Bayangkan anda seorang ratu sebuah kerajaan, sedang terkapai-kapai kelemasan dalam sungai. Para pengawal hanya mampu melihat anda menemui ajal tanpa mampu berbuat apa-apa. Dan ini semua gara-gara satu undang-undang kuno yang diamalkan dalam kerajaan!
Ini kisah tragis seorang wanita muda, yang diangkat menjadi ratu di sisi seorang raja sebuah kerajaan, namun meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati bersama puterinya yang masih bayi.
Sunandha Kumariratana yang lahir pada 1860 ialah permaisuri kepada Raja Chulalongkorn (Rama V) yang memerintah Siam antara tahun 1868 hingga 1910. Sunandha ini adalah adik tiri kepada Chulalongkorn sendiri.
Peristiwa yang membawa kepada Ratu Sunandha menemui ajalnya ini berlaku pada 22 April 1880, apabila ratu muda ini bersama puterinya yang baru berusia setahun menaiki bot diraja untuk berangkat ke Istana Bang Pa In (istana musim panas).
Bot diraja ini sedang melalui Sungai Chao Phraya apabila ia tiba-tiba terbakar. Akibatnya, bot yang membawa sang ratu, puterinya serta para pengawal diraja terbalik kerana hilang kawalan.
Di sinilah episod tragis Ratu Sunandha bermula. Para pengawal diraja yang jatuh ke dalam sungai boleh menyelamatkan diri mereka kerana pandai berenang, namun malang bagi ratu dan puterinya yang hanya mampu terkapai-kapai cuba bertahan hidup.
Hakikatnya, ketika ratu bergelut untuk terus terapung di sungai, para pengawal ini langsung tidak boleh berbuat apa-apa, apa lagi berenang untuk menyelamatkannya Yang terdaya mereka lakukan hanyalah memerhati dari pantai ketika Ratu Sunandha tenggelam sedikit demi sedikit.
Kenapa para pengawal ini langsung tidak menyelamatkan ratu mereka?
Semuanya kerana mereka terikat dengan satu larangan dalam undang-undang kuno Siam yang melarang sesiapa sahaja, termasuklah hamba permaisuri itu sendiri, daripada menyentuh badan golongan diraja. Dan kerana kepatuhan terhadap larangan inilah yang menyebabkan mereka terpaksa mendiamkan diri tanpa bertindak apa-apa.
Ada juga pengawal yang tidak sampai hati melihat kejadian itu cuba melempar buah kelapa ke dalam sungai, dengan harapan sang ratu boleh berpaut padanya dan bergerak ke tebing. Tapi, segalanya sia-sia belaka. Ratu akhirnya tenggelam buat selama-lamanya bersama puterinya.
Paling menyayat hati, ratu ketika itu sedang mengandung dan kemangkatannya telah menjadi satu peristiwa penting dalam sejarah Siam, kerana ia menandakan permulaan berakhirnya monarki mutlak yang telah memerintah negara selama berabad-abad. Raja Chulalongkorn, yang sangat terkesan dengan kematian isterinya, mula melaksanakan reformasi menyeluruh untuk memodenkan negara dan mengurangkan kuasa monarki.
Di sebalik pembaharuan ini, Ratu Sunandha kekal dikenang di Thailand sebagai simbol masa lalu negara yang penuh kemelut dan pengorbanan yang dilakukan oleh keluarga dirajanya. Hari ini, ratu diingati sebagai tokoh tragis, mangsa undang-undang lapuk yang mementingkan tradisi berbanding kehidupan manusia.




No comments yet