Rangka seorang wanita daripada zaman Xiongnu ditemukan bersama sebuah aksesori yang agak bergaya. Bagi seorang ahli arkeologi yang bernama Pavel Leus, artifak (aksesori) tersebut kelihatan mirip dengan telefon pintar moden.
Objek berwarna hitam yang berbentuk segi empat tepat itu tertanam di sebuah tapak pengebumian yang dikenali sebagai ‘Atlantis Russia’, berlokasi di wilayah pergunungan Republik Tuva. Tapak berkenaan dikatakan hanya muncul dari genangan air selama beberapa minggu dalam tempoh setahun.
Ahli-ahli arkeologi bergurau dengan menamakan wanita purba itu sebagai Natasha, sementara aksesorinya pula dipanggil sebagai sebuah ‘iPhone’.
“Tapak pengebumian Natasha dan iPhone era Xiongnu ini kekal menjadi salah sebuah penemuan paling menarik di lokasi berkenaan,” ujar Pavel Leus dalam kertas kajian yang baru disiarkan. Kertas kajian tersebut meringkaskan tentang hasil ekspedisi arkeologi yang dijalankan selama beberapa tahun di tapak pengebumian Ala-Tey.
Sebenarnya, artifak yang ditemukan itu adalah tali pinggang kulit yang berukuran 18cm x 9cm. Tali pinggang ini diperbuat daripada batu permata yang bertatahkan batu firus, karnelian dan ibu-permata.
Tali pinggang wanita ini turut dihiasi dengan dekorasi syiling wuzhu Cina. Dekorasi ini membantu para saintis untuk melakukan ujian pentarikhan ke atas artifak berkenaan. Hasil ujian itu mendapati usia artifak tersebut menjangkau 2137 tahun memandangkan pada masa-masa itulah syiling sebegitu dicetak buat kali pertama.
Penemuan rangka dan aksesori purba ini dilakukan pada tahun 2016 di necropolis Ala-Tey yang berlokasi di Laut Sayan. Necropolis tersebut merupakan tapak pengebumian bersaiz gergasi buatan manusia, bertempat di atas Sungai Yenisei atau lebih tepat, di dalam Empangan Sayano-Shushenskaya yang berfungsi sebagai pusat jana kuasa terbesar di Russia. Paras air di lokasi berkenaan susut pada setiap bulan Mei dan Jun sekaligus menampakkan daratan pasir yang luas. Kubur-kubur yang ditemui di sini berusia dari Zaman Gangsa hingga ke zaman Genghis Khan.
Sebelum rangka ‘Natasha dan iPhone’, terdapat dua rangka manusia yang dkebumikan bersama alat-alat perdagangan mereka ditemui oleh arkeologis di tapak berkenaan. Salah seorang daripada mereka dipanggil sebagai Sleeping Beauty memandangkan rangkanya dibaluti pakaian sutera, konon sebagai pakaian untuk kehidupan selepas mati.
Pada mulanya, rangka tersebut dipercayai milik seorang paderi wanita. Namun, kajian lanjut membuatkan para penyelidik berpendapat bahawa beliau adalah seorang pereka barangan kulit di zamannya. Sementara itu, rangka kedua pula milik seorang tukang tenun yang disemadikan bersama alat penggulung benang yang diperbuat daripada kayu.
Dianggarkan secara keseluruhan terdapat kira-kira 110 buah kubur ditemui di Ala-Tey.
“Tapak ini mengandungi penemuan yang amat sensasi,” ujar Dr Marina Kilunovskaya dari St Petersburg Institue of Material History Culture, yang mengetuai Ekspedisi Arkeologi Tuva.
“Kami sangat-sangat bertuah kerana berupaya menemukan kubur-kubur milik masyarakat nomad Hun yang kaya-raya, yang sama sekali belum disentuh oleh para penjarah kubur.”
Ekspedisi Arkeologi Tuva yang dilakukan di kawasan yang terdedah kepada banjir (digenangi air) mampu dilaksanakan menerusi keizinan daripada Persatuan Geografikal Russia dan bantuan daripada Persatuan Pengembaraan EurAsia (Switzerland).
DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:
Ancient Origins. (8 September 2019). 2100-Year-Old Skeleton Found With iPhone-Like Belt Buckle in Siberia.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/siberian-skeleton-0012558
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih