Walau apapun yang bakal terjadi nanti, sumpah taat setia Rakyat adalah tetap kepada Raja. Bukan kepada mana-mana ahli politik atau partinya. Negara ini ada Tuan Rajanya. Kita Rakyat bernaung dibawah Payung Raja. Kita ini Rakyat Raja. RAJA itu Ketua Negara.

Demokrasi mengangkat tinggi seorang Rakyat sehingga bergelar Perdana Menteri, tetapi beliau hanyalah sebagai Ketua KeRAJAan. RAJA itu kata akar, keRAJAan itu kata terbitannya. Tiada akar, tiadalah terbitan itu. Perdana Menteri hanya tukang urus kepada Negara empunya Tuannya. Hanya sebagai Badan Pelaksana (Eksekutif).

Diangkat untuk mewakili rakyat dalam Parlimen hanya sebagai Badan Perundangan (Legislatif). Namun perlu dipersembahkan dahulu pada empunya Negara, kerana Baginda yang Berdaulat.

Rakyat memilih wakil rakyat ke Parlimen Dewan Rakyat (Legislatif), kemudian wakil-wakil itu membentuk Kerajaan dengan Kabinet Jemaah Menteri mereka (Eksekutif). Maka barulah Raja memberi mandat kepada mereka. Tiada sah perlantikan mereka selagi mereka tidak mengangkat sumpah dihadapan Raja. Walau terpaksa menunggu hari esok.

Kerana Badan-Badan ini bernaung di bawah kekuasaan Raja. Raja lah yang memiliki kuasa, namun dibahagikan sebahagian kuasa kepada badan-badan ini sebagai tukang urus untuk semak dan imbang. Inilah prinsip Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen.

Raja adalah Ketua Agama, Ketua Adat Istiadat Melayu, Ketua Turus Angkatan Tentera, Ketua Hakim.

Raja ialah Pemerintah Utama negara ini, bukannya Perdana Menteri. Dalam konsep pemerintahan Islam, Raja adalah Amirul Mukminin. Raja adalah Ulil Amri. Raja adalah Mulk. Kepada Bagindalah doa khutbah Jumaat diaminkan. Raja pada zaman dahulu adalah wakil Khalifah. Perdana Menteri hanyalah seorang Wazir. Perdana Menteri hanyalah Penasihat kepada sang Raja.

Walau secara zahir seolah-olah Raja dibayangi Perdana Menteri, tapi ketahuilah itu semua kerana Raja menghormati Persepakatan Raja-Rakyat dalam Perlembagaan. Kalau Rakyat mula melanggar persepakatan ini, Raja jua boleh membalasnya. Renung semula Perjanjian Sang Sapurba dengan Lemang Lebar Daun. Duli Tuanku adalah Yang Di-PerTuan dalam negara ini.

Berkuasa Rakyat hari ini adalah kerana Raja dengan segala kebesarannya telah menitiskan sedikit kuasanya kepada Rakyat. Pengurniaan Cokmar Regalia DiRaja dalam Dewan Parlimen adalah simbolik titisan kuasa Tuanku.

Cokmar adalah sebuah alat kebesaran utama Parlimen kerana Cokmar adalah tongkat yang melambangkan keagungan dan kuasa Raja. Penggunaan Cokmar menambahkan lagi kehormatan Dewan Rakyat. Sebelum Dewan Rakyat dirasmikan persidangannya, tiada sah jika tidak diletakkan dahulu Cokmar ini. Ibarat Dewan tiada kuasa.

Walaupun Baginda tiada dalam Parlimen, namun Cokmar itu wakil saksinya sebagai tanda sebahagian kuasa telah diamanahkan kepada Rakyat bagi mengurus kerajaan Negara Tuanku. Baginda hanya “pinjamkan” tongkat kuasanya pada Dewan Rakyat, bila-bila masa sahaja tingkat kuasa itu boleh diambil semula kerana ianya adalah hak milik baginda.

Sesungguhnya, Raja adalah pemimpin tertinggi dalam Tanah Air kita, lebih tinggi daripada Perdana Menteri. Dewan Rakyat hanya dipinjamkan Cokmar. Regalia lain seperti Keris Panjang-Pendek, Pedang & Sundang, Tombak, Payung Emas, Cogan Alam, Cogan Agama, Pending, Persalinan Muskat, bahkan Tengkolok, Kursy-Arasy (Takhta & Istana/Singgahsana) sang Raja tidak mereka perolehi. Bahkan tiada iringan Nobat untuk Wakil Rakyat melainkan untuk Tuan Raja sahaja.

Ingatlah sebaik mungkin, walau apa jua yang bakal terjadi nanti, walau perang, walau rusuhan, walau darurat, walau genjatan, walau Kerajaan digantung, walau Ahli Politik semua ditarik kuasa mereka, sumpah taat kesetiaan Rakyat hanya pada RAJA dan NEGARA.

#YangManaFaham_Faham


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

IBN JAWI merupakan penuntut bidang Engineering di sebuah universiti. Beliau juga giat dalam pengajian Turath Islami secara Talaqqi Sanad bagi mengimbangi aspek duniawi dan ukhrawi. Beliau yang meminati topik Falsafah, Sejarah dan Politik merangka usaha kebangkitan ummah melalui Kalam & Qalam. Walaupun memiliki aliran pemikiran tersendiri, namun beliau terbuka untuk bertukar pandangan dengan mana-mana aliran pemikiran agar dapat memahami cara berfikir kelompok berlainan.

Comments are closed.