Masih ingat tulisan Pusaka Keris dahulu? Pada tulisan kali ini saya ingin berkongsi tentang Kujang. Sebagaimana keris, kujang juga sarat dengan nilai kesenian dan sakral tersendiri. Oleh kerana bentuknya yang unik dan diangap mistik, kujang telah menarik tumpuan ramai peminat dan pengkoleksi barang pusaka. Dalam khazanah kebudayaan masyarakat Jawa Barat, kujang merupakan senjata yang memiliki hubung kait erat dengan identiti jati diri masyarakat Sunda, serta diakui sebagai senjata pusaka dan bersejarah.

Penulis (Angah Sunan) bersama Tugu Kujang di Pergunungan Pajajaran

Etnik Sunda

Suku Sunda merupakan salah satu suku bangsa yang berasal dari Jawa Barat. Suku Sunda memiliki ciri unik yang membezakan orang sunda dengan suku lain. Perwatakan ciri Sunda tercermin dari kebudayaan yang dimilikinya baik dari segi agama, bahasa, kesenian, adat istiadat, mata pencarian, dan lain sebagainya. Ironinya, jika menyebut Suku Sunda, akan terbayang gadis-gadis mereka yang putih, mulus dan cantik. Hal ini sudah maklum. Mungkin keindahan gadis Sunda lebih popular dari seni budaya mereka.
Hampir semua orang Sunda beragama Islam melainkan sebahagian kecil sahaja yang tidak. Mereka mempunyai budaya dan bahasa tersendiri. Bahasa pertuturan mereka adalah bahasa sunda yang langsung tidak sama dengan Jawa. Paling menarik, sangat kaya dengan budaya.
65% penduduk Jawa Barat adalah Suku Sunda yang merupakan penduduk asli daerah ini. Suku lainnya adalah Suku Jawa yang banyak dijumpai di daerah bahagian utara Jawa Barat, Suku Betawi banyak mendiami daerah bahagian barat yang bersempadan dengan Jakarta. Suku Minang dan Suku Batak banyak mendiami Kota-kota besar di Jawa Barat, seperti Bandung, Cimahi, Bogor, Bekasi, dan Depok.

Sebaik saya berada di tanah Sunda ini, teringat pula teori yang sedang hangat dibicarakan tentang kewujudan Peradaban di Sundaland ribuan tahun dahulu yang dikemukakan Profesor Aryso Santos, melalui bukunya Atlantis, The Lost Continent Finally Found, The Definitive Localization of Plato’s Lost Civilization (2005). Di dalam bukunya itu, Profesor Santos menyatakan, Sundaland adalah benua Atlantis, yang disebut-sebut Plato di dalam tulisannya Timeus dan Critias. Wallaua’lam.

Sekilas Sejarah

Kujang adalah senjata tajam seperti keris atau parang. Namun senjata ini memiliki bentuk yang aneh. Jika diperhatikan, terdapat lekuk – lekuk dan lubang yang disebut mata yang tidak dimiliki oleh keris. Kujang mempunyai pelbagai bentuk yang beragam jenis dan setiap bentuk itu memiliki makna tersirat. Jenis kujang yang sering menjadi simbol dan masyhur dalam masyarakat ialah Kujang Ciung. Di sana terdapat juga Kujang Kuntul, Kujang Jago, Kujang Bangkong, dan Kujang Naga serta lain-lain.

Kujang Ciung (koleksi Penulis)

Kujang adalah sebuah senjata dari daerah Jawa Barat. Kujang mulai dibuat sekitar abad ke-8 atau ke-9, dibuat dari besi, baja dan bahan pamor, panjangnya sekitar 20 sampai 25 cm dan beratnya sekitar 300 gram. Dikatakan Kujang diilhamkan dari Raja Lagenda Kerajaan Sunda iaitu Prabu Siliwangi yang melahirkan reka bantuk Kujang bertujuan membezakan pahlawan Sunda dengan bangsa lain. Jika orang Jawa berbangga dengan keris, orang Sunda berbangga dengan Kujang.

Jika dikaji lebih mendalam, kujang memiliki latar belakang sejarah yang panjang, sejarah penciptaannya pula mempunyai pelbagai pendapat. Ia terus dibahas dan dikaji hingga kini. Berdasarkan kajian dan penemuan beberapa tokoh, ada yang berpendapat kujang dibuat sebelum zaman Pajajaran (ibu kota Kerajaan Sunda Galuh yang pernah berdiri pada tahun 1030-1579 M di Tatar Pasundan, wilayah Jawa Barat). Bahkan ada pengkaji kujang yang menyatakan bahawa kujang telah ada sejak zaman Taruma Nagara (atau Kerajaan Taruma, sebuah kerajaan yang pernah berkuasa di Wilayah Jawa Barat pada abad 4 hingga 7 Masihi, salah satu Kerajaan Tertua di Nusantara).

Istilah Kujang berasal dari kata Kudihyang dengan akar kata Kudi dan Hyang. Kujang juga berasal dari kata Ujang, yang bererti manusia. Makna penuhnya, menjadi manusia yang sakti sebagaimana Prabu Siliwangi (Raja Lagenda Sunda) dan  manusia yang sempurna di hadapan Allah dan mempunyai darjat Ma’rifat yang tinggi.

Kudi diambil dari bahasa Sunda Kuno yang artinya senjata yang mempunyai kekuatan ghaib sakti, sebagai azimat dan penolak bala, misalnya untuk menghalau musuh atau menghindari bahaya atau penyakit. Senjata ini juga disimpan sebagai pusaka, yang digunakan untuk melindungi rumah dari bahaya dengan meletakkannya di dalam sebuah peti atau tempat tertentu di dalam rumah atau dengan meletakkannya di atas tempat tidur. Wallahua’lam

Dari sumber lisan yang saya perolehi di Sumedang, Jawa Barat, istilah Kujang berasal dari perkataan sunda “Kukuh Jangji”. Kukuh bermakna Setia sementara Jangji bermaksud Janji. Maka kujang adalah orang yang setia kepada janji.

Simbol dan Falsafah Kujang

Kujang merupakan senjata yang mencerminkan ketajaman dan daya fikir dalam kehidupan juga melambangkan kekuatan dan keberanian orang Sunda untuk melindungi hak dan kebenaran. Selain sebagai senjata, kujang juga dijadikan alat pertanian, perlambangan, hiasan, ataupun cendera mata.

Saya berpeluang melihat koleksi simpanan Kujang peninggalan Kerajaan Sumedang Larang ketika melawati Museum Prabu Guesang Ulun di Sumedang, Jawa Barat. Di museum itu, terdapat 30 bilah kujang dengan pelbagai bentuk.

Syukur, banyak pembukaan baru yang saya perolehi disana terutama berhubung keagungan sejarah Sunda. Dari Sumedang, telah membawa saya ke Pajajaran. Saya tak berhajat menyambung cerita travelog saya di Jawa Barat, mungkin pada tulisan yang lain. Kita kembali ke Kujang.

Koleksi Kujang di Museum Prabu Guesang Ulun, Sumedang, Jawa Barat (Gambar peribadi penulis)

Bentuk dan bahagian Kujang

Sekali melihat, persis bak seorang puteri yang sedang menari dengan tubuhnya yang meliuk. Pegangan (ganja Kujang) dan sarung (kopak atu kowak) ibarat pakaian yang dipakai oleh si puteri. Sangat indah kesan kewanitaan (feminisme) yang dipamerkan pada senjata Kujang.

Papatuk (Congo) : bahagian hujung kujang yang runcing. Kegunaan untuk menoreh atau mencungkil.

Eluk (Siih) : lekuk-lekuk atau gerigi pada bahagian punggung kujang sebelah atas. Kegunaan untuk mencabik-cabik perut musuh.

Waruga : nama bilahan (badan) kujang.

Mata : lubang-lubang kecil yang terdapat pada bilahan kujang yang pada awalnya lubang- lubang itu tertutupi logam (biasanya emas atau perak) atau juga batu permata. Tetapi kebanyakan yang ditemukan hanya sisasnya berupa lubang lubang kecil. Kegunaannya sebagai lambang kedudukan status si pemakainya, paling banyak 9 mata dan paling sedikit 1 mata, malah ada pula kujang tak bermata, disebut “Kujang Buta”.

Pamor : garis-garis atau bintik-bintik pada badan kujang disebut Sulangkar atau Tutul, biasanya mengandungi racun. Kegunaannya selain untuk memperindah bilah kujangnya dan juga untuk mematikan musuh secara cepat.

Tonggong :  sisi tajam di bahagian punggung kujang, untuk mengerat juga menghiris.

Beuteung : sisi tajam di bahagian perut kujang, kegunaannya sama dengan bahagian punggungnya.

Tadah :  lengkung kecil pada bahagian bawah perut kujang, kegunaanya untuk menangkis dan melintir senjata musuh agar terpental dari genggaman.

Paksi :  bahagian ekor kujang yang tirus untuk dimasukkan ke dalam gagang kujang.

Combong : lubang pada gagang kujang, untuk mewadahi paksi (ekor kujang).

Selut : cincin pada hujung atas gagang kujang, gunanya untuk memperkukuh cengkaman gagang kujang pada ekor (paksi).

Ganja (landéan) :  nama khas gagang (tangkai) kujang.

Kowak (Kopak) :  nama khas sarung kujang.

Dari bentuk yang tersebut, saya suka memetik kata-kata pengkaji Kujang iaitu Aris Kurniawan. Beliau menulis dalam kajiannya yang berjudul Kajian Historis dan Filosofis Kujang,

“kujang adalah manifestasi manusia sebagai perwujudan alam semesta yang paling sempurna. Kujang merupakan nilai filosofis ajaran atau ageman ketuhanan tentang asal usul semesta yang dijadikan dasar Nagara Karta Gama atau negara yang dilandasi nilai-nilai luhur agama”.

Menurut Sumardjo, J. pula dalam tulisan beliau Pendekatan Budaya Atas Seni Rupa Tradisi Budaya Etnik Indonesia dalam Metodologi Penelitian Seni),

“Penamaan manuk (burung) sebagai lambang kedaulatan negara kemudian dipersonifikasikan (digambarkan) atau disilibkeun ke dalam bentuk burung, dan manuk merupakan alasan atau latar belakang perupaan saja. Simbol-simbol itu cenderung “abstrak” jauh dari memesis , tetapi pada pola dan struktur rasional dan empiriknya (pemerhatian)”.

Kedua-dua petikan kata di atas saya kekalkan dalam bahasa melayu Indonesia tanpa alih ke bahasa melayu style Malaysia bagi mengekalkan keaslian. Moga difahami ya.

Kujang adalah simbolik manusia dan burung. Sumber : Kajian Historis dan Filosofis Kujang Oleh Aris Kurniawan

Kategori Kujang

Apabila diteliti dari BENTUK DAN JENIS kujang, kujang mempunyai beberapa nama atau kategori. Ia seperti berikut :

1. Kujang Ciung (kujang yang bentuknya menyerupai burung ciung)

2. Kujang Jago (kujang yang bentuknya menyerupai ayam jago)

3. Kujang Kuntul (kujang yang bentuknya menyerupai burung kuntul)

4. Kujang Bangkong (kujang yang bentuknya menyerupai bangkong (kodok)

5. Kujang Naga (kujang yang bentuknya menyerupai ular naga)

6. Kujang Badak (kujang yang bentuknya menyerupai badak)

7. Kudi (pakarang dengan bentuk yang menyerupai kujang namun agak “kurus”).

Kepelbagaian bentuk Kujang. Sumber : Sumber : Kajian Historis dan Filosofis Kujang Oleh Aris Kurniawan

Sekiranya dilihat dari SUDUT FUNGSI kujang, kujang boleh dibahagikan menjadi beberapa jenis, iaitu:

(1) kujang sebagai pusaka (lambang keagungan seorang raja atau pejabat kerajaan)

(2) kujang sebagai pakarang (kujang yang berfungsi sebagai senjata untuk berperang)

(3) kujang sebagai pangarak (alat upacara)

(4) kujang pamangkas (kujang yang berfungsi sebagai alat dalam pertanian untuk memangkas, dan menebang tanaman).

Kujang dan Status Sosial Pemakai

Seperti Keris yang dipakai berdasarkan status sosial pemilik dalam masyarakat dengan melihat pada bilangan LUK keris, Kujang juga demikian. Cumanya status pemilik atau pemakai kujang ditilik pada bilangan MATA KUJANG. Pada zaman Pajajaran, Kujang dipakai berdasarkan status sosial seseorang dalam masyarakat seperti Raja, Putera Mahkota dan lainya yang mana jenis, bahan, bentuk pembuatannya tidak sama.

Kujang 6 Mata (koleksi penulis)

Apakah ia mata kujang? mata kujang ialah lubang-lubang kecil yang terdapat pada bilahan kujang yang pada awalnya lubang – lubang itu ditutupi logam (biasanya emas atau perak) atau juga batu permata. Semakin tinggi status sosial seseorang, semakin banyak jumlah mata pada kujang. Status bilangan mata, nama serta pangkat sosial seperti berikut :
1. Lubang mata 1 digelar Mandala Kasungka. Adakalanya dipanggil ngaherang. Pemegangnya adalah Guru Tangtu Agama.

2. Lubang mata 2 digelar Mandala permana. Adakalanya dipanggil lumenggang. Pemegangnya.

3. Lubang mata 3 digelar Mandala Karma. Adakalanya dipanggil gumulung. Pemegangnya adalah para puun.

4. Lubang mata 4 digelar Mandala Rasa. Adakalanya dipanggil gumelar. Biasa disebut wesi kuning. Pemegang adalah para puteri menak Keraton.

5. Lubang mata 5 digelar Mandala Seba. Adakalnya dipanggil mangrupa. Pemegangnya adalah Bupati, Geurang Serat, Geurang Puun.

6. Lubang mata 6 digelar Mandala Suda. Adakalanya dipanggil usik.

7. Lubang mata 7 digelar malik Mandala Jati. Adakalanya dipanggil malik. Pemegangnya adalah Prabu Anom, Mantri Dangka dan Pandita.

8. Lubang mata 8 digelar Mandala Sama. Adakalanya dipanggil ngajadi

9. Lubang mata 9 digelar Mandala Agung. Adakalanya dipanggil medal. Pemegangnya adalah Raja.

10. Lubang mata 10 digelar atau kembali 0 digelar nunggal, suwung.

“Mandala bermaksud dunia atau alam yang akan ditempuhi manusia.”

Bukan sahaja bilangan mata kujang menjadi faktor status sosial seseorang akan tetapi termasuk juga bentuk atau jenis Kujang. Ia seperti tersebut :

1. Kujang Ciung mata-9: hanya dipakai khusus oleh Raja.

2. Kujang Ciung mata-7: dipakai oleh Mantri Dangka dan Prabu Anom.

3. Kujang Ciung mata-5: dipakai oleh Girang Seurat, Bupati Pamingkis, dan para Bupati Pakuan

4. Kujang Jago: dipakai oleh Balapati, para Lulugu, dan Sambilan.

5. Kujang Kuntul: dipakai oleh para Patih (Patih Puri, Patih Taman, Patih Tangtu Patih Jaba, dan Patih Palaju), juga digunakan oleh para Mantri (Mantri Majeuti, Mantri Paséban, Mantri Layar, Mantri Karang, dan Mantri Jero).

6. Kujang Bangkong: dipakai oleh Guru Sekar, Guru Tangtu, Guru Alas, Guru Cucuk.

7. Kujang Naga: dipakai oleh para Kanduru, para Jaro, Jaro Awara, Tangtu, Jaro Gambangan.

8. Kujang Badak: dipakai oleh para Pangwereg, para Pamatang, para Palongok, para Palayang, para Pangwelah, para Bareusan, parajurit, Paratulup, Sarawarsa, para Kokolot.

KOSA KATA : Mantri Dangka (Perdana Menteri) , Prabu Anom (Raja Muda), Patih (Wakil Raja) Mantri (Pembantu Raja), Guru Sekar (Guru Vokal), Guru Tangtu (Orang yang mempunyai kebijaksanaan yang dirujuk untuk membuat keputusan melibat adat), Guru Alas (Pembimbing atau pemelihara hutan), Kanduru (Ketua Wilayah – seperti Kabupaten), Jaro (Ketua desa), Jaro Awara (Ketua pendekar), Bareusan (Pasukan khusus pajajaran), Kokolot (orang tua – sesepuh), Pakuwon : tempat tinggal ketua desa.
Alhamdulillah, dengan pertolongan sahabat yang bekerja di Muzium Prabu Guengsan Ulung, Sumedang, sebahagian istilah-sitilah jawatan di atas dapat diterjemahkan. Mohon maaf jika sebahagian tidak dapat dialih rumikan kerana menurut sahabat saya disana, sebahagian perkataan itu dari bahasa Sunda Buhun Baduy (Kanekes).

Saya teruskan kekalkan istilah-istilah jawatan di atas, ala kulli hal, moga mesejnya sampai yakni bilangan mata menunjukkan ketinggian status sosial seseorang.

Pusaka Kujang Yang Sakral

Bagi rakyat Jawa Barat, Kujang diyakini merupakan pusaka sakti dan kebanggaan Raja Pajajaran Prabu Siliwangi. Senjata Kujang yang di miliki kerajaan Pajajaran tersebut diberi nama Bayu Geni Ati dan Wira Geni, kedua kujang milik Prabu Siliwangi itu ibarat kembar dan sepasang yang tidak dapat dipisahkan.

Contoh Kujang Sepasang (sumber Kota Kayu Bertuah)

Kedua-dua  nama Kujang tersebut mempunyai maksud disebaliknya. Baik, kita perhalusi satu persatu:

Kujang Pertama “BAYU GENI ATI” makna yang terkandung di dalamnya adalah :

“Bayu” berarti angin yang bererti pula memberikan kesejukan, ketenangan dan kedamaian, Bayu juga berkonsepkan kebaikan dan kesucian.

“Geni” bererti api, sesuai dengan namanya Geni atau api bersifat panas, berani, nafsu amarah yang bertemakan keburukan.

“Ati” bererti hati. Hati kita tempat terpancarnya kebaikan dan keburukan, kebenaran dan kesalahan serta kedamaian.

Kujang Kedua “WIRA GENI” makna yang terkandung di dalamnya adalah :

“Wira” bererti Waspada atau kewaspadaan yang menjadi pengimbang dan pengawal dari kedua nilai yang bertentangan antara baik dan buruk, benar dan salah yang bersumber dari pancaran hati.

“Geni” dalam hati ini cenderung bersifat berani.

Kesimpulan

Menurut pengkaji Kujang, Aris Kurniawan dalam kajian beliau, Kajian Historis dan Filosofis Kujang, Secara umum, kujang mempunyai pengertian sebagai pusaka yang mempunyai nilai estetika yang bermakna filosofis dan simbolis budaya Sunda. Di mana nilai dan makna tersebut mempunyai kekuatan tertentu bersifat mistis yang berasal dari Hyang Tunggal. Sebagai sebuah wesi aji atau pusaka sejak dahulu hingga saat ini kujang menempati satu posisi yang sangat khusus dalam masyarakat Sunda.

Beliau juga menyebut, kujang merupakan karya budaya tradisi Sunda maka untuk menerjemahkannya harus menggunakan berbagai disiplin ilmu yang berasal dari tradisi budaya Sunda.

Logo Provinsi Jawa Barat Menggunakan Simbolik Kujang. Banyak logo sekolah, organisasi, syarikat atau jabatan kerajaan di Jawa Barat menggunakan simbol Kujang sebagai tanda semangat dan jati diri.

Hendaklah diketahui bahawa kebudayaan adalah proses yang sangat panjang hingga terlahir karya yang diwarisi secara turun temurun. Ia bukan dibina dalam sehari. Lingkungan yang berbeza melahirkan budaya yang berbeza, maka demikian Kujang lahir dari latar belakang budaya dan sejarah pembentuknya iaitu kebudayaan Sunda itu sendiri. Kujang mempunyai bentuk yang sederhana namun memiliki nilai yang luhur. Kujang adalah cerminan budaya, pola, pemikiran, spiritual masyarakat Sunda. Sebagai Jadi diri, kewujudan kujang sangat dekat dan melekat dalam masyarakat Sunda Jawa Barat.

Akhir kata, Kujang yang dimiliki suku Sunda ini menjadi salah satu kekayaan yang dimiliki oleh bangsa Indonesia atau Nusantara itu sendiri yang wajib dipelihara bukan sahaja fizikalnya akan tetapi termasuk nilai seni, sejarah dan spiritual yang melingkarinya.

Sekian,

Angah Sunan

www.facebook.com/angahsunan

Sumber Rujukan :

  1. Aris Kurniawan, Kajian Historis dan Filosofis Kujang, Desain Komunikasi Visual Itenas Bandung, Jurnal Itenas Rekarupa (2014).
  2. Suryadi – NIM 27005015, Kujang Sebagai Pusaka Tradisi Sunda: Tinjauan Estetik dan Simbolik, Program Studi Seni Rupa.
  3. Tedi Permadi, REKONSTRUKSI KUJANG PAMOR: Upaya Mengangkat Citra dan Entitas Sunda. Makalah pada pameran SawaRGI_Itenas. Program Studi Bahasa dan Sastra Indonesia Jurusan Pendidikan Bahasa dan Sastra Indonesia Fakultas Pendidikan Bahasa dan Seni – Universitas Pendidikan Indonesia.
  4. Dodih Heryadi, Zulpi Miftahuddin, Usulan Penelitian : Makna Simbol Kujang Pada Masyarakat Kampung Naga, Universitas Siliwangi (2017).
  5. Penelitian penulis (Angah Sunan) di Museum Prabu Geusan Ulun, Oktober 2017
  6. Cerita Lisan dari teman-teman di Jawa Barat (2017).
  7. Yekti Sriwulan, Kebudayaan Suku Sunda, Program Studi Pendidikan Sosiologi, Fakultas Ilmu Sosial dan Ekonomi, Universitas Negeri Yogyakarta.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

ANGAH SUNAN merupakan pendakwah bebas, penerbit dan penulis prolifik. Anak Jati Pulau Manis, Terengganu ini telah menghasilkan beberapa buah buku merangkumi bidang fiqh, tauhid - tasauf, travelog sejarah dan terjemahan (arab - melayu). Selain itu, pengajar bertauliah Majlis Agama Islam Selangor ini juga pernah terlibat dalam pembikinan Dokumentari Merah Laut Sulu di Jolo, Selatan Filipina pada tahun 2015. Link FB : www.facebook.com/angahsunan

Leave A Reply