Perkataan arkeologi berasal daripada gabungan dua buah perkataan Yunani, iaitu archaios (bermaksud purba atau tua) dan logos (bermaksud ilmu atau teori) yang secara umumnya boleh difahami sebagai lapangan ilmu yang menyelidiki tinggalan-tinggalan manusia dari zaman dahulu. Pada hari ini, arkeologi dikelaskan sebagai salah satu daripada empat sub-lapangan antropologi, di samping antropologi budaya, antropologi biologi dan antropologi linguistik.

Walaupun arkeologi menyentuh tentang tinggalan sejarah termasuklah dari zaman purba, akan tetapi penggunaan istilah arkeologi hanya mula digunakan pada awal kurun ke-17. Memasuki kurun ke-18, minat terhadap bidang ini semakin bertambah dan pencetus yang paling utama adalah serangan Napoleon Bonaparte ke atas Mesir sekitar tahun 1798.

Penemuan makam Firaun Tutankhamen pada tahun 1992 dan juga penemuan Makam-Makam Diraja Ur pada tahun 1926 menjadi titik kemuncak yang memasyhurkan lapangan ini. Semenjak itu, bumi Timur Dekat dan Mediterrean terutamanya menjadi tumpuan kunjungan arkeologis dari Eropah.

Walau bagaimanapun, menelusuri sejarah perkembangan ilmu arkeologi ini pasti akan menimbulkan persoalan, “Siapakah ahli arkeologi pertama dunia?”

Menurut catatan sejarah, misalnya Lembaran Laut Mati (The Dead Sea Scrolls), penggalian arkeologi pertama yang direkodkan adalah dilakukan oleh Nabonidus, raja agung terakhir merangkap ayahanda kepada raja terakhir Empayar Neo-Babylonia. Pemerintahannya berlangsung daripada tahun 555 hingga 539SM. Baginda menaiki takhta setelah menggantikan raja Babylonia yang memerintah pada usia kanak-kanak, iaitu Labashi-Marduk yang mati dibunuh selepas hanya 9 bulan memerintah.

Sebahagian sejarawan menuding Nabonidus sebagai antara individu yang bertanggungjawab atas pembunuhan tersebut. Namun apa pun jua keadaannya, Nabonidus ditabalkan sebagai raja tidak lama selepas kemangkatan Labashi-Marduk. Nabonidus dipercayai memiliki latar belakang agak kehormat, walau mungkin bukan kerabat. Bapanya bernama Naba-balatsu-iqbi manakala ibunya pula adalah seorang paderi wanita yang berkhidmat di kuil Sin, dewa bulan yang terletak di Harran.

Berikutan Nabonidus sering mengaitkan dirinya dengan Ashurbanipal, iaitu raja agung terakhir Neo-Assyria, hal ini seolah-olah mengisyaratkan bahawa baginda mempunyai asal-usul daripada Assyria. Tambahan pula kecenderungannya terhadap Harran, kota penting Assyria menguatkan lagi dakwaan ini. Apa yang pasti, baginda tidak berasal daripada dinasti memerintah Babylon yang sama seperti Labashi-Marduk, iaitu Dinasti Chaldean.

Tablet yang mengandungi Hikayat Nabonidus

Nabonidus dikenali sebagai seorang pemerintah Neo-Babylonia yang revisionist. Pun begitu, baginda masih tetap menghormati tradisi-tradisi lama seperti upacara rasmi, ritual keagamaan dan bahkan dicatatkan pernah membaiki kuil-kuil dewa. Sememangnya, baginda menghormati dewa-dewa yang dipuja para rakyatnya, walaupun Nabonidus sendiri cenderung taat kepada dewa Sin yang mana hal ini mencetuskan kritikan golongan paderi di kuil Dewa Marduk, dewa pelindung Babylon.

Selain menonjol dengan ketaatannya yang tinggi kepada dewa bulan, antara ciri lain yang memasyhurkan Nabonidus adalah sifatnya yang kurang berminat dengan urusan politik atau pentadbiran Babylon. Baginda lebih cenderung mengembara dan mengkaji bangunan, kuil atau barangan antik yang terdapat di dalam mahupun di luar empayarnya. Atas sebab itulah namanya diabadikan sebagai arkeologis pertama dunia.

Pun begitu, episod hidupnya sebagai seorang arkeologis tidak dirincikan dengan panjang oleh sejarah. Setelah melancarkan kempen ketenteraan di Edom dan Cilicia yang berakhir dengan kejayaan, Nabonidus meninggalkan Babylon dan menetap di oasis Tayma selama hampir 10 tahun, iaitu dari tahun 553 hingga 543SM. Sepanjang tempoh itu, putera baginda yang bernama Belshazzar memangku pemerintahan empayar.

Faktor yang mendorong Nabonidus untuk menetap di Tayma dan sekali-sekala singgah di Harran tidak disepakati secara jelas oleh ilmuwan. Berdasarkan Lembaran Laut Mati, Nabonidus dicatatkan menghidap penyakit ulser, atau gila dalam sumber lain. Penyakitnya ini mendorong baginda untuk menarik diri dari kerusi takhta dan membawa diri ke Tayma untuk menjalani rawatan di tangan seorang dukun Yahudi. Pendapat kedua pula menyebutkan bahawa baginda meninggalkan Babylon kerana berasa tidak senang dengan kultus utama yang dianuti penduduk kota itu, iaitu pemujaan Marduk. Sebagai seorang yang setia terhadap dewa Sin si Dewa Bulan, hal ini menimbulkan ketidakselesaan buat Nabonidus.

Tapak asas kuil binaan Naram-sin yang ditemui oleh Nabonidus

Walau bagaimanapun, sepanjang keberadaannya di Tayma, Nabonidus menemukan beberapa buah artifak sekaligus meraihkannya gelaran sebagai arkeologis pertama dunia. Antara artifak yang baginda temui adalah kuil-kuil Dewa Samas dan Dewi Anunitu (di Sappar) serta kuil yang dibina oleh Naram-sin khusus buat Dewa Sin di Harran. Lebih daripada itu, baginda turut memelihara artifak-artifak berkenaan di samping memperindahkan lagi Tayma.

Selain menjadi insan pertama yang membuat penemuan arkeologi, Nabonidus juga menjadi yang pertama melakukan pentarikhan ke atas artifak apabila baginda menganggarkan usia kuil binaan Naram-sin itu. Walaupun anggarannya tersasar sebanyak 1500 tahun, ia masih dianggap satu cubaan yang mengagumkan kerana ketiadaan teknologi pada masa itu.

Akan tetapi, minat peribadinya terhadap arkeologi membawa musibah buat Empayar Neo-Babylonia. Lembaran Aramia ada mencatatkan, “mene, mene, tekel, parsin,” yang secara harfiahnya membawa maksud, “pengakhiran, beban, perpecahan.” Seorang ilmuwan Ibrani menafsirkannya sebagai, “Empayar telah menemui pengakhiran. Rakyatnya telah dibebankan (dengan kesusahan) dan kerajaan akan mengalami perpecahan.”

Ketika Nabonidus sibuk berada di Tayma, Cyrus dari Empayar Achaemenid di Parsi memberangkatkan bala tenteranya menggempur Neo-Babylonia yang ketika itu dipangku oleh Belshazzar. Tatkala mendengar khabar tersebut, Nabonidus pun segera bergegas pulang ke ibu kota dan mengambil-alih pentadbiran. Sebelum mengetuai pasukan tentera untuk berhadapan dengan Cyrus, baginda terlebih dahulu mengarahkan agar patung-patung dewa di pelbagai kuil dipindahkan ke Babylon bersama paderi-paderi yang menjaganya. Hal ini demi melindungi keselamatan mereka daripada tentera Cyrus.

Walau bagaimanapun, ketika Cyrus memasuki Babylon, antara tindakan pertama yang dilakukan olehnya adalah memberi sembah hormat kepada Dewa Marduk dan mempamerkan sokongan terhadap kultus tempatan dengan memulangkan patung-patung serta paderi-paderi tersebut ke tempat asalnya. Penaklukan ini menandakan pengakhiran bagi Empayar Neo-Babylonia, dan berkuasanya Achaemenid ke atas rantau berkenaan. Pun begitu, nyawa Nabonidus dibelas-kasihani oleh Cyrus dan dalam catatan Berossus, baginda dibenarkan untuk terus hidup di Carmania.

Nama Nabonidus terus dikenang oleh sejarah baik sebagai pemerintah terakhir Neo-Babylonia mahupun arkeologis pertama dunia.

Cyrus memasuki Babylon

RUJUKAN

K. Kris Hirst. (3 Julai 2019). The History of Archaeology Part 1 – The First Archaeologists. ThoughtCo.
https://www.thoughtco.com/the-first-archaeologists-167134

Grahame Johnston. (28 Ogos 2019). Nabonidus, Last Great King of Babylon. Archaeology Expert.
http://www.archaeologyexpert.co.uk/nabodinus.html

April Holloway. (20 Ogos 2014). The Lost Years of Nabonidus, Last King of the Neo-Babylonian Empire. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/unexplained-phenomena/lost-years-nabonidus-last-king-neo-babylonian-empire-001992

Nabonidus. New World Enyclopedia.
https://www.newworldencyclopedia.org/entry/Nabonidus


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.