Isnin, 12 Oktober 202612 Okt 2026
Rahim Tiruan Pertama Di Dunia Untuk Manusia
Teknologi & Kejuruteraan

Rahim Tiruan Pertama Di Dunia Untuk Manusia

Idea
rahim tiruan ini yang kita ketahui berada dalam dunia sains fiksyen sahaja.
Bagi penggemar siri animasi Gundam terutama Gundam Seed, pasti sudah arif
dengan rahim tiruan yang digunakan untuk menghasilkan Coordinator seperti Kira
Yamato. Tetapi sekumpulan saintis di Belanda mengumumkan dalam tempoh 10 tahun,
mereka akan menghasilkan rahim tiruan yang dapat menyelamatkan ramai bayi
pra-matang yang dilahirkan.

Menurut
Lisa Mandemaker, seorang pereka yang bekerjasama dengan Pusat Perubatan Maxima
untuk menghasilkan prototaip rahim tiruan ini, sebarang rekaan rahim hendaklah
mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan bayi itu. Rekaan rahim tiruan
mereka terdiri daripada lima belon besar di mana bayi ditempatkan di situ dan
berenang dalam cecair mereka. Terdapat peredaran berbeza pada tiub yang
diletakkan pada belon-belon ini seperti peredaran cecair dan darah untuk
membantu bayi-bayi pra-matang ini lebih selesa.

Mandemaker
mengakui rekaan yang dibuat agak rumit dengan tujuan mengelakkan ia dari ditiru
oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab. Ini kerana sekiranya rekaan
ini terdedah kepada orang luar, ia sudah pasti akan mengundang rasa kurang
percaya golongan ibu terhadap pihak berkuasa kesihatan yang ditugaskan menjaga
kebajikan bayi mereka. Menurut pakar sakit puan dari Pusat Perubatan Maxima, Dr
Guid Oei, beliau menganggap idea rahim tiruan ini sebagai sesuatu yang boleh
dilakukan dan tidak mustahil seperti disangka ramai.

Ini
kerana perbezaan antara rahim tiruan dengan inkubator ialah rahim tiruan
dipenuhi dengan cecair sementara inkubator dipenuhi dengan udara. Menurut Dr
Oei, inkubator boleh mencetuskan pelbagai masalah kepada bayi pra-matang teruk
di mana udara boleh merosakkan paru-paru bayi. Justeru, apabila bayi sebegini
lahir, ia akan terus diletakkan dalam rahim tiruan di mana ia telah diisi
dengan air dan pelbagai jenis mineral. Bayi akan mendapat manfaat semua ini
termasuk oksigen menerusi tali pusatnya dan selepas empat minggu dalam pemantauan,
bayi ini akan dikeluarkan seperti dilahirkan buat kali kedua.

Menurut
Dr Oei, ciptaan sebegini boleh menyelamatkan ramai nyawa bayi. Setiap tahun,
dianggarkan 15 juta bayi dilahirkan dalam keadaan pra-matang dan separuh
daripadanya mati tidak lama selepas dilahirkan. Tambahnya, beliau tahu berita
kelahiran anak merupakan sesuatu yang dinanti oleh ibu bapa. Tetapi bila si
bayi mengalami masalah kelahiran pra-matang yang teruk, sesetengah terpaksa
diletakkan dalam inkubator sehinggalah mereka cukup sihat. Dengan menggunakan
model rahim tiruan itu, bayi pra-matang seberat 400 gram boleh diletakkan di
situ.

Sementara
Mandemaker pula berpandangan rahim tiruan akan menjadi sebahagian daripada
pilihan gaya hidup wanita pada masa hadapan. Tambahnya, rahim tiruan
membolehkan wanita dapat mengelak pelbagai isu yang dihadapi semasa mengandung
seperti mabuk waktu pagi dan pertambahan berat badan. Bagaimanapun, gagasan itu
kurang dipersetujui Dr Oei kerana tidak diketahui apa impak rahim tiruan kepada
bayi sekiranya idea itu direalisasikan. Ini kerana mereka perlu mengambil kira
kesan jangka pendek dan jangka panjang terhadap bayi sebelum ianya diteruskan.
Tambahnya lagi, projek ini sudah memakan masa lima tahun dan bila mereka sudah
bersedia, mereka akan meletakkan bayi pra-matang dalam model rahim tiruan.

RUJUKAN

Devlin,
Kayleen. (2019). The world’s first artificial womb for humans. BBC. https://www.bbc.com/news/av/health-50056405/the-world-s-first-artificial-womb-for-humans

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet