Perang Hattin berlaku apabila Salahuddin mengambil keputusan untuk melakukan serangan besar-besaran ke atas kedudukan yang dikuasai oleh Kerajaan Jerusalem. Salahuddin mengambil masa beberapa bulan untuk mengumpul kekuatan ketenteraan untuk melakukan serangan ini. Putera baginda bernama al-Afdal telah diarahkan untuk menyediakan bala tentera besar ini di Hauran. Manakala baginda sendiri akan pergi ke sana apabila tiba masanya nanti.

Gambar 1: Pertempuran di Mata Air Cresson (Sumber: Wikimedia Commons)

Antara serangan-serangan awal yang berlaku sebelum pertempuran besar di Hattin ialah pertempuran di Tasik Cresson antara pasukan Islam yang dipimpin Keukburi dan pasukan Kerajaan Salib Jerusalem yang terdiri daripada kesatria-kesatria Templar. Pada satu hari bala tentera Frank yang terdiri daripada sekumpulan kesatria Templar dan kesatria Hospitaller yang dipimpin oleh Grandmaster mereka sendiri iaitu Gerard de Ridefort dan Roger de Moulins telah ditugaskan untuk bertemu dengan Raymond III dari Tripoli. Tujuan mereka adalah untuk memujuk Raymond kembali menjadi sekutu Kerajaan Salib Jerusalem. Sebelum ini Raymond telah memutuskan hubungan dengan Jerusalem kerana konfliknya dengan raja Kerajaan Salib Jerusalem pada masa itu iatu Guy de Lusignan.

Sebelum itu Raymond sendiri telah membenarkan bala tentera Islam yang dipimpin oleh Keukburi untuk melalui kawasan Tiberias (yang dikuasai oleh Raymond) tanpa halangan. Ini adalah kerana Raymond telah mempunyai persefahaman dengan Salahuddin dan berharap Salahuddin akan bersekutu dengannya untuk berhadapan dengan Guy de Lusignan.

Semasa melimpasi kawasan berhampiran Tiberias itulah bala tentera Keukburi dan bala tentera Frank bertembung secara kebetulan. Pertempuran antara kedua pihak berlangsung tidak jauh dari sebuah mata air yang dipanggil Mata Air Cresson.
Keukburi lantas mengambil peluang untuk melakukan serangan awal. Bala tenteranya melakukan serangan pantas yang terdiri daripada panahan-panahan dari jauh dan kemudian mengundurkan diri . Serangan dan pengunduran secara teratur dilakukan yang bertujuan untuk mengumpan pihak musuh ke perangkap mereka.

Tetapi bala tentera Frank yang terkenal kerana pertahanan mereka bersabar dan terus bertahan tanpa terpedaya dengan umpan bala tentera Keukburi. Tetapi entah mengapa akhirnya Gerard de Ridefort, Grandmaster Kesatria Templar mengarahkan tentera-tentera berkuda Frank untuk meluru ke hadapan untuk menyerang. Rogers de Moulins, Grandmaster Kesatria Hospitaller membantah tetapi luruan tetap dilakukan. Luruan ini menyebabkan pasukan tentera berkuda Frank terpisah dengan infantri mereka. Keukburi mengambil peluang daripada perpecahan yang berlaku. Tentera-tentera Islam dengan mudah meratah infantri musuh yang tidak terlindung dan pasukan berkuda mereka yang keletihan.

Akhirnya bala tentera Frank tewas dengan dasyat. Walaupun Gerard de Ridefort masih hidup , rakan seperjuangannya, Roger de Moulins. Hampir 130 orang kesatria serta 300 orang infantri Frank pula berjaya dibunuh ataupun ditangkap.

Kekalahan besar ini menyebabkan Raymond III merasa bersalah. Dia menyesal kerana membiarkan bala tentera Islam melalui kawasannya tanpa halangan lalu menyebabkan pihak Frank mengalami kekalahan yang amat dasyat. Raymond pun mengambil keputusan untuk berdamai dengan Guy. Walaupun mendapat bantahan Gerad de Ridefort dan Reynald de Chatillon, Guy setuju berdamai dengan Raymond.

Dilema Guy de Lusignan

Setelah bala tentera di Hauran bersedia, Salahuddin pun pergi sendiri ke sana untuk memantau persediaan akhir bala tenteranya. Perancangan Salahuddin ialah untuk memaksa bala tentera Kerajaan Salib Jerusalem bertempur di medan terbuka. Tetapi baginda tahu kecenderungan musuhnya itu untuk mengelak daripada berada dalam situasi tersebut.

Berdasarkan pengalaman baginda bertembung dengan Guy sebelum ini, Raja Jerusalem itu telah melaksanakan formasi tempur bertahan yang menyebabkan pertempuran berakhir dengan keputusan seri.

Kali ini baginda mahu pertempuran terbuka berlaku. Jadi untuk memaksa bala tentera musuh keluar, baginda pun mengepung Kota Tiberias yang berada hanya beberapa batu daripada markas bala tentera Kerajaan Salib.

Gambar 2: Kota Tiberias (Sumber: archive.org)

Salahuddin dengan mudah menawan kota tersebut. Hanya tinggal kubu kota yang menempatkan isteri Raymond III sahaja yang belum dikuasai oleh bala tentera Salalahuddin

Berita ini menyebabkan pemimpin-pemimpin tentera Salib memaksa Raja Guy bertindak. Pada waktu itu, bala tentera Kerajaan Salib Jerusalem bersama pasukan sekutu-sekutunya dari Kerajaan Salib yang lain seperti Tripoli dan Antioch berada di Safuriyya, kira-kira 16 batu dari Tiberias. Turut sama berada di sana ialah Raymond III.

Walaupun isterinya sendiri terperangkap di kubu kota Tiberias, Raymond bertegas supaya bala tentera Salib untuk tidak bergerak ke Tiberias. Dia menasihati Guy untuk mengelak daripada bertemu dengan bala tentera Islam di tempat yang terbuka. Perjalanan ke Tiberias akan menyebabkan situasi seperti itu berlaku.

Menurut Raymond juga, kepungan di Tiberias tidak akan berterusan dengan lebih lama dan apabila tentera Islam berputus asa di sana, mereka boleh mendapatkan kembali Tiberias dan isterinya.

Cadangan ini mendapat bantahan daripada pemimpin-pemimpin tentera Salib yang lain.
Tetapi Guy de Lusignan bersetuju dengan logik Raymond. Walaubagaimanapun pada keesokan harinya baginda mengambil keputusan untuk menggerakkan bala tenteranya untuk membebaskan Tiberias. Walaupun pertembungan Guy dan Salahuddin sebelum ini berkeputusan seri, Guy sendiri mendapat kecaman daripada pemimpin-pemimpin lain kerana tidak memenangi pertembungan-pertembungan itu. Mungkin baginda merasakan bahawa kali ini baginda mesti bertindak lebih agresif terhadap Salahuddin dan mendapatkan kemenangan.

Bala tentera Salib yang lain pun mara ke Tiberias. Turut serta dalam bala tentera ini adalah beberapa pemimpin utama Frank seperti Raymond III dan Reynald de Chatillon. Pasukan-pasukan kesatria dari orde ketenteraan seperti Templar, Hospitaller dan Lazarus bersama-sama pemimpin mereka juga terlibat.

Strategi Salahuddin

Salahuddin menerima berita tentang pergerakan tentera Salib ketika baginda mengepung kubu kota Tiberias. Sejurus mengesahkan berita tersebut, baginda segera meninggalkan satu pasukan kecil untuk meneruskan kepungan.

Salahuddin melaksanakan strateginya.

Salahuddin tahu matlamat Guy ialah Tiberias. Jadi baginda menempatkan pasukan utama bala tenteranya di Kafr Sabt. Pasukan sayap kanan dipimpin oleh anak saudaranya Taqi al-Din manakala pasukan sayap kiri akan dipimpin oleh Keukburi. Pasukan tengah akan dipimpin Salahuddin sendiri.

Gambar 3: Peta Pertempuran Hattin

Pada mulanya baginda menghantar beberapa pasukan lain untuk melakukan serangan-serangan kecil terhadap bala tentera musuh. Selain itu, baginda juga mengarahkan supaya semua telaga dan perigi air di sekitar kawasan tersebut untuk ditimbus. Strategi baginda adalah untuk menafikan bekalan air kepada bala tentera Salib. Dengan keadaan cuaca yang panas dan kering, bala tentera Salib yang sedang berjalan itu akan cepat kehausan dan terhidrasi. Selain itu, menghadapi serangan-serangan ini, bala tentera Guy terpaksa mengharungi cuaca panas terik. Mereka menderita dan kehausan.

Apabila menjelang tengahari situasi mereka menjadi lebih teruk dengan serangan yang berterusan dan sinaran matahari yang semakin terik. Guy terpaksa mengarahkan bala tenteranya untuk berehat seketika di sebuah kampung di pertengahan jalan iaitu Kampung Turan. Walaubagaimanapun, satu-satunya perigi yang terdapa di kampung itu tidak cukup untuk memuaskan kehausan satu bala tentera yang besar seperti itu.

Gambar 4: Pertempuran Hattin (Sumber: Wikimedia Commons)

Kemudian bala tentera Salib itu mara sekali lagi menuju ke Tiberias.

Apabila ini berlaku pasukan-pasukan sayap bala tentera Salahuddin terus menduduki Kampung Turan manakala pasukan tengah yang dipimpin Salahuddin menghalang satu-satunya jalan ke Tiberias. Malam pula tiba dan Guy mengarahkan anak-anak buahnya untuk berehat. Oleh kerana terdesak, bala tentera tersebut terpaksa mendirikan khemah mereka tengah-tengah jalan. Kawasan yang tidak mempunyai perlindungan semulajadi itu menyebabkan mereka terpaksa berhimpit dalam kehausan dan kelaparan.Pada masa yang sama, Salahuddin menyediakan pasukan pemanahnya dengan beratus-ratus batang anak panah. Anak-anak panah itu adalah ayam tambatan baginda untuk serangan esok hari.

Tanduk Hattin

Pada hari seterusnya, bala tentera Guy meneruskan kemaraan mereka ke Tiberias. Pada kali ini ini, mereka bukan sahaja berdepan dengan serangan kecil bala tentera Sultan Salahuddin yang semakin kerap, cuaca yang semakin panas juga menjadi musuh ketat mereka. Awal-awal lagi Salahuddin telah mengarahkan anak-anak buahnya untuk membakar pohon-pohon dan semak di sekitar jalan ke Tiberias. Asap yang memedihkan mata serta menyesakkan nafas juga mula mengambil giliran menyeksa bala tentera Salib.
Apabila matahari berada tegak di atas kepala, bala tentera Salahduddin pun melepaskan ratusan anak panah ke arah bala tentera musuh. Kesan daripada hujan anak panah ini ialah kemusnahan yang amat dasyat kepada bala tentera Guy. Selain itu pasukan infantri tentera Jerusalem mula panik dan menyebabkan formasi mereka musnah dan tidak lagi teratur.

Harapan untuk sampai ke Tiberias sudah musnah, sekarang bala tentera Guy berusaha bertungkus lumus untuk memastikan bahawa mereka tidak mati katak di medan tempur yang kering dan berdebu itu.

Pada masa inilah Raymond III bersama seorang lagi pembesar Frank bernama Balin dari Ibelin melarikan diri dari medan tempur. Tindakan ini menyebabkan bala tentera Salib semakin kehilangan moral.

Guy yang terdesak mengarahkan bala tenteranya untuk berundur ke sebuah kampung yang terletak berhampiran. Nama kampung itu ialah Hattin. Mereka berlindung di sebalik tinggalan benteng kubu purba di kaki sebuah bukit. Di sana, Guy mendirikan khemah dirajanya yang berwarna merah dan mengarahkan bala tenteranya untuk bersedia melakukan serangan selanjutnya.

Di sini, bala tentera Guy khususnya pasukan berkudanya cuba bertahan sambil melakukan serangan yang akan memberi peluang untuk mereka menyelamatkan diri dari hentaman bala tentera Salahuddin. Cubaan mereka hampir berjaya.  Setiap kali pasukan berkuda Salahuddin menggempur pasukan musuh, mereka berjaya membuat pasukan musuh berundur kembali ke kaki bukit. Tetapi tidak lama selepas itu, pasukan berkuda Guy berjaya menyerang balas dan membuat pasukan berkuda Salahuddin pula berundur.

Tidak jauh dari medan tempur itu, Salahuddin yang kecewa dengan pasukan berkudanya berdiri sambil memerhatikan apa yang berlaku. Bersama baginda adalah anaknya, al-Afdal.

Gambar 5: Kemuncak Pertempuran Hattin (Sumber: archive.org)

“Kita telah berjaya mengalahkan mereka!” Jerit al-Afdal apabila tentera Islam berjaya memaksa pasukan musuh berundur ke kaki bukit sekali lagi. Tetapi Salahuddin terus mengarahkan al-Afdal untuk diam. “Selagi khemah merah itu tidak tumbang, selagi itulah kita belum mengalahkan mereka!” Pada saat Salahuddin menghabiskan kata-katanya itu jugalah khemah merah Guy tumbang. Apabila Salahuddin menyaksikan kejadian ini, baginda turun dari tunggangannya dan terus melakukan sujud syukur. Baginda menangis kegembiraan.

Pertempuran Hattin telah dimenangi.

Nasib Reynald de Chatillon

Selepas pertempuran itu, Guy dan sekutu kuatnya, Reynald de Chatillon dibawa berjumpa Salahuddin. Apabila Guy memberi gelas air yang ditawarkan oleh Salahuddin kepada baginda sebelum itu, Salahuddin segera memaklumkan kepada mereka bahawa tawaran minuman itu sebenarnya hanya untuk Raja Guy dan bukannya Reynald. Reynald yang sebelum ini telah membawa banyak kesusahan kepada umat Islam merupakan antagonis yang paling dibenci oleh Salahuddin. Baginda pernah berjanji akan membunuh pembesar Karak itu jika bertemu dengannya.

Gambar 6: Reynald de Chatillon dihukum bunuh (Sumber: Wikimedia Commons)

Baginda masih mengingati janjinya sendiri dan pada hari itu juga, Salahuddin mengelar leher Reynald. Selepas itu baginda mengarahkan tentera-tenteranya untuk terus membawa keluar Reynald keluar dari khemah untuk dipenggal.

Kekalahan ini adalah malapetaka yang amat besar kepada Kerajaan Salib Jerusalem. Sebahagian besar jika tidak hampir kesemua kekuatan ketenteraannya telah musnah di medan Hattin. Beribu-ribu tentera Frank dan orang kenamaan mereka terkorban dan menjadi tawanan. Dilaporkan bahawa bangkai-bangkai tentera Frank yang terkorban masih boleh dilihat di Hattin dua tahun selepas pertempuran ini.

Dengan musnahnya bala tentera Kerajaan Salib Jerusalem juga bermakna peluang untuk membebaskan kota Jerusalem sendiri sudah terhidang. Impian besar Salahuddin sudah hampir tercapai.

Pembebasan Jerusalem

Salahuddin tidak terus ke Jerusalem, sebaliknya baginda mengambil peluang dengan tentangan yang hampir tiada untuk mendapatkan kembali jajahan-jajahan dan kedudukan pihak Frank. Dengan bantuan panglima-panglima perangnya serta bala tentera sekutu baginda, satu demi satu jajahan utama Frank di Syria jatuh. Tiberias, Acre, Haifa, Arsuf, Tibnin, Beirut, Jubail, dan Ascalon jatuh ke tangan orang Islam.

Hanya apabila al-Adil meminta baginda untuk segera mendapatkan kembali Jerusalem barulah Salahuddin menjadikan kota suci itu sasara utama baginda. Tetapi sebelum itu, baginda menawan pula hampir semua kubu dan kota musuh di sekeliling Jerusalem supaya bantuan tidak dapat sampai kepada Jerusalem. Ramla, Darum, Latrun, Bait Jibrin, Hebron dan Bettlehem ditawan dahulu sebelum Salahuddin tiba di Jerusalem pada 20 September 1187.

Gambar 7: Cap Mohor Balian dari Ibelin (Sumber: Wikimedia Commons)

Kepungan Salahuddin terhadap Jerusalem pun bermula.

Walaupun Kerajaan Salib Jerusalem sudah kehilangan rajanya tetapi seorang bangsawan bernama Balian dari Ibelin mengambil tempat untuk memimpin pertahanan kota itu. Balian yang sama melarikan diri dari medan tempur Hattin bersama Raymond dari Tripoli sebelum ini.

Balian sendiri tidak di berada di Jerusalem semasa kepungan dari Salahuddin telah bermula. Sebenarnya, dia mendapat kebenaran khas daripada Salahuddin untuk membawa keluar keluarganya dari kota itu. Tetapi apabila penduduk kota itu memintanya untuk terus memimpin pertahanan kota itu, dia terus tinggal di kota itu. Walaupun telah memungkiri janjinya, Salahuddin tetap memaafkan Balian. Bersama Balian hanya ada 14 orang kesatria dan pasukan pertahanan kota yang sangat sedikit jumlahnya. Tetapi Balian segera mengatur pertahanan kota dengan membaiki benteng kota dan menguatkan binaan pertahanan yang lain.

Salahuddin memulakan kepungan dengan menggempur dari arah barat, berdekatan dengan Benteng David. Tetapi beberapa hari kemudian baginda mengubah kedudukan bala tenteranya ke sebelah utara kota tersebut, berhampiran Pintu Damaskus. Kedudukan sama yang digunakan oleh bala tentera salib ketika menggempur kota tersebut ketika Perang Salib Pertama.

Bala tentera Salahuddin berjaya memusnahkan sebahagian benteng kota menggunakan teknik penggalian terowong. Tiga hari kemudian benteng kota itu runtuh. Walaubagaimanapun, bala tentera Salahuddin gagal untuk menembusi pertahanan kota tersebut akibat tentangan yang tidak kurang hebatnya dari pasukan pertahanan kota yang dipimpin Balian.

Tetapi Balian tahu bahawa runtuhnya benteng tersebut bermakna lambat laun Salahuddin dan bala tenteranya akan berjaya juga memasuki Jerusalem. Oleh itu dia memulakan proses diplomasi dengan Salahuddin.

Pada mulanya permintaan dan syarat yang dikemukan oleh Balian tidak munasabah dan ditolak mentah-mentah oleh Salahuddin. Sebaliknya Salahuddin mahukan penyerahan tanpa syarat oleh Balian.  Tetapi Balian mengancam untuk membunuh hampir 5000 tawanan Islam di kota tersebut jika tidak diberi peluang untuk mengenakan syarat. Dia juga mengugut untuk memusnahkan tempat-tempat suci yang terdapat di dalam kota Jerusalem.

Gambar 8: Menara David di Jerusalem (Sumber: archieve.org)

Atas gesaan barisan penasihat-penasihatnya, Salahuddin pun bersetuju dengan permintaan Balian untuk merundingkan tawaran yang lebih menguntungkan untuk penyerahan kota Jerusalem. Pada pandangan Salahuddin, kemenangan di Jerusalem sudah pasti dan adalah sesuatu yang merugikan jika ada lagi nyawa yang terkorban selepas itu.

Selepas perbincangan lanjut, perjanjian penyerahan Jerusalem dimeterai pada 2 Oktober 1187. Salahuddin dan bala tenteranya memasuki Jerusalem dengan aman, tidak seperti apa yang berlaku apabila bala tentera salib merampas kota suci tersebut semasa Perang Salib Pertama. Salahuddin berlaku adil kepada tebusan-tebusan dan bersikap pemurah dalam urusan penebusan. Sikap pemurah ini adakala menyebabkan penasihat-penasihat baginda risau kerana kerajaan baginda boleh mendapat manfaat daripada wang tebusan.
Salahuddin juga mengembalikan tempat-tempat ibadah di kota itu kembali kepada status asalnya. Kubah Shakhrah dan Masji al-Aqsa dikembalikan fungsinya sebagai masjid. Walaupun terdapat cadangan daripada beberapa orang Salahuddin supaya Gereja Holy Sepulchere dimusnahkan untuk mengelakkan penziarah Kristian datang ke Jerusalem, Salahuddin menolak.

Belum sampai pun tempoh empat puluh hari untuk pembayaran tebusan, Salahuddin telahpun meninggalkan Jerusalem untuk kempen peperangan baginda seterusnya. Dalam kempen tersebut baginda melakukan satu kesilapan yang menyebabkan Perang Salib yang bakal berlaku bermula dengan kepungan yang membawa penderitaan selama hampir dua tahun lamanya…

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Walaupun sibuk dengan tugasnya sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta di Kuching, beliau suka meluangkan masanya meneroka sejarah dunia terutama yang melibatkan pertembungan antara peradaban seperti Perang Salib. Minatnya dengan budaya masyarakat serta tokoh-tokoh Timur dan Eropah yang wujud ketika zaman pertengahan memberi inspirasi kepada beliau untuk menulis novel fiksyen sejarah dan non-fiksyen berkenaan tokoh-tokoh pada zaman tersebut.

Leave A Reply