Jumaat, 16 Oktober 202616 Okt 2026
Mutiara Islam

Rahsia Kebangkitan Tamadun Islam Menjadi Agung

Apa kunci kebangkitan umat Islam dahulu menempah keagungan dalam peradaban mereka? Apa rahsia disebalik lahirnya insan sehebat Al-Ghazali, Ibn Sina, Ibn Rushd, Ibn Nafis, Al-Khwarizmi, dan beberapa nama lagi yang timbul ketika zaman Abbasiyah yang dikenali sebagai “Zaman Keemasan Islam” oleh para sejarawan? Apakah rahsia kepada era yang membuatkan kita umat Islam terkenang-kenang keagungan silam ini, meromantismekannya pada setiap masa seperti forum akademik, sembang kedai kopi, buku dan juga dokumentari-dokumentari kita?

Apakah ketika itu
Khalifah Harun Ar-Rashid tiba-tiba menyuruh seluruh rakyat di bawah empayarnya
mempelajari Bahasa Yunani kerana betapa ilmu di dalam Bahasa Yunani? Apakah
Khalifah Umar Abdul Aziz mengeluarkan titah bahawa nak maju seperti bangsa Rom
dan Parsi, maka harus mahir dalam bahasa Latin dan Parsi? Saya ada berita buruk
anda. Malangnya ia tidak berlaku.

Kejayaan mereka yang
kita banggakan, sehinggakan memberi nyawa kepada Tamadun Eropah yang dilanda
kejatuhan dan kegelapan bermula dengan gerakan terjemahan besar-besaran, seawal
era Umaiyyah lagi. Antara proses terjemahan dari Bahasa Yunani ke dalam Bahasa
Arab terawal adalah dimulakan oleh Khalid ibn Yazid, anak kepada khalifah kedua
iaitu Khalifah Yazid.

Dan selepas itu,
Umaiyyah menyaksikan betapa proses penterjemahan ke dalam Bahasa Arab pun
bermula dengan pesat. Tentunya, bercakap mengenai Umaiyyah, kita tak boleh
terlepas daripada berbicara mengenai Khalifah Umar Abdul Aziz. Baginda
mengalakkan dan memberi sokongan kepada proses penterjemahan. Setiap
penterjemah diberikan hadiah yang lumayan untuk setiap karya yang diterjemakan
oleh mereka.

Sebenarnya pada zaman Khalifah Muawiyah sendiri proses terjemahan ini berlakunya. Sahabat nabi ini sudah mula mengumpulkan karya-karya ilmu ketika menjadi gabenor di Damsyik. Pada ketika itu, Muawiyah mengarahkan karya tersebut diterjemahkan dan ditempatkan dalam perpustakaan yang digelar sebagai Baitul Hikmah (berbeza dengan Baitul Hikmah ketika era Abbasiyah).

Contoh yang paling diingati pada zaman Umaiyyah ini ialah pada zaman Khalifah Malik bin Marwan. Betapa pada zamannya, proses penterjemahan karya-karya seperti perubatan dan astrologi dari Yunani mula mengambil alih. Bahkan pada zaman ini juga, kita menyaksikan penterjemahan lagu daripada Byzantine dan juga Parsi, sehinggakan ia mempengaruhi bentuk puisi orang Arab. Karya-karya falsafah terutama daripada Aristotle.

Apabila bercakap berkenaan dengan proses penterjemahan ini, nama seperti Hunayn bin Ishaq mestilah disebut kerana pada zaman Abbasiyah, beliau didabik sebagai penterjemah terbaik. Fasih dalam Bahasa Arab, Suryani, Parsi dan Yunani sangat membantu beliau menterjemahkan karya daripada Aristotle, Plato, Galen dan Hippocrates. Pada penghujung hayatnya, Hunayn telah menterjemahkan 95 karya daripada Galen, 14 karya daripada Hippocrates, 3 buah karya Aristotle dan sebuah karya Plato.

Pada era Abbasiyah
juga, Khalifah seperti Al-Mansur bertanggungjawab memindahkan pusat pemerintahan
daripada Damsyik ke Baghdad. Ketika sampai ke tanah Parsi ini, mereka bertemu
dengan segala isi perpustakaan agung tinggalan Dinasti Sasanid iaitu Akademi Gundishapur
yang diasaskan Raja Shapur I suatu masa dahulu. Akademi ini merangkumi
hospital, perpustakaan gergasi dan juga pusat pembelajaran untuk institut
pengajian tertinggi.

Antara khazanah
akademi ini mereka menyimpan rekod-rekod dari tamadun India yang merangkumi
perubatan, matematik, dan falsafah India. Khalifah Al-Mansur tidak mengarahkan
akademi ini dihancurkan, bahkan menyuruh segala isi ilmunya diterjemahkan ke
dalam Bahasa Arab. Mujurlah ketika itu, Al-Mansur tidak memaksa seluruh umat
Islam mempelajari sains dan matematik dalam Bahasa Parsi semata-mata untuk memahami
isi ilmu.

Proses penterjemahan
ketika era Abbasiyah ini pastinya memuncak kerana pembawaan teknologi pembuatan
kertas dari China selepas umat Islam menang dalam Pertempuran Sungai Tallas pada
751 Masihi dengan Dinasti Tang sendiri. Pembawaan teknologi pembuatan kertas
telah membuatkan penghasilan buku yang pelbagai, bahkan berbanding dengan
Dinasti Tang, Abbasiyah mampu menghasilkan kertas dalam skala yang besar. Kilang-kilang
kertas tumbuh merata di segenap sudut Empayar Abbasiyah.

Dan model-model yang wujud pada Akademi Gundishapur dan beberapa institut ilmu silam Parsi serta tradisi Parsi menterjemahkan ilmu-ilmu silam ke dalam bahasanya ini kemudiannya mengilhamkan kelahiran Baitul Hikmah (berbeza dengan perpustakaan yang diasaskan oleh Khalifah Muawiyah).

Baitul Hikmah ini diasaskan oleh Khalifah Harun Ar-Rashid, namun dikembangkan dibawah Khalifah Al-Ma’mun. Al-Ma’mun yang telah menaja proses terjemahan karya-karya ilmu dari pelbagai tamadun di dunia seperti Yunani, Rom, Syriac, Aramia, Parsi dan India ke dalam bahasa Arab. Al-Ma’mun telah menaja proses terjemahan karya-karya ilmu dari pelbagai tamadun di dunia seperti Yunani, Rom, Suryani, Aramia, Parsi dan India ke dalam bahasa Arab.

Segala cendekiawan dari seluruh dunia dikumpulkan di dalam Baitul Hikmah, lalu mereka melakukan proses menterjemahkan karya-karya ilmu ini. Bahkan dimaklumkan bahawa demi mengikuti perkembangan projek agungnya itu, setiap hari Al-Ma’mun akan berangkat melawat Baitul Hikmah untuk melakukan pemeriksaan hariannya. Bahkan dilaporkan baginda juga akan terlibat dalam aktiviti akademik institut tersebut.

Al-Ma’mun juga mengupah
para ilmuwan untuk mengembara ke seluruh dunia dan segala tamadun yang
diketahui pada waktu itu, dan mengutip khazanah ilmu di sana lalu dibawa pulang
ke Baitul Hikmah untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Setiap penterjemah
yang berjaya menterjemahkan akan dihadiahkan jongkong emas, yang akan
ditimbangkan berdasarkan berat buku yang diterjemahkan.

Dilaporkan bahawa dalam Baitul Hikmah, terdapat beberapa buah jabatan seperti jabatan terjemahan, jabatan saintis, jabatan penulisan, jabatan penyalinan dan jabatan yang fungsinya untuk menjilid dan mengumpulkan buku-buku yang ada. Baitul Hikmah yang bermula sebagai sebuah institut pengumpulan dan penterjemahan mula berubah sifatnya. Karya-karya yang diterjemahkan mula dibedah, dikritik, dibahas dan dianalisis sehingga melahirkan pelbagai ilmu baru, menyumbang lagi kepada tamadun manusia. Selebihnya ialah kelahiran pelbagai tokoh muslim yang masih kita idolakan sehingga hari ini.

Pengajaran yang
boleh kita ambil daripada pembentangan fakta-fakta sejarah di atas ialah
ciri-ciri kebangkitan sebuah tamadun berlaku bukanlah apabila memaksa setiap
anak bangsa itu mempelajari sebuah ilmu dalam bahasa asing. Setiap kebangkitan
yang dipamerkan, seperti mana Parsi dan umat Islam berlaku apabila proses
penterjemahan ke dalam ibunda sebuah bangsa berlaku.

Sesungguhnya
terdapat perbezaan besar antara belajar sebuah ilmu dalam bahasa asing dan juga
belajar dalam ibunda sendiri. Apa yang harus dilakukan oleh kerajaan ialah
wujudkan dasar penterjemahan sebesar, seaktif dan tersusun seperti yang
digerakkan oleh Al-Ma’mun dan Harun Ar-Rashid. InsyaALLAH, kejayaan akan
mendampingi kita seperti mana nenek moyang kita.

RUJUKAN:

Rababah, Hussien Abdo. (2015). The Translation Movement in the Arab World: From the Pre-Islamic Era Until the end of Umayyad Dynasty (Before 610-750 A. D.) International Journal of Language and Linguistics Volume 3, Issue 3, May 2015, Pages: 122-131

Gutas, D. (2012). Greek Thought, Arabic Culture. The Graeco-Arabic Translation Movement in Baghdad and Early ‘Abbasaid Society (2nd-4th 5th-10th centuries). Routledge.

Jim Al-Khalili (2011). “5: The House of Wisdom”. The House of Wisdom: How Arabic Science Saved Ancient Knowledge and Gave Us the Renaissance. Penguin Publishing Group.

O’Leary, De Lacy. (2002). How Greek Science Passed To The Arabs. Routledge.

Khan Academy. (n.d) The golden age of Islam. https://www.khanacademy.org/humanities/world-history/medieval-times/cross-cultural-diffusion-of-knowledge/a/the-golden-age-of-islam

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet