Bila kita sebut perihal DYAM Raja Chulan, pasti perkara pertama yang disebut ialah sebuah jalan di Kuala Lumpur yang dinamakan sempena nama baginda. Kalau tidak itu, ada beberapa sekolah di negeri Perak yang diberi nama baginda. Tetapi tidak ramai tahu sejarah anggota kerabat diraja Perak ini yang berusaha memperjuangkan hak bangsa Melayu semasa zaman penjajahan British yang ketika itu dianggap terpinggir akibat dasar pecah dan perintah penjajah berkenaan.

DYAM Raja Chulan diputerakan di Tanjong Brambang pada 1 Julai 1869. Baginda merupakan putera kepada DYMM Sultan Abdullah Muhammad Shah, Sultan Perak yang kemudiannya dibuang negeri ke Pulau Seychelles bersama beberapa pembesar negeri lain pada tahun 1876. Raja Chulan dan kekanda sulungnya, Raja Ngah Mansur mendapat pendidikan Barat di Raffles Institution, Singapura dan Sekolah Tinggi Inggeris, Melaka. Selepas tamat pengajian, baginda mula bekerja dalam sektor perkhidmatan awam atau lebih tepat, Pejabat Setiausaha Negeri Perak pada tahun 1886.

Selepas beberapa lama bekerja, Raja Chulan menziarahi ayahanda tercinta iaitu Sultan Abdullah di Pulau Seychelles. Ziarah berkenaan memberi peluang kepada baginda melepaskan rindu terhadap mereka yang dibuang negeri kerana dianggap bersubahat dengan pembunuhan Residen British pertama, J.W.W Birch. Dan sekembalinya baginda ke Perak, Raja Chulan secara tidak langsung turut memperkenalkan lagu kegemaran ayahandanya, La Rosalie. Irama lagu berkenaan dikekalkan dengan lirik baru dinukilkan oleh kekandanya, Raja Ngah Mansur. Lagu inilah yang menjadi lagu negeri Perak iaitu Terang Bulan dan akhirnya menjadi inspirasi kepada lagu kebangsaan, Negaraku.

Untuk beberapa tahun berikutnya, baginda menjawat beberapa jawatan seperti Pegawai Perumahan di Larut (1890), Pemangku Pemungut Hasil Tanah di daerah Kuala Kangsar dan Penolong Pegawai Daerah di Selama. Pada tahun 1900, Raja Chulan berkahwin dengan puteri Sultan Perak, Sultan Idris Shah I. Baginda kemudiannya mengiringi ayahanda mertuanya ke London untuk menghadiri upacara pertabalan Raja Edward VII pada tahun 1902. Sekembalinya baginda dari Britain, Raja Chulan dilantik sebagai Pegawai Daerah Hulu Perak. Menurut Profesor Emeritus Khoo Kay Kim dalam satu artikelnya pada tahun 1994, baginda menempa sejarah sebagai orang Melayu pertama yang dilantik sebagai pegawai daerah. Pada tahun 1907, Raja Chulan dilantik sebagai anggota Majlis Mesyuarat Perak sebelum bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada tahun 1911.

Baginda sememangnya dikenali sebagai seorang yang amat lantang memperjuangkan hak bangsa Melayu tanpa mengenal penat lelah. Sehinggakan apabila Raja Chulan bersara dari Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (MMNNMB) dan Majlis Mesyuarat Perak sehinggalah ke hari kemangkatan baginda pada tahun 1933. Dan baginda sekali lagi menempa sejarah sebagai anak Melayu pertama dilantik sebagai anggota MMNNMB. Semasa berkhidmat dalam majlis berkenaan, Raja Chulan mendesak pihak British menaiktaraf taraf hidup orang Melayu, memberi keutamaan dan memudahkan peluang orang Melayu menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam ketika itu.

Dalam mesyuarat seterusnya pada tahun 1931, Raja Chulan turut menegaskan kerajaan ketika itu berupaya mengurangkan perbelanjaan dengan mengambil lebih ramai anak-anak Melayu mengisi jawatan kerajaan berbanding memanggil pegawai-pegawai dari Eropah. Ini kerana baginda berpandangan, pegawai-pegawai Melayu pastinya akan berbelanja dalam negeri dan ini sekaligus dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat. Walaupun sedar bilangan pegawai Melayu yang berkelayakan untuk mengisi jawatan kerajaan, tetapi selepas 50 tahun, sudah pasti ada anak Melayu terlatih bekerja di jabatan-jabatan bersifat teknikal seperti Jabatan Kerja Raya dan Pejabat Pos.

Dalam mesyuarat sama juga, Raja Chulan mahukan anak-anak Melayu turut diberi peluang melanjutkan pengajian dalam bidang-bidang bersifat kritikal seperti perubatan dan pergigian. Ini kerana selain dari memenuhi tuntutan fardu kifayah, baginda melihat ini dapat mengurangkan kebergantungan orang Melayu terhadap orang asing dalam bidang-bidang tertentu. Justeru, demi mencapai matlamat sedemikian, Raja Chulan mencadangkan penubuhan penubuhan biasiswa pendidikan untuk menggalakkan orang Melayu menceburi bidang-bidang ini dan menyeru kerajaan menyediakan tempat kepada mereka sebaik tamat pengajian.

Perihal pendidikan amat penting bagi orang Melayu kerana ini akan membuka jalan kepada perpaduan dan menjadi penawar kepada masalah sosio-ekonomi. Selain itu juga, ia sebenarnya membuka ruang kepada mereka memainkan peranan aktif dalam segenap aspek kehidupan di Tanah Melayu ketika itu dan tidak membiarkan ia didominasi kelompok bukan Melayu. Dan berdasarkan pandangan Pesuruhjaya British, Sir Laurence Guillemard, beliau sedar sekiranya kelompok ini disisihkan, ia sudah pasti membuka ruang kepada jarum-jarum revolusi masuk dan menjadi barah dalam masyarakat berkenaan seperti mana apa yang berlaku di Hindia Timur Belanda (kini Indonesia). Tetapi walaupun diberi peluang pendidikan oleh British, bangsa Melayu masih lagi tersisih dari segi kek ekonominya kerana ia masih didominasi oleh golongan Eropah dan Cina. Bagi pihak British, mereka hanya perlu diberi pendidikan mencukupi untuk menjadi petani dan nelayan yang lebih baik berbanding bapa dan datuk mereka. Dan ini sesuatu yang amat mendukacitakan ramai pejuang Melayu ketika itu termasuk Raja Chulan yang mahu anak-anak Melayu terus diberi peluang mendapat pendidikan yang lebih tinggi termasuk peluang belajar di luar negara.

Selain tegas memperjuangkan hak pendidikan bangsa Melayu, baginda juga tidak ketinggalan lantang membantah beberapa polisi kerajaan ketika itu. Antara dasar yang mendapat penentangan Raja Chulan ialah mengenakan cukai terhadap minyak tanah dan minyak petrol. Baginda berpandangan dasar sedemikian hanya akan membebankan lagi kos kewangan yang dialami rakyat terutama penduduk miskin. Ketegasan baginda ini mendapat sanjungan ramai pihak termasuklah bekas Gabenor Negeri-Negeri Selat merangkap Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Cecil Clementi. Clementi berkata, “Tiada Melayu pada zaman moden yang menyumbang lebih banyak kepada negara dan warganya melainkan Raja Chulan.”

Mungkin atas sebab itulah, baginda dilantik sebagai Raja Di Hilir Perak oleh DYMM Almarhum Sultan Iskandar Shah pada tahun 1920. Semasa tempoh pemerintahan baginda, British bukan saja mengembalikan Pulau Pangkor dan Dinding kepada Perak. Malah, British menarik balik sekatan yang melarang keturunan Sultan Abdullah dari sistem pewarisan takhta negeri berkenaan. Tambah membanggakan, baginda juga merupakan anggota kerabat diraja Melayu pertama yang dikurniakan gelaran Knight of the British Empire (KBE) pada tahun 1930 oleh Raja George V.

Raja Chulan mangkat pada 10 April 1933 dan dimakamkan di Makam Diraja Al-Ghuffran, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Baginda mempunyai ramai anak di mana kebanyakannya merupakan puteri. Menerusi perkahwinan pertama baginda dengan Raja Puteh Kalsom, mereka dikurniakan seorang putera, Raja Zainal Azman yang kemudian bergelar Raja Kecil Bongsu (1948-1956) dan Raja Amnah. Raja Amnah ini kemudiannya berkahwin dengan Sultan Deli, Sultan Osman Al-Sani Perkasa. Sementara perkahwinan kedua Raja Chulan dengan Che Sariya Sahat pula dikurniakan enam zuriat iaitu Raja Zania Shah, Raja Mentera @ Mahtra, Raja Kimas, Raja Mimi, Raja Zan dan Raja Amriah.

Legasi baginda yang masih bertahan sehingga hari ini ialah Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD). Idea ini tercetus daripada beberapa raja dan anggota kerabat diraja Melayu seperti Raja Chulan dan DYMM Sultan Alang Iskandar Shah (Perak), Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan iaitu Tuanku Muhammad ibni Yamtuan Antah dan Undang Luak Rembau, Dato Abdullah Haji Dahan. Mereka melihat penubuhan rejimen berkenaan memberi peluang kepada orang Melayu berbakti sebagai tentera dan pada masa sama, mengurangkan kos yang perlu dikeluarkan kerajaan koloni yang membawa askar dari Britain dan India berkhidmat di Tanah Melayu ketika itu. Hari ini, ia menjadi pasukan unggul dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) dan pernah terlibat dalam beberapa konflik seperti konflik era Darurat, operasi menyelamat tentera Amerika Syarikat di Mogadishu, Somalia (1993) dan krisis pencerobohan Lahad Datu (2013).

SUMBER

  1. Lembaga Editor Sembang Kuala. (2009). SembangKuala.wordpress.com. DYAM Raja Sir Chulan Ibni Almarhum Sultan Abdullah (Raja Di-Hilir: 1920-1933). https://sembangkuala.wordpress.com/2009/07/18/raja-sir-chulan-ibni-al-marhum-sultan-abdullah-1869-1933/
  2. Rayyan. (2017). OrangPerak.com. Raja Chulan Orang Melayu Pertama Dilantik Dalam Pentadbiran British. https://www.orangperak.com/raja-chulan-orang-melayu-pertama-dilantik-dalam-pentadbiran-british.html

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.