Dalam sejarah Tamadun Mesir Purba, ada beberapa firaun yang kita kenali. Akhenaten merupakan firaun yang cuba memperkenalkan agama monotheism iaitu Aten kepada penduduk Mesir pada zamannya. Sementara Khufu pula dikaitkan dengan pembinaan Piramid di Giza. Tetapi ada satu firaun yang bukan saja melakar kegemilangan bagi tamadun berkenaan tetapi dikatakan ada kaitan dengan kisah Nabi Musa a.s dan Bani Israel. Firaun yang dimaksudkan ialah Ramses II.
Ramses II merupakan putera Seti I dan Permaisuri Tuya. Sejak dari kecil, baginda dibawa mengikut ekspedisi ketenteraan ayahandanya di Libya dan Palestin pada usia 14 tahun. Setelah mencecah usia 22 tahun, giliran Ramses II pula menjadi panglima tentera ditemani dua puteranya, Khaemweset dan Amunhirwenemef selain dinamakan sebagai pemerintah bersama dengan Seti I. Ketika itu, Mesir mempunyai hubungan tegang dengan kerajaan Hittite dan semakin lama dahagakan kuasa untuk mendominasi rantau berkenaan.
Bukanlah satu kejutan mengapa Seti I dan Ramses II menyimpan dendam terhadap kerjaan Hittite. Semasa pemerintahan Raja Suppiluliuma (1344-1322 Sebelum Masihi (BC)), kebanyakan pusat dagangan penting Mesir di Syria dan Canaan (Kanaan) jatuh ke tangan kerajaan berkenaan. Seti I berjaya merampas semula Kadesh dari penguasaan kerajaan Hittite tetapi ia tidak bertahan lama selepas ditawan semula oleh Raja Muwatalli II (1295-1272 BC). Selepas kemangkatan Seti I dan Ramses II menaiki takhta sebagai firaun yang baru, salah satu agenda baginda ialah menundukkan kekuasaan Hittite.
Pada tahun kedua pemerintahan baginda, Ramses II menewaskan satu kelompok yang dipanggil Orang Laut di luar perairan Delta Nil. Berdasarkan riwayat, kelompok ini dipanggil Sherdan dan mempunyai hubungan pakatan dengan kerajaan Hittite. Bagi mengumpan mereka, baginda meletakkan satu kontinjen tentera laut di muara Sungai Nil untuk mengumpan kapal mereka keluar. Sedang kapal-kapal perang Sherdan sibuk berperang dengan kapal perang Mesir Purba, tiba-tiba mereka diserang dari segenap penjuru. Serangan mengejut Ramses II menyebabkan banyak kapal mereka tenggelam dan mana-mana orang Sherdan yang terselamat diserap masuk ke dalam angkatan tentera baginda. Ada juga yang diserap menjadi sebahagian daripada angkatan pengawal diraja baginda.
Walaupun sibuk mengatur strategi memerangi kerajaan Hittite, Ramses II tidak melupakan soal dalaman kerajaannya. Pada satu ketika sebelum 1275 BC, baginda memulakan pembinaan ibu kotanya Per-Ramses (Rumah Ramses/House of Ramses) di timur Delta Nil berhampiran bandar lama Avaris. Per-Ramses bukan saja berperanan sebagai ibu kota pentadbirannya semasa era pemerintahan baginda tetapi juga berperanan sebagai istana hinggap dan tapak perlancaran operasi ketenteraan di wilayah-wilayah yang berjiran dengan Mesir.
Bandar tersebut dibina dengan begitu indah sehinggakan ia dikatakan dapat menyaingi kecantikan ibu kota purba Thebes. Tetapi ada sesetengah sejarawan berpandangan pembinaan Per-Ramses sebenarnya dimulakan pada era Seti I kerana ia sudah digunakan sebagai tapak operasi ketenteraan Ramses II pada tahun 1275 BC. Dan seperti dijanjikan baginda, Mesir menyerang Kanaan yang sudah berperanan sebagai ibu kota utama kerajaan Hittite. Dalam serangan tersebut, Ramses II dan angkatannya berjaya meraih sejumlah besar rampasan perang dan ramai anggota kerabat diraja Kanaan serta Hittite dijadikan tawanan perang. Tetapi baginda tidak mahu berhenti di situ saja. Selagi Kadesh belum lagi di bawah kawalan Mesir Purba, selagi itu kejayaan baginda belum sempurna.
Pada akhir tahun 1275 BC, Ramses II mempersiapkan tenteranya untuk mara ke Kadesh sambil menanti peluang sesuai untuk menyerang wilayah berkenaan. Baginda tidak mahu bersikap terburu-buru kerana sedar jika salah percaturan, angkatan baginda boleh tewas dengan kekuatan tentera Hittite. Setahun selepas itu, melihat semua perkara menyebelahi baginda, Ramses II mengetuai 20,000 tentera dari Per-Ramses dengan mereka dibahagikan kepada empat divisyen sempenan nama dewa-dewi Mesir Purba: Amun, Ra, Ptah dan Set. Baginda sendiri mengetuai Divisyen Amun dengan tentera-tentera lain mengikut dari belakang.
Perang Kadesh
Mereka bergerak selama dua bulan sebelum akhirnya tiba di satu kawasan di mana Ramses II merasa yakin untuk menyusun formasi pertempuran menyerang Kadesh dan menunggu ketibaan tiga divisyen lain. Sementara itu, dua perisik Hittite yang dihantar mengintip kekuatan baginda berjaya ditahan dan diseksa untuk mendapatkan maklumat. Selepas diseksa selama berhari-hari, mereka mendedahkan tiada tentera Hittite yang berkubu di Kadesh. Ramses II memutuskan untuk terus berkhemah dan menanti ketibaan tiga divisyen lain.
Tatkala mereka sibuk memasang khemah, saat itu juga digunakan tentera Hittite untuk menyerang ketumbukan baginda. Nyatalah dua perisik Hittite dalam tawanan mereka itu hanyalah umpan semata-mata. Akibat serangan mengejut itu, ramai tentera Mesir Purba terbunuh dengan kekuatan tentera berkuda mereka hampir musnah diserang tentera infantri Hittite. Mana-mana tentera yang terselamat berusaha mendapatkan perlindungan di khemah mereka. Sedar baginda berhadapan situasi genting, Ramses II berdoa kepada Dewa Amun dan kembali ke medan perang.
Sejarawan Margaret Bunson menceritakan kehadiran baginda memberi sedikit kelegaan dan ketenangan dalam kalangan anggota divisyennya. Dan perlahan-lahan Ramses II menyerang tentera musuh seperti mana perihal panglima tentera China Li Guang membunuh pihak musuh tatkala cuba menyertai pasukan di sebelah selatan. Dengan bantuan saki-baki anggota tentera dan beberapa pegawai, baginda menaiki kereta kuda tunggangannya dan menyerang pihak musuh dari sebelah timur bagi memberi peluang mana-mana tentera yang terperangkap melarikan diri.
Dengan situasi perang mula menyebelahi Ramses II, peluang baginda bertambah cerah apabila Divisyen Ptah tiba di medan perang. Baginda memerintahkan mereka segera mengikut baginda untuk menyerang. Serangan bertubi-tubi tentera Mesir Purba memaksa tentera Hittite berundur hingga ke Sungai Orontes di mana ramai yang terbunuh sama ada dibunuh pihak musuh atau lemas dalam cubaan menyeberanginya. Tetapi kegopohan baginda hampir memakan diri kerana itu juga menyebabkan Ramses II terperangkap antara sungai dengan orang Hittite. Jika tidak kerana Muwatalli II enggan menggerakkan saki-baki tentera yang dimilikinya memerangi tentera Mesir Purba, pasti baginda juga akan menjadi mangsa tentera Hittite. Tetapi perkara tersebut berlaku dan ini memberi peluang kepada Ramses II dan tenteranya memaksa orang Hittite berundur dari medan perang.
Perang Kadesh dianggap satu kejayaan besar bagi Mesir Purba dan baginda sendiri kerana berjaya menewaskan musuh ketat empayar berkenaan di medan perang. Tetapi perang tersebut hampir-hampir menyebabkan kematian baginda sendiri di tangan pihak musuh. Berdasarkan anekdot baginda, Ramses II melihat antara sebab baginda terselamat kerana keberaniannya dan ketenangannya semasa di medan perang serta restu dewa-dewi yang membolehkan baginda menewaskan tentera Hittite. Sementara bagi Muwatalli II pula, walaupun tewas di medan perang, baginda juga dianggap pemenang kerana tidak kehilangan kota Kadesh.
Selepas perang berkenaan, Ramses II memeterai perjanjian damai pertama di dunia dengan pengganti Muwatalli II, Hattusili III (mangkat pada 1237 BC). Selepas perang, baginda mendedikasikan hidupnya menambahbaik infrastruktur Mesir, mengukuhkan sempadan dan meluluskan pelbagai projek yang memperingai kejayaannya pada tahun 1274 BC dan pelbagai pencapaian baginda yang lain.
Permaisuri Nefertari
Jika ada yang pernah berkunjung ke Mesir, pasti anda perasan kebanyakan monumen Mesir Purba pernah dibina semasa era Ramses II. Antara binaan yang dibina pada era firaun itu ialah Kompleks Makam Ramesseum di Thebes, Kuil Abu Simbel dan Patung Ramses II di Memphis. Ramai sejarawan dan pakar seni menyifatkan era baginda sebagai kemuncak kebudayaan dan kesenian Mesir Purba. Salah satu contoh dalam aspek ini ialah Makam Permaisuri Nefertari di Lembah Ratu-Ratu.
Jika ada yang perasan juga, kebanyakan gambaran berkenaan Nefertari muncul di dinding-dinding kuil atau dalam bentuk patung. Tetapi tidak ramai tahu baginda mangkat pada tahun-tahun awal perkahwinan mereka (berkemungkinan mati semasa melahirkan anak). Walaupun makam Nefertari dirompak oleh perompak-perompak makam, kesan-kesan kesenian dan kebudayaan pada makam masih terpelihara dengan baik.
Selepas kemangkatan Nefertari, kedudukan baginda digantikan oleh isteri kedua Ramses II, Isetnefret dan seterusnya menjadi milik anak-anak perempuan baginda selepas kemangkatannya. Seperti mana cinta Shah Jahan kepada Mumtaz Mahal, cinta baginda terhadap permaisurinya itu terus kekal bertahan walaupun selepas berkahwin dengan wanita lain dan mempunyai cahaya mata yang ramai. Jika tidak, mengapa baginda tetap mahukan imej Nefertari pada dinding kuil atau dalam bentuk patung. Malah, Ramses II juga melayan putera-puteri baginda dengan adil dan baik walaupun mempunyai bonda berbeza-beza.
Ramses II dan Nabi Musa a.s
Sebut pasal ini, ia sebenarnya sudah mencetuskan perbalahan bukan saja dalam kalangan ahli teologi tetapi juga dalam kalangan sejarawan dan pengkaji Mesir Purba. Kalau ikutkan, nama baginda amat popular dikaitkan dengan kisah Nabi Musa a.s dalam Al-Quran atau dalam Book of Exodus. Kaitan baginda dengan kisah ini dimulakan menerusi filem The Tenth Commandments pada tahun 1956 dan diteruskan sejak itu hinggalah filem arahan Sir Ridley Scott, Exodus: Gods and Kings (2014). Filem tersebut menampilkan Joel Edgerton yang memegang peranan sebagai Ramses II.
Tetapi ini yang menjadi perdebatan para cendekiawan: dakwaan ini tidak disokong oleh fakta sejarah. Memang benar nama Per-Ramses ada disebut dalam Book of Exodus atau lebih ayat 1:11 dan 12:37 dan Book of Numbers (ayat 33:3 dan 33:5) tetapi ia sebenarnya sebahagian daripada kota-kota yang dikatakan dibina Bani Israel dan tempat mereka keluar dari Mesir. Tiada bukti menunjukkan penghijrahan beramai-ramai itu berlaku di kota-kota yang dinyatakan dan tiada bukti yang menunjukkan Per-Ramses dibina dari tangan-tangan hamba Bani Israel.
Ini berdasarkan pelbagai penemuan dari pelbagai tapak arkeologi di Mesir terutama di Giza menunjukkan kebanyakan projek monumen sudah disiapkan semasa era Ramses II. Dan kebanyakan projek ini turut menggunakan buruh mahir dan tidak mahir sama ada dibayar gaji atau menawarkan diri sebagai sebahagian daripada tugas sivil mereka. Adat orang Mesir menawarkan diri bekerja untuk projek-projek raja mereka banyak direkodkan dalam sejarah. Sehinggakan di alam akhirat, roh-roh akan dipanggil bekerja oleh Osiris, Dewa Kematian untuk projek-projek pembinaan yang dimahukannya. Amalan meletak patung-patung shabti di makam-makam dan kubur-kubur orang yang telah tiada memenuhi tujuan ini: patung-patung ini mengambil tempat orang yang mati semasa bekerja di projek-projek monumen.
Selain itu, Ramses juga terkenal kerana suka merekodkan sejarah pencapaiannya dan suka mengubahsuai sejarah sekiranya ia tidak bertepatan dengan naratif yang dikehendakinya. Mustahil bagi seorang firaun berlaku cuai dalam merekodkan sejarah sama ada mengikut naratifnya atau tidak berkenaan wabak yang melanda Mesir atau penghijrahan beramai-ramai Bani Israel keluar dari Mesir. Selain dari keterangan Ramses, orang Mesir Purba juga dikatakan menyimpan rekod bertulis yang panjang dan rekod mereka langsung tidak menunjukkan populasi besar golongan hamba Bani Israel atau penghijrahan keluar mereka dari Mesir.
Bagaimanapun, itu tidak menghalang ramai mengadakan teori masing-masing berkenaan siapa Firaun yang dimaksudkan dalam Al-Quran. Dalam kalangan ahli The Patriots sendiri, kami berbeza pandangan tentang Firaun yang mengejar Nabi Musa a.s dan Bani Israel di Laut Merah. Admin HE misalnya melihat Ramses II sebagai calon yang tepat bagi ciri Firaun yang dinyatakan dalam Al-Quran. Antara bukti yang digunakan beliau ialah lambakan batu-batu bersurat yang mendakwa Ramses II sebagai Tuhan dan penemuan garam dalam mumianya oleh pasukan saintis diketuai Dr Maurice Bucaille.
Sementara admin Ahmad Faezal pula berpandangan ada beberapa Firaun yang muncul semasa hayat Nabi Musa a.s. Beliau berpandangan Firaun yang mengejar baginda dan Bani Israel hingga ke Laut Merah ialah Thutmose III. Sementara Firaun yang hidup ketika baginda berhijrah dari Mesir ke Madyan ialah ayahanda Thutmose III, Thutmose II dengan Hatshepsut (berkemungkinan Asiah) bertanggungjawab menjadikan baginda sebagai anak angkat dan dipelihara di istana. Sementara Firaun yang bertanggungjawab mengeluarkan perintah bunuh anak-anak Bani Israel (selepas mendapat mimpi dan kelahiran Nabi Musa a.s) ialah Amenhotep I atau Thutmose I, jika proses penghijrahan berlaku ketika baginda sudah menjangkau usia tua.
Sebut pasal mumia Ramses II…
Mumia dan pasport
Mumia Ramses II ditemui para pengkaji Mesir Purba pada tahun 1881 dalam makam seorang pendeta bernama Pinedjem II yang hidup 400 tahun selepas pemerintahan baginda. Mumia tersebut dipindahkan dari lokasi asal makam baginda di Lembah Raja-Raja ke makam berkenaan selepas makam asal baginda dirompak oleh perompak kubur. Tidak mahu insiden berkenaan berulang, pendeta-pendeta memutuskan untuk memindahkan mumia baginda ke situ untuk mengelak ia dicuri atau dirosakkan.
Semasa ditemui, mumia Ramses II masih lagi dalam keadaan baik dan ini memudahkan para pengkaji mengenalpasti mumia baginda berdasarkan ciri muka pada patung baginda. Selepas itu, ia dipindahkan ke Muzium Mesir di Kaherah untuk tujuan kajian dan pameran. Tetapi selepas beberapa lama, akibat beberapa faktor termasuk kelembapan, keadaan mumia sudah mula merosot. Pada tahun 1970-an, mumia tersebut mula diserang bakteria dan menanti masa saja untuk reput. Ini mendorong pihak berkuasa Mesir berusaha mendapatkan pakar-pakar terkemuka untuk memulihara mumia berkenaan. Hanya satu tempat saja yang boleh melakukannya: Perancis.
Tetapi sebelum ia boleh dibawa ke Perancis, mumia tersebut perlu mempunyai dokumen pengenalan diri. Ini berdasarkan undang-undang Perancis yang menetapkan semua individu tanpa mengira hidup atau mati perlu mempunyai dokumen pengenalan diri untuk memasuki Perancis. Ini memaksa Kaherah mengeluarkan satu pasport khas di bawah nama Ramses II dengan bahagian pekerjaan dinyatakan sebagai raja. Apabila mumia tersebut tiba di Paris, ia disambut dengan adat istiadat tentera dan diberi penghormatan penuh ketenteraan. Ini juga berdasarkan satu lagi undang-undang yang menyatakan mana-mana raja sama ada hidup atau mati yang memasuki Perancis atas urusan rasmi layak diberi sambutan berkenaan. Ini menjadikan Ramses II Firaun pertama yang bukan saja memegang pasport rasmi Mesir, bahkan Firaun pertama mendapat penghormatan penuh tentera di Perancis.
Dan selepas dikaji dan dipulihara sebaik mungkin, mumia tersebut dikembalikan ke Muzium Mesir di Kaherah. Dan selepas ia dipulang, mumia Ramses II diperiksa sendiri oleh Presiden Anwar Sadat dan isterinya Jehan Sadat. Mereka mahu memastikan mumia berkenaan benar-benar dipelihara dan dipulihara seperti dijanjikan pihak Perancis dan benar-benar berpuas hati dengan proses yang dijalankan mereka.
SUMBER
- Mark, Joshua J. (2009). Ancient.eu. Ramesses II. https://www.ancient.eu/Ramesses_II/
- Valjak, Domagoj. (2018). The Vintage News. In 1974, the legendary pharaoh Ramesses II was issued a valid Egyptian passport so that his 3,000-year-old mummy could be flown to Paris for necessary repair. https://www.thevintagenews.com/2018/01/16/ramesses-ii-passport/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih