Kebiasaannya, bila seseorang itu telah tiada, kita akan pastikan semua urusan termasuk pengebumian berjalan lancar. Tetapi di Eropah terutama dari abad 16 hingga ke-19, si mati nampak gaya macam takkan aman pula. Ini kerana kubur-kubur sentiasa digali semula oleh perompak kubur bagi mendapatkan mayat atau rangka untuk pelbagai tujuan dari perubatan hinggalah sebagai baja tanaman. Dan itu yang berlaku kepada rangka-rangka veteran Pertempuran Waterloo 1815.

Secara ringkas, Pertempuran Waterloo merupakan pertempuran yang tercetus di Waterloo, selatan Brussels, Belgium pada 18 Jun 1815. Ia merupakan pertempuran terakhir yang menamatkan sisa perjuangan Napoleon Bonaparte sebagai Maharaja Perancis sebelum baginda kemudiannya dibuang negeri ke Pulau Saint Helena. Baginda mangkat di pulau yang terletak di selatan Lautan Atlantik itu pada 1821.

Disebabkan pakatan kuasa-kuasa Eropah yang bimbang dengan kebangkitan semula Napoleon, Waterloo menjadi saksi pertempuran sengit antara kedua-dua belah pihak. Dan kesan akibat pertempuran tersebut mengerikan sesiapa saja yang melihatnya.

Kesan medan Waterloo pasca-pertempuran mengerikan sesiapa saja yang melihatnya termasuk sejarawan Scotland, Sir Walter Scott.

Salah seorang figura yang berkesempatan melihat apa yang berlaku pasca-Waterloo ialah sejarawan dan penulis novel Scotland, Sir Walter Scott. Dalam catatannya bertarikh Ogos 1815, beliau mendapati mayat-mayat veteran yang terbunuh baik pihak Perancis mahupun pakatan negara Eropah telah ditanam atau dibakar sehingga hangus. Sementara seorang lagi individu bernama Newman Smith mendedahkan banyak kereta kuda yang membawa mayat dikeluarkan dari Waterloo dengan sebahagian lagi dibiarkan di medan berkenaan.

Keterangan-keterangan ini merupakan sebahagian daripada data yang diakses pengkaji arkeologi bagi mengetahui lokasi sebenar tiga kubur besar veteran Waterloo. Mengikut rekod rasmi, 64,000-65,000 orang veteran membabitkan kedua-dua pihak dilaporkan terbunuh di medan berkenaan. Pengkaji arkeologi percaya sekurang-kurangnya 13,000 veteran Waterloo ditanam dalam tiga kubur besar itu. Sementara selebihnya dibakar dengan abu mereka ditimbun di atas kubur-kubur besar berkenaan.

Tetapi jika ada menjangkakan tulang-tulang veteran ini kerap ditemui semasa kerja ekskavasi, lupakanlah. Bukan sekali kerja ekskavasi dijalankan sekitar Waterloo tetapi berakhir dengan kegagalan. Jika ada sekalipun, ia jarang ditemui seperti penemuan rangka pada 2015 atau tulang kaki pada 2019.

Perompak kubur mengetahui lokasi kubur-kubur besar Waterloo daripada penduduk tempatan. Mereka melakukannya dengan cara memberi maklumat lokasi kubur atau membantu mereka menggali kubur-kubur berkenaan.

Jadi, ke mana perginya semua tulang veteran Waterloo ini? Pengkaji arkeologi peperangan Profesor Tony Pollard percaya semua tulang ini telah dicuri dan diproses untuk dijadikan sebagai baja fosfat. Beliau percaya bertahun-tahun selepas Pertempuran Waterloo berakhir, perompak-perompak kubur mensasarkan kubur-kubur besar medan bagi mendapatkan mayat dan rangka tulang.

Kelompok perompak kubur pasti mengetahui lokasi kubur-kubur besar Waterloo daripada penduduk tempatan. Ini kerana mereka pasti tahu lokasi setiap mayat dan rangka yang ditanam pasca-pertempuran berkenaan. Dan tidak mustahil, ada juga yang diupah untuk membantu mereka menggali dan mengeluarkan mayat dan rangka tulang daripada kubur-kubur tersebut.

Disebabkan besarnya jumlah tulang yang hilang dari Waterloo, Profesor Pollard percaya ia diambil sebagai bahan baja fosfat. Baja fosfat menjadi pilihan petani ketika itu kerana ia membantu tanaman bertahan dengan tekanan persekitaran termasuk kemarau. Selain itu, ia juga membantu tanaman melawan sebarang ancaman kuman pembawa penyakit.

Dengan dua kelebihan ini, hasil tuaian tanaman dijangka akan menjadi lebih baik. Hari ini, baja fosforus organik dilihat sebagai alternatif untuk baja kimia berikutan harga bahan berkenaan yang tinggi. Ini disebabkan dua negara pembekal utama produk pertanian iaitu Rusia dan Ukraine kini terjebak dalam konflik yang bermula pada akhir Februari lepas.

Kini, pengkaji arkeologi seperti Pollard ingin mengetahui sejauh mana skala sebenar pengambilan tulang yang dibuat di Waterloo. Tetapi dengan berbuat demikian, ia bukan sekadar mendedahkan nasib sebenar mayat dan tulang veteran pertempuran tersebut.

Perhatian. The Patriots sedang mencari manuskrip untuk diterbitkan. Jika berminat, anda boleh kirimkan ke alamat emel seperti dalam gambar.

Malah, ia mendedahkan skala sebenar ketamakan manusia yang sanggup melakukan apa saja termasuk merosakkan kehormatan mayat atas nama duit. Mungkinkah tanah pertanian yang subur sekitar Eropah termasuk Britain hari ini disumbang oleh baja tulang Waterloo?

RUJUKAN

Euronews. (2014, 21 April). Richer soil from old bones.

Funnell, R. (2022, 18 Jun). Soldiers’ Bones From The Battle Of Waterloo May Have Disappeared As Bags Of Fertilizer. IFLScience.

Pandey, S. (2022, 20 Jun). June 1815: Did Dead Waterloo Soldiers Become Fertilizer? Probably!. Ancient-Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply