Tepat pada tahun 2334 Sebelum Masehi, Raja Sargon mengasaskan salah sebuah empayar paling hebat dalam sejarah dunia. Datang dari latar-belakang yang biasa-biasa sahaja, beliau membawa Zaman Keemasan buat Mesopotamia. Hikayat dan legenda menukilkan kisah bagaimana pemimpin yang gagah perkasa ini menakluk wilayah-wilayah di selatan Mesopotamia, Syria, Anatolia dan Elam (Iran barat). Kemudian, beliau melakukan usaha-usaha yang pelbagai supaya empayarnya itu dapat mentadbir dengan lancar.

Patung kepala gangsa seorang raja dari dinasti Akkadia Lama, sama ada Naram-sin atau Sargon. Ditemukan di Nineveh (kini Iraq)


Nama Sargon dikatakan merupakan terjemahan Bible bagi nama yang berasal dari bahasa Akkadia, iaitu ‘Sarru-kinu’. Nama ini boleh diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai ‘Raja Sebenar’. Dicatatkan bahawa masa pemerintahan Sargon bermula dari tahun 2334 hingga 2279 Sebelum Masehi.

PENGEMBARAAN BAYI DI DALAM BAKUL YANG MEREDAHI SUNGAI – SIAPAKAH SARGON?

Tidak banyak maklumat yang dipunyai tentang kehidupan sebenar Sargon. Kebanyakan kisah berkenaan beliau hadir dalam berupa cebisan-cebisan legenda yang dicantumkan. Misalnya, legenda beliau ketika masih bayi amat mirip dengan kisah Nabi Musa terutama apabila beliau dimasukkan ke dalam bakul lalu dihanyutkan ke sungai. Jika Nabi Musa dihanyutkan di Sungai Nil, Sargon pula dihanyutkan di Sungai Furat.

Identiti bapa kandung Sargon masih kekal misteri dalam kalangan sejarahwan. Ibunya pula dipercayai seorang paderi kuil atu mungkin pengkhidmat suci Dewi Ishtar. Apapun, insan yang bakal menjadi pengasas Empayar Akkadia ini ditemui oleh seorang petani yang berkhidmat untuk Ur-Zababa, raja wilayah Kish.

“Legenda Sargon (Dewi Ishtar muncul di hadapan Sargon, si pemuda pekebun)”, oleh Edwin J. Prittie


Berikut adalah apa yang dituliskan oleh Sargon dalam autobiografinya:

“Sargon si raja perkasa, raja Agade, itulah aku
Ibuku adalah manusia yang ditukar, sementara bapaku tidak pula aku ketahui.
Saudara kepada ayahku amat mengasihi bukit-bukau.
Sementara kotaku adalah Azupiranu yang terletak di tebing Furat.

Ibuku mengandungkanku dan melahirkanku secara rahsia.
Dia meletakkan daku ke dalam sebuah raga secara tergesa-gesa, dan menutup mulut raga itu dengan minyak tar.
Lalu, aku dihanyutkan ke sungai yang airnya sama sekali tidak menyimbahi tubuhku.
Furat membawaku kepada Akki, seorang penarik air.

Akki si penarik air mengangkatku keluar semasa dia sedang mendapatkan bekalan air.
Akki si penarik air menjadikan aku sebagai anak angkatnya dan mengasuhku.
Akki si penarik air kemudian menjadikan aku sebagai pengusaha tanamannya.
Ketika aku masih merupakan seorang petani, Ishtar mengurniakanku dengan kasihnya…”

Sargon kemudiannya berkhidmat sebagai pembawa cawan untuk Ur-Zababa. Atas sebab-sebab yang tidak diketahui, Ur-Zababa berasa terancam dengan Sargon dan berusaha untuk menghapuskannya. Beliau menemukan jalan terbaik untuk melaksanakan niat jahat itu apabila Lugal-zage-si, raja Sumeria dari Umma, datang bersama bala tenteranya untuk menakluk wilayah Kish.

Ur-Zababa mengutus Sargon untuk menyampaikan tablet tanah liat kepada Lugal-zage-si, kononnya tablet itu membawa pesanan yang memohon perdamaian. Namun tanpa beliau ketahui, tablet tersebut sebenarnya mengandungi pesanan yang meminta Lugal-zage-si agar membunuh Sargon. Walau bagaimanapun, helah tersebut gagal. Lugal-zage-si sebaliknya meminta Sargon agar menyertai beliau dalam kempen ketenteraannya memerangi Kish.

Sargon menghantar tablet tanah liat kepada raja Uruk


Untuk menambahkan lagi kehinaan yang dialami oleh Lugal-zage-si, Sargon mengikat leher musuhnya itu lalu mengusungnya ke Nippur. Di sana, beliau memaksa Lugal-zage-si agar melakukan perbuatan yang menghina dirinya sendiri di samping memalukan dewa pelindung Uruk, iaitu Enlil dengan sengaja mara memasuki kota itu melalui gerbang Enlil. Dewa pelindung Sargon adalah Ishtar.

Justeru, tindakan beliau ini juga membawa maksud pengisytiharan kuasa dewinya itu.Lantas, mereka pun berganding bahu dalam menakluk Kish dan menggulingkan Ur-Zababa. Pun begitu, tidak lama kemudian, kedua insan itu bertelagah dan menjadi seteru antara satu sama lain. Sebaagian versi penceritaan menyebutkan bahawa Sargon menjalinkan hubungan sulit dengan isteri Lugal-zage-si. Dalam perseteruan itu, Sargon berjaya menakluk Uruk dari tangan Lugal-zage-si dan raja itu ditewaskan dalam pertempuran yang berlaku di Kish.

Sargon menakluk Uruk dan Kish menerusi cara yang belum lagi dapat dikenal pasti

Sebahagian besar wilayah Sumer (selatan Mesopotamia) berada di bawah kekuasaan negara-kota Uruk. Justeru, kekalahan Lugal-zage-si ini bermaksud bahawa Sargon kini menjadi pemerintah baharu bagi wilayah berkenaan. Dari wilayah tersebut, beliau dengan mudah boleh melancarkan kempen ketenteraan dan memperluaskan sempadan empayarnya. Namun, peperangan bukanlah satu-satunya perkara yang memenuhi ruang minda Sargon. Beliau turut menumpahkan perhatian untuk mentadbir dan menyelenggara wilayah kekuasaannya.

EMPAYAR YANG DITADBIR SECARA EFISIEN DAN BERKEMBANG DENGAN PESAT

Untuk tujuan itu, antara perkara yang beliau lakukan adalah menubuhkan birokrasi yang efisien, di mana sejumlah pegawai kepercayaannya diletakkan di setiap kota Sumeria untuk memerintah di bawah namanya.

Dalam pada itu, Sargon tetap jua meneruskan usaha untuk memperluaskan empayarnya. Di sebelah timur, Sargon memerangi dan menewaskan Elamites yang menghuni bahagian barat dan barat daya Iran. Di sebelah barat pula, Sargon menakluk sebahagian Syria dan Anatolia.

Sargon Yang Agung


Catatan tentang kempen ketenteraannya ini ditulis sendiri oleh Sargon:
Menerusi teks yang dikenali sebagai Epik Raja Peperangan, kita berupaya memperoleh maklumat berkenaan kempen ketenteraan Sargon di Anatolia yang dilancarkan atas permintaan para pedagangnya yang bergiat di sana, di mana mereka ini meminta agar Sargon melindungi mereka dari raja wilayah Purshahanda (lokasinya belum dikenal pasti). Teks itu juga turut menyebutkan bahawa Sargon sempat merentasi Laut Mediterranean dan tiba di Cyprus.

“Pada usiaku yang ke-55, kesemua wilayah bangun menentangku dan mereka mengepungku di Agade. Namun, singa tua ini masih mempunyai taring dan cakar. Aku berangkat untuk memerangi dan menewaskan mereka. Aku tumbangkan mereka dan hancurkan ketumbukan mereka. Kini, mana-mana raja yang mahu menggelar dirinya setara denganku, biarkan sahaja dia pergi!”

LEGASI YANG MEMASYHURKAN SARGON

Salah satu kesan susulan daripada penaklukan-penaklukan yang dilakukan oleh Sargon adalah terbangunnya aktiviti perdagangan dengan lebih rancak. Sargon menguasai hutan-hutan cedar di Lebanon dan lombong-lombong perak di Anatolia, di mana wilayah-wilayah ini membekalkan bahan-bahan mentah yang bernilai tinggi kepadanya. Barangan ini kemudiannya didagangkan ke Tamadun Lembah Indus serta tamadun-tamadun yang terdapat di Oman dan Teluk (Teluk Parsi).

Namun, itu bukanlah satu-satunya legasi yang ditinggalkan oleh Sargon. Raja agung ini juga dikenang sebagai seorang pemerintah yang mewujudkan sebuah masyarakat yang di dalamnya, golongan lemah dilindungi. Legenda menceritakan bahawa di zaman pemerintahannya, tidak seorang pun rakyatnya mengemis. Balu-balu dan anak-anak yatim kesemuanya terbela nasib mereka.

Walau bagaimanapun, pemberontakan merupakan perkara yang lazim berlaku semasa pemerintahan Sargon. Pun begitu, sepertimana beliau sendiri tulis, musuh-musuhnya itu hanya ditakdirkan untuk berhadapan dengan ‘singa yang bertaring dan bercakar gagah’. Sargon Yang Agung memiliki latar belakang yang biasa-biasa sahaja. Beliau menaiki puncak kuasa bukanlah semata-mata untuk menyelamatkan rakyatnya. Namun, empayarnya tetap jua dianggap sebagai Zaman Keemasan.

Sargon dicatatkan mangkat atas faktor sakit tua dan kedudukannya diwarisi oleh putera beliau yang bernama Rimush. Empayar yang beliau tubuhkan ini berkuasa selama seabad setengah. Kekuasaan Akkadia berakhir apabila ia digantikan oleh Dinasti Gutian dari Sumer pada kurun ke-22SM.

Gambaran moden Sargon berbicara dengan salah seorang rakyatnya

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (2 Mac 2019). Sargon of Akkad: Famliar and Legendary Tales of a Famous Mesopotamian King. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/sargon-akkad-0010542


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.