Bos besar minta kami ulas sikit pasal chemtrails. Mereka serabut katanya. Semua benda mereka rancang. Berbilion-bilion belanja dalam projek “Top Secret”. Tetapi entah macam mana, orang Melayu boleh tahu juga. Jadi kami pun terpaksalah beri penjelasan sedikit sebanyak tentang kononnya ada chemtrails di langit yang bertujuan untuk menyakitkan tubuh badan. Dan kalau ada yang telan mukadimah ini bulat-bulat, tu tandanya tak perlu chemtrails untuk benakkan otak. Cakap lebih kang kena masuk melaka pula. Jadi kita pergi terus ke bab chemtrails.
Sebenarnya anutan pasal chemtrail ini bukan ilham cetusan orang Malaysia. Mana pernah puak konspirasi bawa idea asli. Semuanya sekadar ceduk sana sini dan ditabur rencah rasa bagi sesuai untuk tatapan tempatan. Kalau Malaysia, tuduh Yahudi – senang cerita. Kalau Barat pula, tuduh Islam – lagi senang cerita untuk kaburi otak penonton Fox News. Sekadar contoh: vaksin diisytihar halal. Jadi orang Barat gelabah lebih, “they are feeding halal on us! Slowly we will be brainwashed for Sharia!” (mereka sedang paksa kita telan benda halal. Tak lama lagi kita akan dibasuh otak untuk terima Syariah!).
Cukup untuk elemen takut-menakutkan saja. Asas yang sama diguna pakai dalam bab chemtrails. Kena bagi ada elemen takut. Kemudian letak hujah kononnya bukti. Ambil contoh hujah lencana.
Katanya ini bukti. Tetapi cuba mereka tak tahu ka lencana tu boleh dibeli? Cuba tengok sini. Lebih kurang harga minyak masak 5 kilo jer.
Asas mereka main ini perlu ditambat pada agenda. Macam chemtrails, kononnya untuk menyakitkan rakyat supaya ubat-ubatan boleh dijual. Sama merepek macam lencana mereka buat.
Tetapi sebelum tu, untuk elakkan kita daripada terperngaruh dengan pseudo-saintifik yang disebarkan merata di internet, mungkin kita mulakan bacaan kita pasal sains dengan baca buku kami, The Physicist Odyssey: https://bit.ly/3zyJZcA
Merungkaikan Kedangkalan Chemtrails
Menarik juga untuk kaji minda orang yang percaya bab ini. Mula cuba fikir sejenak. Dunia ini bukan tiada usaha jahat. Punya banyak. The Pentagon Papers. The Lavon Affair. DuPont. Macam-macam hal, tetapi setiap satu didedahkan dengan hujah-hujah kukuh yang tersangat membina. Walau bagaimanapun, seluruh komuniti sains secara berjemaah menolak penghujahan chemtrails. Nak cakap mereka disogok? Tolonglah. Saintis mana kenal setiap seorang dalam komuniti mereka. Malah saintis Rusia sekarang selamba boleh mendedah bukti itu ini untuk meruntuhkan keyakinan dunia pada ilmuwan Barat. Tetapi semua pakat diam kerana tahu hujah chemtrails tidak berasas.
Malah Amerika Syarikat sendiri pantas bertindak memperkenal Rang Undang-Undang 2977 iaitu The Space Preservation Act of 2001 yang mengharamkan sebarang “penggunaan bahan kimia di udara”. Chemtrails, kalau betul wujud, sudah masuk dalam kategori ini, termaktub dalam undang-undang sejak 2001. Tetapi sampai sekarang, siapa yang berjaya disaman? Tiada siapa. Sifar. Nilch. Padahal kalau lepaskan bahan kimia di udara, punyalah senang untuk kumpulkan bukti. Pendudukan sementara Rusia di Pripyat semasa perang sekarang ini pun dah ada bukti bahan radiasi Chernobyl bocor. Buka minda sikit – zon perang pun boleh ada bukti.
Kalau Bukan Chemtrails, Habis Apa?
Apabila pesawat terbang, kita semua boleh nampak sejenis asap yang keluar memanjang… dan kekal buat seketika waktu. Ini bukan asap sebenarnya. Ini adalah jejak kondensasi, atau condensation trails (contrails). Dari sini yang nama chemtrails dicelup masuk. Contrails terdiri daripada air dalam bentuk kristal ais. Wap air daripada ekzos enjin kapal terbang kena pula dengan suhu rendah langit. Maka benda terkeluar adalah contrails, yang akan kekal terapung kerana halus dari segi saiz. Contrails takkan kekal selamanya di langit. Tempohnya bergantung pada cuaca, terutamanya suhu, kelembapan dan kelajuan angin.
Itu saja. Tiada apa yang lain dan mengejutkan. Contrails adalah perkara biasa, yang terbukti takkan mengapa-apakan kesihatan manusia seperti dijaja dengan hujah chemtrails. Kalau sendiri sakit kepala, mungkin kerana terlalu semak memikirkan benda yang dangkal. Mana ubat paracetamol… oh, betul juga – ubat konspirasi. Tak boleh. Buatlah apa yang rasa patut. Dan sebagai penutup, pernah dengar nama Edward Snowden tak? Kalau ikut pada Amerika, lelaki ini adalah pengkhianat. Snowden pernah bekerja untuk pihak NSA Amerika Syarikat. Beliau lari ke Rusia membawa maklumat-maklumat penting yang dibocorkan.
Snowden pernah mencari pasal chemtrails semasa bekerja. Semua akses diguna Snowden. NSA. CIA. Jangan cakaplah. Dan tiada satu akses pun mengiyakan hujah pro-chemtrails. Bermakna Amerika Syarikat sendiri tidak mengusahakan chemtrails seperti dituduh.
Saintis menemui bukti bahawa pengikut teori konspirasi tidak begitu mampu berfikir secara kritis. Namun mereka juga mengesahkan sesiapa saja boleh terbuai dek pengaruh konspirasi. Maka kami bertanggungjawab untuk menjaga dan membantu kalian semua. Kalian dipelawa beli buku MENCABAR TEORI KONSPIRASI kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.
Link pembelian: https://thepatriots.store/store/books/mencabar-teori-konspirasi/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih