Sepasukan ahli arkeologi Russia telah menemukan sebuah prasasti yang mengandungi pesanan daripada Raja Darius, salah seorang pemerintah Parsi purba yang paling masyhur.

Penemuan ini dilakukan di tapak Yunani purba yang dikenali sebagai Phanagoria, terletak berhampiran Crimea dan Laut Hitam. Menurut Vladimir Kuznetsov, pengarah Phanagoria Historical and Archaeological Museum-Preserve dan ekspedisi Phanagoria oleh Institute of Archaeology of the Russian Academy of Science, tidak keterlaluan untuk menyebutkan penemuan ini sebagai “sebuah penemuan yang bersignifikasi antarabangsa.”

Prasasti yang menyebut perihal Darius I

Selain itu, para penyelidik turut menemukan runtuhan dari perkubuan purba yang usianya diperkirakan adalah pada kurun ke-6 SM. Pembinaan ini mungkin musnah pada pertengahan kurun ke-5 SM, sekaligus menjadikan tapak itu lebih menarik perhatian. Ia merupakan satu fenomena dalam arkeologi klasik. Ekspedisi ini ditaja oleh seorang billionair Russia, Oleg Derpaska yang merupakan pemilik Volnoe Delo Foundation.

Ahli-ahli arkeologi mengumumkan bahawa penemuan prasasti ini dalam laporan yang disiarkan dalam laman sesawang Volnoe Delo. Teks ini diukir pada sekeping marmar dalam tulisan kuneifom purba yang hanya digunakan oleh raja Parsi. Namun malangnya, hanya 10-15% sahaja dari teks itu yang terselamat. Apapun, para penyelidik berupaya untuk membaca dan memahaminya, seterusnya mengenal pasti bahawa prasasti itu dihasilkan oleh Raja Darius I yang hidup antara 550 dan 486 SM.

Ekskavasi di tapak Phanagoria

Para penyelidik menyatakan bahawa salah satu perkataan yang terkandung dalam prasasti tersebut ialah “Miletus”, iaitu nama kota Yunani purba di Ionia. Kota tersebut merupakan pusat penentangan terhadap Darius. Ahli arkeologi meyakini bahawa Darius mendirikan prasasti ini bagi memperingati kemenangannya di Miletus. Namun, sebahagian prasasti ini kemudiannya diangkut ke Phanagoria oleh kapal. Apapun, penemuan ini dianggap sangat penting lantaran kebanyakan prasasti yang berkait dengan raja-raja Parsi lazimnya ditemui di Persepolis, Iran.

Menurut The Art Newspaper, Kuznetsov mendakwa bahawa prasasti ini “terbukti memerihalkan sejarah penundukkan pemberontakan Ionia” dan mengaitkan Phanagoria “dengan salah satu peristiwa paling penting dalam sejarah purba, yakni peristiwa yang meninggalkan kesan mendalam terhadap orang Parsi dan Yunani sekaligus memungkinkan usaha untuk menjejak perkaitan antara koloni ini dan wilayah-wilayah Yunani lain, serta meneliti signifikasinya dalam memajukan tamadun Hellenistik di pantai Laut Hitam.”

Namun, ini bukanlah satu-satunya penemuan yang mengejutkan berkaitan Darius pada tahun ini. Pada bulan April 2016, pasukan penyelidik yang sama mengumumkan penemuan serpihan panah marmar di Phanagoria yang pernah dimiliki oleh Darius. Inskripsi pada panah tersebut membuktikan bahawa ia dihasilkan pada kurun ke-5 SM. Penemuan-penemuan ini juga mengemukakan bahawa raja Parsi itu menundukkan pemberontakan Yunani dan kemudian menghasilkan sebatang panah marmar yang mengandungi inskripsi bagi memperingati peristiwa itu.

Puing-puing runtuhan tembok kubu purba di Phanagoria

Darius I merupakan salah seorang pemerintah Empayar Achaemenid. Pada era pemerintahannya, beliau bertanggungjawab memperluas empayar hingga jajahannya merangkumi Parsi, Asia Tengah, Asia Barat, Kaukasus, sebahagian Balkan, dan timur laut Afrika termasuk Mesir. Beliau juga merupakan raja Mesir.

Beliau dikenali dalam karya sastera sebagai Darius Agung lantaran pencapaian ulungnya baik sebagai seorang raja mahupun pahlawan. Beliau merupakan suami kepada Atossa, puteri Cyrus Agung. Darius juga merupakan ayah kepada Raja Xerxes I, yang bertanggungjawab memenangi Pertempuran Thermopylae yang masyhur.

Darius berjaya menubuhkan sebuah sistem baru dalam empayar, membentuk wilayah-wilayah baru dan meletakkan pegawai-pegawai satrap untuk mentadbirnya. Beliau juga mengangkat Bahasa Aram (Aramaic) sebagai bahasa rasmi Empayar Achaaemenid, di samping memulakan sistem kewangan.

Relif Darius di Persepolis

Darius juga muncul dalam Bible, dalam kitab Zechariah, Daniel, Ezra-Nehemiah dan Haggai. Apapun, wujud juga lembaran hitam sepanjang pemerintahannya, di mana yang paling utama di antara semua adalah Pertempuran Marathon yang meletus pada September 490 SM, di mana Miltiades dan pasukan tenteranya berupaya mengalahkan pahlawan-pahlawan Parsi yang jauh lebih ramai bilangannya.

TERJEMAHAN:

Natalia Klimczak. (10 Ogos 2016). Ancient Fort and Stele Proclaiming Victory of Famous Persian King Found in Russia. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/ancient-fort-and-stele-proclaiming-victory-famous-persian-king-found-russia-020938


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.