil. Dalam masa 69 hari, ia mengecut lebih 60 peratus. Tiada siapa jangka ini akan berlaku.
Seorang lagi pesakit tunjuk tindak balas lebih luar biasa. Lima hari lepas suntikan, hampir keseluruhan tumor lenyap dari imbasan. Tiada pembedahan. Tiada kimoterapi. Hanya terapi sel yang buat sistem imun kembali bertindak.
Rawatan ini adalah versi baharu terapi CAR‑T. Biasanya digunakan untuk leukemia dan kanser darah. Tapi kali ini, penyelidik dari Mass General dan Harvard cuba sesuaikan teknik itu untuk barah otak.
Cabaran utama terapi sel terhadap barah otak ialah, sel barah dalam glioblastoma sangat bijak bersembunyi. Mereka berbeza-beza. Dalam satu tumor, ada banyak jenis sel barah. Jadi, rawatan biasa gagal mengenal pasti semuanya.
Pakar gabungkan dua jenis sasaran dalam terapi CAR‑T ini. Supaya sel-sel yang diubahsuai itu boleh kesan lebih banyak variasi barah. Dan ternyata strategi itu berhasil. Sistem imun pesakit jadi senjata baharu menentang musuh yang selama ini menang.
Tetapi buat masa ini kesan terapi itu tidak kekal selamanya. Selepas beberapa bulan, tumor mula muncul semula. Cuma yang luar biasanya adalah ia bertindak balas dengan pantas. Ia beri harapan baharu kepada pesakit dan keluarga.
Dalam dunia onkologi, untuk lihat barah glioblastoma mengecut lebih separuh hanya dalam beberapa hari selepas satu suntikan adalah luar biasa. Ini bukan kes terpencil. Kajian awal ini berlaku pada tiga pesakit dan kesemuanya tunjukkan hasil positif.
Kajian penuh diterbitkan dalam The New England Journal of Medicine dan diumumkan oleh Mass General Hospital. Ia disokong oleh Institut Kanser Kebangsaan Amerika dan dikembangkan bersama Harvard Medical School.
Di ASCO 2025, satu lagi terapi CAR‑T dari University of Pennsylvania turut diumumkan. Daripada 13 pesakit, 62 peratus tunjuk respon positif. Ini tandanya bidang ini bukan satu eksperimen rawak, tapi sedang menuju revolusi besar dalam rawatan barah jenis ketumbuhan seperti otak dan organ dalaman (solid tumor).
Selama ini, barah otak jenis ini sering dianggap sebagai penyakit yang perlahan-lahan meragut nyawa. Rata-rata pesakit hanya diberi tempoh antara 12 hingga 18 bulan untuk hidup. Tapi perkembangan terbaru ini mengubah segalanya. Kini, harapan mula bercambah semula.
Kita mula lihat potensi sebenar sistem imun manusia. Dengan sedikit bantuan teknologi, ia boleh jadi alat paling berkesan melawan kanser. Badan kita sendiri mula belajar bertindak balas dengan lebih bijak.
Kalau dulu barah ini anggap mustahil untuk dikecilkan, hari ini sudah ada cara untuk kurangkan saiznya dalam masa beberapa hari. Ia tidak janji sembuh sepenuhnya, tapi ia permulaan kepada arah yang lebih cerah.
Rawatan ini masih dalam fasa ujian awal. Tapi hasilnya sangat menjanjikan. Pakar percaya, dalam beberapa tahun akan datang, versi rawatan yang lebih mantap akan tersedia untuk lebih ramai pesakit.
Malaysia dan negara lain perlu perhatikan perkembangan ini dengan serius. Apabila rawatan ini diluluskan secara rasmi, kita perlu pastikan ia sampai ke hospital tempatan. Pesakit di sini juga layak untuk peluang kedua.
Kos rawatan pasti tinggi pada awalnya. Tapi dengan kerjasama antara kerajaan, syarikat farmaseutikal dan penyelidik tempatan, pasti ada jalan. Yang penting, rakyat ada akses dan pilihan untuk hidup lebih lama.
Harapan kini kembali. Bukan pada ubat. Tapi pada kebijaksanaan tubuh manusia yang digilap semula oleh sains. Sistem imun, yang selama ini terlepas pandang, kini jadi harapan terbesar dunia.
Betapa luasnya ilmu yang Allah kurniakan kepada manusia. Dari tubuh kita sendiri, datang penawar kepada penyakit yang paling ditakuti. Ini baru permulaan, dan dunia sedang menyaksikan satu perubahan besar dalam sejarah perubatan.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Ilmu, inspirasi, makna, ketepatan, dan keindahan.

Comments are closed.