Peranan ulama yang berkebolehan sebagai tabib atau doktor perubatan amat penting dalam sesebuah kerajaan. Ini kerana ulama sebegini bukan saja dapat memberi diagnosis terperinci berkenaan sesuatu penyakit bahkan dapat memikirkan apakah penawar atau cara rawatan sesuai bagi penyakit yang dihidapi pesakit. Pada Zaman Keemasan Islam, kita sudah menyaksikan kemunculan para tabib terkemuka seperti Ibnu Sina, Al-Kindi dan Al-Biruni. Di Kepulauan Melayu, kita juga ada tokoh sebegini dalam dunia perubatan. Individu yang saya maksudkan ialah Almarhum Raja Ahmad Thabib bin Raja Hasan bin Raja Ali Haji Riau.
Almarhum bukan calang-calang orangnya dalam kalangan pemerintah kesultanan Melayu ketika itu. Nendanya dari sebelah ayahandanya ialah ahli bahasa dan sejarawan Melayu terkenal, Raja Ali Haji. Sementara nendanya dari sebelah bondanya ialah Yamtuan Muda Riau VI bernama Raja Haji Abdullah yang turut mendapat gelaran Almarhum Mursyid kerana ketokohannya sebagai seorang ulama sufi. Berdasarkan catatan Raja Muhammad Yunus Ahmad, Almarhum dilahirkan pada tahun 1865 Masihi bersamaan dengan 1282 Hijrah. Satu lagi sumber menyatakan tempat kelahiran baginda ialah Pulau Penyengat, Indera Sakti. Almarhum mempunyai 12 orang adik-beradik dengan beberapa kekandanya turut muncul sebagai ulama dan pejuang Melayu yang disegani. Antaranya, Raja Abdullah Hakim merupakan ulama besar Nusantara dan dilantik sebagai Hakim Kerajaan Riau-Lingga. Sementara kekanda keduanya, Raja Khalid Haitami juga bertaraf ulama dan pejuang politik yang mangkat di Jepun semasa menjalankan urusan sulit berkenaan memerdekakan dunia Melayu dari penjajahan.
Pada tahun 1881 Masihi, Almarhum berangkat ke bumi Makkah bukan saja untuk mengerjakan ibadat haji dan umrah bagi memenuhi rukun Islam kelima. Sebaliknya, baginda menggunakan masa tersebut untuk melawat kawasan sekitar Semenanjung Tanah Arab. Selepas setahun berkelana di sana, barulah Almarhum kembali semula ke kampung halamannya di Pulau Penyengat. Pada tahun 1883 Masihi, baginda mendapat perakuan daripada tabib masyhur di Pulau Penyengat untuk memulakan kerjaya sebagai doktor perubatan swasta. Dan pada tahun 1901, Almarhum diberi kepercayaan oleh Sultan Riau-Lingga ketika itu, Sultan Abdul Rahman II Muadzam Shah sebagai pegawai kerajaan dan tabib istana. Selepas Sultan Abdul Rahman disingkirkan oleh Belanda pada tahun 1911, baginda diberi pencen oleh Belanda dari tahun itu sehinggalah tahun 1939.
Berdasarkan beberapa maklumat yang diketahui, Almarhum pernah menghasilkan beberapa rencana. Antara karangan yang ditulis oleh baginda ialah Syair Nasihat Pengajaran Untuk Memelihara Diri, Syair Tuntutan Kelakuan dan Risalah Rumah Ubat Raja Haji Ahmad Pulau Penyengat Riau. Bila menyebut Risalah Rumah Ubat Raja Haji Ahmad Pulau Penyengat Riau, ada satu karya yang perlu diambil perhatian. Buku karangan Almarhum Raja Said bin Raja Ahmad ini bertajuk Khasiat dan Kaifiat (Kelebihan) Guna Ubat Tuan Brokdes dan Tuan Setman Napal Negeri Hollanda. Walaupun buku ini disusun oleh Raja Said tetapi ia merupakan sebahagian daripada dokumen yang terkandung dalam Risalah Rumah Ubat Raja Haji Ahmad Pulau Penyengat Riau. Walaupun ia sekadar lembaran, tarikh penulisan berkenaan dikatakan bermula pada 7 Mac 1905 bersamaan dengan 1 Muharam 1323 Hijrah dan dilakukan di Pulau Penyengat. Dalam buku itu juga, disebutkan pelbagai jenis ubat termasuk dari negara-negara asing dan kegunaannya.
Antara guru baginda dalam dunia perubatan ialah Syeikh Ahmad Al-Fatani. Buktinya, wujud catatan pada kitab Thaiyib al-Ihsan fi Thibb al-Ihsan yang dikarang beliau penuh dengan catatan Almarhum. Kedua-dua manuskrip turut mempunyai persamaan dari segi topik iaitu berkenaan nadi pernafasan dan pemeriksaan penyakit melalui air kencing. Lihat beberapa anekdot perubatan tradisional yang dikarang baginda dalam Bahasa Melayu Riau:
- Sebermula jika seorang lelaki itu mempunyai nadi yang besar di sebelah kanan, itu tanda dia sebenarnya sakit. Dan jika nadinya besar di sebelah kiri, itulah tanda dia sihat. Dan jika seorang perempuan itu mempunyai nadi yang pada tangan kiri, itulah alamat dirinya sakit. Dan jika besar pula nadinya di tangan kanan, itulah petanda dia sihat.
- Fasal Pertama Untuk Menyatakan Nadi Yang Bernama Zahabi: Jika ditekan perlahan-lahan, maka keras pukulnya di atas, alamat banyak angin panas dalam anggota tubuhnya. Dan jika ditekan perlahan-lahan, maka ada pukulnya jatuh, barangkali terasa sedikit-sedikit, alamatnya paru-parunya kembang dan mengalami kesejukan. Dan jika ditekan perlahan-lahan, maka tidak ia memukul di atas, maka ada ia memukul di dalam sedikit-sedikit, itu petanda banyak balghamnya (lendir atau dahak) bercampur angin dan ketul balghamnya itu.
- Untuk air kencing pula, ini ada disebut dalam Fasal Ketiga Pada Menyatakan Melihat Kepada Air Kencing. Baginda menulis, “Bermula jika warna air kencingnya itu kuning pertengahan, alamat tabiatnya itu sederhana. Dan jika sangat kuningnya dan hampir kepada merah, alamat panas tubuhnya. Dan jika warna itu sangat merahnya, alamat sakitnya berpunca di bahagian dada tetapi sejuk. Dan jika warnanya merah bercampur kuning, alamat panas sekalian badan, angin, demam, dan terkadang yang demikian itu juga lendir dan darah, maka ia amat berbisa dan membuat pesakit rasa serba salah (gelisah) serta sukar untuk tidur. Jika tidak boleh, panas, kencing sakit, huap semuanya sampai ke hati. Dan jika warnanya merah semua dan cair, alamat hangus segala badan, darah dan tulang di dalam badan semuanya buruk. Dan tempat kencing sudah luka, ke sungai kecil sakit dan terkadang keluar nanah, atau darah, atau keluar kura kuning-kuning. Dan tiada boleh tidur dan bisa pada bahagian ari-ari. Dan jika warnanya merah atau pekat, alamat luka tempat kencing dan demam siang malam, dan kurus badannya. Tiada boleh tidur, dan hatinya rosak. Lagi tabiatnya ketakutan sentiasa seperti gila. Dan batuk selama-lamanya kemudian keluar darah.”
Ketokohan Almarhum dalam bidang perubatan semakin terserlah apabila baginda menghasilkan sejenis ubat yang dipanggil Syarbat Zanjabil. Ubat ini amat terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu di Johor, Singapura dan Riau serta diketahui bermujarab merawat penyakit dalaman seperti sakit jantung dan sakit tulang. Syarbat Zanjabil ini berbentuk cecair dan dijual dalam bentuk botol, mempunyai bau yang sangat wangi dan dihasilkan daripada bahan rempah-ratus. Selain Syarbat Zanjabil, keluarga baginda turut mempunyai dua jenis minyak yang diwarisi secara turun-temurun iaitu Minyak Mengkasar dan Minyak Bau. Kedua-dua minyak ini elok untuk merawat sakit-sakit luar seperti kembung perut, menghilangkan bisa sengatan binatang, kekejangan dan kerasukan.
Seperti mana kisah Al-Kindi yang merawat anak jirannya dengan muzik, ada satu kisah membabitkan Almarhum Raja Ahmad Thabib yang masyhur dan tidak pernah dialami pakar perubatan moden. Pada satu ketika, baginda merawat seorang pesakit dan mendapati si polan itu perlu dibedah dengan segera. Sebagai langkah sementara, Almarhum mengambil sebatang sembilu (buluh yang diasah tajam seperti sebilah pisau) dan melakukan pembedahan ke atas si polan. Peristiwa ini berlaku tatkala Pulau Penyengat dan Tanjung Pinang masih belum mempunyai sebarang alat perubatan moden. Bagaimanapun, baginda memberi amaran pembedahan yang dilakukan itu bersifat sementara saja dan pesakit hanya boleh bertahan antara tujuh hingga 10 jam saja.
Almarhum turut menasihatkan si polan dibawa ke Singapura untuk menerima rawatan lanjut dan mendapat bekalan ubat-ubatan yang bersesuaian. Tempoh pelayaran dari Tanjung Pinang ke Singapura mengambil masa tujuh jam sekaligus cukup-cukup menepati tempoh ketahanan yang dinyatakan baginda. Selepas mereka tiba di Singapura, pesakit tersebut segera dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan. Dengan izin Allah s.w.t, pesakit tersebut selamat selepas mendapat rawatan berkenaan. Kisah ini dikongsikan oleh kerabat diraja Riau sejak tahun 1962. Almarhum kembali ke rahmatullah pada tahun 1955 di Singapura. Jasa baginda dalam dunia perubatan Melayu tidak pernah dilupakan. Buktinya, namanya diabadikan pada sebuah hospital atau lebih tepat Rumah Sakit Daerah Umum (RSUD) Raja Ahmad Thabib, Tanjung Pinang.
SUMBER
Abdullah, Wan Mohd Shaghir. (2005). Utusan Malaysia. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1017&pub=utusan_malaysia&sec=bicara_agama&pg=ba_01.htm&arc=hive
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih