MALAYSIA merupakan salah satu negara daripada 10 buah negara Asia Tenggara yang masih mengekalkan sistem beraja yang merangkumi perlembagaan dan bersifat istiadat. Tiga negara lain adalah Thailand, Brunei dan Kemboja. Tanah Melayu pada mulanya dicadangkan penubuhan Malayan Union menghapuskan sistem beraja namun mendapat tentangan hebat orang Melayu dan ancaman komunis.
Britain akhirnya terpaksa akur dan menubuhkan sistem Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berpalimen. Semasa penubuhan Malaysia, sistem Beraja ini diterima oleh semua lapisan masyarakat. Yang Dipertuan Agong mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Singapura pada ketika itu.
Setiap negara di dunia ini tidak terlepas dari sistem politik. PADA 16 Jun 2015, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang juga Yang DiPertuan Agong yang kesembilan bertitah bahawa Raja-raja Melayu tidak berpegang pada sebarang fahaman politik kepartian dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan negara. Baginda bertitah lagi, Raja-raja Melayu dan Yang di-pertua Negeri adalah bersifat berkecuali dalam kedua-dua urusan itu.
Perkara ini tentu saja menarik untuk difahami dan diteliti dengan lebih lanjut. Apakah benar sistem pemerintahan beraja yang merupakan sistem pemerintahan tertua serta berada di lapisan tertinggi dalam struktur sosial masyarakat Melayu tradisional itu benar-benar bebas dari sebarang campur tangan politik?
Sejarah yang telah tertulis tidak akan boleh diubah semula. Hanya boleh dijadikan panduan dan iktibar pada mereka yang mengambil pengajaran. Memetik kata-kata seorang penulis dan penyair English, George Santayana, “Mereka yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula.”
Sejarah telah pun membuktikan. Pada 1 April 1988, rakyat telah mendapat tahu tentang wujudnya perselisihan di antara Istana Kelantan dengan Datuk Mohammed Yaakub, Menteri Besar negeri itu. Puncanya kerana pihak Istana dikatakan tidak sebulu dengan pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohammed.
Pokok tidak akan bergoyang sekiranya tiada angin. Begitu juga dengan khabar angin. Mengapa disebut sebagai khabar angin? Kerana sifat angin itu sendiri yang pada satu masa boleh bertiup sepoi-sepoi bahasa, dan pada lain waktunya, boleh mengganas serta memusnahkan harta benda malah boleh sampai tahap meragut nyawa. Khabar angin juga sifatnya boleh menjadi fitnah dan disampaikan dari satu mulut ke mulut yang lain. Dan hal yang dipanjang-panjangkan itu tentunya ditokok tambah dan mempunyai pelbagai versi.
Politik Istana Kelantan dengan kerajaan pada ketika itu dikatakan telah dimainkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Sultan Kelantan. Sultan Ismail Petra. Permaisuri Sultan Kelantan itu adalah anak saudara Tengku Razaleigh Hamzah atau nama panggilannya Ku Li.
Pihak Istana Kelantan pada waktu itu tentunya sedar. Menurut perkara 38(6) Perlembagaan Persekutuan, anggota Majlis Raja-Raja boleh bertindak menurut budi bicara mereka dalam apa-apa prosiding yang berhubungan dengan fungsi berikut antaranya, “Memberikan nasihat mengenai apa-apa pelantikan.”
Rakyat Perak yang sedar dengan sejarah politik negeri tentunya tidak akan pernah lupa bagaimana Almarhum Baginda Sultan Perak menunjukkan protes supaya Menteri Besar ketika itu, Allahyarham Tan Sri Ghazali Jawi yang memegang dua kali jawatan Menteri Besar buat pertama kali pada tahun 1957 sehingga 1960, dan kali kedua bermula pada tahun 1974 sehingga 1977 itu dipecat dari jawatannya.
Almarhum juga memprotes sambil mengeluarkan kenyataan bahawa baginda tidak akan bercukur selagi Allahyarham Tan Sri Ghazali masih memegang jawatan Menteri Besar. Tun Dr Mahathir telah gagal dalam menyelesaikan masalah tersebut apabila akhirnya, Allahyarham Dato Seri Wan Mohamed bin Wan teh dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang ketujuh.
Selesai perlantikan tersebut, barulah Almarhum Baginda Sultan Idris Al-Mutawakkil Alallahi Shah II, Sultan Perak ke 33 yang memerintah selama 21 tahun antara 5 Januari 1963 sehingga 31 Januari 1984 itu berkenan untuk mencukur janggut di dalam satu upacara.
Peristiwa pahit ini telah membuktikan bahawa Pihak Istana boleh memprotes dan menunjukkan kuasa apabila tidak berkenan dalam satu perkara sehinggakan rakyat merasakan, apabila terdapat persengketaan antara pihak Istana dan parti pemerintah, pihak Istana akan sentiasa menang.
Peristiwa penglibatan pihak Istana Perak dalam politik negeri nampaknya berulang kembali. Pilihan raya umum ke -12 menyaksikan kebangkitan gelombang rakyat dalam keghairahan mengubah pucuk pimpinan kerajaan. Maka telah wujudlah satu persefahaman yang dipanggil Pakatan Rakyat pada 1 April 2008 setelah mesyuarat antara ketiga-tiga parti melibatkan Parti Keadilan Rakyat, Parti Tindakan Demokratik dan Parti Islam Se-Malaysia di Petaling Jaya.
Pilihan raya umum ke-12 juga menyaksikan parti pemerintah, Barisan Nasional telah dinafikan majoriti 2/3 dan hanya boleh membentuk kerajaan pusat dengan majoriti asas –lebih daripada ½ jumlah kerusi, tetapi kurang daripada 2/3 jumlah kerusi. Kekalnya tampuk pemerintahan Barisan Nasional pada pilihan raya kali ini kerana masih mampu memenangi hati pengundi di negeri Sabah, Serawak dan Johor.
Negeri yang penduduknya berubah angin memberikan undi pada Pakatan Rakyat adalah negeri Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Perak. Negeri Perak menarik untuk diperkatakan selepas negeri itu yang pada mulanya diterajui oleh Menteri Besar dari Pakatan Rakyat berubah tangan menjadi milik Barisan Nasional.
Semuanya bermula pada 4 Februari 2009 setelah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ketika itu mengumumkan bahawa Barisan Nasional kini boleh membentuk kerajaan apabila tiga ADUN dari PKR dan seorang ADUN dari DAP keluar parti dan menjadi ADUN BEBAS.
Almarhum Sultan Azlan Shah, menangguhkan keputusan membubarkan DUN Perak seperti yang diminta oleh Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dari pakatan. Almarhum Sultan Azlan Shah dikatakan berada di Kuala Lumpur. Walaubagaimanapun sejak 2008, banyak acara Istana, dimainkan peranannya oleh Raja Nazrin.
Menariknya, Najib Tun Razak yang baru dilantik sebagai pengerusi perhubungan UMNO Perak yang baru, telah menghadap Almarhum Sultan Azlan Shah di Istana Kinta yang terletak di Jalan Harimau, Ipoh, Perak. Pokok Demokrasi, mendapat nama setelah 27 anggota Dewan Undangan Negara Perak dari Pakatan Rakyat mengadakan persidangan di bawah pokok.
Usul yang diluluskan adalah menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar yang sah, membubarkan DUN bagi diadakan semula pilihan raya dan mengesahkan keputusan speaker V. Sivakumar melarang Datuk Seri Dr Zambry Kadir dan enam anggotak exco kerajaan dari menghadiri persidangan dewan.
Namun di akhirnya sekali lagi sejarah telah membuktikan. Pertikaian dengan pihak Istana, tidak akan mampu untuk dimenangi setelah pada 9 Februari 2010, diumumkan bahawa Mahkamah Persekutuan yang diwakili oleh lima panel hakim iaitu Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Ketua Hakim Malaya Tan Sri Ariffin Zakaria dan Hakim-Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Abdul Hamid Embong bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Datuk Seri Dr Zambry Kadir ialah Menteri Besar Perak Baharu.
Mendiang Karpal Singh mempersoalkan peranan Istana dalam hal ini. Mendiang mengatakan bahawa Almarhum Sultan Azlan Shah, yang mempunyai pendidikan undang-undang di University of Nottingham, United Kindom dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-undang pada tahun 1953 tentunya lebih arif mengenai sesuatu undang-undang setelah tindakan tersebut dianggap tidak mengikuti artikel 16 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
Sejarah jelas membuktikan penglibatan keluarga DiRaja dalam bidang politik. Tengku Razaleigh atau Ku Li, Tengku Datuk Azlan yang pernah terlibat dalam parti politik serpihan, Semangat 46, dan tentutnya Perdana Menteri kita yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah, yang pernah berjuang bersama Semangat 46.
Raja yang adil dalam setiap perkara, tentunya akan disayangi oleh rakyat jelata. Rakyat sekarang tidak lagi hidup dalam zaman Hang Tuah. Setiap perintah Raja haruslah malah jatuh kepada wajib diikuti walaupun salah. Yang DiPertuan Agong juga tidak lagi mempunyai imuniti atau kekebalan daripada proses kehakiman selepas pindaan dibuat kepada perlembagaan pada tahun 1993.
Walaubagaimanapun, suara daripada pihak Istana masih diperlukan oleh rakyat. Seperti Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang murka dengan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa kerana telah menyampaikan ceramah politik di dalam Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang di Klang.
Sultan Nazrin Shah yang dimasyurkan sebagai Sultan Perak pada 2014 turut bertitah menyentuh keadaan semasa. “Rasuah berleluasa, sistem cukai tinggi diperkenalkan, mengakibatkan para pedagang beralih ke pelabuhan lain.” Sultan Nazrin bertitah pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar pula bertitah agar arahan perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terhadap kerajaan negeri dan kerajaan tempatan mendapat pengecualian daripada kerajaan persekutuan. Baginda bertitah mengenai perkara tersebut pada perasmian Pembukaan Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Johor ke 13 di Bangunan Sultan Ibrahim.
Penglibatan Istana dalam menegur kepimpinan negara tanpa perlu masuk ke kancah politik seharusnya disambut dengan baik. Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris, dalam luahan hatinya yang terbaharu membayangkan betapa gelisahnya Baginda dengan situasi yang sedang melanda negara ketika ini.
Hal seperti ini membuatkan rakyat jelata berasa senang hati kerana masih ada golongan Istana yang mengambil berat hal negara dan berani bersuara mewakili lidah rakyat. Golongan Istana seharusnya lebih dekat dengan jiwa rakyat dan bukan hanya bersemayam di Istana sahaja.
Rakyat sekarang bukan lagi seperti dahulu. Institusi DiRaja harus memainkan peranan untuk lebih dekat dan mendengar serta merasai keluhan rakyat marhaen yang semakin hari, semakin terhimpit dengan bermacam perkara. Sudah tentu, wujud suara-suara halus yang mulai mempersoalkan tentang kepentingan institusi DiRaja sekiranya terus menerus dilihat tidak bersuara dan bersedia mendengar nadi keluh rakyat marhaen.
Yang Dipertuan Agong ke 15, Sultan Muhammad V dari negeri Kelantan begitu disanjung dan dihormati oleh rakyat berbilang kaum. Bukan saja Baginda dilihat mesra dan berjiwa rakyat, tetapi sejarah dirinya yang mendekatkan diri pada ulama seperti Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Baginda dilihat sebagai seorang yang bukan saja mencuba untuk mendekatkan dirinya dengan rakyat apabila menghadiri jemputan tetapi seorang pemimpin yang mendekatkan dirinya dengan Maha Pencipta.
Raja dan rakyat berpisah tiada. Institusi DiRaja umpamanya sebatang pokok yang akarnya adalah rakyat jelata. Kukuh dan kuatnya sebatang pokok itu bergantung kepada akarnya. Seperti titah Baginda Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, diharapnya tidaklah lagi sejarah berulang kembali, di mana pihak Istana mencampuri urusan politik negara dan berpihak kepada satu-satu parti politik.
Cukuplah sudah kejadian di mana pihak Istana dan parti pemerintah mempunyai konflik. Janganlah kerana gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah. Pujangga Melayu ada menyebut, “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah,”
Daripada Iyadh bin Himar RA katanya, aku ada mendengar Rasullulah SAW bersabda, “Antara ahli syurga itu ada tiga golongan iaitu pemerintah yang bersifat adil dan dikurniakan taufiq, orang yang berperasaan kasih sayang serta berhati lembut kepada setiap kaum kerabat dan sesama Islam, orang yang tidak suka meminta-minta dan berusaha mengelak daripada meminta-minta sedangkan ianya mempunyai keluarga yang ramai.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih