Selama beberapa abad bermula abad ke-14, Eropah dihantui oleh satu fenomena aneh yang dikenali sebagai delusi kaca. Delusi kaca di sini ialah penghidapnya menyangka kepala, leher, lengan atau seluruh badan mereka diperbuat daripada kaca sekaligus memerlukan mereka berhati-hati dalam sebarang tindakan mereka – kononnya nak elak diri mereka pecah.
Salah seorang individu yang dihantui gangguan mental sebegini ialah pemerintah Perancis abad ke-14, Raja Charles VI. Charles VI menaiki takhta 1380 semasa berusia 11 tahun tetapi hanya berpeluang memerintah sepenuhnya kira-kira lapan tahun kemudian. Pada awalnya, baginda menunjukkan kewibawaannya sebagai seorang pemerintah yang bijak termasuk mengurangkan kerenah birokrasi rakyat.
Tetapi semua itu berubah pada 1892 apabila Charles VI jatuh gering. Pengkaji sejarah percaya kegeringan baginda berpunca akibat skizofrenia dan merupakan antara insiden pertama yang direkodkan sepanjang hayatnya.
Selepas pulih, Charles VI menyangka dirinya diperbuat daripada kaca dan tidak akan bergerak tanpa sebarang bentuk sokongan yang dipasang pada pakaian baginda. Hal ini turut diulas oleh Paus Pius II dalam bukunya yang berjudul Commentaries. Dalam buku tersebut, beliau menyifatkan masalah mental yang dihadapi baginda semakin buruk dari hari ke hari. Malah, pakaian Charles VI turut dipasang dengan rod-rod besi kononnya dapat menyokong diri baginda yang lemah dan mengelakkannya daripada pecah.
Situasi kesihatan mental baginda memaksa satu majlis pemangku raja dibentuk setahun kemudian. Bagaimanapun, pembentukan majlis ini menyaksikan berlakunya perebutan kuasa dalam kalangan kerabat diraja Perancis termasuk antara sepupu Charles VI, John Si Berani (John the Fearless) dengan adinda baginda, Louis I, Duke of Orleans.
Situasi ini tidak dibantu dengan perbalahan kerabat diraja Perancis dengan Duke of Burgundy ketika itu, Philip Si Baik (Philip the Good) lebih-lebih lagi selepas bapanya, John Si Berani dibunuh oleh kesatria Charles VII (pewaris takhta dan putera Charles VI), Tanneguy de Chastel pada September 1419. Akibatnya, konflik ini segera diambil kesempatan oleh Raja Henry V dari England dan membawa kepada kekalahan Perancis di Agincourt empat tahun sebelumnya.
Walaupun konflik tamat dengan Perjanjian Troyes pada 1420, sebahagian besar utara Perancis termasuk Paris dikawal oleh pakatan England-Burgundy. Dengan puteranya Charles VII berada di Bourges, Charles VI mangkat di Paris pada Oktober 1422. Charles VII kemudiannya berjaya mengusir England keluar dari Perancis dan memeterai Perjanjian Arras pada 1435.
Charles VI bukan satu-satunya figura terkenal yang berdepan masalah delusi kaca. Penulis dan puteri Raja Ludwig I of Bavaria, Puteri Alexandra Amalie juga berdepan masalah sama. Wanita itu bukan saja berjalan berjengket-jengket tetapi berhati-hati semasa berpusing – seolah-olah tidak mahu disentuh oleh sesiapa.
Bila ditanya sebab tingkah lakunya itu, Puteri Alexandra memberitahu baginda telah menelan piano yang diperbuat daripada kaca. Piano tersebut kini berada dalam badannya dan didakwa masih dalam keadaan baik. Puteri Alexandra menambah atas sebab itu, baginda perlu berhati-hati kerana jika piano ini pecah, ia akan membunuh baginda.
Jadi, bagaimana delusi kaca ini boleh timbul? Pengkaji psikologi percaya ia merupakan satu bentuk penjelasan betapa terdedahnya mental si penghidap apabila berada dalam kedudukan orang yang berkuasa. Ringkasnya, ia merupakan analogi sensitiviti mental mereka dan keinginan agar ditinggalkan bersendirian.
Analogi ini lebih senang diterangkan menerusi catatan dua pakar perubatan abad ke-16, Alfonso Ponce de Santa Cruz (doktor diraja Raja Philip II (Sepanyol)) dan Andre du Laurens (doktor diraja Raja Henry IV (Perancis)). Mengikut kedua-duanya, terdapat seorang bangsawan yang tidak didedahkan identitinya mendakwa dirinya ialah pasu kaca. Di sebalik keadaannya, si polan merupakan seorang yang bijak dan fasih berkata-kata.
Kerana percaya dirinya pasu kaca, dia suka baring atas katil jerami sebagai cara melindungi diri. Bosan dengan kerenahnya itu, doktor diraja yang merawatnya itu membakar katil jerami dan mengarahkan pintu biliknya dikunci. Sebaik menyedari apa yang berlaku, si polan ini mengetuk pintu meminta agar dirinya dilepaskan. Sebaik dilepaskan, si polan mengakui dirinya bukan pasu kaca tetapi orang yang menderita dari segi mental.
Walaupun kali terakhir delusi kaca direkodkan pada abad ke-19, terdapat kes pesakit mengadu diri mereka diperbuat daripada kaca pada abad ke-20 dan ke-21. Ini termasuk kes seorang pesakit psikiatri dari Belanda yang mendakwa dirinya diperbuat daripada kaca.
Obsesi terhadap objek atau teknologi baru bukan sesuatu yang baru dan banyak kali direkodkan dalam sejarah. Selain kaca, wujud juga delusi yang dikaitkan dengan tembikar atau pada zaman moden, mikrocip pada otak. Yang pasti, walaupun orang sebegini menyangka dirinya diperbuat daripada kaca tetapi sekurang-kurangnya, hati mereka bukan hati kaca.
RUJUKAN
Strom, C. (2022, 31 Mei). Troubled King Charles VI of France Believed He Was Made of Glass. Ancient-Origins.
Meares, H. (2018, 29 Ogos). The Delusion That Made Nobles Think Their Bodies Were Made of Glass. History.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih