Peneroka Artik yang pertama bukanlah sepertimana yang kita jangkakan. Lebih 2300 tahun lalu, Pytheas of Massalia mengembara ke Bulatan Artik dan pulang tanpa ada seorang pun yang mempercayai kisah pengembaraannya.

Pada zaman di mana kebanyakan manusia mempercayai bahawa terbit dan terbenam matahari adalah kerana ditarik oleh dewa, Pytheas berjaya tiba di sebuah tempat di mana matahari langsung tidak terbit sepanjang musim sejuk. Beliau menemui tempat yang dilitupi ais, lautan beku, dan ketulan aisberg. Tatkala pulang ke tanah airnya, beliau berkongsikan pengalamannya tanpa dipercayai sesiapa pun.

Penemuannya itu sangat mengagumkan hinggakan mengambil masa lebih 1000 tahun untuk dibuktikan benar.

Lukisan Andreas Kornerup yang menggambarkan seorang peneroka di Artik

SIAPAKAH PYTHEAS?

Tidak banyak maklumat yang kita miliki tentang latar belakang dan kisah hidup Pytheas. Apa yang kita ketahui, beliau ialah ‘seorang lelaki miskin’ yang mengembara ke utara dengan wangnya sendiri, tanpa dibantu oleh pihak penguasa. Selain daripada itu, kesemuanya hanya spekulasi belaka. Setiap patah perkataan yang ditulisnya telah pun hilang ditelan sejarah, namun maklumat yang kita peroleh tentang pengembaraannya datang daripada mereka yang langsung tidak mempercayai kisah tersebut.

Tugu Pytheas oleh Auguste Ottin (1811-1890) di Marseille

Pada hakikatnya, keraguan dan penolakan umum terhadap kisah pengembaraan oleh pelayar miskin seperti Pytheas agak munasabah lantaran laluan laut ke utara akan membawanya ke Selat Gibraltar (Jabal Tariq) atau disebut sebagai Tiang Hercules di zaman purba. Untuk merentasi selat tersebut, beliau perlu melepasi sekatan yang dilakukan oleh tentera Carthage.

Namun entah bagaimana, Pytheas dan rakan-rakannya berjaya melepasi sekatan tersebut. Sejarahwan moden mempunyai teori yang tersendiri bagi menerangkan hal tersebut, namun ia tidak lebih dari sekadar andaian liar. Satu-satunya penjelasan yang ditinggalkan oleh dunia purba kepada kita pula hanyalah kenyataan yang menyifatkan Pytheas sebagai seorang penipu dan tiada satu pun kisah pengembaraan yang diceritakannya itu benar-benar terjadi.

Apapun, menurut kisah yang dicatatkan, Pytheas berjaya melepasi sekatan tentera dan melanjutkan perjalanan ke Britain dan mengelilingi pulau tersebut.

Selat Gibraltar

Selepas mengelilingi Britain, Pytheas bergerak ke utara dan mencari sebuah pulau yang masih belum diteroka, sebagaimana yang dihikayatkan oleh penduduk tempatan. Menurut anggapan umum, hikayat tersebut hanyalah dongeng semata kerana masing-masing meyakini bahawa tiada pulau mahupun daratan di utara Britain, melainkan lautan belaka. Justeru kata mereka, perjalanan Pytheas ini hanya akan membawanya ke hujung dunia.


PENEMUAN THULE

Selepas enam hari meredah lautan, beliau melihat daratan di ufuk. Daratan pantai yang berbatu dan tinggi itu dinamakannya sebagai Thule. Tiada siapa yang dapat mengetahui secara pasti, negara apakah yang ditemui itu – mungkin Iceland ataupun Norway. Namun menurut sejarah, kedua-dua negara itu hanya diteroka oleh orang-orang Eropah seribu tahun kemudian.

Namun, pemerinciannya tentang keadaan langit seakan-akan mengisyaratkan bahawa Pytheas berada berhampiran Bulatan Artik. Beliau memerihalkan tentang bagaimana bintang-bintangnya berubah, dan keadaan langitnya persis seperti yang dapat kita lihat di sekitar Iceland. Beliau juga memerincikan tentang betapa singkatnya waktu siang.

Pytheas turut menyatakan bahawa ketika tiba di sana, terdapat manusia yang mendiami kawasan tersebut – yang mana jika Thule adalah Iceland, maka hal ini merupakan suatu hal yang signifikan kerana menurut pengetahuan umum, negara itu tidak berpenghuni dan hanya dikolonikan 1000 tahun kemudian.

Menurut Pytheas, masyarakat tempatan mengalami kesukaran untuk hidup dalam keadaan matahari yang jarang muncul, tumbuhan dan haiwan pula tidak banyak yang dapat hidup. Mereka hanya melangsungkan hidup dengan memakan milet (sejenis bijirin), buah-buahan dan akar-akar kayu.

“Pada musim panas pula tiada waktu malam,” lapor Pytheas tentang keadaan di Thule. Bagi individu yang hidup pada kurun ke-4SM, keadaan ini semestinya suatu yang mengagumkan. Pytheas berpeluang menyaksikan perkara yang tidak disaksikan oleh mana-mana orang Yunani lain.

Peta Artik kurun ke-16

LAUTAN BEKU

Pytheas melanjutkan perjalanan lagi ke utara, melangkaui kawasan yang pernah diterokai oleh mana-mana orang Eropah di zamannya. Beliau terus berlayar sejauh satu hari perjalanan dari Thule dan tiba di sebuah tempat yang tidak dapat diperincikan olehnya. Di sana, terdapat ciri pada lautan yang beliau gambarkan sebagai ‘bukanlah daratan sepenuhnya, dan bukan pula lautan sepenuhnya, dan juga bukan udara sepenuhnya. Namun ia merupakan sesuatu yang konkrit dari kesemua elemen ini, bagaikan jantung laut.”

Pada hari ini, sejarahwan meyakini bahawa apa yang cuba digambarkannya itu adalah ketulan aisberg. Tanpa ada sebarang rujukan untuk membuat gambaran, maka pemilihan perkataan oleh Pytheas agak aneh. Beliau menyebutkannya sebagai “sesuatu yang (bersifat) seperti obor-obor”, yang “kamu tidak boleh berjalan atau berlayar di atasnya.”

Lantaran disekat oleh lautan beku, Pytheas terpaksa berpatah balik. Apapun, beliau sudah pun menyaksikan ciri alam yang belum pernah disaksikan malah dibayangkan oleh mana-mana manusia di zaman itu. Dari Mediterranean, Pytheas mengembara ke Bulatan Artik, yang mana lautannya sendiri membeku.

DIRAGUI DI ZAMANNYA

Sekembalinya Pytheas, tiada seorang pun yang mempercayai kisah pengembaraannya. Sumber terbaik yang memerihalkan tentang pengembaraan beliau datang dari Strabo, lelaki yang begitu membenci Pytheas hinggakan beliau tidak menulis nama Pytheas tanpa meninggalkan kata-kata cercaan kepadanya.

Setiap kali menulis namanya, Strabo akan menambah, “Pytheas, yang menipu semua orang,” atau, “Pytheas, yang kerananya ramai telah tertipu.” Pada bahagian lain, Strabo malah berjenaka dengan mengatakan bahawa meminta Pytheas agar tidak menipu adalah sama seperti meminta penjugel agar tidak menjugel.

Menurut sejarah umum, Iceland tidak dihuni melainkan pada tahun 800M dan zaman penerokaan pula tidak bermula melainkan pada tahun 1400M. Selama lebih seribu tahun, iada seorang pun warga Eropah yang berpeluang melihat apa yang telah disaksikan oleh Pytheas.

Hanya seribu tahun berikutnya, barulah kisah pengembaraannya dipercayai. Pada hari ini, ramai sejarahwan yang melakukan perbandingan antara kisah pengembaraannya dengan maklumat yang kita ketahui pada hari ini (tentang Bulatan Artik).

Lebih 2000 tahun selepas kematiannya, kisah Pytheas terbukti benar. Kebanyakan sejarahwan moden mempercayai kisah pengembaraannya, namun Pytheas sendiri tidak berpeluang meyakinkan dunia di zamannya tentang pengalaman beliau itu sehingga akhir hayatnya.

TERJEMAHAN:

Mark Oliver. (2 Mei 2017). Did This Ancient Explorer Make It to the Arctic in 325 BC? Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/did-ancient-explorer-make-it-arctic-325-bc-008005


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.