Jumaat, 16 Oktober 202616 Okt 2026
Ikon Negara

Profesor Emeritus Khoo Kay Kim – Sejarawan Negara Terbilang

Negara dikejutkan dengan pemergian tokoh ilmuan dan figura bidang sejarah yang dihormati ramai Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim pada 28 Mei 2019. Mungkin bagi khalayak awam, nama yang dinyatakan ini bersifat biasa-biasa. Tetapi bagi pencinta ilmu terutama ilmu sejarah, beliau amat dihormati kerana banyak melontar pandangan yang bernas dan jujur dalam pelbagai isu walaupun kadangkala ia mencetuskan rasa tidak puas hati sesetengah pihak. Tetapi ketokohan Prof Kay Kim menjadikannya sebagai figura dihormati dalam dunia ilmu negara ini.

Anak
jati Kampar, Perak ini dilahirkan pada 28 Mac 1937 dan datang dari keluarga
Cina Peranakan. Semasa kecilnya, beliau tidak kekok bergaul dengan rakan-rakan
yang datang dari pelbagai latar belakang kaum dan agama, satu perkara yang
memberi impak kepada usaha kerjanya sebagai cendekiawan sejarah negara untuk tahun-tahun
kemudian. Prof Kay Kim mendapat pendidikan rendah di Sekolah Methodist
Anglo-Chinese di Teluk Intan (ketika itu dikenali sebagai Teluk Anson) sebelum
menyambung pendidikan menengah di St. Michael’s Institution di Ipoh. Semasa di
situ, beliau pernah bersekolah bersama bekas pengerusi Parti Gerakan, mendiang
Tun Dr Lim Keng Yaik dan aktif dalam sukan bola sepak.

Tidak
ramai tahu, minat Prof Kay Kim terhadap bola sepak sudah membara sejak kecil
lagi dan ia diteruskan semasa di bangku sekolah. Dan pada satu ketika, beliau
pernah menimbang untuk menjadikan ia sebagai satu karier. Tetapi tidak seperti
pemain hari ini yang mendapat gaji dan imbuhan lumayan, pemain-pemain bola
sepak ketika itu hanya mendapat gaji kecil dan perlu mendapatkan pekerjaan
sambilan untuk menampung kehidupan. Justeru, Prof Kay Kim mengambil keputusan
menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi bukan saja untuk mendapatkan
jaminan kehidupan yang lebih baik tetapi juga mengisi kekosongan yang
ditinggalkan British pasca-kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Pada
awalnya, wujud kebimbangan beliau tidak dapat berbuat demikian kerana kekurangan
wanita tetapi kerisauan itu hilang selepas bapanya yang juga seorang kakitangan
kerajaan mendapat kenaikan pangkat. Prof Kay Kim menyambung pengajian di
Universiti Malaya, Singapura pada tahun 1959 sebelum mendapat ijazah Master
dalam bidang sejarah dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada tahun 1967. Pada
tahun 1974, beliau merupakan orang Malaysia pertama yang berjaya mendapat
gelaran Doktor Falsafah (PhD) menerusi tesis yang bertajuk The Beginning of
Political Extremism in Malaya 1915-1935.

Pada
tahun 1967 juga, Prof Kay Kim dilantik sebagai pensyarah selepas menjadi tutor
selama dua tahun dan beliau mencipta rekod tersendiri sebagai pensyarah bukan
Melayu yang boleh memberi syarahan dalam Bahasa Melayu. Jadi bagaimana beliau
boleh berbuat demikian? Sebenarnya, Prof Kay Kim mempelajari Bahasa Melayu
melalui inisiatifnya sendiri berikutan ia tidak diajar di sekolah rendah.
Kebetulan pula, beliau merupakan peminat setia karya-karya Allahyarham Tan Sri
P. Ramlee dan melalui filem dan lagu seniman agung Melayu itu, Prof Kay Kim
dapat bertutur dengan fasih dalam Bahasa Melayu. Kefasihannya dalam bahasa ini
juga menyebabkan beliau amat rapat dengan pelajar-pelajar Melayu. Prof Kay Kim
masih ingat semasa menjadi tutor, beliau kadangkala dipanggil sebagai ‘bomba’
untuk meredakan kekecohan pelajar yang dicetuskan pemimpin pelajar seperti
bakal Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tidak
lama selepas insiden 13 Mei, wujud usaha daripada pihak kerajaan untuk
menyuburkan perpaduan kaum di negara ini. Salah satu gagasan yang
direalisasikan ialah Rukun Negara hasil buah fikiran Tun Ghazali Shafie yang
diinspirasikan daripada Pancasila. Bagi memastikan rukun berkenaan bersesuaian
dengan latar belakang sosial negara, satu panel dibentuk dengan salah seorang
anggota panel ialah Prof Kay Kim sendiri. Proses pendrafan Rukun Negara
berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Walau bagaimanapun, adakalanya ia juga
mencetuskan perdebatan dalam kalangan anggota panel berkenaan prinsip rukun
seperti kepercayaan kepada Tuhan. Di sini, perdebatan ini berkenaan soal
kelompok ateis (kelompok yang menolak kewujudan Tuhan) sama ada perkara itu
boleh dibenarkan atau kelompok ini terpakai kepada undang-undang negara sedia
ada. Tetapi pada akhirnya, mereka merasakan ia bukan sesuatu isu kerana di
Malaysia, hampir semua orang mempunyai agama. Dan apabila ia diumumkan, tiada
sebarang penentangan yang timbul.

Namun,
satu kekesalan Prof Kay Kim ialah melihat Rukun Negara tidak dijelaskan dengan
sebaik-baiknya bermula dari bangku sekolah lagi. Ini kerana sistem pendidikan
negara masih lagi berorientasikan peperiksaan dan hanya berminat mengetahui
keputusan ujian berbanding pembinaan sahsiah dan keperibadian pelajar. Ini
mengakibatkan mereka membesar dengan menjadi orang asing antara satu sama lain
dan merasa tidak selesa kerana gagal memahami unsur agama dan budaya sesebuah
bangsa. Keadaan ini akan terus berlaku melainkan ia dimulakan dari peringkat
sekolah lagi.

Prof
Kay Kim berkhidmat di UM selama lebih 50 tahun dari pensyarah pada tahun 1967
kepada mendapat jawatan profesor dan pengerusi Sejarah Malaysia pada tahun 1974
hinggalah persaraannya pada tahun 1992. Dan walaupun sudah bersara, beliau
masih mempunyai pejabat di sana. Selain itu, Prof Kay Kim terus gigih berbakti
kepada masyarakat melalui buku-buku dan esei-esei untuk mencerahkan minda
masyarakat. Bukan sekali dua karya-karyanya menjadi sumber rujukan kurikulum
sejarah negara dengan karyanya yang paling dikenali ialah The Western Malay
States 1850-1873 yang diterbitkan pada tahun 1972. Melihat kepada semua ini,
maka tidak hairanlah anekdot ini sangat sesuai dengan soal pendidikan hari ini.
Beliau pernah berkata, “Pendidikan itu bukan berdasarkan teori. Ia mesti
dipelajari dengan keluar dari bilik darjah. Ianya bukan sekadar lulus dalam
peperiksaan tetapi ia melangkaui lebih daripada itu.”

Walaupun
usianya sudah mencecah tahun 80-an, itu bukan alasan baginya untuk mengurangkan
aktiviti. Tetapi sebaliknya, ia memarakkan lagi semangat Prof Kay Kim untuk
mengkaji sejarah dan menjadi sebahagian daripada lingkungan sosial awam. Sejak
beberapa tahun ini, beliau selalu dijemput sebagai panel forum akademik,
speaker jemputan atau panel penilai sebarang penerbitan sejarah. Bila ditanya
mengapa beliau berbuat demikian dalam satu temubual bersama akhbar The Star
pada Mei 2017, Prof Kay Kim berkata, “Saya tidak pernah menganggap diri saya
bersara! Saya masih melakukan penyelidikan dan menjumpai banyak perkara tentang
Malaysia yang masih tidak diketahui umum. Negara ini merupakan sebuah negara
yang menakjubkan. Anda tidak boleh melihat sesetengah perkara dan menjangka
orang untuk memahami sepenuhnya.” Salah satu projek yang sedang diusahakan
beliau pada akhir hayatnya ialah penerbitan sebuah buku berkenaan sejarah bola
sepak negeri Selangor hasil cetusan idea Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin
Idris Shah yang dijangka diterbitkan pada akhir tahun ini.

Pada
April 2017, beliau turut menerbitkan sebuah buku autobiografi yang bertajuk I,
KKK – The Autobiography of a Historian yang menceritakan sejarah hidup beliau
dari era pra-kemerdekaan hinggalah menjadi figura ilmu yang menjadi kesayangan
ramai. Majlis perlancaran buku disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin
Shah di mana buku itu didedikasikan kepada seluruh rakyat Malaysia terutama
orang muda agar mempunyai pengetahuan sejarah negara ini. Dan pada tahun lepas,
Prof Kay Kim turut mendapat anugerah Merdeka Award 2018 bersama Profesor Dr
Raja Rasiah untuk kategori Pencapaian Kecendekiawanan Terbilang.

Tetapi
manusia hanya merancang, Tuhan lebih mengetahui segala-galanya. Tatkala masih
banyak cerita terutama sejarah negara masih terus dikaji, Prof Kay Kim pergi
buat selama-lamanya pada usia 82 tahun akibat masalah paru-paru dengan
meninggalkan isteri tercinta, Puan Sri Rathi Khoo dan tiga cahaya mata iaitu
Eddin, Rubin dan Mavin. Bila ditanya tentang bapanya, Eddin melihat Prof Kay Kim
sentiasa menitikberatkan soal pembinaan negara bangsa di mana ia bersifat
berterusan dan tidak pernah akan berhenti. Proses pembinaan negara bangsa juga
turut membabitkan soal sejarah di mana ia merupakan satu komponen penting.
Menurut beliau lagi, bapanya melihat sekiranya sejarah terutama pengajaran
silam gagal diambil kira, maka masa depan sesebuah negara itu akan menjadi kelam.

Bagi
memastikan segala hasil bapanya tidak hilang begitu saja, Eddin kini sedang
mengusahakan projek pengumpulan semua hasil penulisan Prof Kay Kim membabitkan
35 penerbitan buku membabitkan tulisannya di akhbar dan projek berkaitan
riwayat hidup mendiang. Projek ini dijangka dapat memastikan akses kepada
setiap buah fikiran mendiang terus wujud dan mewujudkan generasi seterusnya
yang mencintai sejarah.

RUJUKAN:

1.
Adnan, Ahmad Suhael dan Pillay, Suzanna. (2018). Six Malaysians receive 2018
Merdeka Award in recognition for their contributions and achievements. New
Straits Times. https://www.nst.com.my/news/nation/2018/09/407922/six-malaysians-receive-2018-merdeka-award-recognition-their-contributions

2.
Jay, Beatrice Nita. (2019). (UPDATE) Historian Khoo Kay Kim passes away. New
Straits Times. https://www.nst.com.my/news/nation/2019/05/492022/update-historian-khoo-kay-kim-passes-away

3.
Bernama. (2017). Sultan Nazrin launches Khoo Kay Kim’s autobiography. New
Straits Times. https://www.nst.com.my/news/nation/2017/04/229794/sultan-nazrin-launches-khoo-kay-kims-autobiography

4.
Goh, Daryl. (2019). Historian Khoo Kay Kim, 82, passes on from lung failure. https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/05/28/historian-khoo-kay-kim-82-passes-on-from-lung-failure/

5.
Loh, Deborah. (2011). “We were not an ordinary country”. The Nutgraph. http://www.thenutgraph.com/khoo-kay-kim-we-were-not-an-ordinary-country/

6.
Zainol, Fadzli. (2019). Legasi Kay Kim terpahat dalam sejarah Malaysia. Utusan
Malaysia. http://www.utusan.com.my/berita/nasional/legasi-kay-kim-terpahat-dalam-sejarah-malaysia-1.909592

7.
Muhamad, Hasimi. (2019). ‘Tanah air ini nyawanya’ – Anak kongsi kenangan
terakhir dengan mendiang Khoo Kay Kim. Astro Awani. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/tanah-air-ini-nyawanya-anak-kongsi-kenangan-terakhir-dengan-mendiang-khoo-kay-kim-208783

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet