Pada 31 Mac 1911, dianggarkan 100,000 orang berkumpul di dok di Belfast untuk menyaksikan pelancaran kapal terbaru White Star Line, RMS Titanic. Titanic merupakan kapal paling besar dan mewah pada zamannya dengan panjang lebih dari 800 kaki dan mempunyai ketinggian 175 kaki. Ia dilengkapi dengan teknologi terkini ketika itu termasuk panel kawalan elektrik, empat lif dan sistem komunikasi wayarles. Tetapi pada malam 14 April 1912, empat hari selepas bertolak dari Southampton, kapal tersebut berlanggar dengan aisberg di luar perairan Newfoundland dan karam. Apa sebenarnya punca kapal yang digelar tidak boleh tenggelam ini karam?
1. KEBAKARAN PADA TEMPAT SIMPANAN ARANG
Selepas menonton dokumentari Titanic: The New Evidence, wartawan Senan Molony mendakwa punca sebenar karamnya kapal Titanic bukannya akibat berlanggar dengan aisberg pada malam 14 April 1912. Sebaliknya beliau mendakwa punca sebenar kapal tersebut karam ialah wujudnya kebakaran pada tempat simpanan arang di bilik dandang sebelum ia meninggalkan pelabuhan Southampton. Kebakaran tersebut melemahkan struktur kapal dan perlanggaran dengan aisberg itu sebenarnya jauh lebih buruk dari apa yang disangkakan. Molony kemudian menunjukkan gambar di mana kawasan kebakaran itu berlaku yang menunjukkan tanda hitam pada bahagian tepi kapal. Gambar tersebut diambil di limbungan kapal Harland dan Wolff di Belfast, Ireland Utara pada April 1912 oleh John Westbeech Kempster, seminggu sebelum ia memulakan pelayaran sulungnya ke New York.
Kebakaran ini juga menjadi punca mengapa Kapten Edward Smith memutuskan untuk melajukan kapal dengan kelajuan penuh menyeberangi utara Lautan Atlantik walaupun kapal tersebut direka untuk keselesaan dan bukan untuk kelajuan. Pada Mesyuarat Tahunan Persatuan Geologi Amerika (GSA) 2004, seorang jurutera dari Universiti Negeri Ohio bernama Robert Essenhigh membentangkan satu teori mengapa kebakaran ini memaksa Titanic berlayar dengan laju. Essenhigh berkata, “Jika ada sebab untuk kapal itu bergerak laju, ia mesti sesuatu yang penting seperti kebakaran pada tempat simpanan arang yang perlu dipantau, terkawal dan boleh dipadamkan sebaik ia berlabuh.” Laporan GSA turut menambah, “Teknik standard untuk mengawal dan memadamkan api di kapal-kapal stim ialah meningkatkan kadar pemindahan arang dari tempat simpanan ke bilik dandang untuk mengurangkan timbunan arang. Dari situ, ia memerlukan kadar stim bertambah dan pertambahan kelajuan kapal.”
2. TERLEPAS AMARAN AISBERG
Operator radio, Jack Phillips tidak menyerahkan mesej terakhir yang diterima dari kapal SS Californian yang memberi amaran tentang aisberg kepada Smith. Alasan di sebalik tindakan ini ialah mesej tersebut tidak mengandungi akronim MSG (Masters’ Service Gram) yang memerlukan kapten untuk mengakui bahawa ia telah menerima mesej itu. Phillips menganggap mesej tersebut tidak penting dan tidak menyerahkan maklumat kritikal tersebut kepada Smith. Sebaliknya, dia meneruskan tugasnya seperti biasa dengan menghantar mesej penumpang kepada penerima di pesisir Cape Race, Newfoundland sebelum ia terkeluar dari jarak radio.
3. SALAH PUSING?
Satu dakwaan sensasi muncul membabitkan cucu pegawai kanan Titanic terselamat, Charles Lighttoller pada tahun 2010. Menurut Louise Patten, krew seharusnya diarahkan memusing bam kapal ke sebelah kanan berdasarkan arahan Pegawai Pertama William Murdoch. Malangnya apabila arahan tersebut sampai pada jurumudi, Robert Hitchins, Hitchins memilih untuk memusing kemudi ke sebelah kanan. Dengan tempoh empat minit untuk memusing haluan, tatkala Murdoch mengesan kesilapan jurumudi, ianya sudah terlambat dan secara tidak langsung membawa kepada karamnya kapal tersebut. Patten turut berpandangan sekiranya kapal berhenti di mana ia berlanggar, air laut tidak akan masuk mencurah-curah dalam bahagian kapal dan kapal berkemungkinan karam lebih perlahan, sekaligus memberi peluang kapal lain datang dan menyelamatkan penumpang atau senario paling baik, ditunda ke pelabuhan. Bagaimanapun menurut Patten, itu tidak berlaku kerana pengerusi White Star Line, J. Bruce Ismay didakwa mengarahkan kapal meneruskan pelayaran dengan perlahan. Versi peristiwa ini diadaptasi Patten dalam novelnya berkenaan tragedi Titanic, Good as Gold.
4. RIVET
Semasa ekspedisi pencarian Titanic yang diketuai saintis dan peneroka National Geographic, Robert Ballard menemui bangkai kapal malang itu pada tahun 1985, kapal tersebut dilihat pecah dan bukannya karam dalam keadaan ia masih sempurna. Ini mengundang rasa ingin tahu dalam kalangan para saintis mengapa ia berlaku sedemikian. Pada mulanya, keadaan besi yang lemah menjadi punca Titanic tenggelam. Tetapi selepas beberapa ujian diadakan, hanya bahagian besi lemah itu saja bermasalah sementara bahagian lain tidak mengalami masalah seperti itu. Ini mendorong pakar besi Tim Foecke dan Jennifer Hooper McCarty menyiasat rivet yang digunakan untuk memasang panel besi tersebut. 48 rivet yang ditemui dari kawasan bangkai mula diperiksa dan ia mengandungi slag, saki-baki dari proses peleburan yang menyebabkan besi lebih cepat rosak.
Selepas melihat arkib Harland dan Wolff, mereka mendapati cita-cita membina tiga kapal besar memberi tekanan besar kepada limbungan kapal. Foecke berkata, “Ini bukan masalah kos tetapi akibat tekanan masa, mereka mula menggunakan bahan-bahan berkualiti rendah untuk isi ruang.” Dan apabila Titanic berlanggar dengan aisberg, rivet besi yang lemah ini terkeluar dan membuka ruang besar pada badan kapal serta mempercepatkan proses kapal tersebut karam. Bagaimanapun, ia dibantah oleh bekas penjaga arkib Harland dan Wolff, Tom McCluskie kerana kapal sezaman Titanic, RMS Olympic turut dipasang dengan besi yang sama dan berkhidmat tanpa sebarang insiden selama 25 tahun.
5. AISBERG
Keadaan cuaca di utara Atlantik amat kondusif untuk aisberg yang berada di persimpangan Arus Labrador dan Angin Teluk berikutan keadaan air laut yang panas di situ. Menurut Richard Norris dari Institut Oseanografi Scripps, keadaan sebegitu menyebabkan aisberg, ais laut dan aisberg kecil tertumpu di sesetengah kawasan yang boleh menyebabkan perlanggaran dengan kapal-kapal.
Dan ini turut dipengaruhi satu fenomena aneh di mana ombak menolak aisberg sehingga berada di laluan Titanic. Fenomena yang dimaksudkan ialah fenomena bumi berada hampir dengan bulan dan matahari, persamaan yang berlaku lebih satu milenia lalu. Fenomena ini menerangkan bagaimana Titanic dan kapal-kapal lain bertembung dengan ais termasuk aisberg yang akhirnya menenggelamkan kapal yang dianggap tidak boleh ditenggelamkan.
Satu lagi fenomena yang menyebabkan sukar untuk Titanic mengelak dari berlanggar dengan aisberg ialah keadaan atmosfera yang menyebabkan ilusi optikal. Ini menyukarkan pemerhati Titanic dari melihat dengan jelas aisberg. Dan ini juga menjelaskan mengapa Titanic nampak lebih dekat dan kecil mengikut pandangan dari kapal Californian. Mengikut krew mereka, Titanic hanyalah satu kapal berlainan tanpa komunikasi radio, sekaligus menghalang mereka dari berkomunikasi dengan kapal malang itu. Dengan keadaan sebegitu dan dari sudut pandang mereka, kapal paling besar dan paling mewah yang tenggelam itu disangka sudah berlayar pergi dari kawasan berbahaya.
6. BINOKULAR TERSIMPAN
Pegawai kedua David Blair diberi tugas memegang kunci stor binokular Titanic. Tetapi sebelum ianya berlayar pada perlayaran sulungnya, Blair dipindahkan dari kapal tersebut dan terlupa menyerahkan kunci tersebut kepada pegawai yang menggantikannya. Ini memaksa pemerhati kapal menggunakan pancaindera mereka untuk melihat keadaan sekeliling pada malam kapal tersebut karam. Sesetengah berpandangan dengan bantuan binokular, aisberg dapat dikesan dengan lebih cepat tetapi sesetengah yang lain berpandangan ia takkan dapat membuat apa-apa perubahan berkenaan nasib kapal tersebut. Blair menyimpan kunci tersebut sebagai tanda ingatan. Kunci tersebut kemudian dilelong pada tahun 2007 dengan harga 90,000 paun sterling.
7. KURANGNYA BOT PENYELAMAT
Jika benar kapal tersebut tidak dapat diselamatkan, seharusnya bilangan penumpang yang mati dalam tragedi tersebut juga dapat dielakkan. Berdasarkan statistik, lebih 1,500 krew dan penumpang terbunuh menjadikan ia insiden maritim berdarah dalam sejarah moden hari ini. Titanic hanya menyediakan 20 bot penyelamat yang hanya cukup untuk menyelamatkan 1,200 orang saja, melebihi keperluan kapasiti 1,060 orang mengikut undang-undang ketika itu. Ramai menyifatkan budaya mengelak kebertanggungjawaban dan kegagalan mengesan kesilapan oleh pihak berkuasa membawa kepada jumlah kematian sebegitu rupa. Ini ditambah dengan pendedahan pemeriksa Titanic di Southampton, Maurice Clarke memberi amaran kapal tersebut memerlukan lebih 50% bot penyelamat, dalam notanya dia diugut untuk memberi kelulusan kepada Titanic untuk berlayar atau kehilangan kerja. Lebih menyayat hati, 20 bot penyelamat yang diturunkan masih mempunyai 400 tempat duduk kosong, meninggalkan lebih ramai mati dalam tragedi tersebut.
SUMBER
- Ewers, Justin. (2008). USA News. The Secret of How the Titanic Sank. https://www.usnews.com/news/national/articles/2008/09/25/the-secret-of-how-the-titanic-sunk
- Stanford, Peter. (2010). The Telegraph. The truth about the sinking of the Titanic. https://www.telegraph.co.uk/culture/books/booknews/8016751/The-truth-about-the-sinking-of-the-Titanic.html
- J. Broad, William. (2012). New York Times. The Iceberg Was Only Part of It. https://www.nytimes.com/2012/04/10/science/a-new-look-at-natures-role-in-the-titanics-sinking.html
- The Telegraph. (2012). Titanic safety officer warned ship needed ’50 per cent more lifeboats’. https://www.telegraph.co.uk/history/titanic-anniversary/9646183/Titanic-safety-officer-warned-ship-needed-50-per-cent-more-lifeboats.html
- Boyle, Alan. (2012). NBC News. 10 causes of the Titanic tragedy. https://www.nbcnews.com/science/10-causes-titanic-tragedy-620220
- B. Waxman, Olivia. (2017). Time. Did a Fire Sink the Titanic? These 7 Other Factors Could Have Also Played a Role. http://time.com/4620608/titanic-fire-iceberg-theories/
- Pruitt, Sarah. (2018). History.com. Why Did the Titanic Sink? https://www.history.com/news/why-did-the-titanic-sink
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih