Sebut saja nama Firaun Akhenaten, pengkaji Mesir Purba cukup mengingati baginda dengan Aten. Aten ialah agama baru yang dijaja baginda yang menolak semua dewa-dewi Mesir dan menyembah satu Tuhan yang dipanggil Aten. Selain Aten, nama Nefertiti juga sinonim dengan Akhenaten.
Bagi pengkaji Mesir Purba, tidak banyak maklumat yang diketahui tentang permaisuri Akhenaten itu. Tiada maklumat berkenaan tarikh kelahiran atau kemangkatan baginda. Yang pasti, Nefertiti dibesarkan di istana diraja dengan kehidupan serba mewah dan lengkap.
Kekayaan sebegini bukan asing semasa era pemerintahan ayahanda Akhenaten, Amenhotep III. Pada ketika itu, Mesir Purba berada di puncak kegemilangannya tanpa dicabar sesiapa.
Apabila Nefertiti menginjak usia remaja, baginda berkahwin dengan Akhenaten yang ketika itu memakai gelaran Amenhotep IV. Tetapi ramai sejarawan percaya usianya jauh lebih muda semasa berkahwin dengan pewaris takhta Mesir Purba itu. Semasa Akhenaten menginjak usia pertengahan 20-an atau awal 30-an, baginda menaiki takhta menggantikan ayahandanya.
Pada tahun kelima pemerintahannya, nama Amenhotep IV yang digunakannya digugurkan dan digantikan dengan nama Akhenaten yang kita kenali hari ini. Bagi menandakan perubahan penyembahan agama sepanjang rejimnya, baginda turut menamakan semula Nefertiti dengan gelaran Neferneferuaten Nefertiti.
Orang Mesir Purba sudah biasa menyembah dewa-dewi seperti Amon, Ra, Anubis, Osiris dan Isis. Bila diminta meninggalkan semua itu semata-mata untuk menyembah agama baru Akhenaten, ia bukannya sesuatu yang mudah diterima.
Bagi meningkatkan penerimaan, taraf Nefertiti diangkat sama taraf dengannya dari segi aspek penyembahan Aten. Dengan dekri tersebut, ia meletakkan kedudukan baginda jauh lebih tinggi berbanding permaisuri-permaisuri Firaun lain. Kelahiran puteri sulung, Meritaten menunjukkan perkahwinan mereka mendapat rahmat dan berkat Aten – satu bentuk propaganda bagi menyakinkan warga Mesir Purba untuk menyembah Aten.
Dan sebagai tanda bahawa era dewa-dewi Mesir Purba sudah berakhir, Akhenaten memilih untuk bersemayam di ibu kota pilihannya Amarna. 250 batu di utara tebing timur Sungai Nil. Untuk beberapa tahun seterusnya, banyak wang dibelanjakan di situ bagi melonjakkan Aten sebagai anutan penduduk Mesir Purba.
Di Amarna, kebanyakan patung yang dibuat untuk Akhenaten dan Nefertiti mempunyai banyak persamaan seperti muka dan hidung panjang, badan panjang, perut buncit dan pinggang lebar. Persamaan ini bertujuan menunjukkan kepada warga Mesir Purba bahawa Aten merupakan ibu dan bapa kepada mereka. Perkara ini amat ditekankan Akhenaten bagi mewujudkan perpaduan dan mengundang keberkatan kepada negara.
Perubahan gaya artistik ini turut didorong oleh keinginan perubahan yang dibawa baginda. Seni bagi Akhenaten merupakan propaganda terbaik untuk menyebarluaskan ajaran Aten. Justeru, sebarang bentuk patung sebelum ini diubah kepada bentuk yang lebih bebas – dengan Nefertiti dan puteri-puterinya sebagai subjek golongan artisan Mesir Purba.
Di sebalik imej kerabat Mesir Purba yang harmoni, di luar sana, perubahan yang dibawa Akhenaten amat signifikan. Perbelanjaan besar untuk membina Amarna pada 1349 SM mengakibatkan perbendaharaan kerajaan kosong. Penguatkuasaan agama Aten menggantikan sembahan dewa-dewi Mesir Purba menimbulkan rasa kurang senang ramai warga Mesir ketika itu.
Sentimen ini tidak dibantu dengan hakikat kebanyakan buruh yang dibawa ke Amarna terdiri daripada golongan remaja dan kanak-kanak. Sementara cukai yang dikenakan bagi mengisi semula perbendaharaan sukar diterima oleh rakyat. Terima kasih kepada Akhenaten, semua bentuk kekayaan yang dibina Amenhotep III dibazirkan begitu saja tanpa sebarang hasil.
Selepas bertakhta sebagai Firaun selama 17 tahun, baginda mangkat pada usia 40 tahun. Selepas Tutankhamun menaiki takhta, segala perubahan yang dibawa Akhenaten segera dimansuhkan. Amarna yang sepatutnya pusat penyebaran agama Aten ditinggalkan begitu saja. Sementara semua rekod berkenaan baginda sama ada dipadamkan atau dimusnahkan.
Tetapi ramai tertanya-tanya apa yang terjadi kepada Nefertiti. Ada menyangka baginda tidak menonjolkan diri selepas Tutankhamun menaiki takhta. Namun begitu, ada juga yang membangkitkan teori bahawa baginda sebenarnya pernah memerintah Mesir Purba secara tidak langsung.
Mengikut teori ini, beberapa tahun sebelum mangkat, Akhenaten mengangkat Nefertiti sebagai pemerintah bersama Mesir Purba. Setelah baginda mangkat, pemerintahan diatur secara sementara olehnya menggunakan nama Ankhkheperure Smenkhkare sebelum Tutankhamun cukup matang diangkat sebagai Firaun seterusnya.
Jika teori ini benar, ini menjadikan Nefertiti menyertai kelab eksklusif pemerintah wanita Mesir Purba. Tetapi ini juga meletakkannya dalam kedudukan sama seperti Hatshepsut yang menaiki takhta sebagai Firaun bagi melindungi putera tirinya Thutmose III. Bagaimanapun, tanpa sebarang rekod atau bukti arkeologi yang menyokong teori ini, ia sekadar teori di atas kertas.
Satu lagi persoalan yang memeningkan kepala pengkaji Mesir Purba ialah lokasi sebenar makam baginda. Mengikut perancangan, Nefertiti sepatutnya dimakamkan di Makam Diraja Akhenaten, Amarna. Tetapi ekskavasi sekitar Amarna dan Lembah Raja-Raja yang turut menempatkan makam Tutankhamun tidak menemukan permaisuri kesayangan Akhenaten itu.
Tetapi imbasan yang dibuat pada makam Tutankhamun mendapati wujud anomali di bawah makam baginda. Ini menyebabkan pengkaji Mesir Purba berspekulasi ini berkemungkinan lokasi sebenar makam Nefertiti. Sama ada teori ini benar atau tidak, ia satu prospek yang mengujakan komuniti pengkaji Mesir Purba.
RUJUKAN
National Geographic. (2022. 3 Mac). Nefertiti was more than just a pretty face.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih