Dalam kesempatan sebelum ini, perkongsian-perkongsian tentang penemuan arkeologi sering dilakukan bagi perkembangan dari luar negara – penemuan istana tamadun yang hilang, masjid tertua di Eropah, kota bawah tanah dan lain-lain. Justeru pada artikel kali ini, kami cuba pula untuk mula bawakan berita-berita arkeologi tempatan.
Semoga perkongsian-perkongsian sebegini dapat menghadirkan rasa penghargaan dalam diri kita sebagai rakyat Malaysia terhadap warisan sejarah yang cukup berharga di bumi ini. Sejarah yang berupaya untuk menyatupadukan kita semua walaupun untuk sejenak – bersama-sama bergembira dan berbangga apabila di tanah tumpah darah ini, ditemukan artifak, relik atau monumen yang berupaya melonjakkan nama negara di persada antarabangsa.
Berbalik kepada perkongsian, apabila berbicara tentang arkeologi tempatan, antara yang sering terlintas dalam fikiran kita sudah tentu penemuan rangka manusia prasejarah di Perak yang terkandung di dalam buku teks sekolah. Perak Man yang ditemukan pada tahun 1991 itu diiktiraf sebagai satu-satunya kerangka purba paling lengkap pernah ditemui di Asia Tenggara. Hal ini sekaligus mengubah imej Lembah Lenggong sebagai tapak kebudayaan arkeologi yang penting.
Pada 27 tujuh tahun kemudian, atau tepatnya 2 November 2018, para penyelidik kita sekali lagi menggemparkan negara dengan penemuan rangka manusia prasejarah yang dianggarkan berusia antara 6000 – 8000 tahun di Gua Chawan, Lembah Nenggiri, Kelantan.
Rangka yang dipercayai milik seorang remaja perempuan ini dijumpai semasa kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi arkeologi secara sistematik yang dijalankan sejak April 2017 oleh pasukan penyelidik dengan diketuai oleh Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM, Profesor Madya Dr. Zuliskandar Ramli. Usaha ini turut meraih kerjasama daripada beberapa pihak seperti:
- Kakitangan Bahagian Arkeologi Jabatan Warisan Negara (JWN)
- dan penyelidik Jabatan Sejarah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pengumuman tentang penemuan ini dibuat di Bangunan Sultan Abdul Samad dengan turut dihadiri oleh beberapa individu penting seperti:
- Datuk Mohamaddin Ketapi, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
- Datuk Zainah Ibrahim, Ketua Pengarah/Pesuruhjaya Warisan ke Jabatan Warisan Negara.
- Datuk Md Anizam Ab Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan.
Rangka dari zaman Mesolitik itu ditemui dalam kedalaman 1.5 meter dengan keadaan sempurna, lengkap dengan tengkorak, tulang pelvis, tulang belakang, tulang paha dan tulang rusuk. Sedikit berbeza dengan keadaan rangka Perak Man yang dijumpai dalam keadaan melipat daripada lutut sampai pada dagu seolah-olah bayi dalam kandungan, rangka remaja perempuan di Gua Chawan ini tidaklah berada dalam keadaan lipatan yang ketara.
Ujar Dr. Zuliskandar Ramli, rangka ini ditemukan dalam keadaan bahagian muka menghala ke arah utara manakala bahagian lutut pula menghala ke bahagian selatan di mana kedua-duanya dilapik dengan batu kapur. Keadaan sebegini mengisyaratkan berlakunya pembaharuan atau evolusi dalam kaedah pengebumian mayat pada waktu itu.
Merincikan penemuan tersebut dengan lebih lanjut, Datuk Mohamaddin Ketapi dalam sidang media mengatakan bahawa tangan kanan rangka itu memegang makanan berupa siput dan alat memotong rumput. Turut terdapat di tapak sekitar rangka berkenaan batu pengisar-penumbuk yang diletakkan di bahagian kaki, dipercayai sebagai alat iringan atau ritual sesuai tradisi yang diamalkan oleh masyarakat pada waktu itu.
Tambah Dr. Zuliskandar Ramli lagi, mereka turut menemui rangka yang dipercayai tulang burung dalam mulut rangka manusia tersebut, juga diyakini sebagai tradisi pada masa itu. Perincian sebegini memberikan gambaran yang lebih jelas berbanding sumber-sumber yang hanya menyenaraikan penemuan artifak lain secara umum seperti alat litik, sisa makanan berupa tulang binatang, cengkerang siput (brutia costula) serta serpihan tembikar.
Sebelum berlakunya penemuan ini, Gua Chawan sememangnya dikenali sebagai tempat penghasilan alat batu zaman Hoabinhian hasil penyelidikan oleh B.A.V. Peacock pada tahun 1963 atau 1964 dan kajian lanjut oleh Adi Taha pada tahun 1993. Peacock berpendapat bahawa Gua Chawan ini telah digunakan oleh masyarakat pemburu dan pengumpul makanan nomadik di zaman Hoabinhian sebagai bengkel bagi membuat dan membentuk alat-alat batu pebel.
Namun dengan penemuan terkini, Dr. Zuliskandar malah menambah bahawa terdapat kemungkinan peranan Gua Chawan jauh lebih signifikan berbanding itu di mana beliau mendakwanya sebagai kawasan petempatan manusia pada zaman tersebut. Antara faktor yang dikemukakan adalah lokasi gua itu sendiri yang selain berupaya memberikan perlindungan, ia juga terletak berhampiran dengan sungai (1.5 km dari Sungai Jenera).
Sejak dijumpai pada 2 November yang lalu, rangka manusia tersebut dibawa keluar dari Gua Chawan pada 10 November sebelum menjalani kerja-kerja perekodan, pengambilan sampel, pembersihan, pentarikhan, pencatuman, pengawalan kelembapan dan suhu serta repositori. Memetik kata-kata Pembantu Muzium Kanan Bahagian Arkeologi JWN, Khairil Amri Abdul Ghani, “Kerja-kerja terbabit dijangka akan mengambil masa selama 60 hari untuk selesai.”
Sementara rangka tersebut dibawa ke ibu negara untuk menjalani proses konservasi, sampel gigi dan cengkerang siput yang turut ditemukan bersamanya pula dihantar ke Makmal Beta di Amerika Syarikat untuk proses pentarikhan kronometrik.
Untuk memberikan penjelasan yang lebih terperinci berkenaan proses yang perlu dijalani oleh rangka berkenaan, sesuai kiranya penulis mengambil petikan penerangan Khairil Amri daripada Utusan secara kronologi:
- Perkara pertama yang dilakukan setelah pihak mereka menerima rangka tersebut adalah memisahkan tulang-tulang itu daripada tanah.
- Kemudian, proses cucian kering dengan menggunakan lidi dan berus dilakukan tanpa melibatkan sebarang bahan kimia bagi menentukan bahagian mana yang keras atau rapuh.
- Proses pengeringan menggunakan tisu.
- Mencantumkan segala bahagian tertentu dengan menggunakan gam khas.
- Proses identifikasi dilakukan, seperti mengenal pasti tulang pelvis dan tulang-tulang lain.
- Kemudian, rangka tersebut disusun secara menegak bagi memudahkan proses mengenal pasti tulang pada bahagian kiri atau kanan tubuh.
Menjelaskan signifikasi yang terkandung dalam penemuan ini, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, “Penemuan rangka manusia prasejarah Gua Chawan, Lembah Nenggiri ini adalah penting bagi arkeologi negara kerana (ia) dapat memberi fakta baru (tentang) amalan pengkebumian dan budaya kehidupan zaman prasejarah di Malaysia. Segala jumpaan di tapak ini cukup bermakna bagi merungkai budaya masyarakat primitif dan kehadiran manusia prasejarah di sepanjang gugusan gua kompleks batu kapur Lembah Nenggiri, Ulu Kelantan.”
Sehubungan dengan itu, Datuk Zainah Ismail mengumumkan bahawa Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama kerajaan negeri Kelantan akan memastikan penemuan tersebut dijadikan bahan rujukan penting warisan negara serta dapat dipamerkan untuk tontonan masyarakat. Untuk tujuan tersebut, beliau memaklumkan bahawa sebuah bangunan warisan yang mempamerkan artifak-artifak itu akan dibangunkan di Gua Musang pada tahun 2020 dan dijangka mengambil masa selama dua hingga empat tahun sebelum dibuka kepada umum.
Hal ini merupakan satu berita penting yang perlu diingati oleh kita semua dan rakyat Kelantan secara khusus, kerana selain mengembangkan lagi pengetahuan tentang sejarah dan budaya prasejarah setempat, ianya memiliki signifikasi-signifikasi lain meliputi aspek perlancongan dan status Malaysia sebagai negara yang kaya dengan sejarah.
Jika dilihat dari sudut yang lebih luas, penemuan rangka remaja perempuan berusia 6000-8000 tahun ini pada hakikatnya merupakan satu dari sekalian merit yang diraih oleh pasukan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam ekspedisi arkeologi di Gua Chawan. Inshaallah jika berkesempatan, di masa akan datang penulis akan berkongsikan penemuan-penemuan di Gua Chawan dengan lebih menyeluruh.
RUJUKAN
Bernama. (17
Disember 2018). Rangka manusia Mesolitik berusia 6000 tahun ditemui di Gua
Chawan, Kelantan.
http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1676250
Nailah Huda. (17
Disember 2018). Rangka remaja perempuan prasejarah dijumpai di Gua Chawan,
Kelantan. Astro Awani.
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/rangka-remaja-perempuan-prasejarah-dijumpai-di-gua-chawan-kelantan-193756
PENEMUAN ARTIFAK DI TAPAK GUA CHAWAN, HULU KELANTAN (GALI
CARI FASA 1). (2019). Asian Journal of Environment, History and
Heritage, 2(1), pp.171-178.
http://spaj.ukm.my/ajehh/index.php/ajehh/article/view/61
Sharaimei Shaik
Ahmedullah. (23 Disember 2018). Bongkar Penemuan Zaman Prasejarah Di Gua
Chawan. Utusan Online.
https://www.utusan.com.my/sains-teknologi/sains/bongkar-penemuan-zaman-prasejarah-di-gua-chawan-1.809467
Syalikha Sazili.
(18 Disember 2018). Rangka remaja 8000 tahun. Harian Metro.
https://www.hmetro.com.my/utama/2018/12/404249/rangka-remaja-8000-tahun-metrotv
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih