Semasa Ratu Elizabeth II ditabalkan sebagai pemerintah baru England menggantikan ayahandanya, Raja George VI pada tahun 1953, tumpuan seharusnya diberi kepada upacara pertabalan tersebut. Tetapi mata-mata yang menonton lebih berminat melihat kelakuan adinda ratu, Puteri Margaret dengan Kapten Peter Townsend yang berkhidmat dengan keluarga diraja. Intim dan mesra tetapi sudah cukup menimbulkan skandal dalam kalangan anggota kerabat diraja Britain. Bagi Puteri Margaret, ini bukan satu-satunya kontroversi yang dicetuskan sepanjang hayat baginda tetapi ia sedikit sebanyak mematahkan pelbagai mitos dan tabu menyelubungi monarki British.

Hubungan Puteri Margaret dengan Townsend terjalin sejak awal tahun 1950-an lagi. Dikenali dengan rupa yang tampan dan pandai mengambil hati sesiapa, tidak mengejutkan mengapa adinda Ratu Elizabeth II ini boleh jatuh hati dengan kapten Tentera Udara Diraja Britain (RAF). Malangnya, kalau melihat statusnya, Townsend dilihat tidak sepadan dengan taraf Margaret sebagai anggota kerabat diraja. Walaupun hubungan cinta ini bijak dirahsiakan tetapi hubungan tersebut diketahui umum hingga mencetuskan skandal. Ini kerana demi meraih cinta Margaret, Townsend rela menceraikan isteri pertamanya, Cecil Rosemary Pawle dan melamar kekasihnya itu sebagai isterinya, satu cadangan yang dipersetujui baginda.

Figure 1: Kapten Peter Townsend (kiri).

Dan situasi ini sudah menimbulkan kegusaran dalam kalangan anggota kerabat istana. Ini kerana tindakan seorang pewaris takhta mengahwini orang biasa dan berstatus duda boleh diibaratkan menconteng arang monarki British. Sudahlah Gereja Anglican ketika itu memandang hina isu perceraian, situasi sebegini turut meletakkan Ratu dalam keadaan dilema memandangkan statusnya sebagai ketua negara dan ketua gereja. Sekiranya Elizabeth II membenarkan Puteri Margaret berkahwin dengan Townsend, ramai akan melihat baginda seolah-olah merestui perceraian.

Ini ditambah pula dengan perlaksanaan Akta Perkahwinan Diraja 1772 yang digubal semasa pemerintahan moyang baginda, George III. Raja George III menggubal undang-undang tersebut kerana kebencian baginda terhadap mana-mana anggota kerabat diraja yang berkahwin dengan orang biasa. Menurut undang-undang tersebut, mana-mana keturunan baginda yang mahu berkahwin perlu mendapat keizinan diraja. Sekiranya gagal berbuat demikian, mereka boleh berkahwin dalam masa setahun selagi mana dua badan utama Parlimen iaitu House of Commons dan House of Lords merestui perkahwinan tersebut. Dalam kes Margaret, baginda perlu mendapat izin kekandanya sendiri untuk mengahwini Townsend. Dan jika gagal, Margaret perlu merayu kepada Parlimen tetapi itu sudah pasti akan menimbulkan skandal lebih besar berbanding hubungannya dengan Townsend.

Dan Margaret perlu mempertimbang faktor sejarah isu ini yang menyelubungi keluarga diraja 16 tahun sebelumnya. Pada tahun 1930-an, semua sedia maklum hubungan cinta bapa saudara baginda, Edward VIII dengan sosialit Amerika Syarikat berstatus janda, Wallis Simpson. Dan terima kasih kepada hubungan tersebut, baginda turun dari takhta demi mengejar cinta sejatinya itu. Akibatnya, Raja George VI menaiki takhta menggantikan kekandanya itu sebelum ia diambil alih oleh Elizabeth II. Dengan membuat permohonan sebegitu tatkala luka lama masih belum sembuh, ianya sesuatu yang mustahil untuk diperkenankan baginda. Ini ditambah respon orang ramai yang melihat pasangan ini sebagai tidak sepadan. Untuk memuaskan hati adindanya yang tercinta, Ratu memberi tempoh dua tahun sebelum Margaret boleh berkahwin dan menempatkan Townsend di sebuah pos di Brussels.

Satu adegan yang dipaparkan dalam drama bersiri Netflix, The Crown yang menampilkan Claire Foy sebagai Ratu Elizabeth II, Matt Smith (Doctor Who) sebagai Putera Philip dan Vanessa Kirby (Jupiter Ascending) sebagai Puteri Margaret menunjukkan Ratu menghalang perkahwinan Margaret atas alasan menyelamatkan maruah monarki. Hakikatnya, baginda sebenarnya sudah bersedia memberi lampu hijau kepada perkahwinan tersebut. Ini ditambah pula Perdana Menteri ketika itu, Anthony Eden sendiri yang berstatus duda dan baru berkahwin semula. Antara ikrar Eden ialah meminda akta tersebut dengan menyingkirkan Margaret dari senarai pewarisan takhta tetapi masih mengekalkan statusnya sebagai anggota kerabat diraja Britain. Dalam suratnya kepada Perdana Menteri negara-negara Commonwealth, Eden menulis, “Tuanku tidak mahu menghalang kebahagiaan adindanya.” Beliau menambah dalam surat sama, “Penyingkirannya dari senarai pewarisan takhta sama sekali tidak akan mengubah kedudukan Puteri Margaret sebagai anggota kerabat diraja.” Catatan ini sebenarnya menunjukkan sentimen simpati Eden dan kabinet beliau terhadap baginda.

Namun anehnya, tiga hari selepas draf pindaan undang-undang tersebut dikeluarkan, Puteri Margaret memutuskan untuk tidak berkahwin dengan Townsend. Tidak diketahui sama ada ia berkait dengan pindaan tersebut atau tidak. Yang pasti, perkahwinan yang dianggap menimbulkan skandal itu tidak berlaku akhirnya. Bagi Townsend pula, beliau berkahwin dengan seorang wanita Belgium bernama Marie-Luce Jamagne pada tahun 1959 di mana rupa parasnya mirip wajah Puteri Margaret. Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu dua anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Setahun selepas bekas kekasihnya berkahwin, giliran Margaret pula berkahwin dengan seorang jurugambar bernama Antony Armstrong-Jones. Walaupun mempunyai latar belakang orang biasa, ramai menganggap beliau secocok dengan Puteri Margaret kerana datang dari sebuah keluarga cendekiawan dan seniman terkenal serta tidak pernah bercerai. Tetapi selepas selesai upacara perkahwinan yang berlangsung meriah, rumahtangga yang dibina berakhir dengan kegagalan. Walaupun perkahwinan baginda membantu memecah halangan taraf sosial Britain yang masih menebal, secara peribadi perkahwinan yang dibina itu sudah dilanda pelbagai masalah.

Figure 2: Antony Armstrong-Jones

Dari segi luaran, mereka cuma sepasang suami isteri biasa dalam era 60-an di mana masanya dihabiskan dengan parti, rakan-rakan dan kesenian. Namun di sebalik semua itu, perkahwinan tersebut runtuh berikutan sikap Margaret yang gemar berparti. Sementara Armstrong-Jones pula bermain kayu tiga di belakang baginda dengan mengadakan hubungan dengan lelaki dan wanita. Dalam buku biografi Snowdon: The Biography yang ditulis oleh Anne de Courcy, beliau berkata, “Aku tidak jatuh cinta dengan lelaki tetapi beberapa lelaki sudah mencintai aku.” Armstrong-Jones turut mempunyai hubungan sulit selama 20 tahun dengan seorang wanita bernama Ann Hills. Selepas 18 tahun, perkahwinan tersebut berakhir dengan perceraian dengan pendedahan gambar Margaret bersama seorang lelaki bernama Roddy Llewellyn yang diterbitkan dalam sebuah akhbar tabloid. Apabila ditanya wartawan, baginda mengakui perkahwinannya sudah berakhir dengan de Courcy menggelarnya ‘drama perkahwinan paling serius sejak insiden Edward VIII turun takhta’.

Margaret mungkin tidak boleh mengahwini seorang duda tetapi baginda boleh meminta cerai dan kali ini, tiada siapa yang boleh menghalangnya. Buktinya pada tahun 1978, baginda anggota kerabat diraja British pertama yang bercerai dalam tempoh 77 tahun. Walaupun tindakannya itu dikecam ramai ketika itu, ia sebenarnya memecahkan tabu perceraian dalam kalangan anggota kerabat diraja Britain dan menunjukkan sisi realistik kehidupan cinta dan perkahwinan keluarga diraja. Sejak itulah, lebih ramai anggota kerabat diraja termasuk Putera Charles dan Puteri Diana memilih untuk berpisah. Dan dengan kadar perceraian kebangsaan yang semakin meningkat, Margaret menunjukkan kepada dunia bahawa anggota monarki British hanyalah manusia biasa dan kehidupan di istana sebenarnya tidaklah seindah seperti dibayangkan.

Kini Akta Perkahwinan Diraja 1772 sudah dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Pewarisan Takhta 2013. Hanya enam orang pertama dalam senarai pewarisan takhta saja yang perlu meminta izin raja atau ratu yang memerintah untuk berkahwin. Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Nick Clegg berkata, “Akta ini memperlihatkan penekanan kerajaan pada soal kesaksamaan yang telah diinjak berkurun lamanya atas sebab jantina dan keagamaan. Akta ini juga meletakkan undang-undang pewarisan takhta seiring dengan abad ke-21 dan struktur raja berperlembagaan moden.” Tidak diketahui sama ada kisah cinta Margaret ini menjadi punca kepada penggubalan undang-undang tersebut tetapi yang pasti, ia mengubah mentaliti rakyat Britain terhadap perkahwinan dan perceraian.

SUMBER

  1. BBC. (2015). New rules on royal succession come into force. http://www.bbc.com/news/uk-32073399
  2. BBC. (2016). Did the Queen stop Princess Margaret marrying Peter Townsend? http://www.bbc.com/news/magazine-38032464
  3. Blakemore, Erin. (2018). History.com. Why Princess Margaret Sacrificed Love for the Crown. https://www.history.com/news/why-princess-margaret-sacrificed-love-for-the-crown

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.